Monday, April 19, 2010

Buku Menarik: Matan Rislah Ta'lim dan Majmu' Rasail beserta terjemahannya




Untuk sebarang tempahan atau maklumat lanjut, sila hubungi:

1) Ustaz Yusoff bin Muttalib - 019 5734834

Wednesday, April 14, 2010

Akan Datang!!! Konsert Aura Magika Ummah (KAMU)



Ucapan Dasar Presiden PMIUM 09/10

UCAPAN DASAR

Presiden PMIUM SESI 2OO9/2O10

SEMPENA MESYUARAT AGUNG TAHUNAN KALI KE-50

“Merevolusi Gerakan Mahasiswa Islam”

Bismillahir Rahmanir Rahim
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Terima kasih kepada saudara Pengerusi Mesyuarat
Yang Berbahagia Penasihat Gerakan Islam PMIUM
Yang Dihormati Saff Kepimpinan Majlis Tertinggi & Exco PMIUM Sesi 2O09/2O10
Yang Berusaha Pengarah & Jawantankuasa Pelaksana Mesyuarat Agung PMIUM Kali Ke-50
Yang Diraikan Dif-Dif Kehormat Dan Para Tetamu Jemputan
Yang Dihormati Kepimpinan Mahasiswa Dari Persatuan-Persatuan Anak Negeri, Fakulti, Kolej
Kediaman, Bahasa, Agama, Budaya, Dan Lain-Lain Di Segenap Peringkat.
Serta Sidang Perwakilan Ahli-Ahli PMIUM Siswa Dan Siswi Yang Dirahmati Allah Sekalian

Alhamdulillah, syukur kita ke hadrat Allah SWT yang telah mengurniakan kepada kita ruang dan peluang untuk sama-sama kita mengecapi nikmat perjuangan Islam. Saya mewakili saff kepimpinan mengalu-alukan kehadiran sahabat-sahabat sekalian ke Mesyuarat Agung Tahunan PMIUM kali ke-50. Salam ukhuwah dan mahabbah kami ucapkan kepada teman-teman sekalian.

Tema “Merevolusi Gerakan Mahasiswa Islam” bagi Mesyuarat Agung kali ini menjadi begitu penting dan mencabar tambahan masa kini kita berhadapan dengan dunia yang jauh berbeza dengan masa lalu. Masyarakat mula membuka mata terhadap apa yang diperjuangkan oleh kita selama ini. Mereka mula menilai sejauh mana tahap pencapaian yang kita mampu berikan pada mereka. Mereka mengimpikan berlakunya suatu perubahan. Mereka menaruh kepada kita segunung harapan. Maka dengan itu saya mengimpikan sidang ahli mesyuarat sekalian dapat menggunakan ruang dan peluang pada muktamar kali ini sebagai suatu medan muhasabah dan perbincangan hala tuju PMIUM pada masa hadapan.


MUQADDIMAH

“Sesungguhnya (agama Tauhid) ini adalah agama kamu semua; agama yang satu dan Aku adalah Tuhanmu, maka sembahlah Aku..” (Al-Anbiyaa`: 92)

Gerakan PMIUM muncul tatkala kita menyedari peri penting untuk memperjuangkan agama Allah kepada masyarakat. Dengan kematangan yang melepasi separuh abad, PMIUM yang sudah memasuki kancah perjuangan yang rencam untuk mendaulatkan kefahaman Islam di kampus dan nasional amnya. Ruh dan inspirasinya tiada lain, melainkan memastikan kalimah Laailahaillallah terus bernadi ke dalam sebanyak-banyaknya manusia di kampus. Dalam menuju ke arah penegakan kalimatun toyyibah tersebut, kita telah melakukan segala elemen gerak kerja sam ada amar makruf nahi mungkar, membanteras kezaliman mahupun menegakkan yang al-haq.

