Wednesday, June 25, 2008

Ke Mana Halatuju Minggu Haluan Siswa?


Beberapa hari lagi, semua Institut Pengajian Tinggi Awam di seluruh negara bakal menerima pelajar-pelajar baru. Di kebanyakan universiti, pihak pentadbiran sudah mula bertungkus-lumus membuat persediaan menyambut tetamu-tetamu yang hadir daripada seluruh negeri dan latar belakang. Dengan matlamat yang satu, adalah untuk menimba seberapa banyak khazanah ilmu di samping mengutip pengalaman yang sangat berharga.

Saya percaya dan yakin, niat murni ibu bapa ingin melihat anak yang dihantar ke universiti, keluar sebagai seorang mahasiswa yang mempunyai keyakinan tinggi dan mampu merubah masyarakat. Paling kurang, ia mampu memperbaiki corak kehidupan keluarga ke arah yang lebih baik dan teratur.

Justeru itu, pembinaannya bermula daripada asasnya. Pelajar-pelajar yang masuk mendaftar, first impression mereka adalah untuk menyesuaikan diri dengan suasana baru alam kampus yang selama ini dibayang-bayangkan sebagai sebuah pusat ‘gedung keilmuan’ dan keintelektualan. Maka Minggu Haluan Siswa yang menjadi acara wajib saban tahun sebagai tapak pemula. Mereka akan didedahkan dengan realiti kampus, suasana, kehidupan dan cabaran yang bakal ditempuhi.


Memahami keadaan ini, Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Malaya mengambil iktibar dan pengajaran daripada sejarah MHS yang lalu, betapa banyaknya kelompangan yang perlu disedari dan ditampungi. Merujuk kepada rintihan ‘Mama Terguris’ dalam kolum surat pembaca Utusan Malaysia bertarikh 7 Julai 2007 yang terkejut mengenai satu aktiviti dinamakan Stupid Debate yang membincangkan tajuk yang dirasakan sangat tidak munasabah sebagai seorang mahasiswa. Ini diikuti teguran seorang bapa yang juga kesal dengan tindakan Pembantu Mahasiswa sebuah universiti yang menghalang anaknya yang beragama Islam untuk bersolat Zohor.

Oleh hal yang demikian, PMIUM dengan penuh rasa bertanggungjawab telah membawa isu ini kepada pentadbiran universiti agar dilakukan pembaikan nilai dalam MHS ini. Naib Canselor UM, Dato’ Rafiah Binti Salim dan Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar, Dr Azarae Bin Haji Idris dalam satu pertemuan telah mencapai kata sepakat bersama PMIUM agar MHS pada kali ini lebih ilmiah dan mempunyai unsur-unsur pembinaan keintelektualan. Di samping itu, aktiviti-aktiviti yang tidak melambangkan sifat seorang mahasiswa terpelajar haruslah dihentikan, agar diganti dengan aktiviti yang lebih meningkatkan modal insan yang tinggi.

Saya komited dengan perubahan ini. Saya percaya, bukan sahaja PMIUM, bahkan seluruh ibu bapa sendiri mahukan anaknya mendapat pengisian yang bermanfaat dan berguna setelah diberi peluang menjejakkan kaki ke menara gading. Jadikan MHS kali ini sebagai titik perubahan bagi membina karisma dan intelektual, sebagai persediaan untuk turun ke gelanggang masyarakat suatu hari nanti.

Muhammad Haafizuddin Bin Abi Rerah
Yang Di Pertua,
Persatuam Mahasiswa Islam Universiti Malaya,
Sesi 2008/2009

Wednesday, June 18, 2008

Bila Harga Minyak Naik...


Bila harga minyak naik

Stesen minyak bagai hantu yang meratah

Keping-keping not rencam warna

Semakin luak

Berliter-liter minyak diisi

Namun tetap tak mencukupi

Buat perjalanan sehari-hari

Yang panjang tidak berhenti

Selagi berdenyut, masih bernadi.


Bila harga minyak naik

Pasaraya menjadi malap

Lesu menanti pelanggan yang luntur harap.


Bila harga minyak naik

Nasi berlauk ikan kering adalah nikmat

Bagi sebuah keluarga marhaen

Di pinggir bandar, di hujung kampung

Yang sering bersyukur.


