Thursday, January 13, 2011

Khutbah Jumat: Masihkah kita lalai?

Khutbah Jumaat

Masjid An-Najah, Padang Serai

14 Januari 2011

السلام عليكم ورحمة الله تعالى وبركاته،

الحمد لله رب العالمين نحمده ونستعينه ونعوذ بالله من شرور انفسنا ومن سيّئات أعمالنا، من يهده الله فلا مضلّله ومن يضل فلا هادى له، أشهد أن لا اله الا الله وأشهد أنّ محمدا عبده ورسوله، اللهم صلّى وسلّم وبارك على محمد وعلى آله واصحابه ومن تبعهم بإحسان إلى يوم الدين.

أمّا بعد،

فيا عباد الله اتّقوا الله، أوصيكم وإيّاي بتقوى الله، فقد فاز المتقون.

Firman Allah SWT di dalam al-Quran:

ƒŸžMaksudnya:

Hai orang-orang yang beriman, bertaqwalah kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa kepada-Nya, dan janganlah sekali-kali kamu mati melainkan dalam keadaan beragama Islam.

(Surah Ali ‘Imran: 102)

Sidang Jumaat yang dikasihi sekalian,

Saya berpesan kepada diri saya dan tuan-tuan sekalian, marilah kita bertaqwa kepada Allah SWT. Marilah kita bersama-sama melaksanakan apa yang telah diperintahkan oleh Allah SWT kepada kita, dan marilah bersama-sama kita meninggalkan apa yang telah dilarang oleh Allah SWT untuk kita melakukannya. Bersama-sama kita mengajak dan melakukan perkara yang ma’ruf, serta bersama-sama kita mencegah dan meninggalkan perkara yang munkar lagi maksiat.

Ini satu-satunya perkara yang harus kita genggam erat jika kita mahukan kepada kemenangan dari Allah SWT. Firman Allah SWT:

Maksudnya:

Sesungguhnya orang-orang yang bertaqwa mendapat kemenangan.

(Surah al-Naba’: 31)

Tuan-tuan sekalian, selama ini tidak pernah terpadam di dalam hati dan sanubari kita api rindu yang membara untuk mendapatkan syurga Allah SWT di akhirat sana. Syurga yang di dalamnya dipenuhi nikmat serta sarat dengan kebahagiaan. Syurga yang penghuninya pasti sekali-kali tidak akan dirundung dukacita dan malang. Ya, tuan-tuan. Syurga ini akan Allah SWT kurniakan kepada kita andainya kita bertaqwa kepada Allah SWT. Firman Allah SWT:

Maksudnya:

Sesungguhnya orang-orang yang bertaqwa itu berada dalam taman-taman (syurga) dan mata air-mata air.

(Surah al-ZariÉt: 15)

Tuan-tuan sidang Jumaat yang dikasihi sekalian,

Suatu ketika dahulu kita mendengar umat Islam pernah membangun dan mencapai kegemilangannya. Bermula dari usaha yang dilakukan oleh Nabi Muhammad s.a.w secara bersendirian. Dakwah ini kemudiannya berjalan terus-menerus, berkembang sedikit demi sedikit tanpa mengenal erti menguncup. Dari hanya kelompok kecil dan minoriti di Kota Mekah berubah menjadi penguasa yang menubuhkan negara Islam di Negara Madinah.

Umat Islam yang awalnya ditindas hak-hak kebebasan, dirampas harta-harta mereka bahkan dipulau oleh masyarakat, kini mereka mula menguasai sektor ekonomi malah muncul dari kalangan mereka tokoh-tokoh korporat seperti Uthman bin Affan dan Abdul Rahman bin Auf, yang sekali gus melonjak ekonomi Madinah dari hanya pekan-pekan kecil yang dikuasai Yahudi menjadi pusat-pusat dagangan di tangan mereka. Ekonomi yang bukan sahaja mampu membiayai peperangan Badar, memulihkan kelukaan Uhud, seterusnya untuk perbelanjaan Khandak, Khaibar, pembukaan Kota Mekah dan Hunain malah ekonomi yang mampu menghantar ketumbukan-ketumbukan pejuang Islam menentang empayar Rom di Mu’tah dan Tabuk.

Tidak cukup sekadar itu, Islam terus berkembang pada zaman Khalifah Abu Bakar al-Siddiq dengan penguasaan Iraq dan Syiria. Malah pada zaman Khalifah Umar, umat dunia menyaksikan kepesatan pelebaran wilayah Islam dengan menawan sebahagian besar empayar Rom, membuka Baitul Maqdis, dan meruntuhkan empayar Kisra, Parsi.

