Saturday, May 31, 2008

Sorotan SEJARAH

Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Malaya atau akronimnya PMIUM telah ditubuhkan pada pertengahan tahun 1950-an (1956). Penubuhan PMIUM adalah hasil inisiatif Syed Muhammad Nuqaib al-Attas, seorang mahasiswa Islam di Universiti Malaya, Singapura (kini dikenali sebagai National University of Singapore). Pada tahun 1059/1960, Universiti Malaya berpindah lokasi ke Kuala Lumpur. Maka, PMIUM juga turut memindahkan operasi persatuan dan gerakan dakwahnya ke kampus baru tersebut.


Kondisi uni perdana pada ketika itu sangat liberal dan jauh daripada suluhan agama dan dogma budaya ketimuran. Paradigma rata-rata mahasiswa Islam khususnya mahasiswa Melayu sendiri lebih dipengaruhi oleh ideologi sosialisme dan nasionalisme ekstreme. Bertitiok tolak pada hakikat ini, Syed Muhammad Nuqaib al-Attas telah melakukan suatu ijtihad dengan menubuhkan PMIUM demi menggerakkan idea ‘faham Islam’ dalam lapangan umat kampus dan nasional.

Biarpun PMIUM pada peringkat awal kurang didekati oleh mahasiswa Melayu, namun sedekad usia penubuhannya mula memperlihatkan suatu pola gerakan dinamik dan menjadi sebuah badan dakwah yang sangat aktif dalam mendepani arus massa. Usrah [kini dikenali sebagai Islamic Interactive Groups - iGG) dan ceramah agama rancak diadakan di Surau-Surau Kolej Kediaman UM dan menjadi medium utama dalam membangunkan gerakan dakwah di kampus. Qiammullail, Kuliah Umum, Tamrin (workshop), rehlah (berkelah) dan muqaiyam (khemah ibadat) menjadi sebahagian program tradisi ‘tarbiyah’ PMIUM.

Gerakan dakwah PMIUM tidak statik malah terus mara meniti arus massa kampus. Fenomena maksiat dan lucah dalam Minggu Orientasi telah mendorong PMIUM melakukan demontrasi aman pada tahun 1971. Natijahnya, PMIUM diberi ruang menyertai Jawatankuasa Orientasi (JKO) demi menerapkan ‘faham Islam’ kepada para mahasiswa baru (freshies).

Pada tahun 1986, PMIUM turut membantah majlis ball night, Malam Kebudayaan dan Malam Bakat Kampus anjuran HEP. Program-program ini bukan sahaja mempunyai unsur maksiat dan perjudian, malah tidak menepati objektif asal Haluan Siswa. Natijahnya, PMIUM dinafikan hak untuk menyertai JKO sesi selepasnya.

Pelbagai tribulasi yang menimpa PMIUM sedikit pun tidak melumpuhkan semangat PMIUM dalam meniti liku dakwah dan perjuangan di kampus. Malah, PMIUM tampil dengan wajah dinamik melalui Majlis Taaruf (kali pertama 1979/80), Minggu Muhibbah, Minggu Suai Mesra, Minggu Silaturrahim, Minggu Taaruf, dan sebagainya demi memastikan agenda dakwah sampai kepada setiap mahasiswa Islam khususnya mahasiswa baru.

Demi memastikan agenda Islah (perubahan) dapat direalisasikan, PMIUM turut menganjurkan demontrasi aman membantah ‘Konvensyen Ball’ (1974), Konsert Anita Serawak (1982), Konsert Sudirman (1985), Konsert Headwind (1987), Konsert Ramli Sarip (1988), Konsert Sheila Majid (1989), Konsert Sheila Majid & H. Amin (2002) dan sebagainya.

Program Pesta Kolej di Kolej Kediaman UM dan Pestaria Kebajikan (kini dikenali FESKUM) yang diwarnai unsur maksiat dan perjudian turut mendapat perhatian PMIUM. Atas kesedaran Islam, PMIUM telah menghantar memorandum bantahan kepada konsortium pengetua Kolej Kediaman UM dan HEP sendiri, namun dipandang enteng oleh HEP. Malah PMIUM sendiri buat julung kalinya menganjurkan Konsert Kemanusiaan dan Konsert Campusiana adalah antara modal konsert yang bercorak islamik.

