Saturday, November 8, 2008

PMIUM mengalukan kedatangan Naib Cancelor baru

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh,

PMIUM selaku persatuan di Universiti Malaya ingin mengalu-alukan kedatangan Naib Canselor baru bagi Universiti Malaya, Prof Datuk Gauth Jasmon. Semoga kedatangan beliau akan menaikkan lagi taraf Universiti Perdana yang kita semua cintai ini. Bonda Rafiah Salim sebelum ini melafazkan rasa terkilannya kerana kontraknya tidak disambung. Namun, beliau pasrah serta mengharapkan agar penggantinya akan berusaha lebih keras demi memastikan UM terus unggul.

"Bagaimanapun, saya akur dengan keputusan ini dan berharap supaya pengganti saya berusaha keras bagi memastikan kedudukan UM terus pada tahap tertinggi serta disanjung ramai," katanya ketika ditemui Berita Harian pada majlis perpisahannya pada 7 November yang lalu. Berikut merupakan amanat berharga daripada bekas Naib Canselor yang ke-9 ini.

Air mata perpisahan dari bonda sebelum melepaskan jawatannya

Ayahanda Naib Canselor

Semoga kedatangan Prof Datuk Gauth akan memberi erti yang besar dalam membawa perubahan serta memantapkan lagi pentadbiran di Universiti Malaya. Salam perjuangan daripada Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Malaya.

~Sejahtera Bersama PMIUM~

Friday, October 24, 2008

PERUTUSAN YANG DIPERTUA PERSATUAN MAHASISWA ISLAM UNIVERSITI MALAYA SEMPENA PEPERIKSAAN AKHIR SEMESTER

Bismillahirrahmanirrahim.....

Pertama dan selamanya marilah kita bersyukur kehadrat Ilahi kerana dengan keizinanNYA jualah dapat kita meneruskan hari-hari kita sampai ke saat ini. Alhamdulillah wabihi nasta’in wa ‘alaihi tawakkalna wahua Rabbul ‘arsyil ‘azim. Dengan Izin Allah juga, dapat lagi kita menempuhi satu lagi cabaran yang kecil dalam kehidupan kita ini. Cabaran dan ujian ini yang menguji sejauh manakah kita telah berusaha seterusnya bertawakal dalam mencari ilmu pengetahuan untuk kegunaan kita di dunia mahupun di akhirat kelak.

Di sini, inginlah kiranya untuk saya menyeru diri saya serta sahabat-sahabat semua untuk menggunakan peluang yang ada untuk terus utuh bergantung pada Allah. Percaya dan yakinlah bahawa setiap yang dikurniakan kepada kita merupakan nikmat atau ujian adalah untuk menentukan siapakah antara kita yang paling bertakwa di sisi Allah. Seperti yang kita sedia maklum tinggal beberapa minggu sahaja lagi kita akan menempuh peperiksaan akhir semester. Di harapkan agar kita bersedia serta sentiasa meletakkan pergantungan kita hanya kepada Allah semata-mata.

Seterusnya, marilah kita memperbanyakkan solat. Antara solat yang seharusnya kita lakukan ialah solat tahajud, solat hajat, solat istikharah dan pelbagai lagi solat sunat. Sememangnya solat ini mempunyai pelbagai hikmahnya dan akan menenangkan hati sesiapa yang mengerjakannya. Semoga dengan amal ibadah yang kita lakukan ini membolehkan ilmu yang kita dapati akan mudah untuk meresap ke dalam jiwa kita seterusnya akan membuatkan kita ingat sampai bila-bila. Solat juga akan memberi ketenangan kepada hati dan memudahkan kita menerima ilmu selain mempertajamkan akal. Inilah antara usaha yang dapat kita lakukan selain daripada mengulangkaji pelajaran, membuat soalan-soalan yang lepas serta melakukan rujukan.

Sahabat-sahabat sekalian,

Selain daripada solat, antara amalan yang harus kita amalkan ialah doa. Doa merupakan senjata orang mukmin. Melalui doa seseorang boleh meminta apa yang dihajati kepada Pencipta secara lansung. Seperti yang termaktub dalam ayat al-Quran yang bermaksud “Berdoalah kepadaKU, nescaya akan Aku perkenankan”. Lihatlah betapa besarnya kesan doa dalam kehidupan kita sebagai orang Islam. Sebagai seorang yang beriman maka sewajarnyalah untuk kita menggunakan wasilah yang telah dibentang di hadapan kita sebagai satu cara untuk kita lebih mendekatkan diri kepada Allah s.w.t.

Untuk akhirnya, ingin saya kongsikan di sini bahawa “ Success is a journey not a destiny”. Marilah kita sama-sama mencapai kecemerlangan di dunia dan di akhirat. Selamat menempuh peperiksaan akhir semester.Lakukan yang terbaik demi agama, bangsa dan negara. Wabillahi taufik wal hidayah wassalamua`alaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Sekian, moga kejayaan mejadi milik kita.

Thursday, October 23, 2008

Aplikasi Sirah Nabi Muhammad S.A.W. dalam Usrah dan Tamrin




Seiring dengan pembangunan yang sedang berlaku dewasa ini, kita sangat menyedari betapa Islam itu sedang dihunjam dan diserang dari pelbagai penjuru, sama ada dengan peluru yang mensasarkan kepada anggota fizikal, mental, kebudayaan mahupun terhadap sensitiviti umat Islam itu sendiri. Kita juga sedang menyaksikan berlakunya pertarungan di antara iman dan kufur, Islam dan jahiliyah yang terus-menerus berlangsung mengikut metod pada zaman masing-masing. Hal yang demikianlah merupakan antara sebab mengapa kita perlu berdepan dengan cara, taktik dan strategi yang sentiasa diubah oleh musuh Islam.

Antara senjata utama umat Islam dalam persediaan awal menghadapi serangan-serangan ini adalah melalui usrah dan tamrin. Apa itu usrah dan tamrin? Secara ringkasnya, usrah ialah kelompok manusia yang beriman dengan Islam dan berusaha tolong-menolong sesama sendiri untuk memahami dan menghayati Islam, sementara tamrin ialah kursus atau program yang dibuat bertujuan untuk melengkapkan kefahaman tentang tajuk-tajuk tertentu atau kemahiran-kemahiran tertentu seperti pengurusan organisasi, pengurusan dakwah, tarbiah dan sebagainya.

Sorotan terhadap sirah Rasulullah S.A.W. secara jelas telah membuktikan keberjayaan atau kecemerlangan umat Islam pada masa itu adalah melalui usrah dan tamrin. Kepentingan usrah ini tidak dinafikan lagi kerana pada awal perjuangan Rasulullah S.A.W., baginda sangat mengambil berat tentang usrah di samping baginda bergerak dalam keadaan sirriah (sembunyi). Peranan Rasulullah sebagai murabbi (pendidik) dapat dilihat apabila Rasulullah memilih rumah Arqam bin Abi Al-Arqam sebagai tempat untuk menjalankan usrah. Di sinilah proses pentarbiahan berlangsung. Arqam merupakan seorang budak kecil yang memang tidak dijangka oleh orang kafir bahawa Rasulullah melaksanakan usrah di rumahnya. Ini merupakan taktik Rasulullah S.A.W.

Proses tarbiah Islamiah adalah satu proses pendidikan dan pembentukan yang bukan semata-mata satu proses pembelajaran ilmu, tetapi merupakan satu medan untuk ahlinya bersama-sama menjalani satu proses pembentukan yang dibina di atas semangat al-ukhuwwah al-Islamiyah. Rasulullah S.A.W. sebagai murabbi telah bertindak mentarbiah ahli keluarga dan para sahabatnya selaku mutarabbi (orang yang dididik) menggunakan manhaj atau garis panduan berasaskan al-Quran. Pentarbiahan baginda pada peringkat awal dilakukan secara sirriah memandangkan biah (suasana) masyarakat Quraisy ketika itu yang menyembah berhala dan hidup dalam keadaan serba kegelapan. Justeru, keadaan sebegini tentulah tidak memungkinkan mereka untuk menerima suatu ajaran baru yang dianggap bertentangan dengan kepercayaan mereka selama ini. Maka, Rasulullah terpaksa menggunakan pendekatan dakwah secara rahsia selama tiga tahun kepada ahli keluarga dan kaum kerabat baginda terlebih dahulu dalam tempoh ini.

