Friday, March 6, 2009

PERAK: Rakyat dah berubah, Raja bila lagi?


Menurut Prof. Aziz Bari dalam ulasannya mengenai krisis ‘kudeta’ di Perak, Malaysia kini sedang mengalami pergolakan politik yang paling teruk dalam sejarahnya. Apa yang berlaku sekarang mencabar ‘Federal Constitution’ atau Perlembagaan Persekutuan negara kita. Selaku rakyat dan juga mahasiswa, kita tidak terlepas dari mengikuti perkembangan semasa yang sangat genting ini.

Isu Perak ini dilihat cuba untuk melaga-lagakan antara rakyat dan institusi Raja atau Sultan itu sendiri. Namun, dalang sebenar cuba untuk menyembunyikan diri dan berlagak sebagai ‘hero’ untuk membela Raja. Kononnya rakyat kini sudah berani menderhaka kepada raja. Merekalah yang paling taat. Semua sandiwara ini hakikatnya tidak mampu untuk memperdaya masyarakat yang saya anggap mereka ini semakin cerdik dan bijak dalam menilai sesuatu perkara yang berlaku.

Dari sudut yang lain, ia merupakan suatu universiti politik kepada rakyat terutamanya generasi muda masa kini dalam memahami senario masyarakat dan perjalanan negara. Kalau dulu, orang mudah terpengaruh dengan sentimen yan dimainkan oleh media prima, tapi sekarang tidak lagi. Mereka lebih kritis dalam menilai sebelum membuat sebarang keputusan. Bahkan kadang-kadang media dilihat jelas dipergunakan oleh pihak-pihak tertentu demi kepentingan mereka. Perkara sebegini semakin menghakis nilai-nilai kebolehpercayaan yang ada dalam maklumat yang disampaikan.

Dalam universiti politik ini, saya suka untuk membahagikannya kepada beberapa fasa atau kategori. Mungkin juga boleh dikatakan sebagai subjek dalam satu-satu semester.

Pertamanya ialah fasa atau subjek kesedaran untuk tidak mudah terpengaruh dengan hanya mendengar dan mendapat maklumat dari media-media prima kerajaan. Indikator yang dapat kita ambil ialah dengan berkembang biaknya media-media alternatif seperti laman-laman web, blog, yahoogroup, facebook, dan sebagainya. Ini merupakan respon akibat ketidakbenaran penyampaian maklumat dari media kerajaan. Dalam bahasa yang lain, semakin tidak benar penyampaian maklumat dari media utama, semakin banyak media-media alternatif akan muncul.

Rentetan dari itu, ia banyak mengubah persepsi masyarakat terutamanya dalam memahami landskap politik negara menjadikan orientasi kognitif setiap rakyat semakin tinggi. Rakyat semakin matang, mereka memahami negara bukan melalui kerangka atau kepompong yang dibina oleh parti-parti tertentu sahaja.

Keduanya ialah fasa menyedari tanggungjawab, peranan, dan hak-hak yang ada pada setiap rakyat. Walaupun cuma individu, tapi undi mereka berkuasa untuk mengubah sesebuah kerajaan. Ini dibuktikan secara praktikal bilamana rakyat terutamanya pengundi muda di saluran 3 dan 4 telah memberikan undi yang luar biasa kepada Pakatan Rakyat. Bagi saya melalui universiti politik ini, rakyat telah melepasi tahap ini dengan keputusan yang membanggakan.

Seterusnya ialah fasa yang ketiga, iaitu fasa memahami bagaimana Malaysia ini ditadbir. Pada asasnya, politik Malaysia sangat ‘complicated’ untuk difahami kerana ia terbahagi kepada beberapa institusi iaitu kehakiman, eksekutif, dan legistatif. Selain itu, ia juga mencakupi sistem Raja Berperlembagaan dan konsep Demokrasi Berparlimen. Menyentuh juga berkaitan dengan Perlembagaan Persekutuan. Hubungkaitnya dengan ekonomi dan sosial. Itu belum lagi berkaitan dengan sejarah Malaysia yang juga pening untuk difahami dalam tempoh yang singkat. Namun apa yang ajaib ialah, isu-isu yang berlaku terutamanya di Perak ia sangat mudah difahami dan secara santai telah menerang dan menghubungkaitkan seluruh aspek-aspek yang berat tadi. Sangat simple. Dan hanya orang yang bodoh atau tidak mengikuti arus universiti politik ini sahaja yang tidak akan memahaminya dan ketinggalan.

Jauh dari itu, ia juga mengajari kita tentang tindakan-tindakan dan aksi di luar dari undang-undang khususnya Perlembagaan Persekutuan. Juga sebagai perkara yang simple dan mudah.

Apa yang lebih menarik mengenai universiti politik ini ialah ia sentiasa diselang-selikan dengan pilihanraya kecil. Bermula dari Permatang Pauh, Kuala Terengganu, sehinggalah 3 pilihanraya yang diadakan serentak 7 April ini. Saya menyifatkan ia sebagai kayu ukur terhadap pencapaian rakyat dan generasi muda dalam universiti politik ini. Selain itu, ia bertindak sebagai ‘referandum’ rakyat atau kajian lapangan mudah untuk membaca realiti kesedaran masyarakat Malaysia dalam setiap isu yang berlaku. Kajian ini ‘solid’ kerana mencakupi semenanjung dan juga kepulauan Borneo.

Fasa-fasa seterusnya pasti akan menjelang dan saya meyakini bahawa universiti politik ini akan menghasilkan kepimpinan-kepimpinan muda yang bakal melapisi kepimpinan yang ada sekarang. Saya juga yakin rakyat seluruhnya akan mendapat nilai graduan dengan berjaya membina kerajaan baru yang lebih dinamik dan membela kebajikan mereka.

Namun begitu, ada beberapa perkara yang agak mengecewakan saya dalam universiti politik ini. Walaupun ia ditawarkan secara percuma dan terbuka, kita masih melihat hanya rakyat sahaja yang banyak memberi partisipasi dan komitmen yang penuh. Institusi raja dan sultan masih belum dilihat dapat mengambil pengajaran dan iktibar dari apa yang berlaku. Bahkan kata Prof. Aziz Bari, institusi Raja seolah-olah menawarkan diri untuk menjadi mangsa dan dipergunakan oleh pihak-pihak tertentu.

Suatu kebimbangan saya ialah, rakyat telah bertungkus lumus memahami senario yang ada tetapi bila ingin berpadu dengan institusi raja, mereka menjadi hampa. Satu saja ungkapan saya, “Rakyat semakin cerdik dan bijak. Jangan sampai rakyat lebih pandai dari Raja.” Saya melihat kesepaduan antara Raja dan Rakyat akan memelihara dua kedaulatan; iaitu kedaulatan Raja dan kedaulatan Rakyat.


Tuesday, February 24, 2009

Ladies Nite: Salah Tafsiran



Pada 21 Februari 2009 yang lalu, JKP Akademik dan Intelektual Kolej Kediaman Kinabalu (KK8) telah mengadakan program yang diberi nama ‘Ladies Day’. Banyak aktiviti-aktiviti berkaitan mahasiswi telah diadakan pada hari tersebut antaranya ialah motivasi kerjaya wanita, bengkel persolekan dan pemakaian tudung, seni mempertahankan diri serta senaman aerobik pada sesi pagi. Pada sesi malamnya pula menampilkan persembahan fesyen wanita.

Biarpun demikian, terdapat beberapa perkara yang sangat kita kesali dan kecewa ialah apabila kita difahamkan persembahan fesyen wanita atau dikenali sebagai ‘Ladies Nite’ pada malam tersebut telah menampilkan persembahan fesyen yang keterlaluan sehingga hampir separuh bogel. Mahasiswi yang menyertainya telah mengenakan pakaian-pakaian yang tidak sepatutnya untuk diperagakan.

Sudah lama kampus UM tidak ada program-program sebegini. Mungkin kerana kita sibuk untuk menjaga nama baik universiti dan berusaha meningkatkan ‘ranking’nya. Tapi bila ‘rating’ dah naik, kita mula alpa. Mula lah kita anjur perkara-perkara yang mengarut. Menjadikan hiburan sebagai ‘substance’ bukan lagi pendekatan. Hawa nafsu diletakkan dihadapan untuk dipuaskan.

Secara umumnya, kita tidak berhajat untuk mengkritik program tersebut secara keseluruhan. Kita menghormatinya sebagai suatu usaha yang dilakukan oleh JTK Kolej untuk memberikan pendedahan kepada mahasiswi berkaitan dengan dunia mereka sama ada yang sedang dilalui atau bakal dilalui. Bahkan PMAPIUM dengan kerjasama PMIUM dan PERMADAH juga telah menganjurkan Minggu Mahasiswi (MISIS) pada 16 hingga 22 Februari yang lalu.

Namun begitu, ada beberapa persoalan yang kita ingin lontarkan disini. Mungkin dapat sama-sama kita fikirkan. Pertamanya ialah apakah motif utama dianjurkan pertandingan fesyen tersebut? Apakah piawaian yang ditetapkan oleh urusetia kepada peserta-peserta yang menyertainya? Apakah manfaat dan kebaikan yang diperolehi oleh peserta khususnya dan warga kolej amnya? Bagaimana pula dengan perspektif dan pandangan masyarakat disekeliling? Apakah contoh dan budaya yang boleh kita ambil sebagai pengajaran? Dan mungkin banyak lagi peroalan yang timbul.

Persoalan tersebut ditimbulkan supaya kita dapat melihat secara mendalam terhadap konsep dan tujuan sesuatu program diadakan. Sebagai masyarakat mahasiswa, seharusnya ilmu dijadikan asas dalam sebarang aktiviti yang ingin dijalankan. Ini kerana kita merupakan aset harapan masyarakat di luar sana untuk memimpin dan mendidik mereka. Kalau sekiranya kita dikampus melakukan hal yang sebaliknya, maka kita telah membelakangi mereka dan menghampakan harapan masyarakat yang menggunung tinggi.

Tidak dinafikan bahawa sebilangan besar penuntut di IPT dalam negara kita ialah golongan wanita. Sewajarnya mereka diberikan penumpuan yang lebih terutamanya dari aspek aktiviti-aktiviti yang bersifat pembinaan jati diri. Ia sebagai persediaan pada mereka apabila berhadapan dengan masyarakat. Contohnya ialah penerapan nilai-nilai kepimpinan wanita, penguasaan terhadap isu semasa terutamanya berkaitan dengan wanita, pendedahan-pendedahan berkaitan dengan penindasan terhadap wanita, kesan-kesan eksploitasi wanita, dan sebagainya. Semuanya ini memberikan suatu nilai upgrade pada diri seseorang wanita tersebut.

Mungkin klimaks yang kita boleh laksanakan sebagai menggantikan pertunjukan fesyen itu ialah dengan membuat majlis penyampaian anugerah. Peiktirafan dan penghargaan diberikan kepada tokoh-tokoh wanita yang bergiat aktif membangunkan masyarakat sosial dan dalam masa yang sama mempunyai tahap keilmuan yang tinggi. Bukan kepada yang paling seksi.

Ini kerana, martabat dan maruah wanita itu tidak terletak pada zahir batang tubuhnya yang perlu dinilai oleh setiap manusia terutama lelaki. Namun ia terletak pada sejauh mana wanita tersebut membudayakan adab-adab yang baik dan memelihara diri mereka dari sebarang unsur-unsur yang merosakkan.

Buat akhirnya, apa yang dilontarkan di atas merupakan teguran dan nasihat yang sama-sama perlu kita nilai kembali. Kita tidak bertujuan untuk memusuhi sesiapa kerana ia bukan tujuan Islam, namun perkara yang silap hendaklah diperbetuli dan perkara yang mungkar kita akan tentang habis-habisan.

Mendekati pemimpin yang digeruni musuh


Khaled yang nama penuhnya Khaled Abdel Rahim Ismail Abdel Qader dilahirkan pada 1956 di Kampung Salwad dalam daerah Ramallah di Palestin. Beliau mendapat pendidikan awal di Ramallah pada 1967 dan selepas itu berhijrah bersama seluruh ahli keluarganya ke Kuwait, menyambung pelajaran peringkat menengah di Kuwait.

Semasa belajar di peringkat pengajian tinggi di Universiti of Kuwait, Khaled belajar dalam bidang Fizik hingga bergelar graduan. Ketika belajar di situ, Khaled menjadi perintis kepada penubuhan rangkaian belia yang menjadi sayap kanan Hamas. Ini kerana kerajaan Kuwait pada masa itu amat menyokong penuh rakyat Palestin mengalahkan rakyat mereka sendiri hingga ke hari ini.

Dalam kesempatan mendapat sokongan padu kerajaan Kuwait, Khaled menyediakan kader-kader yang bersedia untuk dikerahkan ke Palestin menghadapi kekejaman rejim Yahudi dengan pembiayaan yang ditanggung oleh pihak berkuasa. Akhirnya kecenderungannya berpolitik telah mendorongnya menubuhkan Rangkaian Politik Palestin di universiti berkenaan.

