Monday, August 29, 2011

Hari Terakhir Sebelum Cuti Sekolah


ni gambar kete cikgu rosli.. 25 ramadan baru ni kete dia kena baling batu ngan budak sekolah.. melampau jahat budak2 sekolah sekarang ni...

masa ni semua guru berada di dewan, sedang uruskan 'budaya tutup sekolah'...

budak ni kalau dapat tangkap, tangung la.. saya nasihatkan, jangan bagi kantoi dengan cikgu2.

berani buat, berani tanggung...

Thursday, August 18, 2011

Buku Ini Ada Macam-Macam

Tahukah kalian apakah buku di atas? Ia bertajuk Siyar A'lam al-Nubala. Buku ini adalah hasil karya al-Imam Syams al-Din al-Zahabi (m. 748 H). Bagi para penuntut ilmu hadith, karya ini adalah rujukan wajib mereka terutama yang berkaitan dengan 'Ilm al-Jarh wa al-Ta'dil.

Dalam karyanya ini, al-Imam al-Zahabi (m. 748 H) telah menghimpunkan sebanyak mungkin riwayat-riwayat berkaitan dengan biodata para perawi hadith. Beliau menyusunnya bermula dari generasi (tabaqat) para sahabat, tabi'in, atba' tabi'in, dan seterusnya hinggalah pada zaman beliau. Sehubungan dengan itu kitab ini adalah kitab yang paling lengkap buat masa ini dalam memuatkan perihal biodata para perawi hadith.

Melaluinya juga kita kan dapat meneliti status seseorang perawi tersebut sama ada ia diterima atau ditolak, thiqah atau dhaif, dhabit atau tidak, kisah-kisah mengenai perawi, dan lain-lain. Kesemuanya dinyatakan dengan bersanad.

Pada asalnya karya ini tidaklah dihimpun secara langsam dan teratur memandangkan saiznya yang sangat besar. Bagi tempoh beberapa dekad yang lalu, para penuntut hadith sangat sukar untuk mendapatkan maklumat di dalamnya memandangkan terdapat jilid-jilid yang belum ditahqiq (disunting) dari makhtutat (manuskrip) asal. Bahkan terdapat manuskrip-manuskrip yang masih belum ditemui.

Namun selepas beberapa tempoh masa berlalu, makhtutat ini ditahqiq satu persatu oleh pelbagai individu atau kumpulan dari segenap ceruk dunia dan nah, inilah hasilnya setelah ia disatukan. Keseluruhannya merangkumi lebih 20 jilid yang tebal-tebal. Segunung tahniah kepada al-'Allamah Syeikh Syu'aib al-Arnaut dan para pelajarnya yang telah berhempas pulas sehingga naskhah lengkap ini dapat dicetak dan disebarkan.

Sepanjang pengajian saya dalam bidang hadith (sehingga hari ini), tidak dinafikan saya telah banyak bertemu dengan karya-karya yang agung nukilan tokoh-tokoh terdahulu dalam bidang ini. Namun yang sangat menerujakan saya adalah kitab Siyar 'Alam al-Nubala' ini. Keilmuan, ketokohan, dan kepakaran al-Imam al-Zahabi (m. 748 H) sangat terserlah melaluinya. Sehingga saya berani menyatakan bahawa mana-mana penuntut ilmu hadith yang tidak mengenali karya ini seolah-olah pengajiannya tidak lengkap. Tanyalah mana sahaja ulama-ulama hadith kontemporari, pastinya mereka menjadikan karya ini sebagai suatu rujukan wajib.

Namun begitu, terdapat beberapa pandangan ulama hadith yang menyatakan bahawa karya ini masih hilang sebahagiannya. Mungkin sekitar satu atau dua jilid. Ini kerana nama besar seperti al-Imam al-Nawawi (m. 676 H) tiada biografi mengenainya dalam koleksi karya ini. Begitu juga dengan biografi Syeikh al-Islam Ibn Taimiyyah (m. 728 H) yang merupakan guru kepada beliau sendiri. Namun begitu ia tidaklah menjejaskan kerana maklumat tersebut masih boleh diperolehi dari sumber yang lain. Mungkin pada masa akan datang ia akan tiba-tiba muncul setelah lama hilang ditelan zaman. Pada asasnya ulama kontemporari sangat memberikan perhatian terhadapnya, tidak mustahil jika makhtutat tersebut telah ditemui dan sedang ditahqiq.

Wallahu A'lam.

Wednesday, August 17, 2011

Mana Lagi Mulia: Muhammad atau Isa ?


حَدَّثَنَا يَحْيَى بْنُ قَزَعَةَ حَدَّثَنَا إِبْرَاهِيمُ بْنُ سَعْدٍ عَنْ ابْنِ شِهَابٍ عَنْ أَبِي سَلَمَةَ وَعَبْدِ الرَّحْمَنِ الْأَعْرَجِ عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ قَالَ

اسْتَبَّ رَجُلَانِ رَجُلٌ مِنْ الْمُسْلِمِينَ وَرَجُلٌ مِنْ الْيَهُودِ قَالَ الْمُسْلِمُ وَالَّذِي اصْطَفَى مُحَمَّدًا عَلَى الْعَالَمِينَ فَقَالَ الْيَهُودِيُّ وَالَّذِي اصْطَفَى مُوسَى عَلَى الْعَالَمِينَ فَرَفَعَ الْمُسْلِمُ يَدَهُ عِنْدَ ذَلِكَ فَلَطَمَ وَجْهَ الْيَهُودِيِّ فَذَهَبَ الْيَهُودِيُّ إِلَى النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَأَخْبَرَهُ بِمَا كَانَ مِنْ أَمْرِهِ وَأَمْرِ الْمُسْلِمِ فَدَعَا النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ الْمُسْلِمَ فَسَأَلَهُ عَنْ ذَلِكَ فَأَخْبَرَهُ فَقَالَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ لَا تُخَيِّرُونِي عَلَى مُوسَى فَإِنَّ النَّاسَ يَصْعَقُونَ يَوْمَ الْقِيَامَةِ فَأَصْعَقُ مَعَهُمْ فَأَكُونُ أَوَّلَ مَنْ يُفِيقُ فَإِذَا مُوسَى بَاطِشٌ جَانِبَ الْعَرْشِ فَلَا أَدْرِي أَكَانَ فِيمَنْ صَعِقَ فَأَفَاقَ قَبْلِي أَوْ كَانَ مِمَّنْ اسْتَثْنَى اللَّهُ

Maksudnya:

Dari Yahya bin Qaza’ah, dari Ibrahim bin Sa’d, dari Ibn Shihab, dari Abi Salamah dan ‘Abd al-Rahman al-A’raj, dari Abi Hurayrah r.a, katanya:

“Dua orang lelaki telah bertengkar, seorang Muslim manakala seorang lagi Yahudi. Muslim tersebut berkata: Demi Tuhan yang memilih Muhammad lebih dari (sekalian manusia) di dunia. Yahudi tersebut berkata: Demi Tuhan yang telah memilih Musa lebih dari (sekalian manusia) di dunia. Muslim tersebut mengangkat tangannya lalu menampar wajah si Yahudi. Yahudi itu pergi kepada Nabi s.a.w dan menceritakan kepada Baginda apa yang telah berlaku antaranya dengan Muslim tersebut. Nabi memanggil Muslim tersebut dan menanyakan tentangnya. Muslim tersebut lalu menceritakannya kepada Nabi. Baginda s.a.w bersabda: Janganlah kamu melebihkan aku daripada Musa. Sesungguhnya (kelak) manusia akan pengsan pada hari kiamat. Aku juga pengsan bersama mereka. Aku adalah yang pertama sedar kembali manakala Musa berdiri gagah di sisi ‘Arasy. Aku tidak tahu adakah dia juga pengsan dan sedar terlebih dahulu sebelumku atau dia dikecualikan (pengsan) oleh Allah.”