Inilah yang menjadi intipati dalam setiap gerak kerja PMIUM. Segala gerak kerja yang kita lakukan, sedaya-upaya kita halakan ke arah penerapan kefahaman Islam & penerimaan Islam di seluruh peringkat. Kita berkeyakinan hanya dengan Islam sahajalah mampu memberikan solusi kepada permasalahan hari ini. Bahkan hanya dengan Islam jugalah seluruh ummah boleh menyandarkan ‘kepala mereka di bahu kita’ dalam bergantung harap atas isu apa pun, baik dari sudut sosial, undang-undang, ekonomi dan lain-lain.

Selain itu, kesedaran kita terhadap tuntutan syahadah yang wajar kita lunaskan, telah menjadi beban kepada kita sebaik ditaklifkan sebagai khalifah Allah di atas muka bumi ini. Ianya bukan sekadar menuntut untuk kita menjadi muslim yang baik, namun jauh lebih penting ialah untuk memastikan kita menjadi individu yang soleh wa musleh (bermanfaat dan memberi manfaat). Inilah yang menjadi fokus kita sejak zaman berzaman sehingga bermacam stail gerakan yang telah kita rencana hanya semata-mata untuk memastikan misi agung ini tercapai.


Mahasiswa/i Islam sekalian,

ROH KEMAHASISWAAN DALAM PERJUANGAN

Dalam kondisi keseluruhan ahli gerakan yang berada di alam mahasiswa, kita akur percaya bahawa perjuangan ini harus dicatur dan diatur dengan roh kepemudaan dan kemahasiswaan secara umumnya. Kerana itulah seringkali dilihat langkah-langkah gerakan, terutamanya dalam konteks politik, sering dilihat tidak sama dengan gerakan-gerakan di luar.

Keperluan untuk mengetengahkan gerakan yang dilihat 3rd force (suara ketiga) dalam masyarakat telah menghambat kita untuk memimpin suatu gerakan yang genuine ataupun tersendiri sifatnya. Atas nama gerakan mahasiswa Islam, kita terpaksa berhempas-pulas untuk menjana pelbagai idea, dalam usaha kita untuk membawa pelbagai proses islah baik dari sudut dakwah mahupun siasah.

Roh kepemudaan dalam gerakan Islam ini bukanlah suatu hal yang baru dalam gerakan islah. Peranan Nabi Allah Ibrahim dalam menanggapi Namrud merupakan contoh terdekat bagaimana seorang pemuda pilihan Allah yang bertentang dada dengan pemerintah yang telah menyongsangkan pemikiran rakyat ketika itu dengan menyembah berhala-berhala yang pelik-pelik dan mengangkat dirinya (Namrud) sebagai manusia yang istimewa.

Agresifnya Nabi Allah Ibrahim boleh dilihat melalui tindakan baginda yang memecahkan berhala-berhala sembahan masyarakat Babylon dan mencaci berhala-berhala tersebut. Hal ini secara tuntasnya merupakan sifat-sifat seorang pemuda (agresif, reaktif dan spontan) yang tidak rela masyarakatnya disesatkan & diperkotak-katikkan aqidah mereka oleh pemerintah yang zalim ketika itu.

“Mereka berkata: Kami dengar ada seorang pemuda yang mencela berhala-berhala ini yang bernama Ibrahim.." (Al-Anbiyaa': 60)

Selain daripada itu, tidak ketinggalan juga cerapan-cerapan kisah kepemudaan gerakan yang bukan dalam kelompok Nabi & Rasul, yang Allah gambarkan dalam Al-Qur’an untuk pedoman seluruh manusia.

Firman Allah S.W.T dalam Surah Al-Kahfi, ayat 13:

“Kami kisahkan kepadamu (Muhammad) cerita ini dengan benar. Sesungguhnya mereka adalah pemuda-pemuda yang beriman kepada Tuhan mereka, dan Kami tambah pula untuk mereka petunjuk.."

Kepemudaan gerakan yang ditunjukkan oleh pemuda-pemuda kahfi dapat ditinjau daripada iltizam yang teguh dan pendirian yang total dalam konteks perjuangan aqidah mereka. Mereka secara hakikatnya tidak sekalipun tergugah dalam keadaan mereka dihenyak dengan dugaan demi dugaan yang mampu menggoncang pendirian dan iltizam mereka ketika itu.

