Saturday, September 9, 2023

JANGAN PISAHKAN ANTARA WAHYU DAN ILMU

(Gambar hiasan.)

قال البخاري: حَدَّثَنَا مُوسَى بْنُ إِسْمَاعِيلَ، قَالَ: حَدَّثَنَا أَبُو عَوَانَةَ، قَالَ: حَدَّثَنَا مُوسَى بْنُ أَبِي عَائِشَةَ، قَالَ: حَدَّثَنَا سَعِيدُ بْنُ جُبَيْرٍ، عَنِ ابْنِ عَبَّاسٍ فِي قَوْلِهِ تَعَالَى: { لَا تُحَرِّكْ بِهِ لِسَانَكَ لِتَعْجَلَ بِهِ }. قَالَ: كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يُعَالِجُ مِنَ التَّنْزِيلِ شِدَّةً، وَكَانَ مِمَّا يُحَرِّكُ شَفَتَيْهِ. فَقَالَ ابْنُ عَبَّاسٍ: فَأَنَا أُحَرِّكُهُمَا لَكُمْ كَمَا كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يُحَرِّكُهُمَا. وَقَالَ سَعِيدٌ: أَنَا أُحَرِّكُهُمَا كَمَا رَأَيْتُ ابْنَ عَبَّاسٍ يُحَرِّكُهُمَا. فَحَرَّكَ شَفَتَيْهِ فَأَنْزَلَ اللَّهُ تَعَالَى: { لَا تُحَرِّكْ بِهِ لِسَانَكَ لِتَعْجَلَ بِهِ } { إِنَّ عَلَيْنَا جَمْعَهُ وَقُرْآنَهُ }. قَالَ: جَمْعُهُ لَهُ فِي صَدْرِكَ وَتَقْرَأَهُ. { فَإِذَا قَرَأْنَاهُ فَاتَّبِعْ قُرْآنَهُ } قَالَ: فَاسْتَمِعْ لَهُ وَأَنْصِتْ. { ثُمَّ إِنَّ عَلَيْنَا بَيَانَهُ }: ثُمَّ إِنَّ عَلَيْنَا أَنْ تَقْرَأَهُ، فَكَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بَعْدَ ذَلِكَ إِذَا أَتَاهُ جِبْرِيلُ اسْتَمَعَ فَإِذَا انْطَلَقَ جِبْرِيلُ قَرَأَهُ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كَمَا قَرَأَهُ

Terjemahan: Imam al-Bukhari berkata: Musa bin Ismail telah meriwayatkan kepada kami, katanya: Abu 'Awanah telah meriwayatkan kepada kami, katanya: Musa bin Abi 'Aishah telah meriwayatkan kepada kami, katanya: Sa'id bin Jubayr telah meriwayatkan kepada kami, katanya: daripada Ibn 'Abbas berkaitan pendapat beliau terhadap firman Allah Ta'ala: "Janganlah kamu gerakkan lidahmu untuk (membaca) al-Quran kerana hendak cepat-cepat ingin (menguasainya)." Berkata Ibn 'Abbas: "Rasulullah SAW sangat kuat keinginannya untuk menghafalkan apa yang diturunkan (al-Quran) dan menggerak-gerakkan kedua bibir Baginda." Berkata Ibnu 'Abbas: "Aku akan menggerakkan kedua bibirku (untuk membacakannya) kepada kalian sebagaimana Rasulullah SAW melakukannya kepadaku". Berkata Sa'id: "Dan aku akan menggerakkan kedua bibirku (untuk membacakannya) kepada kalian sebagaimana aku melihat Ibn 'Abbas melakukannya. Maka Nabi SAW menggerakkan kedua bibirnya, lalu turunlah firman Allah Ta'ala: "Janganlah kamu gerakkan lidahmu untuk (membaca) al-Quran kerana hendak cepat-cepat (menguasai)nya. Sesungguhnya Kamilah yang bertanggungjawab mengumpulkannya (di dadamu) dan (membuatmu pandai) membacanya". Kata beliau: (Maksudnya) Allah mengumpulkannya di dalam dadamu (untuk dihafalkan) dan kemudian kamu membacanya: "Apabila Kami telah selesai membacakannya, maka ikutilah bacaannya itu". Kata beliau: " Maka dengarkanlah (dengan teliti) dan hendaklah kamu diam". Kemudian Allah Ta'ala berfirman: "Kemudian, sesungguhnya Kamilah yang bertanggungjawab tentang penjelasannya." (Maksudnya) "Dan Kamilah yang bertanggungjawab untuk kamu membacakannya" Dan Rasulullah SAW sejak itu apabila Jibril AS datang kepada Baginda, Baginda akan mendengarkannya, dan apabila Jibril AS berlalu pergi, maka Nabi SAW membacakannya (kepada para sahabat) sebagaimana Jibril AS membacakannya kepada Baginda.

Bersungguh Dalam Mempelajari Ilmu al-Quran

Hadith ini disusun oleh Imam al-Bukhari (m. 256 H) sebagai hadith yang keempat dalam Kitab (بدأ الوحي) "Permulaan Turunnya Wahyu" menerusi karya Sahihnya. Selain itu, Imam Muslim (m. 261 H) juga meriwayatkan hadith ini di dalam Sahihnya. Begitu juga Imam al-Tirmidhi (m. 276 H) dan Imam al-Nasa'i (m. 303 H) turut meriwayatkan hadith ini dalam kitab Sunan masing-masing. Selain itu, Imam Ahmad (m. 241 H) juga merekodkan hadith ini dalam Musnadnya. Berhubung dengan kesahihan hadith ini, ia bukanlah isu memandangkan ia dikemukakan secara musnad oleh Imam al-Bukhari (m. 256 H) dalam Sahihnya.

Al-Quran adalah kitab suci yang diturunkan kepada manusia sebagai petunjuk dan bimbingan dalam menjalani kehidupan di dunia untuk menuju ke akhirat. Benar, jika ingin hidup di dunia sahaja sekali pun, tetap perlukan al-Quran, apatah lagi jika inginkan kejayaan dalam kehidupan di akhirat kelak. Justeru itu, tidak diragukan lagi bahawa al-Quran adalah kitab suci yang wajib dipelajari khususnya oleh setiap umat Islam.

Cuba kita bayangkan, untuk mendapatkan sesuatu kenderaan yang bermutu, sebarang kesilapan kecil semasa proses pembuatannya akan menjejaskan kualiti keseluruhannya. Oleh sebab itu, para pekerja yang terlibat membuatnya mestilah mempunyai kepakaran dan kemahiran. Pengalaman sahaja belum mencukupi. Waktu bekerja pula adalah waktu yang berkualiti dan kondisi para pekerja hendaklah pada peringkat yang paling optimum. Tidak cukup sekadar itu, segala prosedur pembuatannya, reka bentuk, kesesuaian enjin, keselesaan, keselamatan dan setiap inci 'body'nya akan diteliti sebelum disahkan untuk dijual kepada pengguna. Pun demikian, jarang sekali kita dengar kenderaan bermutu ini yang lebih tua daripada usia pemiliknya. Kalau pun ada, ia dijaga dengan sangat rapi dan jarang-jarang digunakan atau langsung tak digunakan. Jika diteliti, cara penggunaan dan penjagaannya juga turut dibekalkan kepada pembeli supaya dapat dikekalkan kualiti dan prestasinya.

Dalam hal ini, al-Quran adalah jauh lebih penting untuk dipastikan ketulenan kualitinya terutamanya ketika proses penerimaannya sehinggalah kepada penyampaiannya kepada manusia lain. Justeru itu, mempelajari al-Quran bukanlah sesuatu yang boleh diambil sambil lewa dan dipandang enteng. Ia perlukan usaha dan kesungguhan yang luar biasa dalam mempelajarinya. Sebarang kesilapan dan kecuaian dalam mempelajari al-Quran, kesannya akan membawa manusia kepada penyimpangan dan kesesatan. Jika dengan mempelajari al-Quran pun manusia sesat, lalu apakah ada lagi petunjuk buat manusia selain al-Quran? Dengan sebab itu, janganlah kita pelik apabila melihat golongan mubtadi' seperti Syiah, Mu'tazilah dan lain-lain sukar untuk menerima kebenaran kerana mereka telah sangat yakin bahawa merekalah kebenaran itu. Mereka juga ada al-Quran, kenapa dengan al-Quran yang sama, Ahl al-Sunnah wa al-Jama'ah di pihak yang benar sedang mereka tidak? Dalam banyak keadaan, berdakwah dengan golongan kafir dan musyrik lebih mudah lagi.

Berbalik kepada proses pembelajaran al-Quran, manusia yang paling utama untuk dijadikan contoh untuk mempelajarinya adalah Nabi Muhammad SAW. Baginda adalah manusia yang bersifat siddiq, amanah, tabligh, fatanah, dan sifat-sifat mulia lainnya. Pun demikian, hadith ini menceritakan bahawa Baginda SAW masih lagi terkumat-kamit dalam usaha menghafaz dan merekod ayat-ayat al-Quran yang diajarkan oleh Jibril AS. Sebenarnya perkara yang sama juga kita lakukan kalau sesuatu ilmu itu sangat-sangat kita inginkan, tinggal lagi adakah ia ilmu al-Quran atau tidak.

