Monday, November 30, 2009

Akhirnya... (Siri 2)


Setinggi-tinggi tahniah diucapkan kepada Akhi Dzul Khairi dan isterinya, Ukhti Raihana yang telah selamat diijabkabulkan di Tapah, semalam. Dengan itu berakhirlah segala teka-teki yang bermain di minda ahli-ahli dan penyokong GAMIS selama ini.

Teringat suatu ketika dahulu, ketika saya masih dalam fasa awal mendirikan rumah tangga. Akhi Dzul sering menyebut bahawa dalam ramai-ramai mantan Presiden PMI, dia seorang sahaja yang belum kahwin lagi. Bila saya tanya dia dah ada calon ke, katanya itu rahsia...

Dulu kami jua pernah berbincang bersama-sama tentang perkahwinan. Kata Akhi Dzul dia nak kahwin sebelum umur 25 dan nak isterinya bersalin sebelum umur 25. Katanya perempuan tak elok kalau bersalin lewat dari umur tersebut... wallahu a'lam. Kita tengok macam mana lepas ni :)

Akhi Dzul merupakan seorang yang bercita-cita tinggi dalam bidang akademik. Dia bercita-cita tinggi nak sambung pelajaran ke luar negara. Dan akhi Dzul juga nak isterinya berpelajaran tinggi. Katanya seronok kalau dua-dua sama-sama menuntut ilmu. Anak pun lahir dalam suasana keilmuan :)

Akhi Dzul juga pernah sebut, kata nak kahwin sebelum melanjutkan pelajaran ke luar negara... Adakah perkahwinan ini merupakan tanda atau alamat bahawa beliau akan berangkat ke luar negara untuk menyambung pelajaran? Dengar cerita nak pergi Jordan. Hehe.. Kalau begitu, sama-sama kita doakan agar beliau berjaya mencapai cita-citanya tersebut.

Hehe, sekian sahaja posting kali ini. Semoga ikatan yang dibina akan berkekalan hingga ke syurga dan didoakan semoga lahir darinya zuriat-zuriat yang akan menjadi para pejuang Islam pada masa akan datang.

Friday, November 27, 2009

Selamat Hari Raya Eidul Adha


Salam Aidiladha buat sahabat-sahabat dan pengunjung blog ini. Semoga setiap pengorbanan kita pada tahun ini mendapat keredhaan Allah S.W.T.

Thursday, November 19, 2009

Akhirnya...

8 siswa UM akhirnya tidak bersalah

Lapan pemimpin dan aktivis pelajar Universiti Malaya (UM) hari ini, yang didakwa membawa masuk dua ahli politik Pakatan Rakyat, dibebaskan daripada kesalahan tersebut.

Dua daripada mereka dibebaskan daripada tuduhan melanggar peraturan kampus itu pagi tadi, manakala enam lagi dibuang kes masing-masing jam 5.10 petang ini.

Pagi tadi, dua pemimpin Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Malaya (PMIUM) didapati tidak bersalah terhadap dakwaan membawa masuk seorang wakil rakyat PKR ke kampus itu, Mac lalu.

Muhammad Haafizuddin Abirerah dan Abu Ubaidah Amir Abdul Malik dituduh membenarkan setiausaha kepada menteri besar Selangor, Nik Nazmi Nik Ahmad melibatkan diri dalam aktiviti pertubuhan itu.

Pada 16 Mac lalu, ADUN Seri Setia menyampaikan ucapan perasmian mesyuarat agung PMIUM selepas diseludup masuk ke kampus dengan motosikal seorang mahasiswa setelah kenderaannya dihalang.

Manakala enam aktivis Persatuan Bahasa Cina UM (PBCUM) dituduh mengundang exco kanan Selangor, Teresa Kok dan ahli jawatankuasa pusat MCA Wong Nai Chee mengadili satu program debat, 8 September lalu.

Keenam-enam yang dihadapkan ke depan jawatankuasa tatatertib mulai pagi ini: Saw Yee Fung (presiden PBCUM), Chan Kheng Fai (ketua unit debat), Chan Wei De, Koh Ming Chen, Ng Xin Ying dan Yong Siew Cheng (keempat-empatnya AJK unit debat).

Pemimpin dan aktivis persatuan itu terlibat menganjurkan pertandingan debat dalam bahasa Cina berjudul 'Antara Pakatan Rakyat dan BN: Yang Mana Lebih Menggelisahkan?'