Jika ditinjau geraklaku-geraklaku golongan terawal sewaktu gerakan Islam ini berakar secara tersusun sebaik khilafah runtuh, Jemaah Ikhwanul Muslimin melalui Mursyid Amnya yang pertama telah meniupkan gagasan besar kepada gerombolan anak muda yang berada di universiti seluruh Mesir untuk dididik & diyakinkan dalam membawa panji perjuangan baru yang diijtihadkan oleh Ikhwanul Muslimin.

Ternyata ianya bukanlah sesuatu yang sia-sia. Kekentalan jiwa mahasiswa-mahasiswa universiti pada waktu tersebut sangat terserlah ketika mana dikobarkan semboyan jihad melawan Yahudi yang menjajah Palestin. Berbondong-bondong mahasiswa dari pelbagai universiti menawarkan diri mereka untuk menjadi benteng mempertahankan kesucian al-Aqsa yang diinjak-injak. Hal ini boleh dilihat dalam banyak ucaptama-ucaptama oleh Asy-Syahid sendiri ketika berhimpun bersama-sama mahasiswa-mahasiswa, baik di dalam universiti, mahupun di luar universiti.

Selain daripada itu, pada tanggal 1998 ketika gelombang reformasi yang memuncak di Indonesia, mahasiswa-mahasiswa dan anak-anak muda yang mempunyai fikrah Islam secara dominan dan total telah berijtihad untuk membentuk suatu kelompok yang besar, dan telah memimpin seluruh rakyat untuk bangkit dan bangun memperjuangkan masa depan negara mereka. Ianya berhasil sehinggalah roh kepemudaan dalam gerakan ini berjaya menubuhkan sebuah gerakan Islam yang cukup dinamik di Indonesia ketika ini iaitu Partai Keadilan Sejahtera (PKS).


Pemuda pemudi Islam sekalian,

TARBIYAH DAN DAKWAH NADI GERAKAN

Secara hakikatnya, kita menginsafi bahawa besarnya gagasan perjuangan, haruslah selari dengan pelaksanaan, pembinaan dalaman dan luaran seluruh ahli gerakan itu di setiap peringkat. Agenda tarbiyah dan dakwah dalam gerakan kita bukanlah sesuatu yang boleh diremehkan. Ianya akan menjadi titik tolak sejauh mana agenda perjuangan itu dapat digapai.

Jika kita tinjau keberhasilan selama 13 tahun pembinaan karekter-karekter pejuang di zaman Rasulullah S.A.W juga melalui proses tarbiyah yang berterusan, bahkan lebih sukar sebenarnya kerana Rasulullah S.A.W bermula dengan sifar. Bermula dengan dakwah, langsung individu-individu yang telah tertarik dengan ajaran tauhid ketika itu, telah diikat oleh Rasulullah S.A.W sendiri dengan proses didikan yang membekas dan kesedaran yang sempurna terhadap hakikat diri diciptakan. Tambahan pula, berkat konsistensi tarbiyah di era madrasah nabawiyah tersebut, telah menjana suatu generasi yang Asy-Syahid Sayyid Qutb istilahkan dalam bukunya (Ma’alim Fit Toriq) sebagai Jiilul Qur’anil Farid (Generasi Al-Qur’an Yang Unik)

Allah berfirman dalam surah Al-Baqarah, ayat 129 :

“Ya Tuhan kami, utuslah untuk mereka seseorang Rasul dari kalangan mereka, yang akan membacakan kepada mereka ayat-ayat Engkau, dan mengajarkan kepada mereka Al Kitab (Al Qur`an) dan Al-Hikmah (As-Sunnah) serta mensucikan mereka. Sesungguhnya Engkaulah yang Maha Kuasa lagi Maha Bijaksana...”

Tarbiyah ibarat ‘kilang proses’, yang memproses manusia-manusia ke arah matlamat besar perjuangan. Ianya terangkum samada sebelum atau pun selepas berikrar untuk melaksanakan tuntutan amal Islami. Justeru, apabila proses itu tidak berjalan dengan baik, kita pastinya tidak mampu untuk mengharapkan agar individu-individu dalam saf juang ini secara semulajadinya untuk faham, jelas dan beriltizam dengan misi perjuangan.

Secara hakikatnya, kita merindui suasana berlumba-lumba untuk memahamkan mereka di luar sana dengan fikrah Islam sebagaimana yang kita faham. Fikrah Islam yang kita maksudkan bukanlah sekadar memberi yakin bahawa merekaa itu perlu menjadi manusia yang baik secara etikanya, namun jauh lebih besar ialah pembinaan diri manusia yang kita proses itu benar-benar bersedia untuk hidup sebagai Fardun Muslim (individu muslim) yang terbaik. Inilah matlamat besar tarbiyah kita yang akan kita canai menjadi abna’ al-harakah (ahli-ahli gerakan) yang sanggup hidup dan mati untuk perjuangan yang tinggi ini.

Lantas matlamat untuk mengikat janji setia dalam melaksanakan amal Islami ini, merupakan sesuatu yang mudah kita lakukan, seandainya kita mampu untuk mencerap ciri-ciri Fardun Muslim dalam setiap jiwa-jiwa baru yang kita dekati. Ianya akan lebih mudah apabila kita mempunyai pelbagai kreativiti untuk membawa manusia memahami Islam dan pada masa yang sama memasakkan fikrah harakah setelah mereka menyerahkan diri mereka untuk menjadi muslim yang terbaik.

Menyedari hakikat itu, pelbagai langkah telah diambil. Permulaan bagi semua tu kita sinergikn dengan penubuhn Team Elit Musim (T.E.M) yang berperanan untuk menghimpunkan & memperanankan semaksimum mungkin individu-individu muslim dalam proses meranckkan dakwah di kampus, khususnya di kolej-kolej kediaman. Pelbagai program dan aktiviti giat diatur untuk memastikan setiap warga kampus menyedari dan terasa akan kehadiran gelombang dakwah Islam oleh PMIUM.

Riadah Teladan Ceria (RTC) dan transformasi program ziarah di PPUM telah meberi kesan yang mendalam terhadap dakwah kita. Risalah-risalah seperti Rusydan diedar secara berkala telah memberikan input tambahan terhadap perbincangan semasa yang menyentuh soal-soal penting dalam Islam.

Tidak ketinggalan juga Ekspo Halal 2010 yang kita anjurkan sebulan yang lepas telah berjaya membuka paradigma baru kepada warga kampus terhadap konsep halal yang sebenar. Ianya tidak hanya sekadar memastikan pemakanan yang menjadi rutian seharian berstatus halal, namun jauh lebih itu telah menanam minta pada warga kampus untuk menjadi usahawan Islam yang mampu berjihad secara serius di lapangan bisnes.

Perhatian PMIUM terhadap mahasiswa Non-Muslim yang berminat dengan Islam juga terus dipertingkatkan. Satu demi satu dialog antara agama & forum yang kita terbitkan dengan kerjasama persatuan-persatuan lain & kolej-kolej kediaman telah membuka ruang dakwah yang lebih ilmiah & akademik. Ianya secara tidk langsung telah mendekatkan lagi warga kampus terhadap aspek-aspek fundamental dalam agama. Dan klimaks daripada itu, kita telah menganjurkan Brootherhood Of Muslim Camp (Bro-MC) pada semester yang lalu sebagai suatu konsistensi dakwah yang menelurkan pembinaan karakter dalam kerangka tarbiyah yang lebih terbuka & pelbagai.

Teman-teman pejuang sekalian,

Kita juga telah mengambil jalan penyelesaian terhadap isu besar negara yang melibatkan agama Islam iaitu isu penggunaan kalimah Allah. Bermula dengan forum terbuka yang telah berlangsung dengan jayanya di Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur, kita langsung membuat konsensus persefahaman dengan Persatuan Kristian Varsiti UM terhadap polemik ini. Ternyata usaha yang tidak seberapa daripada PMIUM ini telah membuka mata banyak pihak dalam menilai & memahami isu sebenar selain mencari jalan penyelesaian yang terbaik terhadap isu ini.