Beberapa siri demontrasi anjuran PMIUM memperlihatkan berlaku pertembungan arus kepemimpinan PMIUM dengan PMUM. Fenomena ini memaksa PMIUM terjun secara langsung dalam politik kampus melalui penyertaan dalam pilihanraya kampus akhir 1970-an. PMIUM (Islamic Groups) berjaya mendominasi (2/3) PMUM pada tahun 1981. Sejak itu, PMIUM mengalami pelbagai pengalaman politik kampus. PMIUM juga pernah boikot PRK pada tahun 1983 dan 2004. Tahun 2005 menyaksikan dummy system PRK oleh PMIUM melalui tajaan calon kerusi umum lebih 30 orang mahasiswa.

PMIUM juga pernah memimpin suatu pakatan politik (tahalluf siyasi) sehingga tertutuhnya Majlis Tertinggi Nasional (MTN) hasil gabungan PMIUM. PKPIM, PAKUM (kini PEMADAH), PERMATA, PMKUM dan sebagainya demi menangani Majlis Tindakan Sementara (MTS) yang telah berjaya merampas kuasa pentadbiran UM. PMIUM juga pernah menyertai BMB, malah pernah menubuhkan NADI (1990) dan GMUM (1999).

Pembinaan gererasi yang Islamik dan karismatik sangat penting bagi PMIUM. Sebagai contoh, inisiatif PMIUM menganjurkan Latihan Kepimpinan Islam Universiti Malaya (LAKIUM), Kursus Amal Islami (KAMI), Ijtima’ Mahasiswa Islam UM, Kuliah Tasqif , Baktisiswa (Minggu Kebajikan PMIUM ’86), Minggu Kebajikan PMIUM, Seminar Kekeluarga Islam, Malam Tokoh, Kursus Usahawan, Latihan dan Kepimpinan UM (LAKUM) (melalui proksi MPMUM 2002), Riadah Mingguan PMIUM dan sebagainya merupakan antara program tradisi PMIUM. Aktiviti-aktiviti ini bertujuan menjana kapasiti intelektual dan karismatik kepemimpinan mahasiswa dalam lapangan nasional hatta global.

Tidak hairanlah sekiranya kepemimpinan lepasan PMIUM boleh dilihat dalam pelbagai lapisan sosial dari tangga kepemimpinan negara sehinggalah lapangan rakyat. Sebagai contoh, Senator Dr Fuad Zarkasi (UMNO-Johor); Ahmad Shabery Chik (Menteri Penerangan), Che Johan Che Pa (UMNO-Kelantan), Muhammad Hussein (PAS-Kelantan), Roslan Kassim (UMNO-Jempol), Mohd Nazri Din (PAS-Perak), YAB Dato’ Seri Dr. Mohd Khir Toyo (Bekas MB Selangor), Dato’ Dr. Siddiq Fadhil (Presiden, Kolej dar al-Hikmah), YB Dato’ Husam Musa (PAS-Kelantan), Anual bakri Haron (Setiausaha Akhbar MB Kelantan), YB Takiyuddin Ahmad (PAS-Kelantan), Ishak Ismail (Ahli Akademik UPSI), Yazid Othman (Persatuan Wartawan KL), Jamaluddin Ramli (Ahli Akademik UTM), Rosley Ahmad (Advisor RHB Securities dan RHB Equities), Dr. Zulkifli Yusof (ahli akademik UM), Zaharuddin Ab. Rahman (Panel Syariah, RHB Islamic Banking), Mohd Nazri Chik (Panel Syariah BiMB), Zaidi Zain (UMNO-Serdang) dan sebagainya adalah antara tokoh kepemimpinan nasional yang lahir daripada rahim aktivisme PMIUM.