Dua lagi pemimpin politik - wakil rakyat DAP Teoh Nie Ching dan seorang pemimpin MCA Selangor, Victor Gu - pula terlibat pendebat di acara itu yang dihadiri kira-kira 1,000 orang.

Kelapan-lapan pemimpin dan aktivis didakwa mencabuli peraturan bertulis kampus tersebut iaitu subperenggan 16 (1), Borang 2 dalam Statut Universiti Malaya (Badan-badan Pelajar) 1979 yang dibuat bawah Perlembagaan Universiti Malaya.

Jika didapati bersalah, mereka akan dikenakan hukuman yang paling ringan dengan diberikan amaran atau paling berat dipecat daripada UM.

Prosiding terhadap dua pemimpi PMIUM berlangsung di sebuah bilik di Bangunan Canselori bermula jam 9.30 dan berakhir empat jam kemudian, manakala prosiding ke atas enam lagi bermula jam 2.45 petang.

Jawatankuasa tatatertib itu dianggotai oleh tiga anggota panel yang diketuai oleh Profesor Datuk Dr A Hamid A Hadi.

Prosiding tatatertib tersebut dimulakan pada hari ini selepas dua kali ditangguhkan .

Mohd Haafizuddin dan Abu Ubaidah Amir, ketika ditemui pemberita selepas keputusan tersebut, kelihatan gembira dan lega.

Mohd Haafizuddin berkata, secara umumnya, Dr A Hamid telah menasihatinya supaya tidak mengulangi perbuatan menjemput orang luar untuk terlibat dengan acara PMIUM.

"Itu sahaja yang dinasihat. Jangan buat lagi, dia suruh ikut peraturan," katanya, sambil menambah, keputusan rasmi akan dihantar kepadanya dalam tempoh 14 hari.

Sumber- Malaysiakini-

Sunday, November 8, 2009

Komen terhadap Penggulungan TGHH

Walaupun kepimpinannya mendapat kritikan, presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, beliau tidak akan meletakkan jawatan kerana ia merupakan satu tanggungjawab dan kepercayaan daripada ahli parti itu.

"Kita pikul tanggungjawab sepenuhnya. Dan hari ini, kita mendapat kepercayaan daripada perwakilan (peserta seminar) yang datang dari seluruh negara. (Kepercayaan) ini menambahkan lagi pendirian kita dengan sikap kita," katanya.

Bercakap dalam sidang media selepas seminar politik PAS di Gombak hari ini, beliau menyifatkan kritikan terhadap kepimpinannya, terutama ahli akademik, tidak semuanya tepat.

"Kita anggap (kritikan) itu biasa. Kita matang dengan kritikan. Kritikan itu ada yang benar, ada yang tidak benar. Yang benar kita ambil, yang tidak benar, kita jawab," kata Abdul Hadi.

"Kita tidak menolak ahli akademik."

Beliau didesak berundur, antaranya, oleh pensyarah undang-undang Universiti Islam Antarabangsa (UIA) Dr Abdul Aziz Bari dengan alasan kepemimpinannya lemah dan tidak dapat berperanan dalam politik baru Pakatan Rakyat.

Naib Presiden PAS Salahuddin Ayub dan Setiausaha Agungnya Datuk Mustafa Ali turut hadir pada sidang media itu.

Ditanya tentang kajian pensyarah Universiti Malaya Dr Abu Hassan Hasbullah yang menyimpulkan bahawa 50 peratus masalah parti itu berpunca daripada kepemimpinan, Abdul Hadi berkata:

"Dia punya kajian tidak terperinci. Kita ambil maklum dan kita akan tingkatlan lagi (kemampuan parti). Itu saja,"

Dr Abu Hassan, yang diundang menyampaikan pandangannya dalam sesi percambahan minda pada seminar tersebut bersama Dr Abdul Aziz, turut menyampaikan dapatan tinjauannya bahawa Abdul Hadi tidak mendapat tanggapan positif masyarakat.

Ketika menyampaikan ucapan penggulungannya di akhir seminar itu, Abdul Hadi kelihatan mempertahankan dirinya dengan menyamakan pemimpin PAS sebagai pemain bola sepak dan ahli akademik sebagai pengulas sukan.

"Kita berada di medan dan mereka yang lain adalah pengulas, seperti dalam sukan dan permainan bola sepak. Dan sudah tentu ada provokasi, (seperti) lempar mercun dan sebagainya.

"Tetapi kita sebagai pemain jangan cepat melatah, lempar mercun sama," katanya.