Jelas di sini bahawa usrah dan tamrin merupakan dua bentuk latihan tarbiah yang terpenting buat umat Islam, di samping majlis-majlis ilmu dan siri ceramah yang diadakan. Di dalam unit usrahlah ahli dididik, permasalahan dirungkai dan terbinalah ukhuwah yang terikat kuat. Ahli usrah yang telah ditarbiah oleh para naqib akan bersedia menghadapi perjuangan membina benteng pertahanan Islam laksana bunyanun marsus, iaitu sebuah bangunan yang tersusun kukuh seperti yang disebut di dalam al-Quran. “Sesungguhnya Allah SWT amat mengasihi orang-orang yang berperang pada jalan-Nya dalam barisan yang teratur rapi, seolah-olah mereka seperti sebuah bangunan yang tersusun kukuh.” (As-Saff: Ayat 4) Juga, melalui tamrinlah, latihan dan persediaan digarap sebelum terjun ke tengah gelanggang masyarakat bagi memimpin mereka menghadapi pelbagai serangan Barat dan umat Islam sendiri, khasnya golongan sekular.

Usrah sebagai unit tarbiah terpenting berperanan mendidik ahli dan menyediakan barisan kepimpinan akan datang. Melaluinya, ahli akan ditarbiah supaya memiliki rasa tanggungjawab di hadapan Allah SWT, mentarbiah ahli supaya sentiasa bermuraqabah (menghampirkan diri) kepada Allah SWT, dan mewujudkan hubungan langsung ahli kepada al-Quran dan sunnah Nabi S.A.W. Kesemuanya ini akan membentuk perwatakan ahli ke arah beriltizam dengan akhlak al-Quran dan menjauhi maksiat. Demikianlah, unit-unit usrah tadi akan berhimpun pula dalam program tamrin yang diadakan dari semasa ke semasa untuk membentuk dan menyelaraskan fikrah ahli ke arah menuju matlamat menegakkan Islam.

Hal ini adalah selaras dengan misi tarbiah PMIUM (Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Malaya) yang mahu memperkasakan kelangsungan tarbiah dengan lebih dinamik, iaitu menjadikan tarbiah sebagai tunjang kepada gerakan persatuan, di samping mampu membuat penyesuaian serta melakukan pembaharuan dan kemajuan di dalam dan di luar kampus. Selain itu, ia adalah selari dengan objektif tarbiah PMIUM, iaitu memasyarakatkan tarbiah PMIUM kepada warga kampus dan menerapkan pendidikan tarbiah, siasah,dan dakwah secara bersepadu.

Justeru, usrah dan tamrin ternyata merupakan mekanisme berkesan dalam mendidik masyarakat kampus untuk mengenali dan memahami Islam dengan cara terbaik. Ini adalah kerana menjadi tanggungjawab setiap individu Muslim untuk bersama-sama berusaha mempertingkatkan ilmu, kefahaman, amalan dan penghayatan Islam terhadap saudara seagamanya. Dengan demikian, Islam akan mampu tertegak dan dipertahankan di muka bumi ini kerana panglima-panglimanya yang sentiasa bersiaga dan bersedia menghadapi apa jua tentangan!

Monday, October 13, 2008

Perkara HALAL dan HARAM mempengaruhi DOA

Manusia merupakan makhluk ciptaan Allah. Maka, hubungan manusia dan Allah adalah saling berkait rapat. Manusia sangat memerlukan kepada bantuan dan petunjuk dari Allah swt Dalam menjalani kehidupan seharian. Tanpa petunjuk dan bantuan tersebut, manusia tidak akan menemui jalan kebenaran selama-lamanya.

Allah swt telah menetapkan perkara-perkara yang halal dan haram bagi manusia. Perkara yang haram sekiranya dilakukan oleh manusia, maka ia telah melangar perintah Allah. Hubungannya dengan Allah jua akan menjadi renggang dan semakin jauh.

Matan Hadith

Satu hadith Nabi saw daripada Abu Hurairah ra yang bermaksud;

Dari Abu Kuraib Muhammad bin al-’Ala’; dari Abu Usamah; dari Fudhail bin Marzuq; dari ’Adiy bin Tsabit; dari Hazim; dari Abu Hurairah katanya:

Rasulullah SAW bersabda: Sesungguhnya Allah itu baik, ia tidak terima melainkan yang baik. Dan sesungguhnya Allah memerintahkan orang mukmin dengan apa yang ia perintahkan kepada sekalian rasul. Maka Allah berfirman: (( Wahai sekalian rasul! Makanlah dari yang baik-baik dan beramallah perkara yang baik. )) Dan Ia berfirman: (( Wahai sekalian orang beriman! Makanlah dari segala yang baik yang telah direzekikan kepadamu. )) Kemudian ia menyebutkan seorang lelaki yang jauh perjalanan, rambutnya kusut, mukanya berdebu menghulurkan dua tangannya ke langit: ”Wahai Tuhanku! Wahai Tuhanku! Padahal makanannya HARAM, dan mulutnya disuapkan dengan yang HARAM. Maka bagaimanakah akan diperkenankan (doanya) itu?

Sumber Hadith

Kitab Sahih Muslim, Bab Diterima Sedekah Dari Hasil Yang Baik, Juzuk ke-5, No. Hadith: 1686. Hlm, 192.

Pengajaran Hadith

Berdasarkan hadith diatas, kita boleh mengambil beberapa pengajaran. Antaranya ialah:

Allah itu baik iaitu sempurna kejadianNya dan jauh dari sebarang keburukan serta kelemahan. Maka Dia tidak akan menerima dan menunaikan sesuatu permintaan hambaNya melainkan dari sesuatu yang baik dan menepati kehendakNya.

Makanan dan minuman seseorang adalah sangat berhubungkait dengan ibadat dan doa. Ini kerana makanan yang baik akan mempengaruhi pertumbuhan jasmani yang baik. Begitu juga sebaliknya. Dalam maksud yang lain, makanan yang diambil adalah perkara yang berkaitan dengan ibadah dan tidak boleh dipisahkan.

Segala makanan dan minuman yang haram akan menghasilkan pertumbuhan jasmani yang buruk dan negatif. Ia sekaligus menghijab dan menghalangi doa seseorang hamba kepada Tuhannya.

Doa orang yang menjaga makanan, minuman, dan perbuatannya dari perkara yang HARAM akan diperkenankan oleh Allah.

Allah memerintahkan orang-orang mukmin sama seperti apa yang diperintahkanNya kepada para rasul a.s. yang terdahulu. Ini menunjukkan Allah tidak membebani manusia dan memilih dalam perkara berkaitan dengan ketaatan kepadaNya.

Monday, September 22, 2008

PERUTUSAN YANG DIPERTUA PERSATUAN MAHASISWA ISLAM UNIVERSITI MALAYA SEMPENA HARI RAYA AIDILFITRI

Bismillahirrahmanirrahim,

Segala puji milik Allah Tuhan sekalian alam; Tuhan yang menciptakan langit dan bumi serta alam dan seisinya, dan Dia jugalah yang melimpahkan kurnia dan maghfirah kepada seluruh hamba yang berusaha menggapai keredaan-Nya. Selawat dan salam ke atas Junjungan Rasul tercinta, Nabi kita Muhammad S.A.W. yang telah menabur bakti memimpin umat ini sehingga datangnya Kiamat.

Alhamdulillah. Dalam kesibukan meladeni hari-hari sebagai pelajar, dan dalam masa yang sama menyandang tugas sebagai khalifah Allah di muka bumi ini, secara tidak sedar kita telah melewati fasa rahmat dan fasa maghfirah dalam bulan Ramadhan, dan kini kita sedang melalui detik-detik terakhir Ramadhan Karim, iaitu fasa pembebasan daripada azab neraka. Dalam kesempatan yang masih tersisa ini, ayuhlah kita bersama-sama merebut peluang beribadat kepada Allah agar kita tergolong dalam kalangan hamba-hamba-Nya yang dijamin bebas daripada azab neraka. Melewati sepuluh hari terakhir ini, eloklah kita melipatgandakan amalan melebihi hari-hari biasa dan fasa-fasa sebelumnya yang telah kita lalui dalam bulan penuh keberkatan ini. Usahlah kita biarkan Ramadhan berlalu sia-sia sehingga kelak akan timbul penyesalan di hati kita.