Oleh yang demikian, sukalah kiranya saya mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan tahniah kepada seluruh penggerak-penggerak PMIUM sehingga persatuan ini dinobatkan sebagai persatuan paling aktif di UM ini. Insya-Allah, usaha yang kita lakukan ini akan mendapat nilaiannya di sisi Allah kelak.

Pendakwah-pendakwah muda sekalian,

Setiap warga kampus yang beragama Islam pasti mempunyai tanggapan yang tinggi terhadap PMIUM untuk bertindak secara efektif dan holistik sebagai gerakan dakwah. Kerana itu, kita perlu menyedari dan mengerti bahawa tidak cukup dengan sekadar kita mengaturkan program, aktiviti dan menjaga kebajikan mahasiswa, tetapi kita harus memahami bahawa senjata paling ampuh yang dimiliki oleh PMIUM untuk bertindak selaku gerakan dakwah adalah batang tubuh sahabat-sahabat sekalian sebagai ahli gerakan PMIUM yang sepatutnya menjadi duta-duta Islam, duta-duta PMIUM, bahkan menjadi contoh dan rujukan warga kampus dalam urusan agama dan juga urusan-urusan harian lainnya. Kita inginkan ahli yang memahami konteks dakwah secara agresif dan bersikap proaktif. Kita mengimpikan gelombang dakwah yang rancak dan berkembang mekar di arena kampus kesayangan kita.

Jika ahli-ahli yang begini sifatnya dapat kita lahirkan, di samping pimpinan yang padu dan berpengurusan, insya-Allah PMIUM benar-benar akan kembali gemilang sebagai gerakan dakwah yang menerajui kampus.

Kata Al-Banna lagi; “Suasana telah menghendaki untuk kita berada di dalam generasi yang ummatnya berebut-rebut dan bertarung untuk kekal dengan begitu sengit dan kemenangan sentiasa diperolehi oleh sesiapa yang telah mempunyai kekuatan. Begitu juga suasana menghendaki kita supaya menghadapi kesilapan yang lampau dan menelan kepahitannya. Adalah menjadi kewajipan kita untuk memperbaiki dan membalut keretakan serta menyelamatkan diri kita dan anak-anak (generasi) kita, mengembalikan kemuliaan, keagungan, menghidupkan tamadun dan ajaran agama kita..”

Kita impikan rijal (individu) dakwah yang bijak dan tegas, rijal yang tidak berdendam, rijal yang berpegang pada kebenaran, rijal yang berjiwa mulhid, rijal yang amanah, rijal yang pemurah, rijal yang prihatin kepada masalah ummat, rijal yang merendah diri, rijal yang sedia mengetepikan kepentingan diri, rijal yang bercakap benar, rijal yang tidak mudah diperdaya dengan musuh, rijal yang mempunyai pendirian, rijal yang tidak mementingkan kemewahan, rijal yang sentiasa berpesan kepada kebenaran.


Sidang mesyuarat yang dikasihi sekalian,

AGENDA MENGGERAKKAN MASSA

Berbicara soal siasah, setiap ahli hendaklah mempunyai pemikiran yang strategik (strategic thinking). Penerapan mengenainya hendaklah diasuh semenjak awal mengenali usrah. Kita tidak mahu ahli yang hanya tahu dalil-dalil, namun aplikasinya dalam menggerakkan harakah ini mereka gagal. Kita mengiginkan ahli yang peka terhadap isu semasa, bijak berfikir dan merancang, cepat menanggapi sesuatu, mahir dalam menganalisis, tepat dalam membuat keputusan, serta profesional dan teliti dalam melaksanakan sesuatu gerak kerja. Kita inginkan ahli yang memahami dan menjiwai gerak kerja yang mereka lakukan, bukan ahli yang hanya menuruti arahan membuta tuli.