"Kita mesti berjiwa besar. Walaupun ada teguran keras, suruh pecat kapten. Tetapi dalam sebuah perlawanan, kita belum habis masa bermain.

"Sebagai pemain profesional, kita tidak boleh pecat kapten di tengah-tengah permainan."

Sumber- Malaysiakini-

[Komen saya]

1. Suatu ketika dahulu sebelum merdeka pernah berlaku pertembungan antara pemikiran 'kaum tua' dan 'kaum muda' dalam sejarah perjuangan Islam di negara ini.

2. Sekali lagi berlaku reformasi sebegitu iaitu bila mana gelombang 'kepimpinan ulama' menyerap masuk dan menyingkirkan 'kepimpinan nasionalis Islam'.

3. Terbaru, kini muncul semula pertembungan sebegitu. Ada yang kata pertembungan Ulama vs Profesional, UG vs PR, Erdogan vs non-Erdogan, dll. Walau apa jua pelabelannya, hakikatnya kini sejarah tersebut kembali berulang.

4. Tiada apa yang perlu dibimbangkan, ia normal sebagai suatu proses ke arah kematangan dan perlu diterima secara terbuka.

5. Saya sebagai golongan muda kini melihat PAS sebagai 'Parti orang tua'. Bukan tua umur, tapi tua pemikiran. Langsung tak catchy dengan orang muda. Harapan saya, pimpinan jangan benarkan perspektif tersebut berpanjangan. Kalau dah jadi evergreen, PAS dah tak relevan lagi untuk anak muda pada masa hadapan.

6. Kritikan dan pandangan yang berbeza sangat perlu sebagai check and balance sesebuah organisasi. Pandangan Prof Aziz Bari dan Prof Abu Hassan bukanlah sampah. PAS tidak perlu berlagak dengan menyatakan akan mengkaji semula kajian tersebut.

7. Bertindak berdasarkan apa yang ada dahulu. Lagipun pada saya, dua tokoh akademik tersebut tidak mempunyai niat yang buruk. Boleh jadi niat mereka lebih murni dan ikhlas daripada sesetengah pemimpin dan ahli PAS.

8. Ucapan penggulungan TGHH boleh disifatkan sebagai defensif dan tidak bersifat proaktif. Tiada sebarang penegasan. Tiada tindakan baru yang efektif, relevan, dan menjawab kekusutan pemikiran rakyat Malaysia. Idea penyelesaian yang tidak tajam.

9. Analogi pimpinan PAS umpama pemain bola sepak di tengah padang masih dilihat mempunyai ralat dan jauh sekali menjawab persoalan serta menenangkan ahli, penyokong, dan pengundi. Mungkin menyelesakan beberapa golongan tertentu.

10. Kritikan saya, bagaimana kiranya pemain-pemain dan kapten yang dikritik lemah tersebut kekal dalam separuh masa berikutnya? Adakah mereka terus mengharapkan 'gol keajaiban'? Saya cukup yakin, natijahnya ialah 4-0 atau 7-0. Dan sebelum perlawanan tamat, sebahagian besar penyokong telah keluar dari stadium, bagi yang tidak hadir mereka awal-awal lagi telah menutup tv atau radio. Yang masih tinggal di stadium akan menjadi malu untuk mengibarkan bendera, jauh sekali untuk melompat-lompat dan menjerit menyatakan sokongan.

11. Dan yang paling dahsyat ialah, peristiwa malang tersebut tercatat dalam sejarah akibat kedegilan jurulatih, kapten, dan pemain-pemainnya.

12. Lepas ni jangan mimpi la jualan jersi dan produk-produk pasukan tersebut akan laris di pasaran jauh sekali nak di cetak rompak...

13. Wallahu a'lam.

Najib berbicara soal Pattani

Oleh: MOHD. SAIFUL MOHD. SAHAK


saiful.sahak@utusan.com.my


KUALA LUMPUR 30 Okt. – Penganalisis politik berpendapat Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan rakan sejawatannya dari Thailand, Abhisit Vejjajiva mengambil langkah yang tepat dan wajar dalam menyelesaikan konflik di selatan negara itu.

Menurut mereka, cadangan agar umat Islam di wilayah tersebut diberikan autonomi dalam perkara- perkara yang berkaitan boleh membantu ke arah usaha menghentikan konflik tersebut.