Imam Muslim meriwayatkan daripada Aisyah radhiallahu anha: "Rasulullah S.A.W. bersungguh-sungguh dalam sepuluh (hari) akhir (bulan Ramadhan), hal yang tidak baginda lakukan pada bulan lainnya." Berdasarkan hadis ini, Rasulullah S.A.W. ternyata amat bersungguh-sungguh bagi melipatgandakan amalannya melebihi amalan baginda pada bulan-bulan yang lain. Antara amalan-amalan yang baginda lakukan pada hari-hari terakhir Ramadan ini ialah berqiyamullail, i’tikaf, mengakhirkan berbuka sehingga waktu sahur, serta banyak lagi amalan yang lain.

Menyentuh mengenai sepuluh hari terakhir Ramadhan, maka pasti tidak akan lekang daripada fikiran kita tentang cuti untuk pulang berhari raya di kampung halaman. Lambaian emak dan ayah supaya segera pulang bagi membantu mempersiapkan juadah hari raya sering menggamit-gamit naluri untuk segera berada di kampung. Ya, membantu ibu dan ayah adalah suatu perkara kebajikan yang wajar dilakukan oleh seorang anak sebagai tanda kita menghargai jasa dan pengorbanan mereka yang besar nilaiannya.

Cuma, dalam keghairahan untuk pulang beraya, usahlah kita mengkesampingkan terus tugas mengulangkaji pelajaran kerana tarikh peperiksaan semakin hampir. Seseorang pelajar hanya akan dikategorikan sebagai cemerlang apabila dia memiliki penyuburan dalam ketiga-tiga aspek, iaitu akal atau minda, rohani dan jasmani. Ini bermaksud, pelajar yang cemerlang akan menyeimbangkan di antara akademik, kokurikulum dan amalan atau akhlaknya. Oleh itu, pengabaian dalam salah satu aspek tersebut tidak akan membantu pelajar dalam pembangunan sahsiah yang unggul.

Untuk akhirnya, saya ingin mengucapkan selamat bercuti dan salam Lebaran Aidilfitri. Berhati-hatilah semasa pulang beraya di kampung. Janganlah kita jadikan hari raya sebagai gelanggang tragedi menyayat hati sebagaimana yang sering berlaku pada musim-musim perayaan. Sebaliknya kukuhkanlah ikatan dan persaudaraan dengan tali silaturrahim sesama umat Islam.Sambutlah salam lebaran daripada Persatuan Mahasiswa Islam kepada umat Islam di seluruh dunia serta warga Universiti Malaya khasnya.

Sekian, wassalam.

Muhammad Haafizuddin bin Abirerah,
Yang Dipertua,
Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Malaya (PMIUM),
Sesi 2008 / 2009.

Monday, September 8, 2008

HAYATI SIRAH RASULULLAH: SEMANGAT BADAR KUBRO YANG MEMBARA

Aduhai saudara!
Badar al Kubro bukan kisah semata
Sekadar diperagakan mengikut musim-musim
untuk mempamirkan bahawa kalian sudah cukup kuat menghayati agama
namun itulah kisah yang perlu ditelusuri sejarahnya

Badar Al Kubro sebenarnya mengkisahkan segala-galanya
disana ada kisah keimanan……….
keperkasaan,keberanian,kepahlawanan,keikhlasan dan erti sebenar setiakawan persaudaraan

Dan terlebih penting dari itu semua
disana ada kisah ketaatan mutlak kepada Allah dan Rasul Suruhan
maka berbondong-bondonglah …..turun dari langit tentera yang tidak kelihatan
sehingga tertewaslah penuh aib golongan kuffar yang menafikan keagungan Tuhan
Lantas kelompok kecil yang serba kekurangan itu mencatatkan sejarah
yang akan terus dirakam sehingga akhir zaman………bahawa
kemenangan hakiki bukan kerna aparat dan persenjataan
sebaliknya kerna keyakinan dan keimanan….
bahawa hanya Islam sahajalah yang menjamin kesejahteraan,kebebasan,kebenaran
dan keadilan…..

Semoga berbahagialah kamu Sayiddina Hamzah
dan sekian para syuhadah Badar
bersiar riang disyurga Tuhanmu
menghirup segala kelazatan dan kenikmatan didalamnya
kekal abadi ……….sebagaimana yang telah dijanji
Rasul Pilihan dan Pencipta Yang Maha Suci.

Di petik daripada;
Rajunatapa ks Ramadhan 18 1423.

17 Ramadhan, 2 hijrah - Badar Kubro - Berlakunya peperangan Badar di dalam bulan ini, dalam keadaan mereka berpuasa di tengah-tengah padang pasir yang panas!..Peperangan Badar merupakan salah satu peperangan daripada siri-siri peperangan pada zaman Rasulullah. Istimewanya peperangan ini apabila 313 tentera muslimin mampu mengalahkan tentera musyrikin yang bilangannya adalah tiga kali ganda besarnya. Kemenangan yang diraih dengan penuh kesabaran, kesungguhan dan keyakinan ini adalah hasil dari motivasi yang diberikan oleh baginda Rasulullah s.a.w kepada para sahabat tersebut. Begitu juga pertolongan daripada Allah disebabkan penyerahan serta tawakkal kaum muslimin pada ketika itu.

Peperangan ini dinamakan Badar disebabkan nama tempat berlakunya peperangan (kawasan mata air). Peperangan ini bukanlah satu perang yang di rancang. Tidak ada niat di pihak Rasulullah dan tentera muslimin untuk berperang melainkan hanyalah untuk merampas kembali harta mereka yang ditinggal di Makkah.Tentera muslimin ini terdiri daripada golongan hamba serta petani, pedagang serta mereka yang telah teraniaya. Marilah kita bandingkan kekuatan jentera atau ketenteraan di pihak muslimin dan musyrikin pada ketika itu. Tentera muslimin hanya mempunyai kekuatan jentera sebanyak 313 orang tentera sahaja beranding tentera musyrikin sebanyak 950 orang berserta perisai. Unta yang di miliki oleh muslimin hanyalah 70 ekor berbanding lebih 900 ekor di pihak musuh. Hanya 2 ekor kuda kepunyaan tentera muslimin manakala 200 ekor kuda kepunyaan tentera musuh.Manakala tentera Quraisy mepunyai wanita-wanita yang menjadi pembakar semangat mereka.
Berikut merupakan sedikit catatan mengenai Badar Kubro ini.


Nama- Ghazwah Badar Kubro
Tempat-Berhampiran wadi Rahqan
Tarikh-17 Ramadhan 2 Hijrah

Kekuatan tentera-

1.Tentera mujahidin 313, 2 tentera berkuda(Zubair bin Awwam dan Miqdad bin Al-Aswad dan 70 ekor unta( seekor dikongsi tiga orang). Panglima tertinggi ialah Rasulullah.

2.Pemegang panji-panji putih pasukan Islam.Mus’ab bin Umair. Tedapat 2 ketumbukan iaitu muhajirin dan ansar.

3.Bendera Muhajirin dipegang oleh Ali bin Abi Talib dan Ansar oleh Saad bin Mu’az.

Tujuan/sebab peperangan-

1.memintas kafilah Abi Sufyan yang pulang dari syam

2.Abi Sufyan yang mengetahui rancangan itu meminta bantuan dari pihak Quraisy Makkah untuk menggagalkan rancangan pasukan tentera Islam.

3.Apabila selamat sampai ke Makkah, Abi Sufyan mengutus surat supaya tentera Quraisy kembali ke Makkah tetapi Abu Jahal terus berkeras dan mengajak untuk berperang.

4.Akhirnya, berlakulah peperangan Badar Kubro ini.