Bila harga minyak naik

Ibu bapa yang kian dijamah usia

Terus dihambat sepi

Merindu harap kembalinya si anak

Ke desa halaman

Mengucup tangan-tangan yang menyuap, membesarkan

Namun

Hanya kerinduan yang berpucuk di perdu hati

Kemudian layu, dan terus mati.


Bila harga minyak naik

Alam gelap-gelita

Bagai diserkup bala.

Saturday, June 14, 2008

Penurunan Kadar Tol Mampu Meringankan Beban Rakyat


Kenaikan isu minyak merupakan topik hangat yang sering dibincangkan di mana-mana pada ketika ini, hatta di warung-warung kopi, malah di jalanan secara tidak langsung. Sudah menjadi kelaziman rakyat Malaysia apabila ditimpa beban tekanan yang dirasai secara umum, mereka akan terus-terusan memperkatakan isu tersebut sehinggalah tekanan yang dirasakan makin reda berikutan inisiatif yang dilakukan oleh pihak-pihak tertentu, atau masalah tersebut sudah ‘basi’ digantikan masalah-masalah lain yang juga bersifat ‘menghimpit.’

Pada 21 Mei 2007 tahun lalu, Perdana Menteri Malaysia, Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi telah mengumumkan kadar kenaikan gaji kaki tangan kerajaan antara 7.5 hingga 35 peratus yang akan dinikmati oleh lebih kurang sejuta orang. Seterusnya berlakulah kenaikan harga barangan dan perkhimatan yang dilakukan secara bersiri oleh para peniaga daripada pelbagai sektor, termasuklah agensi-agensi dan pihak swasta. Ternyata, kenaikan gaji yang sepatutnya dinikmati oleh kaki tangan kerajaan tidak dapat meredakan perasaan mereka, bahkan golongan ini bertambah risau dan tertekan lantaran cubaan pihak-pihak tertentu yang mengambil kesempatan di atas kenaikan gaji mereka. Lebih merasai penderitaan ini ialah mereka yang terdiri daripada kalangan petani, nelayan dan mereka yang tidak memiliki pendapatan bulanan secara tetap.

Rentetan daripada itu, kadar kenaikan tol pula diumumkan pada 28 November 2007 bagi enam buah tol dengan kadar kenaikan antara 7 hingga 50 peratus daripada kadar sebelumnya. Keadaan ini ternyata amat sukar untuk dilalui, terutamanya apabila pelbagai kenaikan terus-terusan meningkat secara bersiri sehingga pertengahan tahun 2008 ini.

Justeru, dalam usaha menangani masalah-masalah berkaitan kenaikan tersebut, kami mencadangkan agar kerajaan dapat menurunkan kadar kenaikan tol bagi mengurangkan tekanan yang sedang dirasai oleh rakyat. Laporan media massa sebelum ini ada menyebutkan berkenaan perjanjian di antara kerajaan dengan syarikat konsesi lebuh raya yang membenarkan Projek Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) Berhad menaikkan kadar tol sebanyak 10 peratus setiap tiga tahun bagi 25 tahun akan datang sehingga tahun 2029.


Kami mengharapkan kerajaan dapat menilai semula perjanjian ini dengan memikirkan alternatif lain yang sesuai dan lebih baik supaya kerajaan tidak perlu membayar pampasan terlalu tinggi, malah syarikat konsesi juga tidak mengalami kerugian yang teruk. Dengan ini, rakyat juga tidak akan terbeban dengan pembayaran tol yang tinggi setiap kali melalui lebuh raya. Keadaan ini pasti akan menggembirakan hati rakyat dan melegakan perasaan mereka yang masih diamuk resah berikutan kenaikan-kenaikan yang berlaku.


Justeru, kerajaan haruslah melakukan pertimbangan wajar dengan mengambil kira pelbagai aspek sebelum menandatangani sebarang perjanjian, supaya kerugian ini tidak semata-mata ditanggung oleh kerajaan dan rakyat, sedangkan pihak lain mengaut keuntungan besar daripada perjanjian tersebut.

Sunday, June 1, 2008

Malaysia Merdeka Pada Mahasiswa Yang Merdeka

“Di atas robohan Kota Melaka

Kita dirikan jiwa merdeka

Bersatu padulah segenap baka

Membela hak keadilan pusaka.”