Profesor Sains Politik, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Dr. Ahmad Nizamuddin Sulaiman berkata, rundingan antara kerajaan Malaysia dan Thailand mengenai perkara itu menunjukkan kecenderungan dan harapan yang positif ke arah mengembalikan keamanan di wilayah tersebut.

“Konflik di selatan negara itu telah menjangkau empat tahun tanpa titik penyelesaian sehingga mengorbankan beribu nyawa di selatan Thailand.

“Kita menyokong usaha Malaysia mencadangkan kepada Thailand supaya menamatkan konflik di selatan negara itu bagi memastikan keamanan dan kesejahteraan umat Islam terbela dan mendapat keadilan,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia disini hari ini.

Menurutnya, Perdana Menteri Thailand sewajarnya menyambut baik idea Najib mengenai komitmen Malaysia terhadap keamanan di selatan negara itu.

“Secara peribadi, saya berpendapat sekiranya idea dan cadangan Najib itu direalisasikan oleh pemerintah negara Gajah Putih itu, ia membuktikan Thailand bersungguh-sungguh untuk menyelesaikan konflik yang masih berlanjutan itu,” katanya.

Perdana Menteri Thailand itu hari ini dilaporkan menyokong cadangan Najib supaya Bangkok memberi autonomi kepada wilayah selatannya.

Dalam satu wawancara akhbar yang disiarkan baru-baru ini, Najib berkata, Thailand hendaklah menawarkan autonomi ‘dalam bentuk tertentu’ kepada selatan Thai, di mana lebih 3,900 orang terbunuh sejak keganasan meletus pada Januari 2004.

Najib memberitahu akhbar berbahasa Inggeris di Thailand, The Nation bahawa ‘anda mungkin tidak mahu menyebutnya sebagai autonomi tetapi sekurang-kurangnya terdapat autonomi dalam bentuk tertentu’.

Menurut Ahmad Nizamudin, pembabitan Malaysia dalam menyelesaikan konflik di wilayah bergolak itu adalah rangsangan kepada kerajaan Thailand untuk membantu dan membangunkan ekonomi rakyat di selatan negara itu.

“Rakyat di sana berasakan mereka dipinggir oleh pemerintah, hasil idea dan sokongan Malaysia kita mengharapkan penduduk di situ berasakan mereka sebenarnya tidak dipinggirkan dan masih diberi perhatian oleh kerajaan Thailand,” katanya.

Sementara itu Profesor Politik dan Pentadbiran Awam Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Dr. Ahmad Atory Hussain berkata, idea Perdana Menteri berhubung penyelesaian konflik di wilayah itu tidak boleh dipandang ringan.

Katanya, pergolakan di selatan negara itu akan menjadi parah apabila ketegangan masih berlaku antara kerajaan Thailand dan pemimpin di wilayah yang bergolak tersebut.

“Pergolakan di selatan Thailand perlu dihentikan segera dan perkara itu perlu dibawa ke meja rundingan,” katanya.

[Komen Saya]

1. Utamakanlah rakyat sendiri dahulu. Umat Islam di Malaysia ni sendiri masih belum bebas melaksanakan syariat Allah.

2. Tulisan di atas menunjukkan bahawa DS Najib sendiri telah lama mengamalkan konsep mencengkam rakyat dengan memberikan 'gula-gula' politik kepada mereka. Hakikatnya, rakyat tetap tidak bebas. Kini fahaman itu turut diajar kepada negara jiran.

3. Tajuk yang sesuai untuk tulisan di atas ialah; "Teknik Moden Menjajah Umat Islam Masa Kini".

4. Dari sudut yang lain, macam la PM Thailand bodoh sangat sampai terpaksa ikut cakap DS Najib.

Sunday, November 1, 2009

Ayahanda Sidi Ahmad dalam kenangan

Dua hari lalu iaitu pada 31 Oktober 2009, saya menerima sms yang dihantar oleh Akhi Danial, Akhi Ridzuan (MPMUM), dan dari adik Syahid. Sms tersebut berbunyi begini: "Salam, AL-FATIHAH kpd ust sidi ahmad mantan timb pngrh nilam puri.yg bru mnggal dunia jam 12.52 td..". Sejurus membaca sms tersebut, saya termenung beberapa ketika, mengucap panjang. Tiba-tiba sahaja imbauan saya kembali ke zaman sewaktu sedang menuntut di APIUM Nilam Puri suatu ketika dahulu.