Akhirnya, tentera Islam telah mencapai kemenangan yang gilang gemilang. Hanya 14 orang syahid berbanding 70 anggota musuh ditewaskan serta 70 ditahan. Tawanan ini di bebaskan dengan tebusan. Bagi mereka yang tidak mampu menebus perlu mengajar 10 orang anak muslimin membaca dan menulis. Inilah kejayaan hasil keijaksanaan Rasulullah berserta pertolongan Allah kepada orang Islam yang tunduk dan patuh pada perintahnya. Kita juga dapat melihat di dalam perang ini keberanian sahaat untuk mati syahid kerana di dalam Islam hanya ada 2 kemungkinan sama ada menang ataupun syahid.


Semangat dan ruh jihad yang sebeginilah yang diharapkan sentiasa menjadi inspirasi umat Islam keseluruhannya agar sirah Rasulullah ini diteladani dan diambil pengiktibarannya. Saya menyeru kepada semua agar di bulan ramadhan yang mulia ini kita memperbanyakkan amal kita serta bermunajat kepada Allah agar diberi kekuatan serta keimanan yang tinggi seterusnya mencapai darjat takwa di sisiNYA.

::Selamat Menunaikan Ibadah Puasa::

Thursday, September 4, 2008

PEMILIHAN UNIVERSITI APEX: UNIVERSITI LAIN DISERU LEBIH AKTIF DAN PROGRESIF

Semalam,pengumuman Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin telah merungkaikan persoalan yang bermain di pemikiran seluruh warga Malaysia umumnya dan warga universiti khususnya. Keputusannya,Universiti Sains Malaysia(USM) telah berjaya dipilih untuk menyertai Program Pemacuan Untuk Kecemerlangan atau Apex dengan mengenepikan tiga buah lagi universiti,termasuklah universiti tertua di Malaysia iaitu Universiti Malaya (UM).Tahniah dan syabas diucapkan kepada USM kerana telah berjaya menjadi universiti Apex yang pertama di Malaysia. Universiti lain haruslah mencontohi USM serta perlu berusaha semaksimum mungkin mencapai kecemerlangan di peringkat antarabangsa.

Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata pemilihan USM adalah berdasarkan kepada pelan tranformasi dan kesediaannya untuk berubah. Semua ini terkandung dalam kertas kerja cadangannya yang bertajuk ”Transforming Higher Education for a Sustainable Tomorrow” yang mana telah memenuhi kriteria pemilihan yang diperlukan. Katanya, pemilihan bagi program Apex tidak hanya melihat kepada pencapaian dan kecemerlangan lepas tetapi lebih kepada perancangan masa depan, serta sama ada universiti itu dapat mencapai status bertaraf dunia dalam tempoh yang diberikan iaitu lima tahun.

USM telah mengatasi universiti saingan lain berdasarkan tiga kriteria iaitu tahap kesediaan, pelan transformasi dan kesediaan untuk berubah. Inilah yang menjadi titik tolak kepada pemilihan universiti Apex yang baru sahaja diumumkan. Namun begitu, ini tidaklah bermakna bahawa universiti lain bakal dipinggirkan. Ini jelas dalam petikan ucapannya yang menyatakan bahawa, ”Pemilihan USM tidak bermaksud universiti lain dipinggirkan, sebaliknya akan menjadi perangsang kepada universiti yang tidak terpilih untuk terus berusaha mencapai status yang lebih baik dan bertaraf dunia”.

Sekilas mengenai Universiti Apex yang mungkin masih menjadi polemik dan persoalan kepada sesetengah pihak, Universiti Apex ialah pengiktirafan yang diberikan kepada IPT tempatan untuk menjadi penanda aras di peringkat dunia dalam bidang pengajian tinggi. Universiti Apex dijanjikan autonomi dari segi kewangan, skim perkhidmatan, pengurusan, pengambilan pelajar, kepimpinan tertinggi dan penetapan yuran pengajian. Universiti Malaya sebagai universiti tertua di Malaysia, sememangnya berharap untuk dipilih menyertai program Universiti Apex kerana ia akan menjadi landasan untuk melonjakkan lagi nama universiti itu di peringkat antarabangsa, selain banyaknya sumbangan lain yang dapat diberikan kepada negara.

Berdasarkan Bajet 2009, sejumlah RM47.7 bilion yang juga 23 peratus daripada Bajet 2009, diperuntukkan untuk pendidikan dan latihan. Bagi meningkatkan kualiti pembelajaran di peringkat pengajian tinggi, peruntukan RM14.1 bilion disediakan kepada Kementerian Pengajian Tinggi. Daripada jumlah ini, RM8 bilion diperuntukkan bagi perbelanjaan mengurus institusi pengajian tinggi awam, RM627 juta kepada politeknik dan kolej komuniti serta RM37 juta kepada Agensi Kelayakan Malaysia. Sebanyak RM4.4 bilion diperuntukkan untuk perbelanjaan pembangunan, termasuk pembinaan kemudahan klinikal dan bangunan fakulti perubatan serta menyediakan latihan penyelidikan. Semua ini merupakan satu hasrat yang baik di peringkat pimpinan demi melihat kejayaan jangka panjang mada masa hadapan.

Justeru, antara lain yang sangat signifikan untuk dibincangkan di sini adalah mengenai peranan dan sumbangan golongan mahasiswa. Negara harus merasa bangga dengan usaha-usaha dan juga tindakan anak-anak muda yang idealis dan mengambil berat mengenai perkara ini. Ada antara mereka yang menjadikan perkara ini sebagai salah satu agenda perjuangan mereka di kampus, dan komited dengannya. Segala macam program yang dapat membina jatidiri dan insaniah yang kukuh digerakkan untuk memberi kesedaran kepada warga kampus. Betapa sifat ini sangat membantu mencorakkan sedikit sebanyak halatuju dan masa depan universiti.

Saya mewakili barisan kepimpinan Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Malaya mengucapkan tahniah kepada Universiti Sains Malaysia di atas pemilihan ini. Semoga ruang dan peluang yang diberikan akan digunakan semaksima mungkin demi masa depan ummah. Kami juga melahirkan rasa bangga kepada Naib Canselor kami, Bonda Dato’ Rafiah Salim atas sifat komited dan juga kesungguhan beliau. Beberapa hari yang lepas beliau ada menyatakan bahawa sekiranya tidak terpilih, ia tidak akan mematahkan semangat UM untuk terus melakar kejayaan. Semangat inilah yang perlu ada pada semua warga kampus.

Universiti Apex ini semestinya akan menjadi tumpuan serta menjadi universiti yang ditonjolkan peringkat antarabangsa. Walaupun sesetengah pihak tidak melihat kepada pengiktirafan, dan cenderung menilai mengikut perspektif sendiri akan makna pada sebuah kata bernama ’kecemerlangan’, namun sedikit-sebanyak sememangnya masyarakat tetap menilai dan memandang kepada pengiktirafan seumpama ini. Pengiktirafan seperti inilah yang bakal menaikkan prestij sesebuah universiti. Justeru, sebagai mahasiswa yang mengambil berat dengan pencapaian universiti, pihak PMIUM sentiasa bersama-sama dengan universiti untuk mencapai taraf universiti yang menjadi rujukan di peringkat global.

Sunday, August 31, 2008

GEJALA SOSIAL MUSUH UTAMA NEGARA


Sambutan malam kemerdekaan telah pun berlalu. Kelihatan anak-anak muda keluar berbondong-bondong untuk meraikan malam kemerdekaan negara yang ke-51 tahun. Mereka seolah-olah merayakan malam kemerdekaan ini ibarat satu perayaan yang gilang gemilang. Ada yang keluar bersama rakan-rakan dan ada juga yang bersama pasangan. Maka hanyutlah mereka dibuai keasyikan malam yang mempesonakan. Hingga ada yang meneguk air kencing syaitan dan melakukan maksiat tanpa segan silu.Tidak kurang juga yang berpeleseran hingga terbitnya fajar sidiq.Tidak salah untuk menyambut kemerdekaan negara tetapi yang salahnya apabila melakukan perkara-perkara yang meruntuhkan akhlak serta bertentangan dengan syariat Islam .