Zaman khilafah selepasnya juga menyaksikan umat Islam membangun dan membina tamadun mereka dengan gemilang. Tamadun dan kegemilangan Islam tidak hanya dirasai oleh kaum-kaum Arab semata-mata, ia turut dikongsi oleh bangsa-bangsa lain seperti Afrika, Kurdish, Sepanyol, dan Turki. Kita pernah mendengar kisah-kisah penaklukan Jerusalem di Palestin oleh Sultan Salahuddin. Beliau adalah dari puak Kurdi. Kita pernah mendengar kisah-kisah penaklukan Kota Konstantinopel yang menjadi ibu kota Byzantine, Rom oleh Sultan Muhammad al-Fateh. Beliau adalah dari bangsa Turki.

Islam juga turut tersebar ke merata dunia seperti Cina dan India melalui jalan perdagangan dan pernah tiba di Tanah Melayu suatu ketika dahulu. Dengan tibanya Islam di Tanah Melayu, agama nenek moyang kita mula berubah dari menganut agama Hindu-Buddha tinggalan Majapahit kepada agama Tauhid. Dari bertelanjang bulat kepada menutup aurat. Dan dengan Islam juga lah, umat Melayu yang asalnya hidup nomad dan merempat berubah menjadi berdaulat.

Hadirin Jumaat sekalian,

Apa yang dinyatakan sebentar tadi hanyalah himpunan pengetahuan kita melalui kisah-kisah generasi terdahulu yang termaktub dalam buku-buku sejarah. Hanya disebabkan kita pada hari ini mendapat Islam dan iman menjadi bukti kepada kebenaran kisah-kisah tadi.

Hakikat dan realiti yang kita lalui adalah berbeza. Kita adalah suatu generasi yang semenjak dilahirkan tidak pernah melihat negara Islam bahkan jauh sekali untuk merasai nikmat berada di bawah naungan khilafah, perundangan, dan ketamadunan Islam. Apa yang kita kecapi adalah hasil tamadun Barat yang berusaha melunturkan jiwa iman dan taqwa dalam dada-dada kita.

Pada hari ini kita dapat melihat umat Islam namun wanita-wanita mereka mendedahkan aurat. Apa yang kita lihat hari ini adalah umat Islam yang anak-anak mudanya leka dengan hiburan dan melalaikan. Mencuri, merompak, membunuh, dan merogol adalah budaya yang hidup subur dalam masyarakat Islam hari ini. Musuh-musuh Islam menyatakan mereka sendiri tidak perlu lagi untuk merompak harta umat Islam, membunuh jiwa-jiwa mereka, malah mencabul dan merogol anak-anak gadis dan wanita Muslim lantaran umat Islam sendiri telah melaksanakannya dalam kehidupan seharian mereka.

Semua ini berlaku disebabkan kaum Muslimin meninggalkan ajaran-ajaran Islam. Nama Muhammad Rasulullah hanya meniti di bibir-bibir sahaja yang menyatakan kita cinta dan rindu padanya, namun akhlak dan perilaku Baginda s.a.w tidak pernah terbayang di tubir mata kita untuk ditiru dan dijadikan idola dalam kehidupan seharian. Umat Islam telah lama meninggalkan ibadah solat, puasa, dan zakat. Jauh sekali untuk mempersiapkan diri dan keluarga pergi berjihad. Menunaikan haji tidak lain dan tidak bukan hanyalah berjalan-jalan dan melancong semata-mata. Inti patinya tidak dihayati dan ibadah tersebut tidak mendatangkan sebarang kesan dalam kehidupan. Masih seperti sebelumnya. Masih lagi dedah aurat, masih mencuri, masih rasuah, masih riba, masih berjudi, masih merompak, masih mencabul, masih berzina, masih merogol, bahkan masih membunuh. Meskipun berkali-kali umat Islam pergi haji dan semakin ramai yang menunaikannya sehingga Arab Saudi terpaksa meluaskan lagi Masjidil Haram, namun sekembalinya mereka, undang-undang Islam masih belum terlaksana, bahkan menentang pula orang-orang yang ingin menegakkan Islam sebagai agama dalam bernegara.

Sidang Jumaat sekalian,

Dari sini timbulnya persoalan-persoalan di benak kita. Selamanyakah umat Islam akan duduk dalam keadaan seperti ini? Apakah umat Islam tidak mungkin lagi akan bangkit? Apakah bangsa Cina dan India di Malaysia akan terus kufur lantaran lemahnya Islam di tangan Melayu? Apakah kebangkitan Islam hanyalah retorik dan omongan kosong semata-mata? Benarkah Yahudi, Amerika Syarikat dan sekutunya akan terus menghina kita dengan menjajah pemikiran kita? Kenapakah dengan kesyumulan Islam, kita tidak mampu menjajah balas mereka? Bagaimanakah nasib generasi-generasi selepas kita, adakah mereka akan semakin jauh dengan Islam atau mereka adalah pelopor-pelopor kebangkitan Islam hasil didikan tangan kita?

Persoalan-persoalan ini perlulah kita ambil dan jadikannya sebagai muhasabah. Kita koreksi diri dengan bertaubat dari semasa ke semasa atas kelemahan dan ketidakmampuan yang ada pada diri kita. Taubat yang bukan sekadar rayuan dan tangisan semata-mata. Namun, taubat yang menghasilkan tindakan yang proaktif, membuahkan amalan positif, sekali gus menjadikan diri kita sebagai Muslim yang menyumbang kepada kebangkitan dunia Islam kini. Perlunya kita kembali kepada al-Quran dan al-Sunah. Mendampingkan diri dengan ulama-ulama dan ilmuan Islam yang amanah, soleh, dan jujur.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Janganlah kita menunggu dan menanti masa yang terluang, ini kerana kita sentiasa sibuk. Namun, marilah sama-sama kita meluangkan masa untuk al-Quran dan al-Sunnah. Membaca dan mentadabbur ayat-ayat Allah SWT. Mengamati dan menghayati hadis-hadis Rasulullah s.a.w. Berazam dan berdoa kepada Allah supaya diri kita dipilih-Nya untuk menjadi pejuang-pejuang agama Allah sekali gus mati sebagai salah seorang syuhada’. Usia muda atau tua, lemah atau kuat, cerdik atau tidak, tidak lagi menjadi persoalan. Ini kerana hidayah dan taufiq Allah merentas semua perkara tersebut.

Jika kita mengamati dan mendalami pembacaan kita terhadap ayat-ayat Allah, maka kita akan mendapati di sana banyak kisah-kisah yang memberikan motivasi kepada kita. Kisah-kisah yang menjadi dalil dan bukti bahawa Allah bersama-sama dengan orang yang memperjuangkan Islam dan memberikan anugerah kemenangan serta kemuliaan kepada mereka. Sebaliknya Allah SWT telah menghina dan mengalahkan musuh-musuh-Nya.

Di antara khabar gembira daripada al-Quran mengenai petanda kemenangan Islam ialah apa yang diceritakan oleh al-Quran kepada kita mengenai kisah para Rasul bersama orang-orang beriman, kaum-kaum mereka, dan penentang-penentang mereka yang musyrik, juga bagaimana kesudahan baik untuk para Rasul dan orang-orang beriman serta kehancuran dan kemusnahan yang dialami oleh mereka yang menentang Allah dan mendustai para Rasul.

Ini dapat kita lihat menerusi kisah Nabi Musa a.s dengan kaumnya yang berhadapan dengan Fir’aun dan para talibarutnya. Bagaimana Allah menukarkan Bani Israil di tangan Musa a.s daripada satu keadaan kepada satu keadaan yang lain. Allah menenggelamkan Fir’aun bersama tenteranya dan Allah membuktikan kehendak-Nya dengan memberikan kekuasaan kepada golongan yang lemah serta Allah menghapuskan kekuasaan golongan yang melampau dan angkuh.

Firman Allah SWT:

šŸŸƒšššš Maksudnya:

Sesungguhnya Fir’aun telah berlaku zalim di bumi (Mesir) dengan melampaui batas, serta dia menjadikan penduduknya berpuak-puak. Dia menindas sepuak di antaranya dengan membunuh anak-anak lelaki mereka dan membiarkan hidup anak-anak perempuan mereka. Sesungguhnya dia adalah dari golongan yang membuat kerosakan. Dan Kami hendak berihsan dengan memberi pertolongan kepada kaum yang tertindas di negeri itu, dan hendak menjadikannya pemimpin-pemimpin serta hendak menjadikan mereka orang-orang yang mewarisi (apa yang dimiliki oleh Fir’aun dan kaumnya). Dan Kami hendak memberi mereka kedudukan yang kukuh di negeri itu, serta hendak memperlihatkan kepada Fir’aun dan Haman bersama-sama tentera mereka apa yang mereka bimbangkan dari golongan yang tertindas itu.”

