Monday, July 11, 2016

SeLaMaT HaRi RaYa EiDuL FiTrI 1437H



Assalamualaikum w.r.t w.b.t,

Alhamdulillah, syukur ke hadrat Allah SWT atas segala kurniaan-Nya. Saya dan keluarga mengambil kesempatan ini mengucapkan Selamat Hari Raya Eidul Fitri, Maaf Zahir dan Batin kepada semua yang mengenali kami. Semoga segala amalan kebaikan kita yang lalu diterima Allah SWT dan amalan keburukan yang lalu diampunkan-Nya.


Saya meyakini bahawa dalam diri kita masih lagi mekar rasa syukur kepada Allah SWT atas anugerah ‘Idulfitri dan Syawwal yang sedang kita jalani kini. Ia sebagai syiar bagi ummat Muhammad SAW dalam menzahirkan rasa tunduk dan rendah diri kepada keagungan, kehebatan dan kebesaran Allah SWT, sekali gus menyambutnya dengan menyulam silaturrahim dan berkasih sayang sesama manusia. Kalimah-kalimah murni, suci dan agung berupa takbir, tahlil, dan tahmid  telah berhamburan ke angkasa dikumandangkan oleh jutaan kaum muslimin, tidak hanya di negara kita, bahkan di seluruh pelusuk dunia. Maha Suci Allah, setiap Muslim walau di ceruk mana di dunia ini sekalipun, dalam dadanya akan mengakui kebesaran Allah SWT dan mengakui keesaan Allah SWT, hanya Dialah satu-satunya Tuhan yang layak dan wajib disembah.

Sedikit coretan sempena kedatangan Syawwal kali ini.

Taqwa Natijah Kesyukuran

Seseorang yang hidup di atas muka bumi ini pastinya mempunyai impian dan hasrat, peringkat demi peringkat sehinggalah ke puncaknya. Begitu juga kita sebagai Muslim, kemuncak tertinggi dalam cita-cita kita adalah untuk menjadi seorang yang bertaqwa kepada Allah SWT. Inilah martabat tertinggi Muslim di sisi Allah SWT. Lalu, apakah kita masih membenarkan diri kita mengabaikan perintah-Nya dan dalam masa yang sama, tidak sudi meninggalkan larangan-Nya dalam kehidupan seharian kita? Ayuhlah para pembaca sekalian, pada kesempatan umur yang berbaki ini kita perbetulkan landasan hati dan amal kita agar kembali meluru laju dan penuh yakin menuju ke arah matlamat menjadi insan yang bertaqwa di sisi Allah SWT. 


Pastikan Jangan Rugi


Sungguh pantas masa berlalu, bagai semalam masih Sya’ban, namun hakikatnya kita kini telah menjejak diri dalam bulan Syawwal. Dalam suasana bergembira menyambutnya, jangan pula kita melupakan inti utama ibadah Ramadan. Ibarat seorang pedagang yang baru selesai daripada urusan perniagaannya, tentu dia akan menghitung berapa keuntungan atau kerugian yang diperolehnya. Begitu jugalah yang seharusnya dilakukan oleh orang-orang yang beriman setelah berakhirnya Ramadan. Lebih-lebih lagi kita berurusan dengan Allah SWT, Tuhan semesta alam. Kerugian bukanlah suatu pilihan pengalaman. 


Bagi orang yang mahu berfikir, pasti dia akan memerhati dirinya, sudahkah dia memanfaatkan Ramadannya untuk bertaubat dan melipat gandakan amalan? Apakah perubahan yang dialaminya selepas berakhirnya Ramadan? Sesuai dengan sabda Baginda SAW yang diriwayatkan oleh al-Tirmizi r.h daripada Abu Hurairah r.a:

رَغِمَ أَنْفُ رَجُلٍ ذُكِرْتُ عِنْدَهُ فَلَمْ يُصَلِّ عَلَيَّ وَرَغِمَ أَنْفُ رَجُلٍ دَخَلَ عَلَيْهِ رَمَضَانُ ثُمَّ انْسَلَخَ قَبْلَ أَنْ يُغْفَرَ لَهُ وَرَغِمَ أَنْفُ رَجُلٍ أَدْرَكَ عِنْدَهُ أَبَوَاهُ الْكِبَرَ فَلَمْ يُدْخِلَاهُ الْجَنَّةَ