Gejala keruntuhan akhlak yang kronik dan serius ini perlu dipandang dengan hasrat membantu mengurangkan gejala ini serta membanterasnya dari akar umbi lagi.Perangkaan statistik kes jenayah dan salah laku moral yang membabitkaan golongan muda-mudi di negara kita sekarang semakin serius dan kronik. Kes-kes penagihan dadah, pembuangan bayi,perhubungan seks luar nikah, peminum arak, bohsia dan bohjan serta jangkitan AIDS dan HIV yang kesemuanya menunjukkan angka yang bertambah setiap hari. Penagihan dan pengedaran dadah merebak dengan meluasnya walaupun penangkapan penagih dadah dan hukuman gantung dikenakan keatas pengedar. Inilah yang merisaukan kita. Apakah nasib generasi mendatang sekiranya permasalahan ini dibiarkan begitu sahaja?.

Golongan Melayu menjadi juara dalam semua gejala yang merosakkan ini. Budaya hedonisme pula diperluaskan lagi bagi memerangkap dan membiarkan generasi muda Melayu didalam khayalan. Para artis disanjung pula dan dijadikan `role model`. Pada masa yang sama para ulama dan golongan cendekiawan bukan saja tidak mendapat tempat yang sewajarnya dalam masyarakat bahkan peranan mereka dipinggirkan.

Terdapat banyak keyataan yang dikeluarkan oleh pemimpin negara yang melahirkan kebimbangan terhadap gejala keruntuhan moral ini.Namun kenyataan-kenyataan pemimpin-pemimpin negara ini seolah-olah tidak dipedulikan dan dikesampingkan oleh penganjur-penganjur `budaya mungkar` seperti konsert rock. Malahan usaha-usaha bagi menghidupkan serta menyuburkan budaya kuning semakin rancak dijalankan terutama dengan membawa penyanyi serta kumpulan muzik rock yang bertaraf antarabangsa bagi merangkap secara halus genarasi muda terjebak dengan budaya sesat sebegini. Ia boleh dilihat sebagai mempersendakan hasrat murni dan aspirasi pembinaan genarasi muda yang berakhlak. Sebagai buktinya konsert Avril Lavinge yang tetap diadakan walaupun telah dibantah oleh pihak yang sedar akan kesan jangka panjang dalam membentuk generasi berakhlak.

Kita perlu sedar bahawa negara sedang menuju ke arah negara maju seperti yang diidam-idamkan tetapi majukah negara sekiranya runtuhnya nilai moral terutama pada muda mudi masa kini. Cuba kita tanyakan kepada remaja hari ini berapa orangkah yang akan mengaku pernah meninggalkan sembahyang, menghisap rokok, menghisap dadah, meminum minuman keras, terlibat dalam perjudian, pernah menonton filem lucah, melakukan seks bebas, melakukan kelakuan tidak sopan, berpakaian tidak senonoh dan pelbagai lagi jenayah yang melibatkan remaja. Daripada keseluruhan remaja serta muda mudi di negara kita ini tentu sahaja ramai yang pernah melakukan perkara yang disebutkan di atas. Marilah kita menjenguk sejenak remaja yang berada di pusat pemulihan akhlak, di rumah-rumah kebajikan serta mereka yang berada di pusat serenti.

Apakah yang akan mereka katakan? Mungkin hanya penyesalan yang akan diluahkan. Apa yang penting buat mereka ialah tidak mengulangi perbuatan terkutuk di masa hadapan. Untuk menyelesaikan masalah, kita perlu kembali kepada punca yang menyumbang kepada masalah yang terjadi. Antara puncanya adalah pendidikan di sekolah yang bermasalah.Guru hanya mengajar mengikut orientasi peperiksaan dan bukannya mendidik serta memberi tunjuk ajar kepada pelajar-pelajar. Sekolah hanya dijadikan tempat untuk lulus peperiksaan dan bukannya tempat untuk mendidik jiwa-jiwa yang kosong agar bersinar dengan akhlak yang mulia dan terpuji.

Peranan ibu bapa tidak kurang pentingnya. Apabila ibu bapa hanya mengejar kemewahan semata-mata, maka terabailah anak-anak tanpa kasih sayang dan didikan yang sempurna. Sekiranya keluarga mengalami masalah akibat penceraian atau kesempitan hidup, potensi untuk anak-anak terjebak juga sangat tinggi. Rakan sebaya yang diharapkan dapat membimbing remaja kadang-kanag menjadi penyebab kepada terjerumusnya seseorang itu ke dalam gejala sosial ini. Bilangan penganggur yang semakin ramai juga menjadi punca kepada gejala sosial. Jenayah mencuri, merompak dan menyamun berleluasa disebabkan mahu mencari jalan mudah tanpa mahu berusaha untuk menyara kehidupan.

Hari ini kita juga melihat badan-badan agama tidak diberi insentif untuk mengislah masyarakat. Ramai remaja dan golongan muda terbiar tanpa ditegur dan diberi pengajaran terhadap kesalahan yang mereka lakukan. Di sini, saya mencadangkan agar pihak kerajaan bersama-sama dengan badan agama serta pertubuhan bukan kerajaan berganding bahu dalam menyelesaikan masalah ini agar dapat dibendung sebelum menjadi barah yang menular.

Mahasiswa pula takut berdepan dengan anak muda yang rosak.Mereka hanya hidup dalam dunia mereka tanpa mahu mengajak golongan yang hanyut ini kembali ke pangkal jalan seterusnya dapat menyumbang bakti kepada agama, bangsa dan negara. Justeru, peranan semua pihak dalam menangani gejala sosial ini perlu dimainkan agar kehidupan kita akan aman dan sejahtera. Jangan biarkan generasi masa hadapan merintih dan menyalahkan generasi sekarang yang mencorakkan kehidupan mereka. Untuk akhirnya, mencegah itu lebih baik daripada merawat dan mengubati.


SEJAHTERA BERSAMA PMIUM

Friday, August 29, 2008

RENTETAN AKTIVITI PMIUM: SUATU SOROTAN

Sejahtera bersama PMIUM. Begitulah tema yang dibawa pada kali ini, iaitu pada sesi 2008/2009. Antara sedar atau tidak, kita telah memasuki fasa kedua semester ini dan sudah hampir untuk melangkah ke satu bulan yang mulia iaitu bulan yang penuh rahmat dan keberkatan. Sepanjang semester ini, Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Malaya tidak ketinggalan untuk merealisasikan misi dan visinya. Oleh yang demikian, terdapat banyak aktiviti yang telah dijalankan untuk menjadikan segala misi dan visi yang telah digarapkan akan tercapai.

Antara aktiviti yang diadakan ialah pembabitan dalam Minggu PROMO. PMIUM telah membuka booth untuk memberi kemudahan kepada mahasiswa baru mendaftar serta memperkenalkan lagi PMIUM terutamanya kepada mahasiswa Tahun Pertama yang belum mengetahui mengenai PMIUM.

Minggu pengenalan persatuan ini adalah amat penting untuk setiap persatuan memperkenalkan persatuan masing-masing. Setelah minggu PROMO berlalu, maka interaksi PMIUM pula diadakan. Hari Interaksi atau INTEAM `08 telah diadakan di Akademi Pengajian Melayu dan telah mendapat sambutan yang begitu hangat daripada ahli-ahli PMIUM yang mendaftar.


Selepas daripada Hari Interaksi, PMIUM telah dapat melaksanakan aktiviti yang dinamakan kuliah ilmu atau The Garden of Knowledge yang kini telahpun memasuki siri yang ketiga. Bermula dengan tajuk motivasi yang menampilkan Amin Idris sebagai jemputan telah menggamit ramai mahasiswa untuk turut serta dalam kuliah ini.

Kuliah ilmu seterusnya ialah kuliah berkaitan dengan cinta yang diadakan di Fakulti Ekonomi Dan Pentadbiran. Pada kuliah itu juga telah diadakan perasmian Kempen Keselamatan Mahasiswi yang dianjurkan oleh HEWI PMIUM. Ketua Pegawai Keselamatan telah merasmikan kempen ini.