(Muhammad bin Ismail, Sahih al-Bukhari, jld.8, hlm. 257, no. Hadith: 2234)

Gharib al-Hadith:

Perkataan

Makna

اسْتَبَّ رَجُلَانِ

Dua orang lelaki telah bertengkar

لَطَمَ وَجْهَ

Dia telah menempeleng muka

اسْتَثْنَى

Mendapat pengecualian

Biodata Perawi (Sahabat):

- Nama Asal : Abd Shams (Abu al-Aswad)

- Nama Islam : Abd al-Rahman bin Sakhr al-Dusi al-Yamani.

- Gelaran : Abu Hurayrah

- Muridnya : Melebihi 800 orang (Sahabat+Tabiin) yang meriwayatkan hadith dari beliau.

- Beliau memeluk Islam pada bulan Muharram, tahun 7 H iaitu ketika berlakunya perang Khaybar dan tinggal di Madinah.

- Meninggal dunia pada tahun 57 H.

- Beliau sahabat yang paling banyak meriwayatkan hadith iaitu sebanyak 5374 buah hadith.

Inti Pati Hadith:

1. 1. Nabi mendengar kenyataan kedua-dua belah pihak sebelum membuat sebarang pengadilan.

2. 2. Nabi melarang umat Islam melebihkan Baginda berbanding Nabi Musa a.s kerana Nabi Musa juga mempunyai kelebihan tertentu di sisi Allah.


3. Pada hari kiamat kelak, semua manusia berada dalam keadaan tidak sedarkan diri dan akan dibangkitkan semula oleh Allah.

Monday, August 15, 2011

Antara Masjid Dan Gereja

Setiap agama ada rumah ibadatnya lebih-lebih lagi ia adalah ajaran samawi. Yahudi dengan biaranya, Nasrani (Kristian) dengan Gerejanya, dan Islam dengan Masjidnya. Rumah-rumah ibdat ini memainkan peranan yang penting.

Sebelum kedatangan Islam, penggunaan rumah ibadat dalam golongan Yahudi dan Nasrani hanyalah terhad kepada ritual ibadat semata-mata. Fungsi ini tidak mampu berkembang dengan lebih jauh. Meski pun berlaku perkembangan dakwah Yahudi dan Nasrani, namun ia sangat perlahan sehinggakan setelah beratus-ratus tahun berlalu selepas wafatnya Nabi Isa a.s, barulah ia berkembang dari satu negara ke negara yang lain. Itu pun hasil daripada inisiatif raja yang menganut agamanya.

Perkara ini berbeza dengan masjid yang diperkenalkan oleh Rasulullah s.a.w dalam Islam. Masjid mempunyai peranan yang sangat luas sehingga ia mampu menjadi pejabat yang menguruskan hal ehwal 1/3 dunia yang dinaunginya pada zaman Saidina Umar selepas 3 tahun kewafatan Rasulullah s.a.w.

Setiap manusia yang pergi ke masjid, apabila dia melangkah keluar, pasti ada sesuatu perubahan dalam dirinya ke arah yang positif. Ramai orang-orang yang musyrik, orang-orang kafir yang menganut Islam dan beriltizam dengannya bermula dari masjid. Pernah pada zaman Baginda s.a.w, Rasulullah mengikat seorang tawanan musyrik di tiang masjid. Selepas tiga hari, tawanan tersebut akhirnya masuk ke dalam Islam kerana kagum dengan apa yang dilihatnya apa yang berlaku dalam masjid pada tempoh itu.

Itu adalah sejarah. Namun hakikatnya kini kebanyakan negara-negara Islam, masjid tidak lagi memainkan peranan sedemikian. Di Malaysia umpamanya, masjid telah menjadi eksklusif kepada golongan tertentu. Tujuan masjid dibina untuk bersaing yang manakah lagi cantik, lagi berteknologi, lagi besar, lagi unik, dan lain-lain.

