Bergambar bersama para peserta tadarus, pegawai dan kakitangan Masjid Al-Hidayah, Sentul, KL
Alhamdulillah... Tiada ungkapan agung selainnya untuk menyatakan syukur kepada Allah SWT. Tanggal 30 Jun 2016 bersamaan 26 Ramadan 1437H, Masjid al-Hidayah, Sentul Pasar, Kuala Lumpur telah mengadakan Majlis Berbuka Puasa dan Sumbangan 'Idulfitri kepada para asnaf dan anak-anak yatim dalam kariah Sentul manakala pada sebelah malamnya selepas solat Tarawih, diadakan Majlis Khatam al-Quran bagi para peserta program tadarus al-Quran anjuran masjid sepanjang Ramadan kali ini.
Kedua-dua program ini sebenarnya bukanlah baru, malah ia adalah aktiviti tahunan yang dilaksanakan oleh pihak masjid. Alhamdulillah, kali ini adalah Ramadan kali ke-5 saya bersama dengan Masjid al-Hidayah. Macam-macam peristiwa berlaku setiap kali Ramadan berkunjung tiba, namun kali ini ada kelainan yang tersendiri. Antaranya ialah,
- Majlis kali ini majlis pertama bagi Jawatankuasa MAHSP yang baru (2016-2018) dibawah pimpinan Tuan Haji Rusman bin Kassim.
- Majlis kali ini dihadiri oleh Tuan Haji Ramli bin Uda Jali sebagai tetamu jemputan, bagi meraikan beliau sebagai mantan pengerusi MAHSPKL.
- Majlis kali ini tidak dapat bekerjasama dengan pihak syarikat SKALI berikutan P.I.Cnya, En. Aidi telah tidak lagi bekerja di syarikat tersebut.
- Ramadan tahun ini masjid kehilangan seorang jemaah yang paling komited dalam menghidupkan tadarus dan qiamullail iaitu arwah Tuan Haji Abd Rahman, beliau meninggal dunia pada April lalu. Semoga Allah SWT tempatkan rohnya bersama dalam kalangan orang beriman. Beliau merupakan orang soleh, sentiasa datang sejam atau setengah jam awal sebelum masuk waktu solat, membaca al-Quran, dan satu-satunya jemaah yang mencatat nota setiap kuliah yang disampaikan di masjid. Banyak nasihat daripada arwah yang saya peroleh sepanjang mengenali beliau.
- Majlis kali ini juga saya hadir bukan lagi sebagai Ketua Imam, sebaliknya sebagai jemaah biasa.Ini berikutan saya telah ditukarkan ke tempat yang lain menjelang Ramadan kali ini.
Masjid ini jika dilihat secara zahirnya hanyalah biasa-biasa sahaja jika dibandingkan dengan masjid-masjid lain di Wilayah Persekutuan ini. Bahkan sebahagian prasarananya tidak ada pun, seperti Dewan Serbaguna, Perpustakaan, SRA dan lain-lain. Namun, kenangan sepanjang menyantuni kariah Sentul selama ini sangat membekas dijiwa sehingga boleh saya katakan bahawa inilah masjid terhebat dan terbaik. Bukan saya tidak pernah melihat masjid-masjid lain. Namun ia ada keunikannya yang tersendiri yang saya cukup yakin tiada di tempat lain.
Sekadar itu coretan kali ini..
Bersama Tuan Haji Rusman, Pengerusi MAHSP menyampaikan sumbangan pada anak yatim.
No comments:
Post a Comment