Pada waktu yang sama, kita juga berusaha menerapkan pemikiran dan minda yang bersifat menguasai & memimpin. Ini kerana Islam itu sifatnya menguasai bukan dikuasai. Kita berusaha untuk mengawal dan mengurus masyarakat kampus dari segenap ruang dan peluang yang ada di hadapan kita. Kita tidak mahu masyarakat kampus terlibat dengan maksiat dan mengingkari perintah Allah. Kita percaya walaupun jumlah kita sedikit, namun kita mampu untuk menguasai masyarakat kampus dengan memegang roda-roda pergerakan mereka.

Sebagai sebuah gerakan mahasiswa Islam, PMIUM tidak boleh lari daripada menjadi satu badan yang responsif dalam memberikan reaksi isu-isu berkaitan dengan Islam. Kita telah mengambil bahagian secara aktif dalam usaha untuk mengembalikan penggunaan bahasa Melayu dalam pengajaran dan pembelajaran Sains dan Matematik (PPSMI), isu-isu lain seperti penghinaan terhadap Islam oleh seorang penggiat seni warga Sweden baru-baru ini, kezaliman Zionis Israel terhadap rakyat Palestin di Gaza, menyokong perjuangan menuntut keadilan demokrasi dan sebagainya.

Bahkan sehingga ke hari ini, PMIUM diiktiraf sebagai salah satu suara anak muda Islam yang perlu diberikan perhatian dan dilibatkan dalam Majlis Perundingan Islam dibawah Jabatan Perdana Menteri. Hal ini merupakan suatu contoh betapa PMIUM harus meningkatkan kualiti sumbangannya di pentas massa & nasional agar peranan yang dimainkan relevan dengan permasalahn semasa.


Para sahabat sekalian,

GERAKAN MAHASISWI

Peranan wanita dalam massa tidak harus dipendang enteng. Jika dahulunya persepsi masyarakat menganggap gerakan ini hanya sebagai ‘gerakan disebalik tabir’, bersifat destruktif dan lemah, namun hari ini ungkapan tersebut wajar diperbetulkan. Tanggungjawab dalam memperbaiki masyarakat kampus adalah sama besar seperti mana gerakan-gerakan lain. Ini diseru oleh Allah di dalam surat At-Taubah, ayat 71 :

“Dan orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan, sebagian mereka (adalah) menjadi penolong sebagian yang lain. Mereka menyuruh (mengerjakan) yang ma'ruf, mencegah dari yang mungkar, mendirikan shalat, menunaikan zakat dan mereka taat kepada Allah dan Rasul-Nya. Mereka itu akan diberi rahmat oleh Allah ; Sesungguhnya Allah Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana.."

Gerakan Mahasiswi secara spesifiknya telah menemui titik keistimewaan yang tersendiri dalam sesi ini. Dengan rebranding tema & konsep yang lebih feminin & catchy iaitu C.S.L (Caring, Sharing, Loving), HEWI tampil dengan pembawaan yang lebih `segar’ dan menepati kehendak ahli PMIUM khususnya dan warga kampus amnya. Sesuai dengan perkembangan semasa itu juga, HEWI PMIUM telah tampil dengan logo baru yang berwarna hijau biru. Malah unit-unit dalam HEWI juga telah dirombak semula. Pada sesi ini, HEWI menganjurkan pelbagai aktiviti dan program dengan menyerap elemen-elemen tarbiyah, siasah, dakwah, dan akademik agar lahirnya mahasiswi Muslim yang profesional sebagai agen perubahan dan pemangkin kegemilangan Islam.

Buat mahasiswi sekalian,

Setiap mahasiswi pendokong Islam mestilah benar-benar menyedari bahawa mereka mempunyai peranan yang tersendiri dalam membina kekuatan ummah dan mendorong perjuangan ke mercu kejayaan. Oleh itu saya merasakan HEWI merupakan platform terbaik buat mahasiswi bersatu. Walaupun mahasiswi dikenali sebagai golongan yang lemah-lembut, namun dari fakta sejarah telah membuktikan bahawa mereka telah memberikan sumbangan yang sangat besar ertinya kepada perjuangan Islam.