PMIUM bukan sahaja mendominasi pola gerakan dakwah di kampus semata-mata, malah sangat peka dengan isu-isu nasional dan global. PMIUM bersama-sama PKPIM, PBMUM, PMUK dan GPMS pernah menganjurkan demontrasi membantah lawatan Thanom Kittkachorn (PM Thai) ke Kuala Lumpur berikutan rekod penindasan beliau ke atas rakyat Islam Pattani. PMIUM bersama PKPIM juga telah menganjurkan demontrasi di depan kedutaan AS berikutan campurtangan AS dalam Perang Arab-Israel.

PMIUM juga melalui GAMIS telah menganjurkan demontrasi aman membantah pencerobohan AS ke atas Libya (1986), demontrasi mempertahankan Masjid ar-Rahman dan bantah pembinaan Kerinchi Ling (1999), bantah pembinaan restoran McDonald’s di dalam UM (1999) kedatangan pasukan Kriket Israil ke Malaysia (2000).

Sesi 1968/1969 adalah penggal penting penubuhan Lajnah Hal Ehwal Wanita Islam (HEWI) dan penubuhan ini telah memberi ‘kekuatan’ baru kepada PMIUM. Antara inisiatif HEWI yang harus dipuji adalah kecaman perlantikan Benazir Bhutto sebagai PM Pakistan. HEWI juga ke hadapan mendesak Kementerian Kesihatan Malaysia agar jururawat Islam dibenarkan memakai busana muslim.HEWI juga telah membuat kenyataan akhbar menyokong Hajjah Rahimah Rahim untuk tidak bergiat dalam dunia hiburan ala ‘glamour’ dan maksiat (1990).

HEWI juga telah mengeluarkan kenyataan akhbar mengkritik Dr. Hamid Othman (Menteri JPM) yang mengeluarkan kenyataan yang bertentangan dengan kehemdak Islam dalam isu peraturan pakaian wanita Islam yang dilaksanakan oleh Kerajaan Kelantan (1990).

Lebih daripada itu, PMIUM turut menerbitkan beberapa majalah yang sarat dengan unsur agama dan isu semasa. Majalah SEJAHTERA merupakan keluaran sulung PMIUM pada tahun 1961. Selain daripada majalah SEJAHTERA, warkah PMIUM, Suara PMIUM, Renungan Hari Jumaat,`Why Islam Series’, ‘Islam Series’, ‘The Dawn’, ‘Study in Islam Series’, Suara Siswi, al-Muslimah, al-Multazim, al-Jamaah, Teman, ar-Rusydan (terbitan terkini) dan Jurnal Intelek merupakan antara koleksi klasik terbitan PMIUM.

Antara sumbangan besar PMIUM demi mengetengahkan agenda dakwah adalah mendesak pihak kerajaan membina masjid berhampiran Universiti Malaya. Desakan ini disambut baik oleh pihak kerajaan. PMIUM sendiri berusaha mendapatkan sebidang tanah untuk dibina Masjid ar-Rahman pada tahun 1960. PMIUM juga turut melancarkan kutipan dana sehingga masjid ini berjaya dibina pada tahun 1963.

Persediaan prasarana fizikal Universiti Malaya, Kuala Lumpur hanya menumpu pada kemudahan pembelajaran dan intelektual semata-mata, tanpa menitikberatkan soal spiritual. Mahasiswa Melayu-Islam yang kebetulan semakin bertambah bilangan mereka. Realiti ini mendorong PMIUM mendesak pihak pentadbiran UM menyediakan surau-surau di kolej kediaman Universiti Malaya dan desakan ini disambut baik oleh pentadbiran UM.

Selain itu, PMIUM juga telah menubuhkan Badan ar-Rahmaniah atau Badan Dakwah dan Kebajikan Islam SeMalaysia pada tahun 1962 yang berpusat di Masjid ar-Rahman, Universiti Malaya, Kuala Lumpur. Badan ini ditubuhkan hasil kerjasama PMIUM dengan Pertubuhan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM). PMIUM juga pernah menganggotai jawatankuasa kecil perhubungan dengan Masjid Negara Malaysia.