Pada 28 Ogos iaitu malam khamis baru-baru ini, bertempat di Kompleks Perdana Siswa, PMIUM telah mengadakan forum kemerdekaan yang diberi tajuk The Unsung Hereos iaitu yang bermaksud Hero yang tersembunyi. Prof Emeritus Tan Sri Dr Khoo Khay Kim dan Dr Wan Abdul Rahman Wan Adul Latif telah menjadi ahli panel forum yang julung-julung kali diadakan ini. Tujuan utama forum ini adalah membangkitkan semangat menghayati perjuangan pejuang-pejuang kemerdekaan dalam menuntut kemerdekaan tanah air yang kita cintai.

Terdapat juga aktiviti-aktiviti yang telah diadakan seperti menyambut kehadiran mahasiswa baru, Program Ziarah Mesra ke PPUM, program JOM SISWI di Tasik Varsiti pada setiap petang Ahad, serta beberapa aktiviti lain seperti kuliah-kuliah agama yang disampaikan di kolej-kolej kediaman. Aktiviti-aktiviti serta program yang dijalankan ini adalah bertujuan murni dalam melahirkan mahasiswa yang intelek serta berilmu pengetahuan di samping mempunyai pelbagai kemahiran ataupun multi skill. Mahasiswa sebeginilah yang diharapkan apabila keluar kelak akan dapat menjadi pemimpin negara khasnya, serta dapat berbakti kepada masyarakat amnya.

Sambutan Mahasiswa Baru 08/09


Program Ziarah Mesra(PZM)

Jom Siswi

Terdapat pelbagai aktiviti lagi yang telah direncanakan dan akan dilaksanakan terutama pada bulan Ramadhan yang mulia nanti. Bersama-samalah kita mengimarahkan bulan yang mulia ini dengan aktviti yang dapat menambahkan keimanan dan menjadikan diri kita lebih taqarrub kepada Allah.

~SEJAHTERA BERSAMA PMIUM~



PERUTUSAN YANG DIPERTUA PMIUM SEMPENA HARI KEMERDAKAAN DAN BULAN RAMADHAN

Bismillahirrahmanirrahim, kesyukuran kita panjatkan kerana hingga saat ini kita semua masih lagi dapat menghirup udara nyaman serta dapat meneruskan aktiviti seharian dengan lancarnya. Bersempena dengan sambutan Hari Kemerdekaan negara yang ke-51 ini, sukalah kiranya saya mewakili PMIUM mengucapkan Selamat Menyambut Hari Kemerdekaan ke-51 sempena tanggal 31 Ogos ini. Semangat ini diharapkan tidaklah bermusim pada 31 Ogos atau pada bulan Ogos sahaja tetapi haruslah berterusan dan sentiasa segar dalam diri kita. Nilai perjuangan untuk mencapai kemerdekaanlah yang harus dihayati oleh generasi pada hari ini terutamanya generasi muda yang bakal mewarisi tampuk pemerintahan negara pada masa akan datang.

Tidak lupa juga dengan sambutan bulan yang mulia, iaitu bulan Ramadhan yang akan kunjung tiba tidak lama lagi. Ramadhan merupakan bulan yang penuh keberkatan dan setiap individu bergelar Muslim perlu mengambil peluang keemasan yang tiba sekali sahaja dalam setahun. Seharusnya kegembiraan kita menyambut ketibaan bulan Ramadhan adalah melebihi kegembiraan kita menyambut hari kemerdekaan. Namun tiada salahnya untuk kita menghayati erti kemerdekaan agar kita menjadi orang yang bersyukur, seterusnya akan terus berusaha mengekalkan kemerdekaan yang telah dicapai serta akan terus bersama-sama menjadikan negara kita ini sebuah negara yang aman dan damai serta bersatu padu walaupun berlainan agama dan bangsa.

Seperti yang kita sedia maklum, setiap kali menyambut hari kemerdekaan terutamanya pada malam 31 Ogos, pastinya ramai yang akan membanjiri stadium-stadium serta tempat-tempat awam untuk sama-sama mengira detik 12 malam. Di sini, kita akan melihat semangat yang ditunjukkan oleh rakyat Malaysia, namun amat menyedihkan jika sambutan diadakan secara melampau sehingga melanggar nilai-nilai serta batas syariat yang telah ditetapkan dalam Islam. Sewajarnya pada malam ini kita sama-sama bermunajat serta menadah tangan agar keamanan dan kesejahteraan yang dikecapi akan kekal dinikmati.

Sahabat-sahabat sekalian,

Bulan Ramadhan menjanjikan ganjaran yang berlipat ganda. Oleh yang demikian, marilah sama-sama kita mengejar pahala yang dijanjikan serta meningkatkan amal ibadah kita. Sesungguhnya bulan Ramadhan ini adalah bulan untuk menguji hamba yang paling bertakwa di sisi-NYA. Terdapat banyak tawaran seperti ibadah tarawih, berpuasa, sedekah, qiammullail, malam lailatul qadar serta bermacam lagi tawaran yang dijanjikan dengan ganjaran yang hebat. Semoga kita sama-sama dikuatkan iman serta diberi kekuatan untuk menjalani ibadah pada bulan yang mulia ini dengan sebaik mungkin.

Untuk akhirnya, saya sebagai wakil PMIUM mengucapkan Selamat Menyambut Hari Kemerdekaan dan Selamat Menyambut Bulan Ramadhan yang mulia. Sekiranya ada salah dan silap, marilah kita bermaaf-maafan serta menghilangkan sengketa sesama kita. Selamat meneruskan perjuangan di Universiti Malaya yang tercinta ini.

~SEJAHTERA BERSAMA PMIUM~

Tuesday, August 5, 2008

PERUTUSAN YDP PMIUM 08/09


PERUTUSAN YANG DI PERTUA PERSATUAN MAHASISWA ISLAM SEMPENA MINGGU GRADUASI

Bismillahirrahmanirrahim

Di kesempatan yang masih berbaki ini, saya mewakili Persatuan Mahasiswa Islam ingin mengucapkan sekalung tahniah buat semua graduan yang berjaya menamatkan pelajaran seterusnya dapat bergraduasi pada minggu ini. Semoga kejayaan yang lebih cemerlang bakal dinikmati apabila berada di dalam arena pekerjaan kelak.

Menjulang tradisi, memacu inovasi, begitulah tema yang ditonjolkan pada Festival Konvokesyen pada kali ini. Seperti yang kita sedia maklum, tradisi kecemerlangan merupakan tradisi yang perlu dipertahankan oleh semua warga Uni Malaya tidak kira sama ada mahasiswa ataupun staf akademik dan staf biasa. Universiti yang tertua ini telah dapat melahirkan pemimpin terkemuka di negara Malaysia yang kita cintai ini.

Buat semua warga kampus yang masih lagi mempunyai sisa pengajian di Uni Perdana ini, marilah kita sama-sama menggunakan peluang yang ada untuk terus menggapai cita-cita seterusnya dapat menyumbang khidmat bakti kepada agama, bangsa dan negara tercinta. Teruskan perjuangan kita dalam menuntut ilmu dan semoga ilmu yang kita dapati itu mempunyai keberkatan dan dapat menjadikan diri kita seorang yang berpengetahuan serta berakhlak terpuji.

Rakan-rakan sekalian,

Sesungguhnya alam kampus merupakan alam yang begitu mencabar namun situasi sebenar berhadapan dengan masyarakat adalah lebih mencabar lagi. Apabila berada dalam kelompok masyarakat, kita seharusnya sedaya upaya berusaha untuk menyesuaikan diri serta dapat mengaplikasikan ilmu yang telah kita pelajari selama ini. Gunakanlah segala pengalaman berada di universiti samaada di dalam bilik kuliah ataupun dalam berpersatuan untuk digunakan apabila keluar dari alam kampus.

Memetik intisari daripada kata-kata aluan bonda di dalam laman web UM antaranya, Ralph Waldo Emerson once said, "It is not the length of life, but depth of life". It matters not that UM is the oldest, but what matters is that UM, through its years of experience, has the most to offer menunjukkan kepada kita semua bahawasanya umur ataupun usia uni perdana ini bukanlah suatu ukuran bahkan pengalaman serta apa yang ada pada UM itu sendiri yang memberi makna atau nilai pada universiti tertua ini.