Sejak awal kelahiran Islam sehinggalah cahaya cahaya Islam menerangi jazirah Arab dan kawasan persekitaranya, medan perjuangan Islam tidak pernah sunyi daripada penyertaan angkatan Muslimah. Mereka turut serta mengharungi liku-liku perjuangan, menghadapi rintangan, memberikan bantuan dan semangat, pengorbanan harta benda, melepaskan anak-anak dan suami yang mereka cintai malah ada dikalangan mereka yang gugur syahid kerana perjuangan Islam.

Allah berfirman menerusi Surah Al-Mumtahanah; ayat 12.

“Hai Nabi, apabila datang kepadamu perempuan-perempuan yang beriman untuk mengadakan janji setia, bahwa mereka tiada akan menyekutukan Allah, tidak akan mencuri, tidak akan berzina, tidak akan membunuh anak-anaknya, tidak akan berbuat dusta yang mereka ada-adakan antara tangan dan kaki mereka dan tidak akan menderhakaimu dalam urusan yang baik, maka terimalah janji setia mereka dan mohonkanlah ampunan kepada Allah untuk mereka. Sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang..”

Oleh itu saya merasakan HEWI harus melangkah dengan lebih jauh dengan gerakan mahasiswi yang lebih tegar dan proaktif. Isu-isu berkaitan mahasiswi dan wanita sewajarnya menjadi tumpuan utama untuk diberi penjelasan. Tokoh-tokoh serta figure mahasiswi yang lebih ramai perlu dilatih dan ditampilkan. Maka dengan itu, bersatulah wahai seluruh mahasiswi PMIUM di dalam usaha mendokong peranan mahasiswi kerana kesatuan lambang kekuatan.


KITA, ILMU DAN CABARAN ERA BARU GERAKAN

Dalam mengenderai medan juang yang semakin rencam selepas 10 tahun pasca milenium, kita terpaksa akur dengan hakikat bahawa kita harus mendepani budaya hidup yang semakin terbuka dan inkuiri. Manusia di era ini sudah tidak boleh menerima pakai elemen indoktrinisasi dalam memasakkan fikrah. Elemen ilmu dan hujah sering menjadi keutamaan penerimaan oleh mana-mana kelompok manusia di era ini. Oleh yang demikian menjadi tanggunggjawab seluruh ahli gerakan untuk mempersiapkan diri dengan keperluan ilmu-ilmu yang mapan ketika ini, baik dari sudut ilmu yang teras mahupun ilmu-ilmu alat.

Seluruh keperluan ilmu ini bukan sekadar menjadi pelengkap bahkan menjadi asas untuk keberjayaan dakwah dan gerakan di era ini. Pandangan masyarakat yang memandang tinggi golongan yang berilmu dan mampu berhujah harus kita gunakan untuk ‘memegang’ masyarakat dengan fikrah Islam yang syumul. Inilah ruang baru kita. Kita yakin dan percaya, asal sahaja kita bersungguh-sungguh untuk membina jaringan thaqofah yang mantap di kalangan ahli gerakan, cabaran-cabaran yang menunggu kita di hadapan semakin lama semakin menguncup. Bahkan cabaran itu menjadi peluang pula buat kita untuk terus berpencak di kancah masyarakat.

Antara ilmu-ilmu semasa yang perlu kita cerapi dengan mantap di era ini ialah:
1. Ilmu-ilmu Asas Islam dan Penghujahan di Sekitarnya (Tauhid, Syariat, Akhlak)
2. Ilmu Psikologi & Komunikasi
3. Ilmu Bahasa (Inggeris, Mandarin, Tamil, Arab)
4. Ilmu Ekonomi
5. Ilmu Isu-isu Semasa
6. Ilmu Berorganisasi dan Pentadbiran


PENUTUP

Anak-anak muda harapan ummah yang dikasihi sekalian,

Agama ini membangun melalui jihad generasi silam yang berlandaskan asas-asas yang kukuh iaitu keimanan kepada Allah, mengenepikan kesenangan hidup yang sementara kerana mengutamakan kehidupan yang kekal abadi, berkorban dengan darah, nyawa dan harta demi menegakkan kebenaran, mereka juga cintakan mati pada jalan Allah.

Jadikanlah segala asas yang kukuh ini sebagai landasan kebangkitan kita, perbaiki diri kita, pusatkan dakwah kita dan pimpinlah umat ke arah kebaikan. Allah akan sentiasa bersama kita dan Allah tidak akan mensia-siakan amalan kita. Janganlah kita berputus asa kerana ia bukan sifat orang Islam, Kenyataan hari ini adalah impian semalam dan impian hari ini adalah kenyataan hari esok. Masa masih panjang dan anasir-anasir yang baik dan kuat masih ada dalam diri bangsa kita yang beriman walau bagaimana dasyat sekali pun kedurjanaan yang melanda. Orang yang lemah tidak selamanya akan lemah sepanjang hidup. Manakala orang yang kuat tidak selamanya akan kuat.

Firman Allah dalam Surah Al-Qasas; ayat 5-6.

“Dan kami hendak memberi kurnia kepada orang-orang yang tertindas di bumi (Mesir) itu dan hendak menjadikan mereka pemimpin dan menjadikan mereka orang-orang yang mewarisi bumi. Dan akan kami teguhkan kedudukan mereka di muka bumi dan akan kami perlihatkan kepada Fir'aun dan Haman beserta tentaranya apa yang selalu mereka khuatirkan dari mereka itu..”

Menyedari medan kita yang semakin luas dan mencabar, kita memerlukan segala instrumen-instrumen yang boleh menjadi kejayaan pada gerakan ini. Baik dalam ruang ekonomi, sosial, dakwah, politik, dan lain-lain, kita menginsafi sudah menjadi tanggungjawab kita untuk terus memimpin & melakukan pengislahan samada secara beransur-ansur ataupun dramatik. Segalanya bertitik tolak kepada kita.

Peluang akan tiba untuk melakukan sesuatu yang lebih besar. Dunia sedang menanti bentuk-bentuk pengislahan yang kita datangkan kepada mereka. Ia pastinya merupakan suatu evolusi untuk membawa kejayaan dan kesejahteraan untuk membebaskan mereka daripada segala kepahitan yang dialami selama ini.

Kita mengharapkan Allah. Bersedialah dan mulalah beramal pada hari ini kerana mungkin esok kita tidak lagi berupaya. Saya sampaikan juga pesanan buat mereka yang bersemangat dikalangan kita supaya bersabar dan menunggu pusingan masa. Saya pesan juga pada mereka yang tidak mahu bangkit dan beramal bahawa jihad ini tidak mengenal erti rehat.

“Dan orang-orang yang berjihad untuk (mencari keridhaan) kami, benar- benar akan kami tunjukkan kepada mereka jalan-jalan kami. dan Sesungguhnya Allah benar-benar beserta orang-orang yang berbuat baik..” (Surah Al-Ankabut; ayat 69)

Semoga dalam kesempatan yang wujud ini dapat kita manfaatkan seoptimum mungkin bagi merencana gerakan PMIUM yang lebih cemerlang dari masa ke semasa. Luahkanlah idea, pandangan, kritikan dan pendapat kita untuk kepentingan ummah dan bukannya bersifat peribadi. Jadikanlah medan yang tersedia ini sebagai medan untuk kita bermuzakarah secara baik dan penuh dengan keikhlasan.

Saya mewakili barisan kepimpinan mengucapkan jutaan terima kasih di atas kerjasama, sokongan, pengorbanan, idea dan bantuan yang telah sahabat-sahabat semua berikan kepada kami. Segala kelemahan dan kesilapan mohon untuk diperbaiki. Marilah kita berdoa semoga Allah memberi taufiq dan hidayahNya kepada kita sepanjang laluan perjalanan kita.

Sekian, Wassalamualaikum Warahmatullahi Wa Barakatuh.

Shazni Munir Mohd Ithnin,
Presiden PMIUM sesi 2OO9/2O10