PMIUM juga telah menggerakkan suatu gerakan intelektual pada 1967 yang dikenali sebagai ‘Projek Penyelidikan Kepercayaan Agama Islam Dalam Masyarakat Melayu’ sehingga berjaya membongkar permasalahan masyarakat luar bandar dalam soal kependidikan dan sosio-ekonomi/politik.

Isu kebajikan dan keselamatan juga turut menjadi fokus utama aktivisme PMIUM. Budaya maksiat acap kali dilakukan oleh segelintir mahasiswa UM khususnya di sudut-sudut gelap seperti di bukit Bukit ‘A.i’. Senarion ini bukan sahaja tidak selari dengan tuntutan agama, malah mengancam keselamatan diri dan maruah seluruh mahasiswa UM khususnya komuniti mahasiswi. Justeru, PMIUM mengambil inisiatif mendesak pentadbiran UM agar memasang lampu di sekitar tempat gelap.

Kini, lampu bukan sahaja dipasang sepanjang jalan di dalam UM, malah di semua fakulti dan akademi turut dipasang lampu demi mengawal sosial masyarakat kampus. Era 1990-an, PMIUM mara selangkah lagi melalui penubuhan sebuah badan pencegah maksiat yang dikenali sebagai BADAR. Modal dan modus operandi badan ini kini diimport oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).

Kod Etika Pemakaian dan Moral yang diperkenalkan oleh HEPA kini adalah hasil desakan PMIUM mengadakan demontrasi pada 1974 di depan kediaman Pengetua Kolej Kediamana Ke-5 UM (KK5 UM) bertujuan menyokong tindakan Pengetua tersebut yang menguatkuasakan dasar dan peraturan universiti berhubung moral mahasiswa dan sanggup menyingkirkan 3 mahasiswa disebabkan masalah moral.

Sebenarnya masih banyak lagi episod unik PMIUM yang berusia 50 tahun masih belum diteroka dan dibongkarkan sejarah silamnya. Agak sukar kini kita temukan kajian ilmiah dan penulisan tentang PMIUM khususnya pasca periodisasi pertengahan 1990-an sehingga zaman milenium.

Saturday, May 24, 2008

Perutusan YDP PMIUM sempena kemasukan pelajar-pelajar baru PASUM

Assalamualaikum w.b.t

Syukur dipanjatkan kepada Ilahi, atas rahmat dan inayahNya kita dipertemukan di ‘gedung ilmu’ tertua di Malaysia ini.

Tanggal 25 MEI 2008 merupakan tarikh kemasukan pelajar Pusat Asasi Sains Universiti Malaya (PASUM) pada sesi kali ini. Saya menjangkakan sesi pada kali ini kemasukannya memberangsangkan sebagaimana sesi yang lalu.

Dalam kesempatan yang singkat ini, saya mewakili sahabat-sahabat mahasiswa Islam yang lain ingin mengucapkan selamat datang kepada adik-adik PASUM yang baru. Kami sangat mengalu-alukan kedatangan adik-adik semua. Moga-moga kehadiran adik-adik di kampus perdana ini menambahkan lagi serinya.

Melihat wajah adik-adik PASUM pada kali ini, semuanya jernih dan bersinar-sinar. Tidak kurang juga yang muram dan sedih. Mungkin tidak biasa berpisah dengan keluarga. Namun saya yakin, di jiwa mereka tersemat keazaman dan tekad untuk belajar bersungguh-sungguh demi menggapai cita-cita yang diimpikan. Di pundak mereka penuh dengan harapan dari keluarga dan masyarakat. Inilah punca semangat utama yang mendorong adik-adik berada di sini.

Berada di tempat yang baru lebih-lebih lagi berada di tengah-tengah kota metropolitan ini memang memerlukan survival yang tinggi bagi memastikan adik-adik tidak hanyut dan leka dengan suasana. Kita sebagai umat Islam perlu mengukuhkan pergantungan kita kepada Allah s.w.t. Banyakkanlah berdoa supaya Allah sentiasa memelihara kita.