Beliau juga bertanggungjawab mengasaskan Briged Islam yang dikenali dengan ‘Haq’ yang mengatasi pengaruh mahasiswa-mahasiswa pro-Fatah di universiti yang sama. Setelah menamatkan pengajian, Khaled segera menukar nama briged yang diasaskannya itu kepada Rabitah Islam Pelajar-pelajar Palestin (Ikatan Islam).

Kerjaya sebagai Guru Fizik

Setelah berjaya bergelar graduan, Khaled memulakan kerjaya sebagai seorang guru fizik selama masih berada di Kuwait, seterusnya mendirikan rumahtangga pada 1980 dan dikurniakan seramai tujuh orang anak, tiga perempuan dan empat lelaki. Walaupun sibuk dengan tugas mengajar di samping menitikberatkan urusan keluarga, Khaled tetap memberi ruang dan masa bagi kemajuan isu Palestin.

Beliau terpaksa meletakkan jawatan sebagai guru kerana mahu menumpukan seluruh masa dan tenaganya untuk rakyat Palestin. Beliau terlibat dalam penubuhan Hamas pada 1987 bersama Syeikh Ahmed Yasin, Dr Abdel Aziz Rantisi dan rakan-rakan yang lain, yang merupakan cabang daripada Gerakan Ikhwan Muslimun yang berpusat di Mesir.

Antara jawatan penting Hamas yang disandangnya hingga kini ialah Ketua Jabatan Politik Hamas di Jordan bermula pada 1987 dan di Damsyik, Syria hingga kini, beliau dianggap sebagai perancang utama Hamas selepas Syeikh Ahmed Yasin dan Dr Abdel Aziz Rantisa yang mati syahid kerana dibom oleh rejim Yahudi atas bantuan dan maklumat yang diberikan oleh tali barut Israel di kalangan pengikut Fatah.

Percubaan untuk membunuh Khaled

Pada 25 September 1997, Mosad Israel yang mendapat kerjasama pasukan kesalamatan Israel atas arahan langsung daripada Perdana Menteri ketika itu, Benjamin Netanyahu supaya membunuh Khaled. Beliau yang ketika itu berwarganegara Jordan dan menetap di situ tidak mengesyaki apa-apa, apabila 10 anggota Mosad yang menyamar sebagai warganegara Kanada menemuinya di kediaman yang terletak di Jalan Wasfi al-Tal di Amman.

Tujuan mereka ialah untuk menyuntik bahan beracun ke tubuh Khaled agar mati secara senyap-senyap. Walau bagaimanapun takdir Allah SWT lebih mendahului perancangan jahat Mosad itu, apabila kemasukan mereka ke Amman dapat dibongkar oleh pegawai imigresen yang mendapati mereka menggunakan dokumen perjalanan palsu, akhirnya para pegawai imigresen bergegas ke kediaman Khaled dan berita itu sampai ke pengetahuan Raja Hussein Talal dan memerintahkan agar kesemua anggota Mosad itu meninggalkan Jordan serta merta.

Benjamin Netanyahu tidak bersetuju dengan tindakan dan campur tangan Raja Hussein yang menahan kesemua anggota Mosad yang terlibat. Namun Raja Hussein menyampaikan berita itu kepada pengetahuan Presiden Amerika ketika itu, Bill Clinton yang meminta agar Benjamin terima dengan lapang dada, beliau tetap tidak setuju, akhirnya Bill Clinton menegaskan bahawa beliau tidak boleh berkomunikasi dan berinteraksi dengan Benjamin yang disifatkan sebagai orang gila.

Satu pertemuan diadakan antara Benjamin, Raja Hussein dan disaksikan oleh Bill Clinton. Benjamin mendesak Raja Hussein agar membebaskan kesemua anggota Mosad yang ditahan di penjara Amman. Raja Hussein terima cadangan itu tetapi dengan syarat, 10 anggota Mosad yang dibebaskan itu digantikan dengan pembebasan pemimpin Hamas Syeikh Ahmed Yasin yang dijatuhkan oleh mahkamah Israel penjara seumur hidup, perjanjian itu dimeterai dan masing-masing bersetuju.

Kronologi percubaan untuk menangkap

Pada Ogos 1999, pihak berkuasa Amerika Syarikat mengeluarkan arahan kepada Raja Hussein agar menangkap Khaled Masy’al, surat tangkapan itu diserahkan sendiri oleh Setiausaha Luar Amerika, Madelein Albright.

