Saturday, May 24, 2008

Perutusan YDP PMIUM sempena kemasukan pelajar-pelajar baru PASUM

Assalamualaikum w.b.t

Syukur dipanjatkan kepada Ilahi, atas rahmat dan inayahNya kita dipertemukan di ‘gedung ilmu’ tertua di Malaysia ini.

Tanggal 25 MEI 2008 merupakan tarikh kemasukan pelajar Pusat Asasi Sains Universiti Malaya (PASUM) pada sesi kali ini. Saya menjangkakan sesi pada kali ini kemasukannya memberangsangkan sebagaimana sesi yang lalu.

Dalam kesempatan yang singkat ini, saya mewakili sahabat-sahabat mahasiswa Islam yang lain ingin mengucapkan selamat datang kepada adik-adik PASUM yang baru. Kami sangat mengalu-alukan kedatangan adik-adik semua. Moga-moga kehadiran adik-adik di kampus perdana ini menambahkan lagi serinya.

Melihat wajah adik-adik PASUM pada kali ini, semuanya jernih dan bersinar-sinar. Tidak kurang juga yang muram dan sedih. Mungkin tidak biasa berpisah dengan keluarga. Namun saya yakin, di jiwa mereka tersemat keazaman dan tekad untuk belajar bersungguh-sungguh demi menggapai cita-cita yang diimpikan. Di pundak mereka penuh dengan harapan dari keluarga dan masyarakat. Inilah punca semangat utama yang mendorong adik-adik berada di sini.

Berada di tempat yang baru lebih-lebih lagi berada di tengah-tengah kota metropolitan ini memang memerlukan survival yang tinggi bagi memastikan adik-adik tidak hanyut dan leka dengan suasana. Kita sebagai umat Islam perlu mengukuhkan pergantungan kita kepada Allah s.w.t. Banyakkanlah berdoa supaya Allah sentiasa memelihara kita.

Buat pengetahuan adik-adik, saya dan sahabat-sahabat lain dalam Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Malaya (PMIUM) sentiasa mendepakan tangan untuk membantu adik-adik dalam pelbagai perkara terutamanya dari aspek kebajikan dan akademik. InsyaAllah kami akan mengusahakan yang terbaik untuk adik-adik. Moga-moga adik-adik dapat meneruskan pengajian dalam keadaan yang lebih baik.

Buat akhirnya, saya sekali lagi ingin mengucapkan selamat datang ke alam kampus. Cedok dan timbalah sebanyak mungkin peluang yang Allah telah sediakan depan mata adik-adik. Moga pengalaman tersebut berguna pada adik-adik pada masa akan datang. Kehidupan adik-adik di PASUM sangat berbeza dengan mana-mana matrikulasi di tempat lain.

Sekian, selamat menjalani Minggu Haluan Siswa.

No comments: