Monday, July 22, 2013

KEMAHIRAN MENILAI DAN MENGKRITIK HADITH


Ilmu dan kemahiran menilai dan mengkritik hadith-hadith Nabawi bukanlah sesuatu yang asing dalam dunia ilmu hadith. Perkara yang dinilai dan dikritik adalah dari aspek jalur sanad dan matan hadith sesuatu hadith tersebut. Namun, ilmu ini bukanlah suatu yang mudah untuk dikuasai oleh seseorang meski pun beliau telah bergelumang dalam lapangan hadith bertahun-tahun.

Para Imam Ulama Hadith Lebih Berkemampuan Mengetahui Kesahihan Sesuatu Hadith

Ilmu pengetahuan para ulama hadith yang pakar dalam kritikan perawi menjadi rujukan dalam menentukan kesahihan hadith-hadith Nabi s.a.w. Mereka adalah orang yang sudah terbiasa dan banyak mengkaji sabda Nabi Muhammad s.a.w. Mereka juga terbiasa dan banyak mengkaji kenyataan para ulama mengenai hal perawi hadith dan para penukil khabar (hadith dan athar). Mereka mengetahui sama ada seseorang perawi itu benar atau pun dusta dan mengetahui tahap hafalan dan dabitnya mereka.

Mereka mempunyai cara tertentu dalam mengkritik dan menilai hadith. Mereka mahir dan pakar menggunakannya untuk mengenal pasti sesebuah hadith. Ia sebagaimana kemahiran seseorang pengurup wang yang bijak dalam mengenal pasti wang yang tinggi atau rendah nilainya, tulen atau palsu. Begitu juga tukang permata yang mahir dalam mengenal pasti batu permata dengan melakukan kajian terhadapnya. 

Mereka tidak mampu untuk mengambarkan (secara detil) tentang bagaimana mereka mampu mengenali ketulenannya. Mereka juga tidak dapat menegakkan dalil (yang tercapai) kepada (tahap fikir) orang lain. Buktinya, apabila sesebuah hadith dibentangkan untuk dinilai oleh sekumpulan ulama hadith yang mengetahui ilmu tersebut, mereka didapati memberikan jawapan yang sama tentang kedudukan hadith itu. Padahal tiada sebarang pakatan sesama mereka sebelumnya.

Sebenarnya perkara ini telah diuji beberapa kali dalam kalangan mereka pada zaman Abu Zur'ah dan Abu Hatim, lalu itulah yang berlaku. Lantas orang yang bertanya berkata: "Saya bersaksi bahawa ilmu ini adalah suatu ilham." Al-A'mash berkata: "Ibrahim al-Nakha'i umpama seorang tukang pengurup wang dalam bidang hadith. Saya akan perdengarkan kepadanya hadith yang saya dengar daripada beberapa orang perawi."

'Amru bin Qais berkata: "Seorang perawi hadith mestilah menjadi seumpama pengurup wang yang memastikan mata wang dirham sama ada palsu atau buruk kualitinya. Begitu juga hadith."

Al-Awza'i berkata: "Kami mendengar suatu hadith lalu kami kemukakan hadith tersebut kepada ulama kami, sebagaimana kami kemukakan wang dirham palsu kepada pengurup wang. Apa yang mereka kenal pasti, kami ambil dan apa yang mereka tolak, kami tinggalkan."

Cara Menilai dan Mengetahui Hadith

Abd al-Rahman bin Mahdi telah ditanya: "Engkau berkata terhadap sesuatu hadith; Ini sahih dan yang ini tidak thabit. Daripada siapa kata-kata engkau itu?" Lalu jawabnya: "Apa pendapat engkau seandainya engkau berjumpa dengan seorang pakar matawang, lalu engkau tunjukkan kepadanya wang dirham. Dia pun berkata; Yang ini baik dan ini pula palsu. Adakah engkau mempersoalkannya daripada siapa dia mengetahuinya atau engkau menyerahkan urusan tersebut kepadanya?" Jawabnya: "Tidak, bahkan saya menyerahkan perkara tersebut kepadanya." Jawab Abd al-Rahman: "Bidang hadith pun begitu juga. Ia diperolehi disebabkan sudah lama mendalami hadith, sering mengadakan perbahasan dan mempunyai pengalaman yang cukup luas."

Pengertian yang sama juga diriwayatkan daripada al-Imam Ahmad. Beliau telah ditanya; "Wahai Abu Abdullah, engkau kata: Ini hadith mungkar, jadi bagaimana engkau tahu padahal engkau tidak menulis kesemua hadith?" Jawabnya: "Kami umpama pakar emas. Tidak kesemua emas berada dalam tangannya. Apabila dia memeriksa emas yang adala di tangannya, dia tahu bahawa emas itu tulen atau pun palsu."

Ibn Mahdi pula berkata; "Mengenali sesuatu hadith adalah ilham." Katanya lagi: "Golongan jahil menganggap kami menolak hadith seperti tukang tilik." Manakala Abu Hatim al-Razi berkata: "Perumpamaan orang yang mengenali sesuatu hadith seumpama mengenali batu permata cincin yang berharga 100 dinar. Satu lagi batu yang sama warna dengannya, tetapi harganya hanya 10 dirham." Beliau berkata: "Seseorang pengkritik permata tidak mampu memberitahu sebab dia mengkritik. Begitu juga kami yang telah dikurniakan ilmu ini. Kami juga tidak mampu memberitahu bagaimana kami tahu bahawa hadith ini dusta dan hadith itu mungkar melainkan disebabkan ilmu yang kami miliki." Katanya: "Duit dinar tulen dapat dikenali dengan membandingkannya dengan duit dinar yang lain. Sekiranya terdapat perbezaan antara warna kemerahan dan putih, tahulah dia bahawa duit itu palsu. Jenis permata itu diketahui dengan membandingkannya dengan permata yang lain. Sekiranya kecairan dan kepejalannya berbeza, tahulah bahawa itu adalah kaca. Kesahihan sesebuah hadith dapat diketahui melalui sifat adil perawinya dan matannya sesuai untuk disandarkan kepada Nabi Muhammad s.a.w. Kepalsuan dan mungkarnya sesebuah hadith pula diketahui melalui perawi yang tidak diakui sifat adilnya meriwayatkan hadith secara berseorangan. Wallahu a'lam."