Berkongsi Itu Motivasi

Jika kita ke kedai-kedai buku, banyak sekali kita akan dapati buku-buku yang menulis tentang pengalaman hidup, perjalanan yang dilalui, peristiwa dan sebagainya sama ada tentang tokoh atau pengarangnya sendiri untuk dijadikan motivasi dan inspirasi dalam bidang-bidang tertentu seperti perniagaan, perkahwinan, kerjaya, pendidikan dan lain-lain. Itu cerita zaman moden, zaman percetakan sebagai industri.

1400 tahun yang lalu (meski pun telah ada kitab dan penulisan, namun periwayatan secara syafawi masih popular malah lebih berkualiti daripada penulisan), rakaman pengalaman diceritakan dan diriwayatkan sebagai rekod kepada generasi baru. Begitu juga halnya tentang usaha dalam mempelajari al-Quran ini. Kesungguhan yang tinggi untuk menguasai al-Quran telah ditunjukkan oleh Nabi Muhammad SAW. Dengan sebab itu, Baginda ceritakan semula kepada Ibn Abbas RA. Ibn Abbas RA adalah anak muda yang tidak sempat dengan peristiwa awal penurunan wahyu. Justeru itu, penting untuk tanamkan motivasi kepada anak muda agar bersungguh-sungguh untuk mempelajari ilmu al-Quran.

Teknik Merakam Ilmu Di Minda

Tidak boleh kita nafikan bahawa proses memperoleh ilmu itu wajiblah menggunakan akal minda anugerah Allah SWT. Ia secara asasnya berfungsi untuk dua perkara iaitu; mengingati dan memahami. Sering kali ia berkaitan serta saling membantu antara satu sama lain. Boleh berlaku mengingati untuk memahami dan begitu juga sebaliknya memahami untuk mengingati. Walau bagaimana pun, pada kebanyakan keadaan, setiap daripadanya adalah berasingan. Ramai sahaja orang yang ingat tapi tidak faham dan orang yang faham tapi tidak ingat.

Dalam tradisi ilmu Islam khususnya ketika proses penyampaian dan pengajaran wahyu, fungsi akal minda ini mestilah didahului dengan fungsi jantung nurani iaitu dengan iman, kepercayaan dan keyakinan yang teguh terhadap Allah SWT dan RasulNya. Kemudian, baharulah proses seterusnya dimainkan oleh akal minda untuk mengingati dan memahami. Dan proses akal minda yang diiringi dengan fungsi jantung nurani ini akan mudah membuahkan penghayatan dalam kehidupan.

Kembali kepada mengingati atau menghafal yang menjadi fokus riwayat ini, teknik-teknik menghafal menerusi panca indera sedia ada secara fitrahnya telah pun dipakejkan kepada manusia sebagai tuan empunya akal minda. Tinggal lagi ia perlu dikembangperkasakan dengan disiplin-disiplin dan kaedah-kaedah yang teratur serta tersusun bagi meningkatkan mutu keberkesanan ingatan dan hafalan akal minda. Mahu kalau boleh, ingat dengan cepat, tepat dan kekal. Tidak dinafikan ada segelintir manusia yang dianugerahkan dengan ingatan fotografik (photographic memory), memang hebat, nama pun anugerah. Cuma bolehlah kita bayangkan, jika ia mukjizat kepada Rasul, tentulah ia lebih hebat lagi.

Dalam penerimaan (tahammul) dan penyampaian (ada') riwayat hadith, ada satu istilah dipaggil hadith Musalsal. Secara ringkasnya, hadith Musalsal adalah ... (rujuk buku mustolah hadith) Musalsal dan teknik mengajuk atau melakonkan semula dalam PdP.

Dengar Dulu, Jangan Terburu-Buru

Menjadi fitrah dan sifat semula jadi manusia untuk tidak melepaskan peluang berharga apatah lagi yang berkaitan dengan minat dan kecenderungan peribadi. Jika boleh, semua itu hendak diingat segera, dirakam dan ingin agar ingatan itu kekal lama tanpa rosak. Perkara ini menjadikan manusia itu bersikap gopoh, kalut dan adakalanya hilang pertimbangan. Justeru itu, dalam fasa menerima wahyu, Baginda SAW diajar akan kepentingan dengar dengan teliti sehingga habis sesuatu ilmu sebelum mengajarkannya. 

Berapa ramai hari ini manusia tersilap dalam menyampaikan ilmu kerana kesilapan ketika mempelajarinya? Begitu juga maklumat yang berkaitan dengan sebaran berita. Banyak juga sebenarnya puncanya berlaku kesilapan semasa proses terima berita, bukan semua orang suka dilabel sebagai pemfitnah atau penyebar berita palsu.

Tanggungjawab Memelihara Agama

Agama Islam itu datangnya daripada Allah, maka tanggungjawab menjaganya adalah juga daripada Allah. Silaplah golongan yang cuba menanamkan keraguan kepada umat ini bahawa al-Quran itu tidak tulen, telah diubah suai dan sebagainya. Cubalah kamu ubah sendiri untuk tengok kesannya macam mana. Kami tetap meyakini bahawa ia tetap akan terpelihara kerana ia daripada Allah. Dalam ayat ini Allah SWT guna kata ganti nama kami, ia menunjukkan kebesaran dan kerajaanNya. Siapa yang ingin termasuk dalam kerajaan dan kebesaran Allah, maka sayugialah untuk turut sama di pihak Allah SWT dalam berusaha menjaga dan memelihara al-Quran.

Ilmu Tafsir Juga Wahyu

Al-Quran diturunkan dengan pakej tafsirnya sekali. Menafsirkan al-Quran tanpa merujuk kepada hadith dan berpandukan athar yang sahih, ialah suatu kesilapan malah membawa kepada kesesatan. Agama ini tertegak dan terpelihara dengan dua perkara iaitu; dalil yang sahih dan kefahaman yang sahih juga. Ini kerana semata-mata dalil yang sahih, ia belum menjamin kefahaman yang sahih. Bagaimana mahu mendapat kefahaman yang sahih? Ini juga satu persoalan yang besar, tidak ada cara lain untuk mendapatkannya melainkan dengan bimbingan ulama yang adil dan mencontohi golongan salaf al-solih terutamanya para sahabat RAhum.


                                                                        (Gambar hiasan)

Wednesday, January 29, 2020

PERJALANAN YANG JAUH ITU BERMULANYA DI SINI

(Gambar hiasan)