Buat pengetahuan adik-adik, saya dan sahabat-sahabat lain dalam Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Malaya (PMIUM) sentiasa mendepakan tangan untuk membantu adik-adik dalam pelbagai perkara terutamanya dari aspek kebajikan dan akademik. InsyaAllah kami akan mengusahakan yang terbaik untuk adik-adik. Moga-moga adik-adik dapat meneruskan pengajian dalam keadaan yang lebih baik.

Buat akhirnya, saya sekali lagi ingin mengucapkan selamat datang ke alam kampus. Cedok dan timbalah sebanyak mungkin peluang yang Allah telah sediakan depan mata adik-adik. Moga pengalaman tersebut berguna pada adik-adik pada masa akan datang. Kehidupan adik-adik di PASUM sangat berbeza dengan mana-mana matrikulasi di tempat lain.

Sekian, selamat menjalani Minggu Haluan Siswa.

Monday, May 12, 2008

JANGAN SAMPAI BABI LAGI PENTING DARI MAHASISWA!!

Baru-baru ini Negara kita digemparkan dengan isu penternakan Babi di Sepang. Rakyat Malaysia tak kira kaum apa, semua terkejut. Rata-rata dikalangan rakyat sama ada secara persendirian atau berkelompok menyatakan pandangan dan pendirian terhadap isu ini. Ada yang kata tak setuju, ada yang setuju. Namun, ramai juga yang tak tahu nak ikut yang mana, tapi nak respon juga. Kelakar betul.

Perkara ini hangat diperkatakan sehingga dibawa ke parlimen. Ramai YB-YB yang respon isu ni. Pembangkang ada, kerajaan pun ada. Baik Muslim atau non-Muslim. Isu ni memang buka minda masyarakat terutamanya berkaitan dengan aspek murunah atau fleksibeliti Islam dalam bernegara. Ini suatu dakwah yang berjaya. Tahniah kerajaan Selangor.

Namun begitu, sedikit di sini yang saya ingin coret berkaitan babi dan mahasiswa.

Babi ni bukan apa pun. Mereka hanyalah sekelompok spesis binatang yang tak tahu apa-apa. Tak special pun. Bukannya haiwan yang hampir pupus dan perlu dilindungi di bawah WHO. Nak berfikir dan bercakap pun tak boleh. Apatah lagi nak buat press conference (PC) atau berdemonstrasi untuk memperjuangkan hak-hak mereka. Memang mereka merupakan kelompok yang sangat dhaif dan lemah.

Tak dapat dinafikan. Peranannya pun tidak seberapa, hanya sekadar menjadi makanan segolongan etnik sahaja. Akan tetapi ramai yang berebut-rebut untuk menjadi hero mewakili babi untuk memperjuangkan haknya. Padahal pengiktirafan dari babi tidak bernilai pun.

Tapi mahasiswa, mereka merupakan golongan elit terpilih. Bijak pandai yang dilatih dan dididik untuk melapisi barisan kepimpinan Negara pada masa yang tidak berapa lama lagi. Mereka akan mengisi kekosongan di sektor-sektor awam, badan-badan kerajaan mahupun swasta. Mereka merupakan asset yang penting bagi Negara.

Seharusnya mereka diberi penekanan yang penting terutamanya dari sudut pembinaan minda dan kecendikiawanan. Mahasiswa juga harus diberikan ruang yang seluas-luasnya untuk meneroka dan memahami situasi Negara. Minda kreatif dan kritis yang diiringi dengan keberanian untuk bertindak akan menjana kepimpinan yang ada dalam diri mahasiswa. Perkara inilah yang menjadi tonggak utama perubahan Negara ke arah yang lebih matang dan bersedia mencapai kemajuan yang lebih gemilang dan menyeluruh.

Keadaan yang berlaku adalah sebaliknya, mahasiswa telah diberikan macam-macam sekatan. Seolah-olah mahasiswa ini sekiranya dibiarkan bebas akan memusnahkan Negara. Akan menjual dan menggadaikan maruah Negara. Maka dengan sebab itu mereka dilayan seperti ‘penjenayah’ yang baru dibebaskan dari penjara.

Pergerakan mereka sentiasa dipantau dan diawasi. Suara-suara mereka disekat dari menembusi media-media. Tindakan-tindakan mereka digelapkan dari peta landskap Negara. Mereka dididik menjadi penakut, tidak berani berhadapan dengan masalah dan cabaran. Pemikiran mereka dikongkong. Kebajikan mereka tidak mendapat perhatian yang selayaknya dari golongan-golongan penting Negara.

Akhirnya nilai yang ada pada mahasiswa tidak lebih dari haiwan ternakan seperti lembu, kambing, ayam, dan yang terbaru ialah babi.


Pesanan saya pada pihak yang berwajib: "JANGAN BABIKAN MAHASISWA!!"

SEKRETARIAT CEGAH RASUAH IPTA




Semalam 12 Mei, saya dan Faisal (SUA PMIUM) pergi bertemu dengan Ayahanda TNC di KPS sekitar jam 4.30 petang. Banyak perkara yang kami bincangkan terutamanya berkaitan dengan PMIUM sendiri. Nanti saya ceritakan.

Sedang kami rancak berbual-bual, tiba-tiba saudara Syakirin Mispan masuk untuk bertemu dengan TNC dan membawa beberapa helai surat. Surat-surat itu adalah untuk ditandatangani oleh Ayahanda TNC.

Saya membaca pada tajuk surat tersebut. Ia tertulis “PENUBUHAN SEKRETARIAT PENCEGAHAN RASUAH DI IPTA”. TNC menandatanganinya. Saya agak terkejut. Saya bertanya pada TNC, “Kalangan student ada yang rasuah juga ke? Ataupun sakretariat ini untuk selidik kakitangan UM?”

Beliau menjawab, “Sekretariat ini under student, baru nak tubuh. Kita bermula dengan UM dahulu. Fungsinya ialah untuk beri penerangan kepada student berkaitan keburukan isu rasuah.”

Saya mengangguk ringan. Dalam hati saya. Ini suatu pembaharuan, tapi masih tidak menyeluruh lagi. Moga-moga harapan dan hasrat TNC untuk melihat UM mendepani kampus-kampus lain dalam isu menangani rasuah ini tercapai dengan jayanya. Saya dan kawan-kawan lain dalam PMIUM sedia memberikan kerjasama sepenuhnya dalam perkara ini.

Kerajaan Malaysia pun sudah banyak kali menekankan dan memberi galakan untuk mencegah rasuah. Badan Pencegah Rasuah (BPR) juga telah distrukturkan semula tidak berapa lama dahulu. Gejala rasuah ini memang wajar ditangani bagi memastikan kejernihan dan keadilan dalam melaksanakan gerak kerja.

Apapun alhamdulillah. Masyarakat sudah mula sedar, rasuah itu durjana. HARAM. Tingal lagi dalam kepala saya, macam mana nak tangani riba pula. Nak tubuh sakretariat student untuk kaji semula pinjaman PTPTN. Yang ni tak ramai student yang sedar lagi. Lebih perlu diberikan penerangan. Saya fikir, kawan-kawan mahasiswa mesti mahu belajar dengan tenang tanpa memikirkan untuk bayar hutang.


PERSATUAN 4 MT, 5 JAWATANKUASA KERJA


Baru-baru ini selepas daripada Annual Grand Meeting (Muktamar Tsanawi) PMIUM, kami MT baru yang dilantik telah mengadakan mesyuarat untuk menamakan beberapa figure PMIUM dalam Jawatankuasa Kerja yang ingin dibentuk.

Antara yang lain kami bincangkan ialah ingin menambah 2 lagi Jawatankuasa Kerja yang baru iaitu, JK Kerohanian dan JK Keusahawanan disamping mengekalkan 5 JK yang lama iaitu JK Akademik dan Intelektual, JK Kenegaraan dan Patriotisme, JK Kesenian dan Kreativiti, JK Kebajikan dan Perpaduan, dan JK Sukan dan Rekreasi.