Oktober 2002, ketika satu persidangan Belia Islam Sedunia diadakan di Riyadh-Arab Saudi, Putera Mahkota Amir Abdullah (sekarang Raja Abdullah) dikatakan menerima satu surat daripada Hamas dan Kerajaan Palestin pimpinan Yasser Arafat, bahawa Khaled Masy’al diarahkan untuk bertemu dengan beliau di Riyadh, sedangkan Khaled yang turut menyertai persidangan itu tidak mengetahui tentang arahan itu, akhirnya beliau enggan bertemu dengan Amir Abdullah kerana mengesyaki bahawa itu adalah umpan untuk menangkapnya.

Tanggal 23 Mac 2004, tiga hari selepas kesyahidan Syeikh Ahmed Yasin, pengisytiharan dibuat bahawa orang yang akan menggantikan tempat almarhum Syeikh Ahmed ialah Khaled Masy’al yang dituduh oleh Israel melakukan percubaan membunuh, sedangkan pembunuhan itu dilakukan oleh rejim Israel. Itu merupakan helah untuk melihat sejauhmana Khaled melatah dalam isu fitnah berkenaan.

Tanggal 20 Januari 2006, Hamas menang bergaya dalam pilihan raya Palestin yang membolehkannya membentuk kerajaan yang sah, namun ia disangkal oleh Amerika dan Israel. Malah mereka memilih Mahmoud Abbas sebagai Presiden. Sejak daripada itu Khaled menjadi sasaran kerana dianggap sebagai perancang dalam kejayaan Hamas dalam pilihan raya, serangan demi seranag sama ada dengan memfitnahnya, atau mahu membunuhnya, semua itu tersedia dalam perancangan Israel untuk membunuhnya.

Apa yang kita baca berkaitan dengannya masih lagi sedikit berbanding dengan pengalaman yang beliau lalui dalam meniti liku perjuangan ini. Kalaulah begini usahanya untuk meraih redha dan syurga Allah, adakah kita sudah merasa diri layak untuk dipilih oleh Allah untuk menerima ganjarannya di akhirat kelak? Ayuh, jangan ragu-ragu lagi. Sama-sama kita terus bergiat dalam medan dakwah dan jihad ini di bumi Malaysia.

Sunday, February 22, 2009

Simposium Perdana Mahasiswa Islam (SIDANA '09)

Salam Ukhuwah dan Perjuangan,

Insya Allah, Simposium Perdana Mahasiswa Islam (SIDANA) bakal menjelang. Simposium ini bertujuan membincangkan dan membuka minda mahasiswa Islam dalam memcu survival dakwah dan jihad di kampus era moden ini.

Sehubungan dengan itu, saya menyeru seluruh mahasiswa Islam khususnya mahasiswa UM untuk menyertai dan mengambil bahagian dalam program ini.

Berikut ialah maklumat lanjut berkaitan program ini (rujuk:http://hasbiemuda.wordpress.com/)

Perasmian : Prof. Madya Datuk Dr. Azarae Haji Idris

(TNC HEPA Universiti Malaya)

3 Panelis untuk Forum 28 Feb 2009
Masa: 9 - 11 malam
Tajuk: “Mahasiswa Malaysia vs Mahasiswa Luar Negara”

1) Ustaz Ramadhan Fitri Elias (Mantan YDP PMIUM 2004/05)
2) Saudara Feriz Omar (Presiden ProWaris)
3) Prof. Emeritus Dr. Khoo Kay Kim (Profesor UM)

Moderator : Sdr. Shazni Munir Mohd Ithnin (Jurucakap GAMIS)

4 Pembentang Kertas Kerja pada 1 Mac 2009
Masa:
9 pagi - 5 petang

1) YB Saifuddin Nasution (MP Machang)
Tajuk: “Mahasiswa Sebagai Elemen Sedar Masyarakat”

2) Prof Dato’ Mohammad Abu Bakar (Dekan FSSS UM)
Tajuk: “Kampus, Keresahan Intelek dan Kebangkitan Mahasiswa”

3) Sdr Md. Hisommudin Bakar (Mantan YDP MPMUM 2001/02)
Tajuk: “Ke Arah Kesatuan Mahasiswa Islam Malaysia”

4) Dato’ Mohd Nadzmi Mohd Salleh (Pengerusi Proton Holding Berhad)
Tajuk: “Mahasiswa Islam Sebagai Pemain Ekonomi Penting Masa Hadapan”

Ucaptama : Datuk Paduka Ibrahim Ali (Presiden PERKASA)

Pendaftaran percuma…

Ayuh! Jangan lepaskan peluang keemasan ini.