Golongan Awal Penilai Hadith

Walau apa pun, pendokong ilmu al-naqd (ilmu menilai hadith dan mengkritik perawinya) yang pakar dan arif tentang illah hadith hanyalah segelintir individu sahaja dalam kalangan ahli hadith. Ulama pertama yang terkenal dalam menilai hadith ialah Ibn Sirin, diikuti selepas itu oleh Ayyub al-Sakhtiyani. Kemudian Shu'bah mempelajari ilmu ini daripadanya. Seterusnya Yahya al-Qattan dan Ibn Mahdi pula mempelajari ilmu ini daripada Shu'bah. Manakala al-Imam Ahmad bin Hanbal, Ali Ibn al-Madini dan Ibn Ma'in mempelajari daripada mereka berdua. Sementara al-Bukhari, Abu Dawud, Abu Zur'ah dan Abu Hatim belajar daripada mereka.

Sewaktu Abu Zur'ah masih hidup, beliau pernah berkata: "Sedikit benar orang yang memahami ilmu ini. Alangkah susahnya ilmu ini hendak saya ajarkan, walau pun kepada seorang dua. Alangkah sukar untuk didapati orang yang menguasai ilmu ini dengan baik. Bilangan mereka amat terbatas."

Selepas Abu Zur'ah meninggal dunia, Abu Hatim berkata: "Seorang yang mahir dalam ilmu ini telah pergi meninggalkan kita. Tiada seorang pun yang mahir dalam ilmu ini di Mesir atau pun di Iraq." Beliau telah ditanya selepas Abu Zur'ah meninggal: "Tahukah engkau siapa yang mengetahui ilmu itu hari ini?" Jawabnya: "Tidak."

Selepas mereka, muncul segolongan ulama lain. Mereka terdiri daripada al-Nasai, al-'Uqayli, Ibn 'Adi dan al-Daruqutni. Hanya sedikit sahaja mereka yang datang selepas itu benar-benar mahir dalam ilmu tersebut. Sehinggakam Abu al-Faraj bin al-Jawzi berkata dalam pendahuluan kitabnya al-Mawdu'at: "Sesungguhnya terlalu sedikit orang yang memahami ilmu ini, bahkan telah tiada."

Wallahu A'lam.


Rujukan:

1) Ibn Rajab al-Hanbali, Jami' al-'Ulum wa al-Hikam, jld. 2, hlm. 424 -427.

Tuesday, July 9, 2013

Salam Ramadan 1434H


Assalamualaikum semua,

Di kesempatan ini saya ingin mengucapkan "Selamat Meyambut Bulan Ramadan 1434". Sama-samalah kita berdoa supaya Allah SWT memberikan kekuatan kepada kita untuk melaksanakan ibadah sepanjang Ramadan kali ini. Kekuatan yang sebenarnya adalah kekuatan rohani iaitu keimanan kepada Allah dan pengharapan kita kepada-Nya.

Kerap kali kita berhadapan dengan situasi peningkatan mendadak graf kehadiran umat Islam ke masjid di awal Ramadan dan berlaku penurunan seiring dengan berlalunya hari-hari Ramadan. Bukanlah tujuan untuk mengkritik gejala ini, namun kita perlu mengkoreksi kembali apakah punca yang mendorong keadaan sedemikian. 

Hakikatnya, kekuatan ibadah itu datangnya daripada dalaman diri dan bukannya fizikal. Maka dengan sebab itulah, Rasulullah s.a.w menyatakan bahawa sesiapa yang berpuasa Ramadan dengan penuh rasa iman dan pengharapan kepada Allah SWT, justeru diampunkan segala dosa-dosanya yang telah lalu. Hadith tersebut jelas menyatakan bahawa syarat pengampunan dosa-dosa lalu ialah dengan melaksanakan ibadah puasa yang beserta dengan rasa iman dan pengharapan kepada Allah SWT, Tuhan yang mengampunkan dosa umat manusia. Inilah yang menjadi tunjang ibadah, tanpanya tiada nilai ibadah tersebut disisi Allah SWT.

Tawaran keampunan daripada Allah SWT tidak hanya pada ibadah puasa di siang hari, namun ia turut melibatkan aktiviti ibadah pada malam-malam Ramadan. Ia sebagaimana yang telah disabdakan oleh Rasulullah s.a.w yang bermaksud; Sesiapa yang mendirikan malam Ramadan dengan penuh keimanan dan pengharapan, maka diampunkan dosa-dosanya yang telah lalu. Juga mempunyai syarat yang sama dengan ibdah puasa di siang harinya.

Kesimpulannya, kita perlu mengekalkan struktur ibadah dalaman dengan sentiasa memenuhkan hati dengan rasa iman dan penuh pengharapan kepada Allah meskipun ibadah luaran berbeza-beza. Pendek kata, 24 jamlah, selagi kita masih hidup dengan menghirup udara Allah SWT dan mengcapi nikmat-Nya.

SELAMAT MENJALANI IBDAH RAMADAN 1434H !!!!