Ada sesetengah tempat, masjid ditubuhkan untuk membuat satu jamaah lain kerana masjid sedia ada jamaahnya dari aliran politik yang berlainan. Ada juga masjid yang dibina untuk menggambarkan taraf status penduduk berhampiran. Sengaja dibina indah untuk tunjukkan bahawa qaryahnya adalah orang-orang berada, orang-orang bangsawan.

Sepatutnya, apabila masjid wujud dalam suatu komuniti, masyarakatnya akan berubah semakin dekat kepada Islam. Ajaran Islam semakin subur. Rakyat miskin berkurangan diberikan bantuan. Kanak-kanak yang terbiar akan mendapat pendidikan yang baik. Masyarakat yang rosak dapat dibaikpulihkan.

Sebaliknya, peranan-peranan tersebut dimainkan oleh gereja dengan baik. Dalam Malaysia, terdapat beberapa gereja yang advance dari itu. Mereka telah mengadakan ruangan khidmat masyarakat tanpa mengira agama. Masyarakat sekeliling akan diberikan khidmat kesihatan, bantuan kewangan berkala, dan berbagai lagi. Bagi muslim yang mengambil khidmat mereka, pihak gereja akan menjemput para ustaz dan ahli agama untuk menyampaikan ceramah kepada pesakit-pesakit tersebut. Ini suatu yang mengagumkan!!!

Bukanlah saya ingin masjid buat perkara yang sama, panggil paderi untuk pesakit yang kristian. Namun, perkara penting yang ingin diketengahkan di sini ialah bagaimana mereka mampu untuk mengembangkan idea-idea dakwah ke arah yang lebih dinamik. Mereka tidak pernah melihat ke belakang untuk berundur semula atau merasa cukup dengan keadaan sedia ada.

Harusnya masjid-masjid umat Islam juga sedemikian, malah lebih jauh ke hadapan berbanding mereka. Melihat keadaan masjid di Malaysia kini, ia sangat berbeza. Kebanyakan masjid adalah anti kanak-kanak. Bila anak-anak nakal berlari, buat bising, dah kena marah. Sepatutnya, mereka ini disediakan alternatif supaya mereka merasakan bahawa mereka juga adalah sebahagian dari masjid.

Bagi remaja pula contohnya, masjid yang baik hendaklah peka pada jiwa mereka. Umpamanya dengan mengadakan gelanggang futsal percuma atau bayaran yang murah. Bila masuk waktu solat, bolehlah remaja-remaja ini diajak solat bersama. Itu sebagai contoh, mungkin ada lagi idea-idea dakwah yang lebih baik dari itu untuk diketengahkan. Apa yang penting, jawatan seperti imam bukanlah hanya untuk mengimamkan solat, memberi khutbah, menjadi qadi semata-mata. Begitu juga muazzin, bukan mengalunkan azan semata-mata. Siak, bukan hanya memvakum masjid sahaja. Mereka harus mempunyai minda yang kreatif, inivatif, dan dinamik untuk memacu pentadbiran dan pengurusan masjid ke arah yang lebih cemerlang.

Semuanya ini adalah untuk generasi muda Islam pada masa akan datang. Kualiti dan kuantiti mereka berada di tangan kita, generasi hari ini.








Sunday, August 14, 2011

Yang Dinanti Akhirnya Muncul Jua


Telah lama ku nantikan, kini ia berkunjung jua.

Syukur ku panjatkan kepada-Nya, kerana masih memberiku usia.

Harapnya Ramadan kali ini tidak sia-sia dan berlalu begitu sahaja.

Azamku untuk memaknakannya...

Sekali lagi ku pohon pada-Nya, berilah kekuatan kepada ku untuk melaksana.

Yang ku rindu ialah Engkau wahai Maha Pencipta...

Juga Rasul-Mu yang agung lagi mulia...

Bebaskanlah aku dari api yang galak menyala dan menyiksa...

Golongkanlah aku dalam kalangan ahli syurga...

Tidak sabar aku untuk bertemu dengan kekasih yang ku cinta.

Ya Allah.