Maksudnya: “Celakalah seseorang yang apabila aku disebut di sisinya, namun dia tidak berselawat ke atasku. Dan celakalah seseorang yang masuk menemukan Ramadan kemudian keluar tanpa mendapatkan keampunan. Dan celakalah seseorang yang berkesempatan dengan ibu bapanya yang lanjut usia, namun tidak dapat masuk syurga kerana (berbakti kepada) keduanya.”
(Hadith ini dinilai hasan gharib oleh al-Tirmizi dan disahihkan al-Albani menerusi al-Irwa’)


Konsekuensi Ramadan

Lantas dengan fikiran yang waras kita wajar menilai, andainya Ramadan lalu telah dimanfaatkan sedaya mungkin, maka apakah penerusnya? Dan jika Ramadan lalu terdapat banyak kelompangan, lantas ibadah apakah yang mampu menampalnya? Nah, inilah sajian minda orang beriman yang melazimi muhasabah terhadap dirinya.
 

Antara tanda diterimanya sesuatu amalan ialah amalan tersebut berlanjutan pada masa hadapan. Ini kerana amalan yang baik akan menarik amalan baik berikutnya. Demikianlah amalan-amalan wajib diiringi dengan amalan-amalan sunat. Ia umpama rumah yang dikelilingi hiasan yang indah dengan rumah yang tiada hiasan. Pastilah kita lebih menginginkan rumah yang ceria, indah, dan tenteram berbanding rumah yang usang, kotor dan seram. Justeru, ayuhlah kita menyahut seruan Allah SWT untuk memperbanyak amalan kebaikan. Firman Allah SWT:

Maksudnya: “Dan bagi tiap-tiap ummat ada arah (kiblat) yang masing-masing menghadapnya. Lantaran itu berlumba-lumbalah kamu mengerjakan kebaikan, kerana di mana sahaja kamu berada maka Allah tetap akan membawa kamu semua (berhimpun pada hari kiamat untuk menerima balasan). Sesungguhnya Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.”
(Surah al-Baqarah, ayat 148)
 
Amat mengejutkan apabila dalam kalangan kita yang telah bertungkus lumus dan berterusan berpuasa setiap hari pada bulan Ramadan, namun terhenti terus dengan sebab kedatangan Syawwal hinggalah ke Ramadan berikutnya. Bagi Mukmin yang ingin memperbanyak ibadah puasa sunat dan istiqamah dengannya, galakan berpuasa enam hari pada bulan Syawwal adalah suatu berita yang menggembirakan daripada Baginda Rasul SAW. Sabda Baginda SAW yang diriwayatkan oleh Abu Ayyub al-Ansari r.a:



مَنْ صَامَ رَمَضَانَ ثُمَّ أَتْبَعَهُ سِتًّا مِنْ شَوَّالٍ كَانَ كَصِيَامِ الدَّهْرِ



Maksudnya: “Sesiapa yang berpuasa pada bulan Ramadan kemudian menyusulkannya dengan enam hari daripada bulan Syawwal, dia seolah-olah telah berpuasa sepanjang tahun.”
(Hadith riwayat Muslim, al-Tirmizi, Ibn Majah, dan Ahmad)


Rahmat Allah Sepanjang Masa

Ganjaran Allah SWT tidak terhad pada bulan Ramadan sahaja. Allah bukan hanya menjadi Tuhan dalam bulan Ramadan, tetapi tidak pada bulan yang lain. Sebaliknya keTuhanan Allah SWT itu merentas segalanya. Maha Pemurah Allah merentas sempadan, Maha Pengasih Allah merentas keturunan, Maha Pengampun Allah merentas zaman, Maha Suci Allah Tuhan semesta alam. Demikian juga kita, kita tidak hanya menjadi hamba Allah SWT dalam bulan Ramadan sedang bulan-bulan selainnya tidak. Inilah kebimbangan yang diutarakan oleh Dr Yusuf al-Qaradawi iaitu ummat ini menjadi hamba kepada Ramadan dan bukan kepada Allah SWT.