Sebelum saya melengkapkan tinta ini marilah sama-sama kita menghayati satu rangkap pantun untuk panduan kita bersama;

FESKUM kali ini gilang gemilang,
Meraikan kejayaan semua graduan,
Jadikan UM universiti terbilang,
Agar dapat lahirkan generasi hadapan.

~SEJAHTERA BERSAMA PMIUM~

Thursday, July 17, 2008

Kod Amalan Untuk Mencegah dan Mengendalikan Kes Gangguan Seksual



Dalam satu situasi, seorang pensyarah tiba-tiba merapatkan badannya pada tubuh seorang pelajar perempuan yang sedang bertanyakan sesuatu tugasan. Melihatkan keadaan itu, pelajar tersebut berasa ‘seriau’ dan tidak selesa, namun tidak berani bersuara kerana bimbang pensyarahnya akan menggagalkan tugasannya. Dalam situasi lain, seorang bos sering tertekan dan terganggu emosinya apabila sering diusik oleh seorang staf wanita yang dengan sengaja ‘mendedah di sana-sini’ sambil ‘menggesel-gesel’ ketika diminta melakukan sesuatu tugas. Berdasarkan perlakuan-perlakuan tersebut, apakah yang boleh ditanggapi? Apakah pula tindakan yang mesti dilakukan jika kita mengalami situasi sedemikian?

Barangkali ramai di antara kita tidak mengetahui apakah sebenarnya gangguan seksual, sedangkan perkara ini mungkin telah berlaku dan menghantui diri kita sejak sekian lama. Mengikut definisi Kamus Dewan, seksual bukan bererti melakukan perbuatan seks. Namun secara mudahnya, gangguan seksual dapatlah difahami sebagai suatu perbuatan mengusik atau mengacau seseorang pada sifat-sifat jantinanya sehingga menimbulkan ketidaktenteraman, kegelisahan, ancaman, tekanan emosi dan seumpamanya. Ia boleh terjadi bukan sahaja kepada wanita, tetapi juga kepada lelaki dan tidak terhad kepada pegawai atasan ke atas kakitangan bawahannya sahaja. Ia juga tidak terhad kepada berlainan jantina, malah boleh dilakukan oleh lelaki terhadap lelaki atau perempuan terhadap perempuan. Ia merentasi jurang gender dan status.

Sebagai tanda sokongan terhadap seruan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Dr Ng Yen Yen, yang berhasrat mewajibkan para pekerja mengikuti kursus berkaitan gangguan seksual, maka Universiti Malaya telah mengambil inisiatif menerbitkan buku ‘Kod Amalan Untuk Mencegah dan Mengendalikan Kes Gangguan Seksual di Universiti Malaya’ sebagai rujukan dan pendedahan berkenaan gangguan seksual bukan sahaja kepada kalangan staf, tetapi juga pelajar-pelajar Universiti Malaya. Hal ini bertujuan untuk mewujudkan persekitaran pembelajaran dan pekerjaan yang sihat dan selamat, bebas daripada sebarang perbuatan diskriminasi atau keganasan. Malah, bagi kakitangan perkhidmatan awam juga, peraturan berkaitan gangguan seksual ini telah lama diwujudkan seperti pada Peraturan 4A yang terkandung dalam Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993. Sementara itu, Kod Amalan Untuk Mencegah dan Membasmi Gangguan Seksual di Tempat Kerja telah diterbitkan oleh Kementerian Sumber Manusia pada tahun 1999 bertujuan menghasilkan persekitaran kerja yang bebas daripada elemen-elemen negatif berbentuk seksual.

Inisiatif yang diambil ini haruslah dipuji dan dicontohi, terutamanya bagi institusi-institusi pengajian tinggi (IPT) memandangkan mereka yang terlibat sebagai mangsa gangguan seksual lazimnya takut untuk bersuara dan mengambil sebarang tindakan ke atas pihak yang mengganggu berikutan kebimbangan digagalkan sesuatu tugasan (jika mangsa tersebut seorang pelajar) atau dibuang kerja (jika mangsa seorang staf). Pada tahun 2006, sebanyak 2,023 kes berkenaan gangguan seksual telah dilaporkan dan sebanyak 1,646 kes berjaya diselesaikan. Adakah gangguan seksual hanya berlaku seperti pada perangkaan yang tertera? Apakah kita hanya mahu membiarkan diri kita terus ‘diperkotak-katikkan’ dengan membiarkan individu-individu terbabit bebas-lepas tanpa sebarang tindakan undang-undang?

Justeru, adalah menjadi tanggungjawab setiap warganegara Malaysia, khususnya mereka yang terlibat dalam suatu bentuk perhubungan sosial seperti staf dengan pegawai atasan, guru dengan pelajar, doktor dengan pesakit dan sebagainya untuk mengambil berat berkenaan kod amalan untuk mencegah dan menangani gangguan seksual. Hal ini demikian bagi memberi pendedahan maklumat serta kesedaran berkaitan gangguan seksual yang mungkin dialami. Dengan itu, langkah perlindungan dan tindakan sewajarnya dapat dibuat mengikut prosedur yang betul bagi mendapatkan tindakan segera terhadap kes-kes yang berlaku.


Monday, July 14, 2008

SEJAHTERA BERSAMA PMIUM


PMIUM BERSAMA MASYARAKAT

Sejahtera Bersama PMIUM sememangnya sinonim dengan misi dan visi yang di bawa oleh Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Malaya ataupun singkatannya PMIUM. Agenda ini bukan sahaja untuk mahasiswa UM malahan untuk masyarakat keseluruhannya. Untuk mencapai agenda ini, pihak PMIUM telah mengambil inisiatif untuk membantu masyarakat yang mengalami kebakaran. Kejadian ini berlaku pada hari sabtu yang lalu, suatu perkara yang tidak diingini iaitu satu kebakaran telah berlaku pada penduduk kampung setinggan Jalan pantai Baru, Kuala Lumpur. Hampir 28 buah rumah telah ranap dan bencana ini melibatkan 13 buah keluarga.

Kejadian ini mencuit hati kami untuk berkongsi rasa serta bercita-cita untuk meringankan beban mangsa kebakaran sekalipun bantuan yang diberikan tidak seberapa. Rombongan kami tiba di Kompleks Stadium Hoki Kuala Lumpur di mana di situlah lokasi mangsa-mangsa ini di tempatkan. Setibanya di sana kami melihat suasana kesedihan menimpa keluarga yang ditimpa malang ini. Kelihatan anak-anak kecil telah kehilangan tempat tinggal dan hati kami merasa sayu melihatkan mereka.

’Hulurkan Tangan, Ringankan Beban’, ungkapan penuh makna ini disambut PMIUM sejajar gagasan ’Sejahtera Bersama PMIUM’ kali ini. Bantuan berupa beras dan gula diagih-agihkan kepada mangsa kebakaran. Ia dilihat sedikit sebanyak sebagai pengubat duka kepada ibu-ibu dan anak-anak yang masih bersedih menghadapi musibah.

Pemberian sumbangan daripada mahasiswa kepada masyarakat ini merupakan suatu amanah dan tanggungjawab selaku rakyat Malaysia yang berjiwa prihatin di samping melakukan tanggungjawab sebagai insane bersaudara. Mahasiswa perlu sentiasa bersama masyarakat dan sekaligus dapat menjadi juru bicara masyarakat dalam apa jua keadaan.

Terima kasih yang tidak terhingga kepada ma’ruf Club, UIAM yang mewakili gabungan Mahasiswa Islam Semenanjung (GAMIS) yang bersama-sama menjayakan hasrat murni membantu mangsa yang perlukan bantuan. Di sini, saya menyeru semua mahasiswa untuk terus bersama masyarakat kerana kita adalah sebahagian daripada masyarakat Malaysia yang sentiasa inginkan kesejahteraan dalam negara yang kita cintai.




'Sejahtera bersama PMIUM'

Wednesday, June 25, 2008

Ke Mana Halatuju Minggu Haluan Siswa?


Beberapa hari lagi, semua Institut Pengajian Tinggi Awam di seluruh negara bakal menerima pelajar-pelajar baru. Di kebanyakan universiti, pihak pentadbiran sudah mula bertungkus-lumus membuat persediaan menyambut tetamu-tetamu yang hadir daripada seluruh negeri dan latar belakang. Dengan matlamat yang satu, adalah untuk menimba seberapa banyak khazanah ilmu di samping mengutip pengalaman yang sangat berharga.

Saya percaya dan yakin, niat murni ibu bapa ingin melihat anak yang dihantar ke universiti, keluar sebagai seorang mahasiswa yang mempunyai keyakinan tinggi dan mampu merubah masyarakat. Paling kurang, ia mampu memperbaiki corak kehidupan keluarga ke arah yang lebih baik dan teratur.

Justeru itu, pembinaannya bermula daripada asasnya. Pelajar-pelajar yang masuk mendaftar, first impression mereka adalah untuk menyesuaikan diri dengan suasana baru alam kampus yang selama ini dibayang-bayangkan sebagai sebuah pusat ‘gedung keilmuan’ dan keintelektualan. Maka Minggu Haluan Siswa yang menjadi acara wajib saban tahun sebagai tapak pemula. Mereka akan didedahkan dengan realiti kampus, suasana, kehidupan dan cabaran yang bakal ditempuhi.


Memahami keadaan ini, Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Malaya mengambil iktibar dan pengajaran daripada sejarah MHS yang lalu, betapa banyaknya kelompangan yang perlu disedari dan ditampungi. Merujuk kepada rintihan ‘Mama Terguris’ dalam kolum surat pembaca Utusan Malaysia bertarikh 7 Julai 2007 yang terkejut mengenai satu aktiviti dinamakan Stupid Debate yang membincangkan tajuk yang dirasakan sangat tidak munasabah sebagai seorang mahasiswa. Ini diikuti teguran seorang bapa yang juga kesal dengan tindakan Pembantu Mahasiswa sebuah universiti yang menghalang anaknya yang beragama Islam untuk bersolat Zohor.

Oleh hal yang demikian, PMIUM dengan penuh rasa bertanggungjawab telah membawa isu ini kepada pentadbiran universiti agar dilakukan pembaikan nilai dalam MHS ini. Naib Canselor UM, Dato’ Rafiah Binti Salim dan Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar, Dr Azarae Bin Haji Idris dalam satu pertemuan telah mencapai kata sepakat bersama PMIUM agar MHS pada kali ini lebih ilmiah dan mempunyai unsur-unsur pembinaan keintelektualan. Di samping itu, aktiviti-aktiviti yang tidak melambangkan sifat seorang mahasiswa terpelajar haruslah dihentikan, agar diganti dengan aktiviti yang lebih meningkatkan modal insan yang tinggi.

Saya komited dengan perubahan ini. Saya percaya, bukan sahaja PMIUM, bahkan seluruh ibu bapa sendiri mahukan anaknya mendapat pengisian yang bermanfaat dan berguna setelah diberi peluang menjejakkan kaki ke menara gading. Jadikan MHS kali ini sebagai titik perubahan bagi membina karisma dan intelektual, sebagai persediaan untuk turun ke gelanggang masyarakat suatu hari nanti.

Muhammad Haafizuddin Bin Abi Rerah
Yang Di Pertua,
Persatuam Mahasiswa Islam Universiti Malaya,
Sesi 2008/2009

Wednesday, June 18, 2008

Bila Harga Minyak Naik...


Bila harga minyak naik

Stesen minyak bagai hantu yang meratah

Keping-keping not rencam warna

Semakin luak

Berliter-liter minyak diisi

Namun tetap tak mencukupi

Buat perjalanan sehari-hari

Yang panjang tidak berhenti

Selagi berdenyut, masih bernadi.


Bila harga minyak naik

Pasaraya menjadi malap

Lesu menanti pelanggan yang luntur harap.


Bila harga minyak naik

Nasi berlauk ikan kering adalah nikmat

Bagi sebuah keluarga marhaen

Di pinggir bandar, di hujung kampung

Yang sering bersyukur.


Bila harga minyak naik

Ibu bapa yang kian dijamah usia

Terus dihambat sepi

Merindu harap kembalinya si anak

Ke desa halaman

Mengucup tangan-tangan yang menyuap, membesarkan

Namun

Hanya kerinduan yang berpucuk di perdu hati

Kemudian layu, dan terus mati.


Bila harga minyak naik

Alam gelap-gelita

Bagai diserkup bala.

Saturday, June 14, 2008

Penurunan Kadar Tol Mampu Meringankan Beban Rakyat


Kenaikan isu minyak merupakan topik hangat yang sering dibincangkan di mana-mana pada ketika ini, hatta di warung-warung kopi, malah di jalanan secara tidak langsung. Sudah menjadi kelaziman rakyat Malaysia apabila ditimpa beban tekanan yang dirasai secara umum, mereka akan terus-terusan memperkatakan isu tersebut sehinggalah tekanan yang dirasakan makin reda berikutan inisiatif yang dilakukan oleh pihak-pihak tertentu, atau masalah tersebut sudah ‘basi’ digantikan masalah-masalah lain yang juga bersifat ‘menghimpit.’

Pada 21 Mei 2007 tahun lalu, Perdana Menteri Malaysia, Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi telah mengumumkan kadar kenaikan gaji kaki tangan kerajaan antara 7.5 hingga 35 peratus yang akan dinikmati oleh lebih kurang sejuta orang. Seterusnya berlakulah kenaikan harga barangan dan perkhimatan yang dilakukan secara bersiri oleh para peniaga daripada pelbagai sektor, termasuklah agensi-agensi dan pihak swasta. Ternyata, kenaikan gaji yang sepatutnya dinikmati oleh kaki tangan kerajaan tidak dapat meredakan perasaan mereka, bahkan golongan ini bertambah risau dan tertekan lantaran cubaan pihak-pihak tertentu yang mengambil kesempatan di atas kenaikan gaji mereka. Lebih merasai penderitaan ini ialah mereka yang terdiri daripada kalangan petani, nelayan dan mereka yang tidak memiliki pendapatan bulanan secara tetap.

Rentetan daripada itu, kadar kenaikan tol pula diumumkan pada 28 November 2007 bagi enam buah tol dengan kadar kenaikan antara 7 hingga 50 peratus daripada kadar sebelumnya. Keadaan ini ternyata amat sukar untuk dilalui, terutamanya apabila pelbagai kenaikan terus-terusan meningkat secara bersiri sehingga pertengahan tahun 2008 ini.

Justeru, dalam usaha menangani masalah-masalah berkaitan kenaikan tersebut, kami mencadangkan agar kerajaan dapat menurunkan kadar kenaikan tol bagi mengurangkan tekanan yang sedang dirasai oleh rakyat. Laporan media massa sebelum ini ada menyebutkan berkenaan perjanjian di antara kerajaan dengan syarikat konsesi lebuh raya yang membenarkan Projek Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) Berhad menaikkan kadar tol sebanyak 10 peratus setiap tiga tahun bagi 25 tahun akan datang sehingga tahun 2029.


Kami mengharapkan kerajaan dapat menilai semula perjanjian ini dengan memikirkan alternatif lain yang sesuai dan lebih baik supaya kerajaan tidak perlu membayar pampasan terlalu tinggi, malah syarikat konsesi juga tidak mengalami kerugian yang teruk. Dengan ini, rakyat juga tidak akan terbeban dengan pembayaran tol yang tinggi setiap kali melalui lebuh raya. Keadaan ini pasti akan menggembirakan hati rakyat dan melegakan perasaan mereka yang masih diamuk resah berikutan kenaikan-kenaikan yang berlaku.


Justeru, kerajaan haruslah melakukan pertimbangan wajar dengan mengambil kira pelbagai aspek sebelum menandatangani sebarang perjanjian, supaya kerugian ini tidak semata-mata ditanggung oleh kerajaan dan rakyat, sedangkan pihak lain mengaut keuntungan besar daripada perjanjian tersebut.