JK Kerohanian adalah perlu dalam melaksanakan gerak kerja mengislahkan warga kampus. Ia memerlukan p.i.c (person incharge) yang khusus untuk merancang dan melaksanakannya. Selain dari itu, ia membezakan antara PMIUM dengan persatuan-persatuan lain dan kolej-kolej kediaman. Ini kerana PMIUM adalah beroientasikan keagamaan dan pembangunan jiwa.

JK Keusahawanan pula bertujuan untuk menyediakan ruang-ruang kerjaya terutamanya kepada mahasiswa Islam. Memberikan penerangan dan pendedahan ekonomi Islam serta pembangunannya kepada warga kampus. Selain itu, ia juga bertujuan menjana ekonomi dan kewangan persatuan secara komprehensif dan berfokus.

Malangnya baru-baru ini cadangan tersebut ditolak oleh TNC HEP atas alasan setiap persatuan tidak boleh lebih dari 4 orang Ahli Majlis Tertinggi dan 5 orang Ahli Jawatankuasa Kerja. Perkara ini katanya termaktub dalam Buku Panduan Mahasiswa yang diberikan semasa MHS dan tidak boleh diubah.

Saya sudah pastikan dalam buku tersebut bahawa yang termaktub hanyalah perkara berkaitan 4 orang Majlis Tertinggi sahaja. Ini di bawah STATUT UNIVERSITI (BADAN-BADAN PELAJAR) 1979 (Perenggan 3 (2) Borang 2, perkara 6. Iaitu yang berkaitan dengan Pemilihan Pemegang-pemegang Jawatan. Ia berbunyi:

“Badan Pelajar hendaklah dalam mesyuarat agung tahunannya memilih dari antara ahli-ahlinya seorang Yang Dipertua, seorang Naib Yang Dipertua, seorang Setiausaha dan seorang Bendahari, yang hanyalah mereka ini sahaja menjadi pemegang jawatan, melainkan selainnya dibenarkan secara bertulis oleh Naib Canselor, dan pemegang-pemegang jawatan yang dibenarkan sedemikian oleh Naib Canselor hendaklah dipilih oleh badan pelajar itu daripada ahli-ahli badan pelajar itu.”

Saya agak kecewa dengan pegawai HEP yang berwenang dalam melaksanakan tugas sehingga mengabaikan aspek-aspek yang melibatkan peraturan dan statut universiti. Ini melambangkan tahap profesionalisma yang wujud dalam pengurusan dan pentadbiran HEP.

Bukan saya kata tidak professional, tapi saya rasa kawan-kawan yang baca artikel ini mampu untuk menilai sendiri.

Tuesday, May 6, 2008

Pantun ‘si kerbau pendek’

Main bola di tepi tingkap
Rumah baru berlantai seramik
Di tempat kerja orang bercakap
Isu babi menjadi topik.

Tinggi-tinggi pohon berduri
Tinggi lagi langit nan tinggi
Degar-berdegar di kedai kopi
Isu babi tak habis lagi!

Masuk hutan memungut dedalu
Petik bersama si bunga kantan
Patah selera, makan pun tak lalu
Bayangan babi di celah pinggan!

Hari-hari menganyam ketupat
Ketupat jantan berisi pulut
Kandang babi isu setempat
Media melapor tak surut-surut.

Berita tak tamat isu pun tak tutup
Kerabat babi ria menyambut
Kembang hidungnya kembang kuncup
Menjadi popular disebut-sebut!

Monday, May 5, 2008

Selamat Bercuti buat warga UM tercinta….

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera buat semua….

Pertamanya, kesyukuran yang tidak terhingga dipanjatkan pada Allah kerana setelah sekian lama dapat juga kiranya untuk saya melakarkan sesuatu dalam blog ini. Setelah kita bertungkus lumus menghadapi peperiksaan maka tibalah masanya untuk kita menjalani cuti akhir semester bagi sesi 2007/2008. Buat semua warga UM tercinta diucapkan selamat bercuti dan semoga kita dapat memanfaatkan cuti kali ini dengan sebaiknya. Menjadi kelaziman bagi warga Um khususnya mahasiswa dan mahasiswi untuk pulang ke rumah masing-masing pada setiap kali cuti semester menjelma. Semoga dengan kepulangan saudara dan saudari akan mengubat rindu kedua ibu bapa dan sanak saudara yang telah sekian lama merindui kalian. Jadikanlah cuti ini sebagai peluang untuk berbakti kepada kedua ibu bapa setelah sekian lama tidak menjenguk mereka.

Saya juga ingin mengambil kesempatan di sini untuk mengucapkan Selamat meninggalkan alam kampus bagi pelajar tahun akhir dan yang telah menghabiskan pengajian mereka di Universiti yang kita cintai ini. Jadikanlah keberadaan kalian di kalangan masyarakat membawa manfaat kepada mereka seterusnya dapat berbakti pada agama, bangsa dan jua negara. Bagi mereka yang masih mempunyai baki pengajian di Universiti Malaya ini, saya ucapkan agar terus berusaha dan di doakan agar berjaya dalam bidang masing-masing. Semoga kita semua akan dapat mencapai kejayaan yang cemerlang dalam peperiksaan yang dihadapi baru-baru ini.

Bulan Mei sememangnya dipenuhi dengan perayaan. Bermula dengan Hari Pekerja pada 1 Mei yang lalu, diikuti pula dengan Hari Ibu dan HariGuru. Di sini, suka untuk saya ceritakan mengenai kisah seorang anak bersempena dengan Hari Ibu yang akan menjelang tidak lama lagi. Kisahnya mengenai seorang yang anak yang amat mengasihi ibunya. Kisah ini diceritakan dalam sebuah majalah iaitu mengenai Adolf Hitler yang amat menyayangi ibunya. Sungguh terharu apabila membaca kisahnya kerana dia meletakkan potret ibunya di dalam dompet setelah kematian ibunya tanda kasih sayang buat ibunya. Bagaimana pula dengan kita? Bagi yang masih mempunyai ibu dan bapa, gunakanlah peluang cuti ini untuk bersama dengan mereka. Janganlah kita melukai hati mereka kerana seperti yang kita ketahui keredhaan Allah terletak pada keredhaan kedua ibu bapa.

Sememangnya ayat suci al-quran sendiri ada menyatakan agar kita tidak menyakiti kedua ibu bapa kita seperti dalam surah Al-Isra’ ayat 23 maksudnya;

23. Dan Tuhanmu Telah memerintahkan supaya kamu jangan menyembah selain dia dan hendaklah kamu berbuat baik pada ibu bapakmu dengan sebaik-baiknya. jika salah seorang di antara keduanya atau kedua-duanya sampai berumur lanjut dalam pemeliharaanmu, Maka sekali-kali janganlah kamu mengatakan kepada keduanya perkataan "ah" dan janganlah kamu membentak mereka dan ucapkanlah kepada mereka perkataan yang mulia.

Lihatlah, gunakan perkataan “ah” sudah tidak boleh inikan pula bersikap kasar terhadap keduanya. Tentu azab yang pedih menanti mereka yang bertindak sedemikian. Ambillah pengajaran dari kisa alqomah yang tidak dapat mengucap syahadah di akhir ayatnya telah mengecilkan hati ibunya.

Usah kita sengaja membuatkan kedua orang tua kita marah dengan tindakan kita bahkan jadikanlah mereka gembira dan bahagia mempunyai anak seperti kita. Nasihat ini juga ditujukan buat diri saya sendiri agar tidak lupa akan tanggungjawab terhadap kedua ibu bapa. Bagi mereka yang mempunyai agenda lain seperti program motivasi, kursus, dan sebagainya, diharapkan agar program yang dijalankan akan berjalan dengan lancar. Jadikanlah program yang kita jalankan itu membawa manfaat kepada diri kita dan diri orang lain yang mengikuti program yang dijalankan.

Rasanya, sekian dulu coretan ringkas dari saya. Semoga kita semua akan mendapat keredhaanNYA serta diharapkan agar cuti ini memberi manfaat pada kita semua. SELAMAT BERCUTI dan JUMPA LAGI….Sekian….Wassalam.

~Sejahtera bersama PMIUM~