Ibn Rajab al-Hanbali r.h menyatakan bahawa kedudukan puasa sunat di bulan Sya’ban dan Syawwal terhadap puasa Ramadan ibarat kedudukan solat sunat Rawatib (Qabliyah dan Ba‘diyah) terhadap solat fardu. Puasa sunat tersebut menyempurnakan kekurangan yang terjadi ketika pelaksanaan puasa Ramadan.
 
Menerusi hadith tersebut juga, Allah SWT memberikan ganjaran seolah-olah berpuasa selama setahun. Ia sekali gus sebagai suatu isyarat kepada kita ummat Islam supaya bercita-cita untuk melakukan ibadah puasa sepanjang tahun. Sekali pun tidak mampu, namun cita-cita dan keazaman yang tinggi akan mendorong kita memperbanyak ibadah puasa sunat pada masa akan datang. Setiap ibadah puasa yang dilaksanakan, akan digandakan ganjarannya oleh Allah SWT. Sesuai dengan sabda Rasulullah SAW kepada Abdullah bin Amr bin al-‘As r.a:



فَإِنَّكَ لَا تَسْتَطِيعُ ذَلِكَ فَصُمْ وَأَفْطِرْ وَقُمْ وَنَمْ وَصُمْ مِنْ الشَّهْرِ ثَلَاثَةَ أَيَّامٍ فَإِنَّ الْحَسَنَةَ بِعَشْرِ أَمْثَالِهَا وَذَلِكَ مِثْلُ صِيَامِ الدَّهْرِ



Maksudnya: “Sesungguhnya engkau tidak akan mampu berbuat demikian (berpuasa siang dan solat malam setiap hari sepanjang hidup). Namun, (gilirkanlah) berpuasa dan berbuka, qiamullail dan tidur, dan berpuasa tiga hari dalam setiap bulan. Sesungguhnya setiap satu kebaikan itu (ganjarannya) sepuluh kali ganda, dan dengan itu seumpama berpuasa sepanjang tahun.”
(Hadith riwayat al-Bukhari)


Mana Satu Yang Lebih?

Hakikatnya, puasa enam hari di bulan Syawwal adalah ibadah sunat. Ia sekali-kali tidak dapat mengatasi puasa Ramadan. Keutamaan dan fadilatnya hanya akan diperoleh dan didapati oleh orang yang telah selesai menjalani ibadah puasa Ramadan dengan baik. Mana mungkin padi dituai tanpa menanamnya terlebih dahulu, tidak juga atap dipasang tanpa tiang dan dinding sebelumnya, apatah lagi seorang lelaki ingin mendapatkan anak tanpa mencari ibu untuknya terlebih dahulu. Justeru, bagi mereka yang memiliki hutang puasa, hendaklah segera membayarnya dahulu sebelum mengikutinya dengan puasa selama enam hari pada bulan Syawwal.


Mengamati sekeliling kita, kita akan melihat masyarakat dunia mula menyedari kepentingan untuk menjaga kesihatan tubuh badan melalui aspek pemakanan. Kita menyaksikan wujudnya individu-individu yang sanggup berlapar dan mencatu makanan sebagai diet untuk menurunkan berat badan demi untuk kelihatan cantik di dunia dan mendapat pujian awam. Namun tidak ramai yang sanggup berpuasa sebagai ibadah demi mendapatkan akhirat dan redha Allah SWT.

Selain itu, sentiasa berada dalam keadaan kenyang juga tidak menjana perkembangan positif minda, sebaliknya sedikit kelaparan akan menjentik kreativiti, inovasi dan daya saing diri sebagai hikmah daripada ibadah puasa selain sentiasa dalam pemeliharaan Allah SWT.