:قال البخاري
حَدَّثَنَا يَحْيَى بْنُ بُكَيْرٍ قَالَ حَدَّثَنَا اللَّيْثُ عَنْ عُقَيْلٍ عَنْ ابْنِ شِهَابٍ عَنْ عُرْوَةَ بْنِ الزُّبَيْرِ عَنْ  عَائِشَةَ أُمِّ الْمُؤْمِنِينَ أَنَّهَا قَالَتْ
أَوَّلُ مَا بُدِئَ بِهِ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مِنْ الْوَحْيِ الرُّؤْيَا الصَّالِحَةُ فِي النَّوْمِ فَكَانَ لَا يَرَى رُؤْيَا إِلَّا جَاءَتْ مِثْلَ فَلَقِ الصُّبْحِ ثُمَّ حُبِّبَ إِلَيْهِ الْخَلَاءُ وَكَانَ يَخْلُو بِغَارِ حِرَاءٍ فَيَتَحَنَّثُ فِيهِ وَهُوَ التَّعَبُّدُ اللَّيَالِيَ ذَوَاتِ الْعَدَدِ قَبْلَ أَنْ يَنْزِعَ إِلَى أَهْلِهِ وَيَتَزَوَّدُ لِذَلِكَ ثُمَّ يَرْجِعُ إِلَى خَدِيجَةَ فَيَتَزَوَّدُ لِمِثْلِهَا حَتَّى جَاءَهُ الْحَقُّ وَهُوَ فِي غَارِ حِرَاءٍ فَجَاءَهُ الْمَلَكُ فَقَالَ اقْرَأْ قَالَ مَا أَنَا بِقَارِئٍ قَالَ فَأَخَذَنِي فَغَطَّنِي حَتَّى بَلَغَ مِنِّي الْجَهْدَ ثُمَّ أَرْسَلَنِي فَقَالَ اقْرَأْ قُلْتُ مَا أَنَا بِقَارِئٍ فَأَخَذَنِي فَغَطَّنِي الثَّانِيَةَ حَتَّى بَلَغَ مِنِّي الْجَهْدَ ثُمَّ أَرْسَلَنِي فَقَالَ اقْرَأْ فَقُلْتُ مَا أَنَا بِقَارِئٍ فَأَخَذَنِي فَغَطَّنِي الثَّالِثَةَ ثُمَّ أَرْسَلَنِي فَقَالَ
{ اقْرَأْ بِاسْمِ رَبِّكَ الَّذِي خَلَقَ خَلَقَ الْإِنْسَانَ مِنْ عَلَقٍ اقْرَأْ وَرَبُّكَ الْأَكْرَمُ }
فَرَجَعَ بِهَا رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَرْجُفُ فُؤَادُهُ فَدَخَلَ عَلَى خَدِيجَةَ بِنْتِ خُوَيْلِدٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهَا فَقَالَ زَمِّلُونِي زَمِّلُونِي فَزَمَّلُوهُ حَتَّى ذَهَبَ عَنْهُ الرَّوْعُ فَقَالَ لِخَدِيجَةَ وَأَخْبَرَهَا الْخَبَرَ لَقَدْ خَشِيتُ عَلَى نَفْسِي فَقَالَتْ خَدِيجَةُ كَلَّا وَاللَّهِ مَا يُخْزِيكَ اللَّهُ أَبَدًا إِنَّكَ لَتَصِلُ الرَّحِمَ وَتَحْمِلُ الْكَلَّ وَتَكْسِبُ الْمَعْدُومَ وَتَقْرِي الضَّيْفَ وَتُعِينُ عَلَى نَوَائِبِ الْحَقِّ فَانْطَلَقَتْ بِهِ خَدِيجَةُ حَتَّى أَتَتْ بِهِ وَرَقَةَ بْنَ نَوْفَلِ بْنِ أَسَدِ بْنِ عَبْدِ الْعُزَّى ابْنَ عَمِّ خَدِيجَةَ وَكَانَ امْرَأً قَدْ تَنَصَّرَ فِي الْجَاهِلِيَّةِ وَكَانَ يَكْتُبُ الْكِتَابَ الْعِبْرَانِيَّ فَيَكْتُبُ مِنْ الْإِنْجِيلِ بِالْعِبْرَانِيَّةِ مَا شَاءَ اللَّهُ أَنْ يَكْتُبَ وَكَانَ شَيْخًا كَبِيرًا قَدْ عَمِيَ فَقَالَتْ لَهُ خَدِيجَةُ يَا ابْنَ عَمِّ اسْمَعْ مِنْ ابْنِ أَخِيكَ فَقَالَ لَهُ وَرَقَةُ يَا ابْنَ أَخِي مَاذَا تَرَى فَأَخْبَرَهُ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ خَبَرَ مَا رَأَى فَقَالَ لَهُ وَرَقَةُ هَذَا النَّامُوسُ الَّذِي نَزَّلَ اللَّهُ عَلَى مُوسَى يَا لَيْتَنِي فِيهَا جَذَعًا لَيْتَنِي أَكُونُ حَيًّا إِذْ يُخْرِجُكَ قَوْمُكَ فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَوَمُخْرِجِيَّ هُمْ قَالَ نَعَمْ لَمْ يَأْتِ رَجُلٌ قَطُّ بِمِثْلِ مَا جِئْتَ بِهِ إِلَّا عُودِيَ وَإِنْ يُدْرِكْنِي يَوْمُكَ أَنْصُرْكَ نَصْرًا مُؤَزَّرًا ثُمَّ لَمْ يَنْشَبْ وَرَقَةُ أَنْ تُوُفِّيَ وَفَتَرَ الْوَحْيُ
قَالَ ابْنُ شِهَابٍ وَأَخْبَرَنِي أَبُو سَلَمَةَ بْنُ عَبْدِ الرَّحْمَنِ أَنَّ جَابِرَ بْنَ عَبْدِ اللَّهِ الْأَنْصَارِيَّ قَالَ وَهُوَ يُحَدِّثُ عَنْ فَتْرَةِ الْوَحْيِ فَقَالَ فِي حَدِيثِهِ بَيْنَا أَنَا أَمْشِي إِذْ سَمِعْتُ صَوْتًا مِنْ السَّمَاءِ فَرَفَعْتُ بَصَرِي فَإِذَا الْمَلَكُ الَّذِي جَاءَنِي بِحِرَاءٍ جَالِسٌ عَلَى كُرْسِيٍّ بَيْنَ السَّمَاءِ وَالْأَرْضِ فَرُعِبْتُ مِنْهُ فَرَجَعْتُ فَقُلْتُ زَمِّلُونِي زَمِّلُونِي فَأَنْزَلَ اللَّهُ تَعَالَى
{ يَا أَيُّهَا الْمُدَّثِّرُ قُمْ فَأَنْذِرْ إِلَى قَوْلِهِ وَالرُّجْزَ فَاهْجُرْ }
فَحَمِيَ الْوَحْيُ وَتَتَابَعَ تَابَعَهُ عَبْدُ اللَّهِ بْنُ يُوسُفَ وَأَبُو صَالِحٍ وَتَابَعَهُ هِلَالُ بْنُ رَدَّادٍ عَنْ الزُّهْرِيِّ وَقَالَ يُونُسُ وَمَعْمَرٌ بَوَادِرُهُ

Terjemahan: Imam al-Bukhari berkata: Yahya bin Bukayr telah meriwayatkan kepada kami, beliau berkata; al-Layth telah menceritakan kepada kami, daripada 'Uqayl, daripada Ibn Shihab, daripada 'Urwah bin al-Zubayr, daripada 'Aishah (Bonda Sekelian Orang Yang Beriman), bahawasanya beliau telah berkata: "Permulaaan wahyu yang datang kepada Rasulullah SAW adalah dengan mimpi yang benar dalam tidur. Dan tidaklah Baginda bermimpi kecuali datang seperti cahaya subuh. Kemudian diberikan kecintaan kepada Baginda untuk menyendiri, lalu Baginda memilih gua Hira' dan bertahannuth iaitu ibadah di malam hari dalam beberapa waktu lamanya sebelum kemudian kembali kepada keluarganya bagi tujuan mempersiapkan bekal untuk bertahannuth kembali. Kemudian Baginda menemui Khadijah mempersiapkan bekal. Sehinggalah akhirnya datang al-Haq ketika Baginda di gua Hira'. Malaikat datang seraya berkata: "Bacalah!" Baginda menjawab: "Aku tidak boleh membaca", Nabi SAW menjelaskan: Lantas malaikat itu memegangku dan memelukku dengan sangat kuat kemudian melepaskanku dan berkata lagi: "Bacalah!" Baginda menjawab: "Aku tidak boleh membaca". Maka malaikat itu memegangku dan memelukku dengan sangat kuat kemudian melepaskanku dan berkata lagi: "Bacalah!". Baginda menjawab: "Aku tidak boleh membaca". Malaikat itu memegangku kembali dan memelukku untuk ketiga kalinya dengan sangat kuat lalu melepaskanku, dan berkata lagi: "(Bacalah dengan (menyebut) nama Tuhanmu yang Maha Menciptakan, Dia telah menciptakan manusia dari segumpal darah. Bacalah, dan Tuhanmulah yang Maha Pemurah)." Nabi SAW kembali kepada keluarganya dengan membawa kalimah wahyu tadi dalam keadaan bergetar jiwanya (gelisah). Baginda menemui Khadijah binti Khawailid seraya berkata: "Selimuti aku, selimuti aku!". Baginda pun diselimuti hingga hilang ketakutannya. Lalu Baginda menceritakan peristiwa yang terjadi kepada Khadijah: "Aku bimbangkan diriku". Maka Khadijah berkata: "Demi Allah, Allah tidak akan membinasakanmu selamanya, kerana engkau adalah orang yang menyambung silaturrahim." Khadijah kemudian mengajak Baginda untuk bertemu dengan Waraqah bin Naufal bin Asad bin Abdul 'Uzza, anak bapa saudara (sepupu) Khadijah, yang beragama Nasrani pada masa Jahiliyyah, dia juga menulis buku dalam bahasa Ibrani, juga menulis kitab Injil dalam bahasa Ibrani dengan izin Allah. Ketika itu Waraqah sudah tua dan matanya buta. Khadijah berkata: "Wahai anak bapa saudaraku, dengarkanlah apa yang akan disampaikan oleh anak saudaramu ini". Waraqah berkata: "Wahai anak saudaraku, apa yang sudah kamu alami". Maka Rasulullah SAW menceritakan peristiwa yang dialaminya. Waraqah berkata: "Ini adalah Namus, seperti yang pernah Allah turunkan kepada Musa. Duhai seandainya aku masih muda dan aku masih hidup saat kamu nanti diusir oleh kaummu". Rasulullah SAW bertanya: "Apakah aku akan diusir mereka?" Waraqah menjawab: "Ya, kerana tidak ada seorang pun yang datang dengan membawa seperti apa yang kamu bawa ini kecuali akan disakiti (dimusuhi). Seandainya aku ada saat kejadian itu, pasti aku akan menolongmu dengan sedaya upayaku". Waraqah tidak mengalami peristiwa yang diyakininya tersebut kerana lebih dahulu meninggal dunia pada masa fatrah (kekosongan) wahyu. Ibn Shihab berkata; Abu Salamah bin 'Abd al-Rahman telah mengkhabarkan kepadaku bahawa Jabir bin Abdullah al-Ansari menceritakan tentang fatrah wahyu, sebagaimana yang Rasulullah SAW ceritakan: "Ketika sedang berjalan aku mendengar suara dari langit, aku memandang ke arahnya dan ternyata malaikat yang pernah datang kepadaku di gua Hira', duduk di atas kursi antara langit dan bumi. Aku pun ketakutan dan pulang, dan berkata: "Selimuti aku. Selimuti aku". Maka Allah Ta'ala menurunkan wahyu: "Wahai orang yang berselimut... sehingga firman Allah "...dan berhala-berhala, tinggalkanlah". Sejak itu wahyu terus turun berkesinambungan." Hadith ini disokong oleh riwayat Abdullah bin Yusuf dan Abu Salih, juga oleh riwayat Hilal bin Raddad daripada al-Zuhri. Yunus dan Ma'mar berkata: "(Menggigil) Bahunya".

Insan Terpilih Yang WAJIB Dipilih

Hadith Aishah RA ini turut diriwayatkan oleh Imam Muslim (m. 261 H) dalam Sahihnya, Imam al-Tirmidhi (m. 276 H) dalam Jami'nya, dan Imam Ahmad (m. 241 H) dalam Musnadnya. Demikianlah secara ringkas takhrij bagi hadith ini.

Hadith yang panjang ini secara umumnya menceritakan tentang peristiwa ketika mula-mula turunnya wahyu kepada insan bernama Muhammad bin Abdullah SAW. Baginda adalah insan yang terpilih untuk menjadi utusan Allah SWT bagi urusan menyampai dan mengajarkan wahyu kepada seluruh manusia. Bukan calang-calang manusia dan bukan calang-calang tugas. Bayangkan seorang manusia perlu ajar satu agama dengan sempurna dan menyebarkannya kepada seluruh manusia di segenap ceruk dunia di sepanjang zaman. Wow! Sedangkan ajaran, agama, ideologi dan falsafah selain Islam yang dibawa oleh cerdik pandai dan cendekiawan pun perlukan lebih daripada seorang untuk mengajarkannya, itu pun belum tentu sempurna, boleh jadi hanya 'cover' sudut-sudut tertentu sahaja dan sudah pasti ia tidak sesuai untuk seluruh manusia dan sepanjang zaman. Justeru jika kita mendengar ada golongan yang tersimpang akalnya dan bernanah jiwanya mengaku diri menjadi rasul akhir zaman, ini suatu jenaka neraka. Mungkin ahli neraka boleh kurang deritanya dengan berita begini. Atau merasa azabnya tidaklah sehebat mana berbanding yang akan ditimpakan kepada rasul plagiat ini.

Allah SWT adalah Tuhan Yang Maha Mengetahui. Hakikat insan yang terpilih itu, sedari awal kehidupannya lagi telah mendapat penjagaan dan pemeliharaan daripada Allah SWT. Suasana sekeliling, budaya, cara hidup, pendidikan, dan sebagainya, semuanya seolah-olah dipermudah dan dilorongkan ke suatu titik destinasi. Jika hari ini kita melihat banyak insan-insan yang terpilih dan menjadi legenda dalam bidang yang diceburinya, semuanya ada laluan yang tersedia untuknya sekali pun dia sendiri tidak merancang dan menjangkakannya. Tinggal lagi insan-insan ini terpilih untuk membawa kebaikan atau keburukan untuk manusia dalam kehidupannya. Apatah lagi insan yang dipilih Allah SWT untuk menjadi rasulNya. Dengan sebab itu, kita melihat pengakuan daripada isteri Baginda sendiri yang menyatakan bahawa Allah SWT tidak akan mensia-siakan Baginda kerana amalannya yang sebelum ini terkenal dengan menyambung silaturrahim, membantu golongan yang memerlukan dan segala macam kebaikan yang lain.

Dalam realiti kehidupan kita di dunia, contohnya ketika hendak membuat pilihan dalam membeli barangan, kita akan berusaha mendapatkan nasihat dan pilihan daripada pihak yang diyakini autoriti dan keahliannya. Ingin membeli komputer umpamanya, ada banyak kedai, ada banyak spesifikasi, ada banyak jenama dan sebagainya. Dalam hal ini, cuba jaya (try and error) bukanlah suatu tindakan yang bijak. Dengan itu pilihan yang ada adalah mendapatkan 'recommendation' daripada pakar atau 'review' daripada pengguna-pengguna adalah sangat penting untuk membuat pilihan. Bukan semua perkara kita perlu eksperimenkan kerana faktor masa, usia, ruang, tempoh dan lain-lain yang terhad dan singkat tidak memungkinkan. 

Jika demikianlah urusan dunia, tidakkah dalam urusan akhirat lebih-lebih lagi ia diperlukan? Dalam ramai-ramai manusia di dunia ini, Allah SWT telah pilih Nabi Muhammad SAW sebagai rasulNya. Dalam banyak-banyak agama di dunia ini, Allah SWT telah memilih Islam sebagai agama yang diredai dan disempurnakannya. Siapakah lagi selain Allah SWT yang lebih layak untuk memberikan syor kepada manusia untuk memilih agama dan rasul yang patut diikuti untuk mendapatkan kejayaan di dunia dan di akhirat?

Apabila kita memilih suatu barangan untuk dibeli, barangan lain yang tidak dipilih akan ditinggalkan. Tak mungkin ada peniaga yang mahu menerima harga untuk satu barang tapi pembeli ambil lebih daripada satu barang. Demikian juga dalam urusan agama, jika kita telah memilih agama yang sempurna, mengapa perlu lagi untuk membawa masuk ajaran-ajaran dan unsur-unsur daripada luar? Melainkan kita berfikir, agama kita masih belum sempurna. Namun kalau kita melihat masih wujud manusia yang tetap memilih yang tidak sempurna walau pun ada yang sempurna dihadapannya, ini tidak hairan, kerana itulah manusia.

Jodoh Yang Sempurna Itu Suatu Kurnia

Perancangan Allah SWT itu Maha Teliti. Mungkin sesetengah orang melihat bahawa episod awalnya bermula daripada Rasulullah SAW dihadirkan wahyu berbentuk mimpi melihat waktu subuh, kemudian ditanam perasaan ingin bersendiri sehingga membawa diri ke gua Hira', dan seterusnya... Ini adalah zahir hadith, ya memang benar, tidak ada salahnya disitu. Namun jika kita cermati lagi, boleh dikatakan bahawa tulang belakang yang menggerakkan plot-plot awal kerasulan adalah daripada batang tubuh isteri Baginda SAW, iaitu Khadijah binti Khuwailid RA.

Mencari jodoh yang baik itu suatu suruhan. Mendapat jodoh yang baik adalah suatu kurniaan. Apa kriterianya? Asasnya Baginda SAW meletakkan faktor beragama sebagai penentu kebaikan. Yang lain-lain adalah berdasarkan kesesuaian dan keselesaan setiap individu. Sokongan dan dokongan daripada pasangan adalah sangat penting dalam menghadapi saat-saat yang sukar serta sulit dalam kehidupan. Sepatutnya orang yang stress di pejabat, apabila pulang ke rumah, tekanannya berkurangan dan kembali tenang. Berbeza dengan kebanyakan realiti sekarang, akibat memilih kriteria jodoh yang tidak tepat, pasangan menjadi faktor bertambahnya stress.

Dengan memilih pasangan yang baik, bermakna kita telah memilih ibu atau bapa yang baik kepada anak-anak kita, datuk atau nenek yang baik kepada cucu-cucu kita dan seterusnya. Apa yang kita lakukan hari ini mungkin suatu yang kecil tetapi akan menjadi sejarah keluarga yang besar. Kalau usia dunia ini masih berterusan sehingga ada ribuan tahun lagi, barapa ramaikah zuriat keturunan kita yang akan terkesan dengan sebab tindakan kita yang kecil ini?

Termasuk dalam kriteria pemilihan jodoh itu ialah ahli keluarga dan kenalan-kenalannya. Semuanya itu akan menjadi manfaat dan kebaikan kepada kita andainya mereka memang bermanfaat. Begitulah sebaliknya. Sesungguhnya kehidupan di dunia ini adalah suatu perjalanan yang sangat jauh dan penuh dengan pancaroba. Alangkah indahnya apabila kita mempunyai pasangan yang saling melengkapi dan sangat memahami diri. Alangkah peliknya masih ada manusia yang gagal mencari pasangan sebenar sebaliknya mencari yang bukan pasangan. Sangat kelakar jika seseorang yang memakai selipar yang kedua-duanya adalah kanan, namun dia mendakwanya sepasang. Kakinya yang kiri pasti tersakiti, begitu juga sebaliknya jika kedua-duanya sebelah kiri. Jika dalam urusan memilih pasangan secara zahir pun golongan ini gagal, janganlah diharapkan pilihan mereka dalam urusan batin.

Selamat memilih.

(Gambar hiasan)

Saturday, September 29, 2018

TIDAKKAH KITA MERASAI IA SEBENARNYA BERAT?

(Gambar hiasan)

قال البخاري: حَدَّثَنَا عَبْدُ اللَّهِ بْنُ يُوسُفَ قَالَ أَخْبَرَنَا مَالِكٌ عَنْ هِشَامِ بْنِ عُرْوَةَ عَنْ أَبِيهِ عَنْ عَائِشَةَ أُمِّ الْمُؤْمِنِينَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهَا
أَنَّ الْحَارِثَ بْنَ هِشَامٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ سَأَلَ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقَالَ يَا رَسُولَ اللَّهِ كَيْفَ يَأْتِيكَ الْوَحْيُ فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَحْيَانًا يَأْتِينِي مِثْلَ صَلْصَلَةِ الْجَرَسِ وَهُوَ أَشَدُّهُ عَلَيَّ فَيُفْصَمُ عَنِّي وَقَدْ وَعَيْتُ عَنْهُ مَا قَالَ وَأَحْيَانًا يَتَمَثَّلُ لِي الْمَلَكُ رَجُلًا فَيُكَلِّمُنِي فَأَعِي مَا يَقُولُ قَالَتْ عَائِشَةُ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهَا وَلَقَدْ رَأَيْتُهُ يَنْزِلُ عَلَيْهِ الْوَحْيُ فِي الْيَوْمِ الشَّدِيدِ الْبَرْدِ فَيَفْصِمُ عَنْهُ وَإِنَّ جَبِينَهُ لَيَتَفَصَّدُ عَرَقًا

Terjemahan: Imam al-Bukhari berkata: 'Abdullah bin Yusuf telah meriwayatkan kepada kami, katanya; Malik telah mengkhabarkan kepada kami, katanya; daripada Hisham bin 'Urwah; daripada bapanya; daripada 'Aishah - Bonda sekelian orang yang beriman - RA; bahawa al-Harith bin Hisham RA telah bertanya kepada Rasulullah SAW, kata beliau: "Wahai Rasulullah, bagaimanakah wahyu dibawakan kepada kamu?" Rasulullah SAW lalu menjawab: "Kadang-kadang ia dibawakan (dalam bentuk) seperti nyaringan loceng dan ia adalah yang paling berat bagiku, kemudian ia terhenti sejenak daripadaku dan aku dapat memahami apa yang dikatakan. Kadang-kadang malaikat datang kepadaku dengan menyerupai seseorang lelaki lalu berbicara denganku, justeru aku memahami apa yang dikatakannya." 'Aishah RA berkata: "Sungguh aku pernah melihat Baginda ketika wahyu sedang diturunkan kepadanya iaitu pada suatu hari yang sangat sejuk kemudian ia terhenti, dan sesungguhnya mengalir keringat (peluh) di dahi Baginda."

Wahyu Bukanlah Suatu Rahsia

Teks hadith di atas adalah merupakan hadith yang kedua dalam kitab Sahih al-Bukhari iaitu dibawah "Bab Bagaimanakah Bermulanya Wahyu (Diturunkan) Kepada Rasulullah SAW". Hadith ini turut dikemukakan oleh Imam al-Bukhari (m. 256 H) menerusi "Bab Penjelasan Tentang Malaikat" dalam "Kitab Permulaan Penciptaan Makhluk". Hadith ini turut diriwayatkan oleh Imam Malik (m. 179 H) dalam al-Muwatta', Imam Ahmad (m. 241 H) dalam Musnadnya, Imam al-Tirmidhi (m. 279 H) dalam al-Jami' al-Tirmidhi, dan Imam al-Nasa'i (m. 303 H) dalam Sunannya. Tulisan ini tidaklah berhasrat untuk mendetilkan takhrij hadith di atas. 'Azw sahaja telah memadai. 

Hadith ini telah menarik perhatian para ulama sepanjang zaman untuk memusatkan fikiran mereka dalam memahami konteksnya selain menggali sebanyak mungkin faedah dan pengajaran daripada hadith ini. Antara yang jelas dapat kita fahami menerusi hadith ini ialah wahyu yang diturunkan kepada Nabi Muhammad SAW bukanlah suatu dusta, malah ia diturunkan secara terang-terangan dan dapat disaksikan oleh para sahabat RA. Hadith ini menjadi hujah bahawa ajaran yang dibawa oleh Baginda SAW adalah berpunca daripada Allah SWT dan bukan daripada khayalan serta rekaan minda.

Sesungguhnya kebiasaan manusia itu tidak suka dia dilihat sedang menyediakan atau menyiapkan sesuatu. Terasa seperti aib serta kekurangan diri terdedah dan sekiranya hasil tersebut siap, ia telah kehilangan nilai kejutan. Justeru, tiada seniman yang suka dilihat sedang berkarya, tiada saintis yang suka dilihat sedang membuat eksperimen, tiada penulis yang gemar dilihat sedang memilih kata, tiada tukang masak yang suka dilihat sedang menyukat rasa, tiada penyanyi yang suka dilihat sedang mencari nada, tiada ahli silap mata yang suka dilihat sedang menyiapkan helah dan lain-lain lagi. 

Sekali pun kita melihat terdapat rancangan-rancangan masakan, lukisan, nyanyian dan sebagainya, hakikatnya ia termasuk dalam persembahan yang bertujuan lebih menonjolkan kemahiran dan profesionalisma pemainnya. Yang 'spoil' semuanya telah disunting. Inilah manusia. Perkara ini akan lebih jelas dapat dilihat khususnya dalam aspek yang melibatkan idea asal, corak tersendiri, hak cipta terpelihara dan sebagainya yang melibatkan identiti seseorang atau institusi. Menjadikan prosesnya sebagai rahsia akan menjadikan nilainya lebih tinggi berbanding yang lain.

Saya melihat fenomena ini berlaku dalam kalangan manusia kerana ia pada dasarnya melibatkan persaingan antara individu dengan individu yang lain. Manusia cenderung dilihat berbeza daripada orang yang sekelas dengannya untuk dilihat unggul dan mengatasi yang lain. Semuanya kerana ingin meraih kepentingan duniawi seperti kemasyhuran, kekayaan, kemuliaan dan sebagainya.

Fenomena yang dikatakan ini langsung tidak berlaku kepada Nabi SAW. Ia sebagai bukti ketulenan ajaran ini daripada langit. Tidak pernah kita mendengar Baginda SAW lari menyembunyikan diri tatkala datangnya wahyu kerana malu. Juga tidak pernah kita menemui riwayat yang mengatakan Rasulullah SAW memerlukan masa tertentu yang khas untuk menerima wahyu. Sebaliknya ia tidak mengira waktu atau keadaan Baginda SAW. Kadang-kadang di rumah, kadang-kadang di medan perang, kadang-kadang di depan khalayak dan banyak lagi. Hadith-hadith seperti ini hakikatnya adalah suatu mukjizat agung yang sekali gus mencabar kebenaran serta keabsahan ajaran-ajaran dan agama yang lain.

Inilah sifat wahyu, tidak tersembunyi dan terlindung. Malah ia bersifat terbuka dan secara terang-terangan. Kerana ia sempurna dari segenap segi dan terpelihara daripada kecacatan. Ia memang sarat dengan rahsia, tapi ia tidak rahsia. Sehubungan itu, siapa sahaja dalam kalangan umat Baginda SAW juga boleh berinteraksi dengan wahyu dan Allah akan singkapkan rahsia itu kepada orang yang dikehendakiNya.

(اللهم فقهنا في الدين وعلمنا التأويل)

Kemuliaan Sebagai Suatu Anugerah

Kehidupan di dunia sangat sukar. Selain memerlukan kesabaran yang tinggi, faktor bimbingan dan pedoman yang benar juga adalah suatu kewajiban. Hakikat kejadian manusia adalah sebagai pemimpin dan khalifah di muka bumi Allah SWT ini. Justeru, kemuliaan dan ketinggian adalah aset yang amat penting kepada setiap individu. Manusia sanggup melakukan apa sahaja demi mendapatkannya.

Tanpa bimbingan dan petunjuk ilahi, subjektif kemuliaan tidak dapat dirungkaikan dan kekal menjadi tanda tanya. Mulia bererti orang lain melihat kita tinggi. Sebahagian manusia melihat akan mendapat kemuliaan apabila hartanya melebihi harta orang lain. Ada pula segolongan yang lain melihat kemuliaan itu dapat diraih jika kuasa dan pengaruhnya lebih besar berbanding orang lain. Begitu juga ada golongan yang mendapati kemuliaan itu dengan sendirinya diperoleh apabila kebijaksanaannya mengatasi orang lain. Justeru itu, demi mengejar 'kemuliaan-kemuliaan' ini, kita dihidangkan dengan aktiviti-aktiviti rompakan, penindasan, dan membodohkan sesama manusia di seantero dunia sejak dahulu hinggalah kini. Lebih malang lagi, sebahagian umat Islam juga terjerumus dalam lumpur jerlus ini.

Langit telah tersingkap dan sinarnya yang gemerlap telah memenuhi bumi yang gelap. Manusia yang rakus mencakar dalam rabaan mencari kemuliaan mula tersentap. Kemuliaan yang dicari sebenarnya tiada di bumi, namun ia adalah sesuatu yang datang dari sisi ilahi. Justeru ia bukan dicapai dengan pilihan sendiri semata-mata, malah ia adalah suatu pemberian dan anugerah daripada Tuhan yang Maha Menciptakan manusia lagi Maha Pemberi.

Berbalik kepada peribadi Nabi SAW, kita mendapati bahawa Allah SWT telah mengangkat darjat dan kemuliaan Baginda SAW berbanding manusia yang lain dengan keimanan dan ketaqwaan yang tinggi kepadaNya. Segalanya terkandung dalam ajaran yang dibawa oleh Baginda SAW iaitu Islam. Lantaran itu, kemuliaan ini turut dikongsikan bersama dengan umatnya sepanjang zaman selagi mana mereka berusaha menjejaki dan menuruti ajaran langit ini.

Semoga kita semua beroleh taufiq dan hidayah daripada Allah SWT.

Amanah Agama Itu Berat

Mengamati realiti kehidupan kita di atas muka bumi ini, pada dasarnya tiada perkara yang ringan. Sekali pun banyak pihak cuba meringankan perkara-perkara yang dirasakannya berat, hakikatnya usaha untuk meringankan perkara tersebut juga adalah suatu yang berat. Contohnya seseorang berhasrat mengemukakan ideologi fahamannya ke tengah-tengah masyarakat supaya ia diterima dan dijadikan pegangan. Pertama, ideologinya itu sendiri adalah berat. Kedua, usaha mengetengahkannya dalam masyarakat juga berat. Ketiga, cabaran, rintangan dan tentangan daripada pihak yang tidak bersetuju tentunya tidak ringan. Keempat, memastikan masyarakat benar-benar mengikuti kehendak idoeloginya itu dengan memberikan teguran, panduan dan lain-lain juga adalah merupakan suatu yang lebih berat kerana sedikit kecuaian akan menjadikan ideologinya tidak lagi tulen.

Nah, itu hanya contoh bagi golongan yang ingin menegakkan ideologi duniawinya. Ia bukan semudah yang disangka. Justeru di sepanjang sejarah sosio-politik dunia, kita dapati telah sekian banyak ideologi dan pegangan manusia yang pupus ditelan zaman. Tidak kurang juga yang telah menyimpang jauh dari landasan asal yang digariskan oleh pengasasnya. Namun demikian, oleh kerana matlamatnya hanya kebahagiaan dunia, maka peratus rasa ralat dan kerugiannya tidaklah sebesar mana meski pun terkadang ribuan jiwa terkorban kerananya.

Berbeza dengan panduan dan bimbingan daripada Allah SWT, ia bukan sekadar ideologi, malah mencakupi segenap keperluan dalam kehidupan manusia. Ia termasuk perkara akidah, syariah, muamalah, akhlak, siasah dan banyak lagi. Tentulah nak mengetengah dan menegakkannya dalam masyarakat buakan suatu kerja yang ringan lebih-lebih lagi masyarakat yang jahil. Banyak perkara yang perlu diambil kira.

Sudah tentu, inilah yang telah dilalui oleh Nabi SAW dan para sahabat Baginda RA. Liku dan ranjau yang perlu disusuri merupakan suatu pengorbanan yang tinggi dalam menyampaikan risalah Islam ini. Sebarang kealpaan, kecuaian, dan kemalasan akan merosakkan umat ini hingga ke akhirnya. Tiada lagi rasul sesudah Rasulullah SAW, agama ini sepenuhnya diwariskan kepada umat untuk membela, menjaga, dan menyebarkannya ke segenap alam.

Usah berfikir yang jauh-jauh, hendak membimbing diri dan keluarga sendiri sahaja sudah cukup berat. Inilah tabiat wahyu, beratnya di dunia hanyalah sementara. Keringanan di akhirat itu yang didambakan daripadaNya.

Semoga Allah SWT meringankan segala urusan kita semua.

(Gambar hiasan)

Thursday, September 27, 2018

ALASAN LOGIK TERHADAP SYARAT-SYARAT HADiTH SAHiH


(Gambar adalah hiasan. Tiada kaitan dengan tulisan di bawah)

Oleh: Muhammad Haafizuddin bin Abirerah

Hadith bermakna sesuatu yang disandarkan kepada Nabi s.a.w sama ada perkataan, perlakuan, perakuan, dan sifat Baginda s.a.w sama ada secara tabi’i atau yang perlukan kepada usaha. Hadith Nabi s.a.w adalah dalil dan hujah dalam melaksanakan suruhan Allah dan meninggalkan larangan-Nya. Dalam Islam, Hadith merupakan sumber kedua selepas al-Quran. Ia wajib dirujuk oleh umat Islam memandangkan Íadith adalah tafsir bagi al-Quran itu sendiri.

Sehubungan dengan itu, sebagai umat Islam kita wajib memastikan hadith-hadith Nabi s.a.w yang sampai kepada kita adalah benar-benar tulen dan terpelihara keasliannya. Menyedari peri pentingnya perkara ini, ulama dalam bidang hadith telah meletakkan syarat-syarat sesebuah hadith sahih. Syarat-syarat tersebut ialah:

i. Sanadnya bersambung dan tidak putus sehingga kepada Nabi s.a.w.
ii. Perawinya adalah manusia yang adil.
iii. Perawinya adalah manusia yang dabit.
iv. Hadith tersebut selamat daripada syaz (ganjil).
v. Hadith tersebut selamat daripada ‘illah (cacat).

Berikut adalah alasan-alasan logik mengapa syarat-syarat ini ditetapkan oleh ulama-ulama dalam bidang hadith.

i. Sanadnya Bersambung (اتصال سنده)

Maksud sanad bersambung ialah, hadith yang disampaikan oleh Nabi s.a.w itu berpindah dari suatu generasi ke suatu generasi yang lain yang mana individu-individu tersebut saling bertemu. Rantaian ini berterusan sehinggalah hadith-hadith Nabi s.a.w dihimpun dan dibukukan. Ini adalah bertujuan memastikan siapakah pembawa-pembawa hadith tersebut. Perawi-perawi tersebut dapat dikenali dan diketahui keadaan mereka, kehidupan mereka, dan yang paling penting adalah kelayakan mereka untuk menyampaikan hadith.

Sekiranya sanad terputus, mustahil hadith tersebut dapat sampai ke generasi-generasi selepasnya melainkan terdapat penyelewengan dan penipuan dalam penyampaian hadith tersebut. Selain itu, pada bahagian sanad yang gugur tersebut juga tidak dapat dikenalpasti perawinya. Adakah dia benar-benar layak atau tidak. Ini menyebabkan sekira sanadnya putus, maka timbul keraguan bagi ulama hadith pada status hadith- hadith tersebut.

ii. Perawinya Adil

Selain memastikan sanadnya bersambung, ulama-ulama hadith juga menilai kepada individu-individu yang memindahkan hadith tersebut. Antara kriteria yang dilihat ialah:

  1. Islam
Perawi tersebut hendaklah Muslim. Ini kerana sekiranya ia kafir, bagaimana kita dapat meyakini apa yang disampaikannya mengenai Nabi sedangkan ajaran yang dibawanya itu tidak diikuti.

Orang yang tidak Muslim tidak diikat dengan dosa atau pahala. Dia juga tidak merasakan peri pentingnya hadith-hadith untuk dipelihara keasliannya. Namun begitu, selepas ia menganut Islam, hadithnya diterima.

  1. Baligh
Orang yang telah baligh bertanggungjawab terhadap apa yang dilakukannya. Berbeza dengan kanak-kanak. Umur baligh adalah usia matang seseorang, kanak-kanak meskipun berilmu tinggi pada hakikatnya usia mereka masih belum matang. Selain itu, taklifan agama dipertanggungjawabkan kepada Muslim yang telah baligh.

  1. Berakal
Hadith tidak boleh diambil daripada orang gila. Ini kerana, ia akan mendatangkan fitnah yang besar kepada agama. Masakan agama yang suci ini diambil daripada orang gila.

Lazimnya orang gila tidak mengetahui apa yang dibicarakannya atau perkara yang dilakukannya. Sekiranya agama ini diambil daripada orang yang tidak berakal, generasi-generasi kemudian akan rosak dan kehilangan punca.

  1. Tidak fasik
Hadith tidak boleh diambil daripada orang yang lazim melakukan dosa. Sekiranya dia sering melanggar perintah Allah, tidak mustahil ia meriwayatkan hadith berdasarkan nafsunya sebagaimana dia sering menurutinya dalam perkara seharian.

Hadith perlulah diambil daripada orang yang beramal dan berpegang teguh dengan Islam. Selain hadithnya diyakini, dirinya sendiri boleh dijadikan contoh dan iktibar oleh generasi selepasnya.

  1. Memelihara maruah
Hadith tidak boleh diambil daripada orang yang maruahnya telah tercemar. Ia akan menjadi fitnah sekiranya hadith tersebut diambil daripada orang yang tidak dipandang mulia oleh masyarakat.

Begitu juga individu-individu yang pernah melakukan dosa besar, meskipun mereka telah bertaubat, namun ulama-ulama hadith tetap tidak mengambil hadith dari mereka.

iii. Perawinya dabit

Dabit bermaksud memelihara atau menjaga sesuatu hadith dengan sungguh-sungguh. Ia terbahagi kepada dua iaitu:

  1. Menjaga (dabt) dari segi hafazan.
  2. Menjaga (dabt) dari aspek tulisan.
Ia bermaksud perawi tersebut telah meletakkan satu nilai yang sangat tinggi pada hadith Nabi s.a.w. Perawi tersebut logiknya tidak akan mengambil hadith tersebut dari sembarangan orang dan meyampaikannya kepada orang yang tidak selayaknya.

iv. Hadith Tersebut Selamat Dari Ganjil (syaz)

Maksud ganjil ialah riwayat perawi thiqah berlawanan dengan perawi yang lebih thiqah daripadanya. Ataupun riwayatnya bertentangan dengan kebanyakan perawi yang setaraf thiqahnya. Sekiranya berlaku keganjilan, atau berlainan dengan yang umum diketahui. Timbul keraguan dan dibimbangi hadith tersebut berlaku kesilapan pada proses periwayatannya.

v. Hadith Terpelihara Daripada ‘Illat (cacat)

Sekiranya terdapat kecacatan pada suatu hadith, umpamanya sanadnya terputus, matannya saling berlawanan, atau berlaku pertambahan pada matan dan sanadnya, maka hadith tersebut terdapat keraguan dan tidak boleh diambil hadith tersebut sebagai hadith yang sahih.

Kesimpulannya, para ulama hadith telah berusaha dengan sedaya upaya mereka untuk memastikan keaslian dan ketulenan sanad serta matan hadith.

(Gambar adalah hiasan. Tiada kaitan dengan tulisan di atas)

Monday, August 28, 2017

WAHYU PEMBIMBING NIAT

قال البخاري: حَدَّثَنَا الْحُمَيْدِيُّ عَبْدُ اللَّهِ بْنُ الزُّبَيْرِ، قَالَ: حَدَّثَنَا سُفْيَانُ، قَالَ: حَدَّثَنَا يَحْيَى بْنُ سَعِيدٍ الْأَنْصَارِيُّ، قَالَ: أَخْبَرَنِي مُحَمَّدُ بْنُ إِبْرَاهِيمَ التَّيْمِيُّ، أَنَّهُ سَمِعَ عَلْقَمَةَ بْنَ وَقَّاصٍ اللَّيْثِيَّ يَقُولُ: سَمِعْتُ عُمَرَ بْنَ الْخَطَّابِ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ عَلَى الْمِنْبَرِ، قَالَ: سَمِعْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ: إِنَّمَا الْأَعْمَالُ بِالنِّيَّاتِ وَإِنَّمَا لِكُلِّ امْرِئٍ مَا نَوَى فَمَنْ كَانَتْ هِجْرَتُهُ إِلَى دُنْيَا يُصِيبُهَا أَوْ إِلَى امْرَأَةٍ يَنْكِحُهَا فَهِجْرَتُهُ إِلَى مَا هَاجَرَ إِلَيْهِ

Terjemahan: "Kata al-Bukhari: Telah meriwayatkan kepada kami al-Humaydi 'Abdullah bin al-Zubayr, dia berkata: Telah meriwayatkan kepada kami Sufyan, dia berkata: Telah meriwayatkan kepada kami Yahya bin Sa'id al-Ansariy, dia berkata: Telah mengkhabarkan kepadaku Muhammad bin Ibrahim al-Taymiy, bahawa dia mendengar 'Alqamah bin Waqqas al-Laythiy berkata: Aku mendengar 'Umar bin al-Khattab r.a (berkhutbah) di atas mimbar, beliau berkata: Aku mendengar Rasulullah s.a.w bersabda: "Sesungguhnya semua amalan itu (dinilai) dengan niat dan bagi setiap individu itu apa yang dia niatkan. Sesiapa yang hijrahnya kerana dunia untuk diperolehinya atau pun kerana wanita yang ingin dinikahinya, maka hijrahnya adalah kerana apa yang ditujunya."

Khidmat Ulama Terhadap Hadith

Teks di atas adalah hadith yang pertama yang dikemukakan oleh al-Imam al-Bukhari (m. 256 H) menerusi mahakaryanya "al-Jami' al-Sahih al-Musnid Min Hadith Rasulillah s.a.w wa Sunanihi wa Ayyamih" atau lebih dikenali dengan "Sahih al-Bukhari". Juga seperti tulisan sebelum ini, hakikatnya telah ramai ilmuan Islam sepanjang zaman yang telah memberikan perhatian terhadap kitab Sahih al-Bukhari dan kepada hadith ini khususnya. Huraian dan ulasan yang dikemukakan oleh mereka mencakupi segenap segi dan sudut. Hampir-hampir generasi kemudian menemui kesukaran dan kebuntuan kerana seolah-olah tiada lagi sudut yang belum pernah disentuh oleh mereka. Itulah kesungguhan yang telah dipamerkan oleh mereka supaya baki umat ini mendapat manfaat dan kebaikan dalam memahami hadith-hadith dan sunnah Rasulullah s.a.w.

Sukar juga untuk kita percaya, sepatutnya dengan kemudahan dan bantuan yang sangat banyak daripada generasi terdahulu ini, seharusnya masyarakat hari ini dan akan datang lebih ramai yang celik hadith. Namun sebaliknya berlaku, kita melihat ilmu hadith dan sunnah Baginda s.a.w kurang mendapat perhatian dalam masyarakat. Jika mendapat perhatian pun, ia secara yang silap dan semakin banyak salah faham serta kekeliruan yang wujud. Juga dalam dunia industri yang berkiblatkan pembangunan ekonomi kini, pengajian ilmu hadith semakin terpinggir seolah-olah ia kontra dengan arus sedia ada sekarang. Orang ramai tidak menganggapnya sebagai faktor pembangun ekonomi.

Tidak kurang juga bertambahnya individu-individu dan pemikiran-pemikiran yang menolak keabsahan hadith-hadith ini. Jika dahulu, tokoh-tokoh ilmuan Islam semisal al-Imam Ahmad, al-Imam al-Bukhari, dan lain-lain telah pun berhadapan dengan golongan-golongan mubtadi' yang sentiasa bermasalah dengan hadith-hadith Nabi s.a.w. Kemunculan mereka sepanjang zaman menjadi pendorong utama para cendekiawan hadith bangkit membela sunnah-sunnah Nabi s.a.w., membasmi virus-virus prasangka dan keraguan terhadap hadith-hadith Baginda, dan menjernihkan syariat daripada dusta-dusta yang dihamburkan.

Niat Penggerak Manusia

Bolehlah dikatakan bahawa niat ini adalah suatu sisi dalam diri makhluk yang bernyawa. Ia adalah cakupan daripada perasaan dan emosi yang terhasil daripada berbagai faktor. Antaranya faktor pengetahuan, kemahuan, dan sebagainya. Adakah binatang juga berniat? Saya berkecenderungan ya. Jika tidak, mereka tidak akan membuat apa-apa tindakan dan ini bukanlah tabi'i makhluk yang bergerak. Contohnya jika seekor harimau sedang kelaparan, maka ia akan keluar berburu untuk mendapatkan makanan. Faktor pendorong niat ini adalah kehendak yang wujud kerana keperluan fizikal perlu dipenuhi. Begitu juga haiwan-haiwan yang lain seperti tapak sulaiman, gamat, ular, labah-labah, dan sebagainya. Justeru, jika haiwan juga mempunyai niat, maka manusia lebih-lebih lagi memerlukannya untuk bergerak dalam kehidupan seharian mereka. Bahkan, niat yang terkandung dalam diri manusia sangat bersifat kompleks sekali gus menjadikan koloni manusia di atas muka bumi ini suatu yang unik dan rencam.

Suatu perbezaan yang ketara antara niat manusia dengan niat haiwan ialah manusia ditambah dengan faktor dalaman manakala haiwan hanya faktor luaran semata-mata. Faktor dalaman manusia yang turut mempengaruhi niat adalah akal dan juga nafsu. Semua manusia demikian. Sehubungan itu, saiz akal dan nafsu mendorong sejauh mana azam dan tekad manusia untuk melakukan sesuatu. Kesemuanya ini adalah fitrah. Oleh kerana kejadian manusia adalah unik dan rumit, serta saiz masyarakatnya yang sangat besar bertaburan di seluruh dunia dan ditambah lagi dengan kepelbagaian lapisan masyarakat, maka ia sangat perlu kepada bimbingan dan tuntunan wahyu. 

Wahyu Pembimbing Niat

Bolehlah dikatakan bahawa sekurang-kurangnya terdapat tiga faktor yang menggerakkan niat seseorang. Faktor tersebut adalah; faktor tabi'i, faktor insani, dan faktor dini. Faktor tabi'i adalah seperti yang telah dinyatakan sebelum ini iaitu sama seperti makluk hidup yang lain. Sebagaimana binatang dan juga haiwan, manusia juga akan berniat dan berazam melakukan sesuatu akibat rasa lapar, dahaga, syahwat dan sebagainya.

Faktor kedua iaitu faktor insani pula adalah tambahan kepada manusia iaitu manusia berniat melakukan sesuatu perkara kerana didorong oleh perasaaan seperti kasihan, belas, empati, simpati, toleransi dan sebagainya. Faktor ini telah dipakejkan  kepada kejadian manusia seiring dengan akal dan nafsu.

Faktor ketiga adalah yang terpenting. Faktor ini akan menggerakkan manusia ke peringkat seterusnya. Ia mampu mendominasi dan menguasai kedua faktor sebelumnya. Zahirnya ia seolah menguliti kedua faktor sebelumnya (contoh: berkahwin, makan, minum dan lain-lain dengan cara yang dibenarkan agama) dengan bersifat pasif, namun ia boleh berubah kepada bersifat aktif adalah faktor yang menggerakkan faktor tabi'i dan faktor insani. Contohnya seorang yang makan, minum, berkahwin kerana ingin melaksanakan agama.

Faktor ketiga ini mempunyai pelbagai peringkat. Peringkat terakhir, ia mampu menjadi pendorong niat dan azam seseorang untuk berkorban dan menggadaikan sesuatu yang berharga miliknya kerana faktor ini. Kesilapan dalam memilih faktor dini ini akan menjadikan seseorang terseleweng bahkan sesat dalam keseluruhan hidupnya. Seperti orang yang sanggup mati kerana mempertahankan kesucian berhala, patung-patung dan lain-lain. Alangkah sis-sianya kehidupan dunia mereka kerana perkara tersebut.

Menyedari tahap kritikal faktor dini ini, faktor ini perlu diberikan bimbingan eksklusif kepada seluruh manusia. Justeru, faktor ini adalah faktor terpenting yang perlu mendapat sentuhan dan bimbingan wahyu daripada Allah SWT. Banyak manusia yang terpesong dan terseleweng kerana menafikan bimbingan wahyu ini. Mereka sombong, ingkar, dan angkuh. Begitulah watak-watak ini akan muncul sepanjang zaman.

Penutup

Sebagai penutup, saya ingin kaitkan di sini bahawa al-Imam al-Bukhari (m. 256 H) telah memilih hadith ini sebagai hadith pertama dalam Kitab Permulaan Wahyu sebagai mengisyaratkan bahawa punca utama yang menggerakkan Baginda s.a.w untuk menyendiri di gua Hira' adalah kerana niat Baginda s.a.w. Manakala niat tersebut pula adalah bimbingan daripada wahyu, seperti yang dinyatakan di dalam hadith-hadith berikutnya.

Wallahu a'lam.

(Sebenarnya tulisan ini lebih panjang daripada ini. Namun atas beberapa kesilapan teknikal, ia terpadam. Saya tak larat nak tulis kesemuanya kembali. Hikmah Allah SWT, siapa yang tahu? Saya berusaha supaya isi kandungannya masih dimuatkan walau pun ringkas dan sebahagiannya dalam bentuk isyarat sahaja. Semoga bermanfaat. Allahul musta'an.)



Thursday, August 3, 2017

TRIBUTE BUAT SAHABAT



Bermulanya Di Sini

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT yang telah memberikan kesempatan kepada saya untuk menghirup udara segar di bumi Kuala Kubu Bharu. Bermula Jun 2016, saya mula berkhidmat di DQ. Suasana yang baru, kenalan yang baru, budaya kerja yang baru, cabaran tugas yang baru. Semuanya serba baru. Saya cuba sedaya mungkin untuk menyesuaikan diri disini. Alhamdulillah, setahun telah berlalu...

Permata Yang Terselindung

Sepanjang berkhidmat di sini, alhamdulillah saya diberikan peluang untuk mengenali ramai insan-insan istimewa. Ramai jika saya nak nyatakan di sini, dan saya tidak berhajat untuk kemukakannya berikutan ia bukan tumpuan tulisan ini. Antara yang teristimewa ialah Us. Noor Syukri. Pada pandangan saya, beliau merupakan aset penting di DQ berikutan kemahiran dan kepakaran beliau dalam lapangan fiqh berpengkhususan muamalat (ini pandangan saya, pandangan orang lain mungkin berbeza). Ada lagi tokoh lain dalam fiqh seperti Us. Shamsul Bahari, namun saya hanya berkesempatan seketika sahaja dengan beliau berikutan beliau di tukarkan ke Jakim awal tahun 2017. Tidak banyak yang saya dapat kongsikan tentang beliau, yang banyaknya ialah cerita-cerita tentang beliau daripada sahabat karib beliau, Us. Syukri.

Beberapa Persamaan

Teguran pertama daripada Us. Syukri (setakat yang saya ingat) ialah ketika hari perasmian Ekspo Konvokesyen DQ 2016. Beliau secara berseloroh menyapa, "Ulama' hadith tak pakai kopiah ke?". Beliau ketika itu bersama dengan Us. Shamsul. Saya tak sempat menjawab, saya tahu itu seloroh, tapi beliau dah ke tempat lain dan kebetulan saya tengah bersembang dengan orang lain. Selepas itu, ada beberapa kali juga kami berbual di kafe. Banyak juga yang kami kongsikan khususnya berkaitan pengalaman menyiapkan tesis peringkat sarjana. Saya kira ia permulaan yang baik.

Beliau tamat pengajian peringkat sarjana dalam bidang muamalat di UM dan berkonvokasi beberapa bulan kemudian (tahun lalu, 2016). Saya mengucapkan tahniah dan merancang untuk menyambung pengajian ke peringkat seterusnya bersama beliau. Penting dalam pengajian ni dapat sahabat yang mempunyai minat yang sama supaya masing-masing saling menguatkan. Saya juga ingin menumpang semangat beliau yang tinggi untuk menyambung pengajian.

Selepas itu, kami semakin erat. Banyak perkara yang kami rancang dan kongsikan. Banyak persamaan yang ada antara kami. Dalam kesempatan ringkas ini, beberapa perkara yang saya dapat rumuskan sepanjang saya mengenali beliau:

a) Minat belajar: Saya dan Us. Syukri bersyukur kepada Allah SWT kerana dikurniakan minat yang tinggi untuk menyambung pengajian. Kami telah banyak berbincang mengenai tajuk, tempat belajar, penyelia dan lain-lain. Dalam masa yang sama, saya banyak ambil manfaat ilmu dan pengalaman beliau khususnya ketika belaiu belajar di Jordan dahulu.

b) Minat mengajar: Us. Syukri telah diberikan tanggungjawab sebagai tenaga pengajar penuh di bawah Jabatan Syariah, DQ. Beliau banyak mengajar subjek-subjek kritikal dalam bidang fiqh. Kadang-kadang sampai 6 atau 7 subjek untuk satu semester. Ia bukan tugas yang mudah, setiap penyarah bukan boleh terus masuk mengajar macam tu sahaja. Ia memerlukan ulangkaji, persedian, dan melakukan homework sebelum boleh berpencak dalam kelas. Memang letih dan penat sedikit, namun minat dan kecenderungan mendidik itu telah menjadi penawarnya. Beliau bahkan sebelumnya telah menjadi salah seorang tenaga akademik yang membangunkan struktur pengajian fiqh di DQ. Antara buah tangan beliau ialah tertubuhnya Syukbah Muamalat di DQ.

c) Anti-Klimaks: Yang ini saya tak berhajat untuk nyatakan secara terbuka dengan detil. Biarlah ia menjadi simpanan kami sahaja. Namun, ini juga menjadi faktor penting beliau nekad memilih untuk berhijrah. Saya? Saya baru sahaja dihijrahkan ke sini. Masih belum bersedia untuk apa-apa penghijrahan...

Hijrah Dan Kelangsungan Dakwah

Tajuk ini seperti terlalu retorik, tapi itulah yang menjadi misi utama. Bila kita dah menjala terlalu lama di suatu lubuk. Ikan pun dapat banyak. Akan ramailah orang berminat untuk menangkap di situ juga. Sehingga kita akhirnya tersisih, walhal tempat itu kita yang teroka. Lagi teruk kalau jala kita orang lain ambil dan kita hanya melihat sahaja orang lain menggunakannya sedang kita hanya bertugas jaga ikan supaya ikan tidak melompat kembali ke dalam air. Saat itu, kita perlukan medan baru untuk diterokai, apa lagi ada yang sudi menghulurkan tangan. Perlukan tekad dan kecekalan yang bukan sedikit. Inilah jalan yang telah dipilih oleh beliau.

Tanggal 1 Ogos 2017, beliau telah ditawarkan berkhidmat di bumi Perlis. Nun jauh di hujung sana. Hijrah pun bermula. Tawakkal dan berserah itu sunnahnya. Pengorbanan itu makanannya. Musafir itu kewajipannya. Meski kesusahan dan kesukaran harus direntasi, namun pengalaman baru yang menanti, kenalan baru yang menunggu, budaya baru yang bakal diselami, dan cabaran baru yang akan dilalui, semoga ia menjadi penawar dan penenang.

Selamat berhijrah sahabatku. Teruskan menguak dan melebarkan sayap dakwahmu. Usah dipandang yang di belakang. Semoga Allah SWT menaungi kita dengan lembayung rahmatnya.

Perjalanan Masih Panjang...

Tiada yang dapat diucapakan melainkan perjalanan masih panjang. Tanggungjawab yang dipikul semakin berat seiring usia. Masa kian suntuk. Perjuangan perlu diteruskan. Semoga bertemu di lain lapangan.