Wednesday, June 25, 2008

Ke Mana Halatuju Minggu Haluan Siswa?


Beberapa hari lagi, semua Institut Pengajian Tinggi Awam di seluruh negara bakal menerima pelajar-pelajar baru. Di kebanyakan universiti, pihak pentadbiran sudah mula bertungkus-lumus membuat persediaan menyambut tetamu-tetamu yang hadir daripada seluruh negeri dan latar belakang. Dengan matlamat yang satu, adalah untuk menimba seberapa banyak khazanah ilmu di samping mengutip pengalaman yang sangat berharga.

Saya percaya dan yakin, niat murni ibu bapa ingin melihat anak yang dihantar ke universiti, keluar sebagai seorang mahasiswa yang mempunyai keyakinan tinggi dan mampu merubah masyarakat. Paling kurang, ia mampu memperbaiki corak kehidupan keluarga ke arah yang lebih baik dan teratur.

Justeru itu, pembinaannya bermula daripada asasnya. Pelajar-pelajar yang masuk mendaftar, first impression mereka adalah untuk menyesuaikan diri dengan suasana baru alam kampus yang selama ini dibayang-bayangkan sebagai sebuah pusat ‘gedung keilmuan’ dan keintelektualan. Maka Minggu Haluan Siswa yang menjadi acara wajib saban tahun sebagai tapak pemula. Mereka akan didedahkan dengan realiti kampus, suasana, kehidupan dan cabaran yang bakal ditempuhi.


Memahami keadaan ini, Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Malaya mengambil iktibar dan pengajaran daripada sejarah MHS yang lalu, betapa banyaknya kelompangan yang perlu disedari dan ditampungi. Merujuk kepada rintihan ‘Mama Terguris’ dalam kolum surat pembaca Utusan Malaysia bertarikh 7 Julai 2007 yang terkejut mengenai satu aktiviti dinamakan Stupid Debate yang membincangkan tajuk yang dirasakan sangat tidak munasabah sebagai seorang mahasiswa. Ini diikuti teguran seorang bapa yang juga kesal dengan tindakan Pembantu Mahasiswa sebuah universiti yang menghalang anaknya yang beragama Islam untuk bersolat Zohor.

Oleh hal yang demikian, PMIUM dengan penuh rasa bertanggungjawab telah membawa isu ini kepada pentadbiran universiti agar dilakukan pembaikan nilai dalam MHS ini. Naib Canselor UM, Dato’ Rafiah Binti Salim dan Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar, Dr Azarae Bin Haji Idris dalam satu pertemuan telah mencapai kata sepakat bersama PMIUM agar MHS pada kali ini lebih ilmiah dan mempunyai unsur-unsur pembinaan keintelektualan. Di samping itu, aktiviti-aktiviti yang tidak melambangkan sifat seorang mahasiswa terpelajar haruslah dihentikan, agar diganti dengan aktiviti yang lebih meningkatkan modal insan yang tinggi.

Saya komited dengan perubahan ini. Saya percaya, bukan sahaja PMIUM, bahkan seluruh ibu bapa sendiri mahukan anaknya mendapat pengisian yang bermanfaat dan berguna setelah diberi peluang menjejakkan kaki ke menara gading. Jadikan MHS kali ini sebagai titik perubahan bagi membina karisma dan intelektual, sebagai persediaan untuk turun ke gelanggang masyarakat suatu hari nanti.

Muhammad Haafizuddin Bin Abi Rerah
Yang Di Pertua,
Persatuam Mahasiswa Islam Universiti Malaya,
Sesi 2008/2009

2 comments:

Aizat Salleh said...

Salam,
saya pun berpendapat begitu.
jgn memalukan universiti dgn perkara2 yang tidak bermanfaat

syuhadah dzarawi said...

salam
kdg2 perkara ini bermain di fikiran...apakah kerana bukan kita yg mengendali mggu haluansiswa, maka gendang kita sentiasa berpencak menyatakan bantahan? saya menanti suatu perubahan yang maha drastik dari dimensi jiwa...
Allah telah menjanjikan kemenangan buat umat yang beriman.
uni malaya, uni ternama. ke mana hala sasar pmium kali ini masih kabur dan kurang jelas...rasanya masih kurang perbincangan dua hala antara saf pimpinan dan jundiyah sekalian...
buat si penjaga agama, harapnya lebih berfikiran terbuka dan jauhkan pemikiran jumud...