Dengan memperbanyak ibadah puasa sunat, kita akan menginsafi dan turut sama simpati kepada golongan miskin dan kelaparan. Ini kerana mereka tidak hanya kelaparan pada bulan-bulan tertentu sebaliknya mereka kelaparan sepanjang tahun atau boleh jadi seumur hidup. Hasilnya, akan lahir masyarakat yang prihatin, berjimat cermat, sekali gus suka menghulurkan bantuan kepada yang memerlukan. Bukanlah semua makanan kita untuk kita habiskan semuanya, namun terdapat hak orang lain yang lebih memerlukan.

Semoga perkongsian kali ini memberi natijah kebaikan kepada semua.



Thursday, June 30, 2016

Raikan Ramadan 1437H Bersama Anak Kariah Sentul

Bergambar bersama para peserta tadarus, pegawai dan kakitangan Masjid Al-Hidayah, Sentul, KL

Alhamdulillah... Tiada ungkapan agung selainnya untuk menyatakan syukur kepada Allah SWT. Tanggal 30 Jun 2016 bersamaan 26 Ramadan 1437H, Masjid al-Hidayah, Sentul Pasar, Kuala Lumpur telah mengadakan Majlis Berbuka Puasa dan Sumbangan 'Idulfitri kepada para asnaf dan anak-anak yatim dalam kariah Sentul manakala pada sebelah malamnya selepas solat Tarawih, diadakan Majlis Khatam al-Quran bagi para peserta program tadarus al-Quran anjuran masjid sepanjang Ramadan kali ini. 

Kedua-dua program ini sebenarnya bukanlah baru, malah ia adalah aktiviti tahunan yang dilaksanakan oleh pihak masjid. Alhamdulillah, kali ini adalah Ramadan kali ke-5 saya bersama dengan Masjid al-Hidayah. Macam-macam peristiwa berlaku setiap kali Ramadan berkunjung tiba, namun kali ini ada kelainan yang tersendiri. Antaranya ialah,
  1. Majlis kali ini majlis pertama bagi Jawatankuasa MAHSP yang baru (2016-2018) dibawah pimpinan Tuan Haji Rusman bin Kassim.
  2. Majlis kali ini dihadiri oleh Tuan Haji Ramli bin Uda Jali sebagai tetamu jemputan, bagi meraikan beliau sebagai mantan pengerusi MAHSPKL.
  3. Majlis kali ini tidak dapat bekerjasama dengan pihak syarikat SKALI berikutan P.I.Cnya, En. Aidi telah tidak lagi bekerja di syarikat tersebut.
  4. Ramadan tahun ini masjid kehilangan seorang jemaah yang paling komited dalam menghidupkan tadarus dan qiamullail iaitu arwah Tuan Haji Abd Rahman, beliau meninggal dunia pada April lalu. Semoga Allah SWT tempatkan rohnya bersama dalam kalangan orang beriman. Beliau merupakan orang soleh, sentiasa datang sejam atau setengah jam awal sebelum masuk waktu solat, membaca al-Quran, dan satu-satunya jemaah yang mencatat nota setiap kuliah yang disampaikan di masjid. Banyak nasihat daripada arwah yang saya peroleh sepanjang mengenali beliau.
  5. Majlis kali ini juga saya hadir bukan lagi sebagai Ketua Imam, sebaliknya sebagai jemaah biasa.Ini berikutan saya telah ditukarkan ke tempat yang lain menjelang Ramadan kali ini.
Masjid ini jika dilihat secara zahirnya hanyalah biasa-biasa sahaja jika dibandingkan dengan masjid-masjid lain di Wilayah Persekutuan ini. Bahkan sebahagian prasarananya tidak ada pun, seperti Dewan Serbaguna, Perpustakaan, SRA dan lain-lain. Namun, kenangan sepanjang menyantuni kariah Sentul selama ini sangat membekas dijiwa sehingga boleh saya katakan bahawa inilah masjid terhebat dan terbaik. Bukan saya tidak pernah melihat masjid-masjid lain. Namun ia ada keunikannya yang tersendiri yang saya cukup yakin tiada di tempat lain.

Sekadar itu coretan kali ini.. 

Bersama Tuan Haji Rusman, Pengerusi MAHSP menyampaikan sumbangan pada anak yatim.