Semasa saya sebagai Presiden MPP Nilam Puri, Ust Sidi masih memegang jawatan sebagai Timb. Pengarah APIUM (masa itu digunakan istilah Pengelola) dan Pengetua Kolej Kediaman Nilam Puri. Beliau merupakan seorang yang sangat peramah dan sentiasa terbuka untuk bertemu dengan pelajar-pelajar. Saya cukup yakin, kawan-kawan yang pernah belajar di NP pasti ada pengalaman sendiri bersama dengan USt Sidi. Beliau merupakan orang yang berusaha untuk memastikan pelajar-peljar di NP menguasai dan membudayakan bahasa Arab. Kempen beliau bermula dari MHS(Minggu Haluan Siswa) lagi sehingga kepada program-program seperti Mukhayyam Lughawiy bagi setiap majmuah, bulan bahasa, dan macam-macam lagi.

Bagi saya dan kawan-kawan dalam MPP dan JTK, kami juga mempunyai pengalaman tersebdiri bersama beliau. Ketika di NP dahulu, sebarang Kertas Kerja Program/Aktiviti MPP dan JTK atau majmuah hendaklah mendapat tanda tangan (kelulusan) beliau terlebih dahulu. Boleh dikatakan setiap minggu pasti ada sahaja aktiviti yang dianjurkan. Bermakna saya dan Ridzuan (dahulu Pengerusi JTK) bertemu dengan beliau sekurang-kurangnya seminggu sekali. Tanda tangan beliau cukup 'mahal'. Kadang-kadang berjumpa dengan beliau hampir sejam setengah, belum tentu lagi dapat. Seksa betul. Beliau suka berhujah dengan kami. Sekiranya hujah kami tidak dapat mematahkan hujah beliau atau sekurang-kurangnya beliau bersetuju, jawapannya kali itu kami pulang dengan hampa... Tetapi pengalaman begini sangat bermakna buat kami sehingga hari ini.

Masa di NP dulu, ada beberapa pensyarah yang sering menjadi rujukan kami. Umpamanya Ust Shukri dalam bidang siasah, Ust Syed dalam bidang ilmu-ilmu dakwah, Ust Wan Ibrahim dalam bidang kerohanian, dan lain-lain lagi. Termasuk juga Ust Sidi, beliau sangat pakar dalam berhujah dan putar belit hujah kami. Walaupun ramai yang tidak suka dengan sikapnya yang begitu, namun rata-rata pelajar NP masih hormat padanya. Sesiapa yang mendengar ucapan beliau pasti tak kering gusi.

Suatu ketika, saya pulang ke rumah bertanyakan kepada ibu (memandangkan beliau generasi pertama Asasi Pengajian Islam) adakah beliau sempat dengan Ust Sidi. Ibu saya menyatakan ya, tapi dulu tubuh Ust Sidi agak berisi. Sekarang dah kurus, tapi muka masih tidak berubah. Ini bermaksud, Ust Sidi sudah sangat lama berkhidmat di UM sehingga saya generasi kedua dalam keluarga selepas ibu dan ayah masih lagi sempat menuntut dengan beliau.

Teringat juga saya ketika MPP dan JTK mengadakan rehlah di pantai Melawi, Bachok. Program tersebut adalah rasmi dan mendapat kebenaran dari beliau. Meskipun pada mulanya beliau menyatakan tidak dapat hadir kerana mempunyai jadual yang padat, namun akhirnya beliau sanggup meluangkan masa bersama kami. Seronok sungguh waktu itu.

Walaupun beliau banyak tidak sependapat dengan kami MPP dan JTK, namun beliau tidak menjadikan itu sebagai titik perbalahan dengan kami. Saya kira, antara pelajar-pelajar NP, beliau banyak menghabiskan masa bersama MPP dan JTK. Itulah yang menjadikan hubungan kami rapat.

Kalau nak diikutkan, banyak lagi kenangan-kenangan bersama beliau tika di NP dahulu. Kata-kata hikmat beliau juga sangat banyak. Namun semua itu telah berlalu, meskipun saya bercita-cita ingin mengunjung NP dan Kelantan pada masa akan datang. Kenangan tersebut tidak lagi dapat dikongsikan bersama beliau..

Terakhir, inilah lagu yang sentiasa didendangkan oleh beliau ketika kami di NP dahulu.

"Sir ilal amam, sir ilal amam,
bi nasyatin wa dawam,
nahnu thullabul ma'aliy,
nahnu thullabul muram,
bi himmatin tudzaldzilul jibal,
bi himmatin tudzaldzilul jibal".

Al-Fatihah buatmu Ayahanda Sidi...