Bait-bait pantun yang dinukilkan oleh Dr. Burhanuddin Al-Helmy tersebut membawa maksud tersirat yang amat mendalam sekiranya dihayati. Beliau menyeru anak muda, khususnya golongan mahasiswa supaya bersatu padu merungkai belenggu-belenggu anasir yang mencemar budaya dan jati diri anak bangsa. Sejarah telah merakamkan peranan penting golongan muda dalam mencetuskan revolusi dan reformasi, seperti pembukaan Konstantinopel oleh Muhammad Al-Fatih, tragedi berdarah Tianenmen Square, kisah Revolusi Iran mahupun peristiwa reformasi di negara kita sekitar tahun 1998 hingga 1999.


Teladan sejarah inilah yang ingin diambil oleh mahasiswa dalam mencorak sejarah baru dalam dunia kemahasiswaan, lantaran menyedari peranan besar mahasiswa setelah ‘terjun’ ke dunia yang lebih luas dan komplikated, iaitu dunia kemasyarakatan yang berkait rapat dengan pembangunan sesebuah negara. Kita seringkali mendengar ungkapan-ungkapan yang diucapkan oleh tokoh-tokoh berkenaan jatuh bangun sesebuah negara adalah disebabkan oleh para pemudanya, dan dalam konteks ini saya mengkhususkan kepada mahasiswa selaku golongan yang terlibat secara langsung dalam proses keintelektualan.


Seperti yang diketahui umum, peranan utama mahasiswa adalah menuntut dan mempelajari ilmu, seterusnya mengembangkan ilmu tersebut seluas mungkin. Namun demikian, sebagai golongan berintelek tinggi dan memiliki idealisme yang sentiasa berkembang, apakah peranan mahasiswa sekadar bernoktah di sini? Adakah ‘dunia mahasiswa’ hanya setakat berlegar di kolej kediaman, kuliah dan kantin? Ternyata keadaan ini seolah suatu ‘pembaziran’ sumber manusia daripada aspek intelektualisme, idealisme dan aktivisme yang sepatutnya boleh disumbangkan dalam meningkatkan taraf universiti, masyarakat mahupun negara.


Justeru, saya terpanggil untuk menyuarakan sokongan peribadi terhadap harapan pertubuhan-pertubuhan perwakilan pelajar universiti berkaitan pindaan Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 (AUKU) agar tidak disertai peraturan baru yang mengongkong, khususnya membabitkan hak pelajar berpolitik. Hal ini adalah kerana peranan yang dimainkan oleh mahasiswa itu sendiri sama ada dalam sesebuah masyarakat atau negara merupakan hal yang sangat signifikan. Perlu ditegaskan bahawa mahasiswa berupaya memberikan implikasi-implikasi besar melalui daya intelek mereka dengan mencetus idea-idea yang boleh dipertimbangkan, serta melalui aktivisme yang mereka lakukan di dalam kampus atau di luar ‘kepompong’ kampus.


Secara tidak langung, keadaan ini hakikatnya telah mewujudkan sosialisasi politik dalam kalangan mahasiswa itu sendiri, seterusnya memberi peluang kepada mahasiswa untuk mengenali selok-belok politik yang mungkin diceburi pada masa hadapan. Bukan semestinya menyertai pertubuhan-pertubuhan politik itu dinamakan terlibat dalam politik, tetapi memadai dengan mengambil tahu perkembangan politik tanah air dan negara luar serta bebas menyertai aktiviti-aktiviti sosial dan kemasyarakatan secara umum.


Juga, perlu diingatkan bahawa majoriti golongan yang sebenarnya mempunyai kesedaran dan semangat patriotisme tinggi terhadap negara adalah mahasiswa yang bergiat aktif dalam sosialisasi politik. Hal ini sangat jelas terbukti apabila baru-baru ini kita digemparkan dengan kisah seorang mahasiswa berusia 19 tahun dipilih menjadi Datuk Bandar Muskogee yang mempunyai penduduk seramai 38,000 orang. John Tayler Hammons yang masih mengikuti pengajian tahun pertamanya di universiti di Norman menerima 57 peratus undi menewaskan bekas Datuk Bandar, Hershel Ray McBride. Apa yang dapat dilihat di sini ialah golongan mahasiswa sangat berpotensi dalam ‘merangkul’ kepercayaan daripada rakyat melalui peranannya yang sangat signifikan dalam sosialisasi politik.


Justeru, keterlibatan mahasiswa dalam politik perlu diberi takrifan yang positif, serta dipandang dari sudut positif juga. Kebebasan mahasiswa dalam sosialisasi politik tidak perlu disekat sekiranya kita ingin mewujudkan sebuah Malaysia yang merdeka jati dirinya.