(Surah al-Qasas: 4-6)

Kehendak ketuhanan telah mengherdik Fir’aun, talibarut, dan tenteranya. Sedangkan sebelum ini mereka menyembelih anak-anak lelaki Bani Israil agar tidak lahir dari kalangan mereka orang yang akan menghancurkan kekuasaan mereka. Tiba-tiba kanak-kanak yang dijanjikan itu telah masuk ke dalam istana Fir’aun dengan kehendak Allah, lalu dia membesar dan dipelihara di bawah pengawasan Fir’aun sendiri sedangkan dia tidak tahu apa yang berlaku.

Ini didasari dengan Firman Allah:

šžš šMaksudnya:

“Setelah itu dia dipungut oleh orang-orang Fir’aun, kesudahannya dia akan menjadi musuh dan menyebabkan mereka menjadi dukacita, sesungguhnya Fir’aun dan Haman serta orang-orangnya adalah golongan yang bersalah.”

(Surah al-Qasas: 8)

Lalu berlakulah apa yang berlaku pada Nabi Musa a.s dan Fir’aun sebagaimana yang diceritakan oleh al-Quran kepada kita secara terperinci. Allah SWT telah mengutuskan Musa a.s sebagai Rasul kepada Fir’aun dan kaumnya, bersama baginda adalah saudaranya Harun a.s. Lalu berlakulah pertemuan dan pertemuan yang berakhir dengan kekalahan Fir’aun di tangan para ahli sihirnya sendiri yang akhirnya tunduk meluru sujud sambil mereka berkata:

Maksudnya:

“Kami beriman kepada Tuhan sekalian alam. (Iaitu) Tuhan bagi Musa dan Harun.”

(Surah al-A’raf: 121-122)

Lalu Fir’aun pun menggila, memberikan ancaman, amaran dan merancang menyusun tindakan untuk menghancurkan Musa a.s. Lalu Allah mewahyukan kepada Musa a.s agar lari pada tengah malam bersama pengikutnya kerana mereka pasti akan diburu oleh Fir’aun. Firman Allah:

ŸŸMaksudnya:

“Maka Fir’aun mengutuskan (orang-orangnya) ke bandar-bandar untuk mengumpulkan (tenteranya). (Sambil berkata): Sesungguhnya orang-orang (Musa) itu adalah golongan yang kecil. Dan sesungguhnya mereka melakukan perkara yang menyebabkan kita marah. Dan sesungguhnya kita sekalian, sentiasa beringat dan berjaga-jaga. Dengan sebab itu maka Kami jadikan mereka (Fir’aun dan tenteranya) keluar meninggalkan kebun-kebun dan mata air. Dan juga dari khazanah-khazanah kekayaan dan tempat tinggal yang mulia. Demikianlah keadaannya, dan kami jadikan semua peninggalan Fir’aun dan tenteranya milik Bani Israil sebagai pusaka.”

(Surah al-Syuara’: 53-59)

Sidang Jumaat sekalian,

Akhirnya, Fir’aun ditenggelamkan oleh Allah SWT dan memberikan kemenangan kepada Nabi Musa dan para pengikutnya. Firman Allah:

ŸƒŽŠŒŸŠžŸƒŽŠŠšƒŽƒšMaksudnya:

“Dan kami memungkinkan Bani Israil melintasi laut, lalu mereka diikuti oleh Fir'aun dan bala tentaranya, Karena hendak menganiaya dan menindas (mereka); hingga bila Fir'aun itu Telah hampir tenggelam berkatalah dia: "Saya percaya bahwa tidak ada Tuhan melainkan Tuhan yang dipercayai oleh Bani Israil, dan saya termasuk orang-orang yang berserah diri (kepada Allah)". Apakah sekarang (baru kamu percaya), padahal Sesungguhnya kamu Telah durhaka sejak dahulu, dan kamu termasuk orang-orang yang berbuat kerusakan. Maka pada hari Ini kami selamatkan badanmu supaya kamu dapat menjadi pelajaran bagi orang-orang yang datang sesudahmu dan Sesungguhnya kebanyakan dari manusia lengah dari tanda-tanda kekuasaan kami.”

(Surah Yunus: 90-92)

بارك الله لي و اكم بالقآن العظيم، ونفعني وإيّاكم بما فيه من الآيات و الذكر الحكيم، و تقبّل الله منّي ومنكم تلاوته إنه هو السميع العليم. أقول قول هذا و أستغفر الله العظيم لي ولكم ولسائر المسلمين والمسلمات، فاستغفروه فيا فوز المستغفرين، ويا نجات التاءبين.

No comments: