Thursday, September 4, 2008

PEMILIHAN UNIVERSITI APEX: UNIVERSITI LAIN DISERU LEBIH AKTIF DAN PROGRESIF

Semalam,pengumuman Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin telah merungkaikan persoalan yang bermain di pemikiran seluruh warga Malaysia umumnya dan warga universiti khususnya. Keputusannya,Universiti Sains Malaysia(USM) telah berjaya dipilih untuk menyertai Program Pemacuan Untuk Kecemerlangan atau Apex dengan mengenepikan tiga buah lagi universiti,termasuklah universiti tertua di Malaysia iaitu Universiti Malaya (UM).Tahniah dan syabas diucapkan kepada USM kerana telah berjaya menjadi universiti Apex yang pertama di Malaysia. Universiti lain haruslah mencontohi USM serta perlu berusaha semaksimum mungkin mencapai kecemerlangan di peringkat antarabangsa.

Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata pemilihan USM adalah berdasarkan kepada pelan tranformasi dan kesediaannya untuk berubah. Semua ini terkandung dalam kertas kerja cadangannya yang bertajuk ”Transforming Higher Education for a Sustainable Tomorrow” yang mana telah memenuhi kriteria pemilihan yang diperlukan. Katanya, pemilihan bagi program Apex tidak hanya melihat kepada pencapaian dan kecemerlangan lepas tetapi lebih kepada perancangan masa depan, serta sama ada universiti itu dapat mencapai status bertaraf dunia dalam tempoh yang diberikan iaitu lima tahun.

USM telah mengatasi universiti saingan lain berdasarkan tiga kriteria iaitu tahap kesediaan, pelan transformasi dan kesediaan untuk berubah. Inilah yang menjadi titik tolak kepada pemilihan universiti Apex yang baru sahaja diumumkan. Namun begitu, ini tidaklah bermakna bahawa universiti lain bakal dipinggirkan. Ini jelas dalam petikan ucapannya yang menyatakan bahawa, ”Pemilihan USM tidak bermaksud universiti lain dipinggirkan, sebaliknya akan menjadi perangsang kepada universiti yang tidak terpilih untuk terus berusaha mencapai status yang lebih baik dan bertaraf dunia”.

Sekilas mengenai Universiti Apex yang mungkin masih menjadi polemik dan persoalan kepada sesetengah pihak, Universiti Apex ialah pengiktirafan yang diberikan kepada IPT tempatan untuk menjadi penanda aras di peringkat dunia dalam bidang pengajian tinggi. Universiti Apex dijanjikan autonomi dari segi kewangan, skim perkhidmatan, pengurusan, pengambilan pelajar, kepimpinan tertinggi dan penetapan yuran pengajian. Universiti Malaya sebagai universiti tertua di Malaysia, sememangnya berharap untuk dipilih menyertai program Universiti Apex kerana ia akan menjadi landasan untuk melonjakkan lagi nama universiti itu di peringkat antarabangsa, selain banyaknya sumbangan lain yang dapat diberikan kepada negara.

Berdasarkan Bajet 2009, sejumlah RM47.7 bilion yang juga 23 peratus daripada Bajet 2009, diperuntukkan untuk pendidikan dan latihan. Bagi meningkatkan kualiti pembelajaran di peringkat pengajian tinggi, peruntukan RM14.1 bilion disediakan kepada Kementerian Pengajian Tinggi. Daripada jumlah ini, RM8 bilion diperuntukkan bagi perbelanjaan mengurus institusi pengajian tinggi awam, RM627 juta kepada politeknik dan kolej komuniti serta RM37 juta kepada Agensi Kelayakan Malaysia. Sebanyak RM4.4 bilion diperuntukkan untuk perbelanjaan pembangunan, termasuk pembinaan kemudahan klinikal dan bangunan fakulti perubatan serta menyediakan latihan penyelidikan. Semua ini merupakan satu hasrat yang baik di peringkat pimpinan demi melihat kejayaan jangka panjang mada masa hadapan.

Justeru, antara lain yang sangat signifikan untuk dibincangkan di sini adalah mengenai peranan dan sumbangan golongan mahasiswa. Negara harus merasa bangga dengan usaha-usaha dan juga tindakan anak-anak muda yang idealis dan mengambil berat mengenai perkara ini. Ada antara mereka yang menjadikan perkara ini sebagai salah satu agenda perjuangan mereka di kampus, dan komited dengannya. Segala macam program yang dapat membina jatidiri dan insaniah yang kukuh digerakkan untuk memberi kesedaran kepada warga kampus. Betapa sifat ini sangat membantu mencorakkan sedikit sebanyak halatuju dan masa depan universiti.

Saya mewakili barisan kepimpinan Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Malaya mengucapkan tahniah kepada Universiti Sains Malaysia di atas pemilihan ini. Semoga ruang dan peluang yang diberikan akan digunakan semaksima mungkin demi masa depan ummah. Kami juga melahirkan rasa bangga kepada Naib Canselor kami, Bonda Dato’ Rafiah Salim atas sifat komited dan juga kesungguhan beliau. Beberapa hari yang lepas beliau ada menyatakan bahawa sekiranya tidak terpilih, ia tidak akan mematahkan semangat UM untuk terus melakar kejayaan. Semangat inilah yang perlu ada pada semua warga kampus.

Universiti Apex ini semestinya akan menjadi tumpuan serta menjadi universiti yang ditonjolkan peringkat antarabangsa. Walaupun sesetengah pihak tidak melihat kepada pengiktirafan, dan cenderung menilai mengikut perspektif sendiri akan makna pada sebuah kata bernama ’kecemerlangan’, namun sedikit-sebanyak sememangnya masyarakat tetap menilai dan memandang kepada pengiktirafan seumpama ini. Pengiktirafan seperti inilah yang bakal menaikkan prestij sesebuah universiti. Justeru, sebagai mahasiswa yang mengambil berat dengan pencapaian universiti, pihak PMIUM sentiasa bersama-sama dengan universiti untuk mencapai taraf universiti yang menjadi rujukan di peringkat global.

No comments: