Sunday, December 4, 2011

Murtadkah Seseorang Yang Menolak Hadith Hasan?



Perbincangan mengenai hadith Hasan telah mendapat perhatian yang tinggi dalam kalangan sarjana-sarjana hadith. Bahkan boleh dikatakan bahawa ilmu takhrij hadith akan menjadi suram jika tiada perletakan status hasan. Sehubungan dengan itu, persoalan yang ingin ditimbulkan di sini ialah; Apakah hukum menolak hadith hasan? Adakah seseorang itu bisa tergelincir dari agamanya dengan menolak hadith hasan? Berikut adalah sedikit ulasan saya mengenainya.

Asalnya ulama hadith mutaqaddimin meletakkan hukum sahih dan daif sahaja. Hadith hasan termasuk dalam kategori daif. Lantaran itu, Imam Malik pernah menyatakan bahawa "hadith yang daif lebih aku suka berbanding qiyas (atau ijtihad dengan akal)". Imam Malik berkata demikian kerana merujuk kepada hadith yang status daifnya adalah ringan. Namun begitu setelah diteliti semula oleh ulama hadith mutaakhkhirin, mereka mendapati hadith-hadith daif tersebut sebenarnya boleh ditingkatkan tarafnya dan keluar dari status daif. Pun begitu, ia tidak pula mencapai darjat sahih. Maka dari situ, Imam al-Tirmizi (m 279 H) menerusi karyanya sunan al-Tirmizi telah mempelopori istilah hasan sebagai status baru bagi kategori penerimaan hadith. Lontaran idea beliau ini tidak hanya terhenti begitu sahaja, malah ia disambut dengan meriah melalui perbahasan-perbahasan ulama-ulama hadith selepasnya sehinggalah kini.

Dapat difahami di sini bahawa perletakan status sesebuah hadith adalah dengan tujuan untuk menyaring yang manakah hadith yang kuat untuk diamalkan dan hadith yang lemah untuk tidak diamalkan. Jika hanya berpegang kepada hadith sahih semata, maka ajaran Islam masih banyak kelompangan dan sebahagiannya masih memerlukan penjelasan ditil dari jalan athar. Ini kerana jumlah hadith yang benar-benar sahih adalah sedikit jika dinisbahkan dengan hadith yang hasan dan daif. Tambahan pula, keadaan umat manusia kini yang semakin dilimpahi dengan isu-isu yang baru dan pelbagai. Oleh itu, antara tujuan lain ulama hadith berusaha berijtihad menentukan status hadith sebagai sahih atau hasan hanyalah semata supaya hadith itu dapat dii'timad dan diamalkan selaras dengan sunnah Baginda s.a.w.

Dalam dunia ilmu hadith, penentuan status sahih, hasan, dan daif adalah perkara ijtihad. Ia bermaksud tidak semestinya hadith yang dinyatakan hasan oleh sesetengah ulama adalah disepakati oleh ulama lain sebagai hasan. Ada yang tetap berpegang ia sebagai daif dan begitulah sebaliknya. Di atas kaedah tertentu menurut ilmu al-Jarh wa al-Ta'dil, mereka punya pendirian tersendiri yang berlandaskan hujah. Sehubungan dengan itu, penolakan hadith hasan secara ilmiah yang berlandaskan metodologi-metodologi tersebut adalah tidak mengeluarkan seseorang dari agamanya. Ini kerana tujuan dia menolaknya bukanlah untuk menentang agama atau menyembunyikan kebenaran berkaitan dengan Rasulullah s.a.w. Keputusan yang dilakukan olehnya juga terdedah kepada kajian semula oleh tokoh-tokoh dalam bidang yang sama.

Bagi masyarakat awam, perlu diterangkan bahawa kita hendaklah menerima dan beramal dengan hadith sahih dan juga hadith hasan. Seboleh-bolehnya kita tinggalkan hadith-hadith yang daif (terutamanya hadith yang telah disepakati status kedaifannya oleh para ulama). Bahkan sebahagian ulama melarang menyebarkan hadith daif kepada umat Islam melainkan ia disertakan dengan statusnya supaya masyarakat tidak terkeliru. Namun begitu, tidak dapat dinafikan terdapat pertembungan-pertembungan antara hadith-hadith Rasulullah s.a.w, sekiranya hadith sahih bertembung dengan yang lebih sahih darinya, maka hadith tersebut berubah menjadi daif nisbi. Ini bermakna ia ditolak. Begitu juga dengan hadith hasan, sekiranya ia bertembung dengan hadith yang sahih, maka ia lebih wajar untuk ditolak. Penolakan sebegini juga tidak mengeluarkan seseorang dari agamanya. Ini kerana tujuannya tidak lain dan tidak bukan adalah untuk memurnikan sunnah.

Dalam pada itu, boleh juga berlaku seseorang tergelincir dari landasan agamanya dengan menolak hadith hasan. Ini boleh terjadi lantaran niatnya untuk merosakkan agama Islam dan sunnah Rasulullah s.a.w. Mendakwa bahawa hadith-hadith hasan adalah tidak thabit dari Rasulullah dan tidak wajar diamalkan. Mencerca dan mencela Muslim yang beramal dengan hadith hasan sebagai tidak menuruti sunnah yang sahih. Mendakwa juga bahawa ulama-ulama hadith berbohong dengan cuba menghasankan hadith-hadith yang daif dan sebagainya.

Hakikatnya, persoalan sama ada seseorang itu boleh jatuh murtad atau tidak dengan menolak hadith-hadith yang hasan adalah melibatkan niat dan tujuan sebenar seseorang individu tersebut. Umat Islam dilarang mengkafirkan seseorang Muslim secara melulu tanpa usul periksa yang terperinci dan mendalam.

Wallahu Alam.

No comments: