Thursday, February 19, 2009

ISU ELIZABETH WONG: WANITA PERLU BERWAPADA

Politik Malaysia semakin bercelaru dengan berbagai isu-isu yang pelik-pelik. Terbaru, kita digemparkan dengan berita penyebaran foto dan klip video separuh bogel Exco Wanita Selangor, Elizabeth Wong yang juga merupakan ADUN Bukit Lanjang menerusi internet. YB yang masih bujang itu telah mengambil tindakan untuk membuat aduan polis dan menyifatkan beliau menjadi mangsa keadaan. Isu ini telah menarik perhatian berbagai pihak terutamanya setelah YB Eli membuat sidang media dan menawarkan diri untuk meletakkan jawatan. Namun begitu sehingga hari ini beliau masih lagi belum mengumumkan sebarang keputusan terhadap statusnya dan masih menunggu arahan dari kepimpinan parti dan MB Selanor sendiri.

Berbetulan dengan sebuah program yang dianjurkan oleh Helwa Persatuan Mahasiswa Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya (PMAPIUM) iaitu Minggu Mahasiswi Islam (MISIS 09), isu Wong memberikan banyak peniktibaran yang boleh diambil oleh seluruh warganegara khususnya wanita. Semalam, program yang mendapat kerjasama dari Hewi PMIUM dan PEMADAH (Persatuan Mahasiswa Kedah UM) telah mengadakan Bengkel Seni Mempertahankan Diri Wanita Bersama En. Kamal Effendi. Bengkel tersebut antara lain menekankan betapa pentingnya skill pertahankan diri bagi wanita terutamanya bagi mereka yang hidup di bandar-bandar besar.

Pada asasnya wanita tidak cukup dengan mempelajari kaedah-kaedah mempertahankan diri secara fizikal semata-mata. Namun mereka juga perlu berwaspada dengan perkara yang berlaku di sekeliling mereka. Isu YB Eli sebagai contoh, beliau sama sekali tidak pernah menduga bahawa tabiat tidurnya itu akan dihebahkan kepada umum suatu masa kelak. Perkara sebegini juga tidak mustahil berlaku pada kita. Mungkin masa sekarang kita merasakan tiadak mengapa dan sekadar untuk berseronok-seronok. Siapa tahu pada masa akan datang kita menjadi orang ternama dan memegang jawatan tinggi dalam kerajaan. Gambar yang dulunya mengembirakan bertukar menjadi mengerikan. Ia sudah melibatkan maruah dan harga diri.

Saya melihat suatu yang istemewa dalam ajaran Islam iaitu pensyariatan menutup aurat. Suatu ketika dahulu selalu terfikir, kenapa wanita Muslim kena tutup seluruh anggota kecuali muka dan tapak tangan. Hatta sesama wanita Muslim pun ada auratnya iaitu dari pusat hingga lutut. Tidak lain dan tidak bukan ia adalah demi menjaga maruah wanita itu sendiri. Tambahan pula dunia sekarang semakin canggih dan teknologi semakin tinggi.

YB Eli bernasib baik kerana beliau masih belum berkahwin. Agaknya kalau beliau telah berkahwin, isu ini akan jauh lebih rumit lagi.

Dari sudut yang lain, perkara yang dilakukan oleh pihak yang ingin menyebarkan foto dan video tersebut merupakan suatu tindakan yang tidak berakhlak dan melampau. Saya juga boleh sifatkan disini sebagai tidak bertamadun. Walau apa jua motif yang ingin dilakukan pihak terbabit, ia telah menjatuhkan maruah dan mengaibkan seorang wanita di negara ini sekaligus mencabar tahap keselamatan wanita-wanita lain di negara ini. Kes ini mungkin menjadi isu hangat lantaran beliau adalah ADUN dan juga Exco Kerajaan, tetapi saya yakin banyak lagi kes seumpama ini berlaku pada wanita-wanita di Malaysia.

Oleh itu, saya secara peribadi tidak nampak penyelesaianyya meleinkan kembali kepada ajaran Islam. Siatem Islam, meskipun yang menerimanya adalah dari kalangan non-Muslim, mereka akan tetap terpelihara dan keselamatan mereka terjamin.

Wednesday, February 18, 2009

MUSAWAH: SATU LAGI USAHA LIBERALIS MEROSAK MINDA UMAT

Pada 13 Februari yang lepas, satu program ‘Musawah’ iaitu Global Movement for Equality and Justice in the Muslim Family anjuran pendukung kuat fahaman sesat Islam Liberal di Malaysia iaitu Sisters in Islam (SIS) telah diadakan di hotel mewah (bertaraf lebih lima bintang) The Prince Hotel, Kuala Lumpur. Seramai lebih kurang 200 orang (kebanyakannya adalah tokoh leberalis Muslim) telah dijemput dari 40 buah negara untuk menghadirinya. Mesyuarat yang memakan biaya yang besar itu berlangsung sekitar 5 hari dan diadakan secara tertutup. (Sumber: Bernama)

Antara mereka yang hadir termasuklah Muhammad Khalid Masud iaitu pengerusi Majlis Ideologi Islamik dari Pakistan, Farida Bennani dari Morocco, Sana Benachour (Tunisia), Hussein Muhammad (Indonesia), Ziba Mir-Hosseini (Britain), Zainah Anwar (Malaysia), Siti Musdah Mulia (Indonesia) dan Nur Rofia (Indonesia) dan aktivis bukan Islam seperti Cassandra Balchin (UK) dan lain-lain yang kesemua mereka ini merupakan tokoh-tokoh yang membawa idea liberalisasi dalam Islam.

Musawah dilihat bertujuan mempertikaikan prinsip-prinsip Islam khususnya dalam hukum syariah yang berkaitan wanita dan kekeluargaan. Prinsip-prinsip dan hukum tersebut adalah dari nas-nas al-Quran dan Hadis dan yang dipersetujui serta diterima oleh ulama’-ulama’ muktabar. Kertas kerja dan bengkel-bengkel yang dibentangkan semasa perjumpaan adalah bertujuan untuk menginterpretasikan semula al-Qur’an dan al-Hadith dari sudut pandang wanita yang selama ini dikatakan bias pada lelaki. Selain itu, Musawah juga mengenengahkan isu hak sama rata antara lelaki dan perempuan dalam kekeluargaan Islam melalui hukum-hakam seperti poligami, faraid, ketaatan isteri, izin keluar rumah, aurat wanita, dan sebagainya. Hukum-hakam ini dipertikaikan dengan melanggar segala syari‘at yang dibawa oleh al-Qur’an dan al-Sunnah.

Perjumpaan ini antara lain juga memberi persepsi dan negatif kepada Malaysia yang digambarkan sebagai negara yang mengamalkan undang-undang Syariah yang mendiskriminasi wanita terutama apabila perjumpaan ini dibawa perhatian kepada wakil Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu dengan kehadiran Professor Yakin Erturk (The United Nations Special Rapporteur on Violence Against Women) yang merasmikan perjumpaan tersebut.

Sehubungan dengan itu, ramai pihak yang bangkit membantah pelaksanaan progran ini. Antara yang turut bangkit ialah Persatuan Ulama Pulau Pinang (Bernama-13 Feb), Gabungan Mahasiswa Islam SeMalaysia (gamisdily.com), dan beberapa badan yang lain. Namun begitu, perkara yang menyedihkan ialah isu ini langsung tidak dipandang kritikal oleh pihak-pihak berwajib terutamanya jabatan-jabatan kerajaan jauh sekali untuk mengambil. Walhal isu ini merupakan suatu penghinaan yang besar terhadap agama Islam itu sendiri dan tidak keterlaluan untuk saya nyatakan disini bahawa ia sama seperti ajaran-ajaran sesat yang sedaya-upaya dibasmi oleh negara.

Dahulu, semasa isu karikatur Nabi di Denmark, satu Malaysia bangkit untuk membantahnya. Sama juga dengan isu pengeboman di Gaza, berbagai pihak tampil membantah isu kezaliman tersebut. Bukan setakat NGO-NGO, bahkan parti-parti politik sama ada pembangkang ataupun kerajaan juga ambil bahagian. Tapi isu ini yang melibatkan content agama Islam itu sendiri... front page pun tak dapat. Ini yang mengecewakan kita.

Saya juga sempat merujuk beberapa kertas kerja yang di bentangkan, pemakaian-pemakaian disiplin dalam menafsirkan al-Quran dan al-Sunnah dalam membahaskan hukum-hukum Islam tidak ada sama sekali. Kebanyakannya hanya berdasarkan logik-logik pemikiran, bersifat bias dan emosi dalam penghujahannya. Ia sekaligus menolak disiplin-disiplin lain seperti usul fiqh, maqasid syari’ah, dan sebagainya.

Justeru itu, saya mewakili seluruh mahasiswa Islam di Uniersiti Malaya juga turut membantah penganjuran program Musawah dan yang seumpama dengannya. Ini kerana ia bercanggah dengan prinsip keilmuan itu sendiri yang bertujuan untuk mencari kebenaran dan menuju kepada keredhaan Allah SWT.

PMIUM juga menggesa pihak-pihak berwajib terutamanya badan-badan kerajaan supaya tidak mendiamkan diri begitu sahaja tanpa mengambil tindakan terhadap isu ini. PMIUM sedia membantu demi memastikan ketulenan dan kesucian ajaran Islam itu terus terpelihara. Dalam masa yang sama juga, PMIUM juga menyeru kepada seluruh masyarakat supaya mempelajari dan menimba ilmu Islam dari saluran yang betul dan dipercayai.

Saturday, February 14, 2009

Kupasan WA AL-'ASR

“Demi MASA. Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian. Kecuali yang beriman dan yang beramal soleh. Yang berpesan-pesan dengan KEBENARAN. Yang berpesan-pesan dengan KESABARAN”.

Inilah yang Allah SWT tekankan dalam surah al-‘Asr yang diketengahkan khusus untuk menyedarkan umat Islam menghayati betapa pentingnya masa. Inilah antara soalan terpenting yang diberikan perhatian oleh semua masyarakat yang bertamadun di dunia, tanpa mengira bangsa dan di mana jua mereka berada. Kerana masa merupakan kehidupan, masa merupakan penentu keadaan kita di akhirat kelak. Realiti inilah yang perlu disedari oleh umat bahawa budaya memanfaatkan masa semakin jauh dari kehidupan seharian umat Islam.

Allah menjadikan masa selama 24 jam sehari sememangnya cukup untuk setiap hamba-Nya meneruskan kehidupan mereka. Adakalanya kita merasakan tidak cukup masa bukan kerana salah masa atau pun Allah tidak memperuntukkan masa yang cukup untuk kita, namun apa yang perlu kita sedari ialah pengurusan kita untuk mendahulukan yang lebih penting daripada perkara yang penting. Meninggalkan perkara yang tidak memberikan manfaat dan menggantikannya dengan perkara yang berfaedah.

Tapi, bagaimana cara kita ingin menentukan kewajipan yang perlu didahulukan daripada perkara-perkara remeh yang lain? Inilah pentingnya kita memahami ‘Fiqh al-Awlawiyat’ yang memberikan kita kefahaman untuk membahagi-bahagikan masa yang ada dengan sebaik mungkin serta menguruskan setiap urusan kita dengan mendahulukan perkara yang perlu didahulukan berbanding dengan perkara-perkara yang lain.

Inilah sebenarnya kelebihan umat Islam. Allah SWT telah membekalkan kepada umat Islam teori-teori pengurusan yang baik. Dengan akhlak yang sempurna, sudah barang pasti kita akan menjadi pemimpian yang berwibawa.menghayati surah al-‘Asr dituruti dengan kefahaman terhadap ‘Fiqh al-Awlawiyat’ menjadikan kita seorang pengurus masa yang cekap dan mampu untuk membereskan kerja bukan sekadar menurut ‘mood’ atau desakan pihak-pihak tertentu, tetapi kesemuanya berpandukan ajaran Allah SWT yang melengkap setiap aspek kehidupan. Umat Islam sebenarnya telah diberikan ilmu Sains Pengurusan sejak 1400 tahun yang lalu.

Justeru, kehidupan muda kita ini menuntut kita untuk menjadi pengurus yang cekap kerana waktu inilah saat dan ketikanya untuk mengejar rahmat Allah SWT. Usia muda yang penuh dengan dugaan tetapi sekiranya dihiasi dengan tuntutan syariat, ia merupakan aset terpenting untuk melepasi titian sirat.

Sekiranya kita meneliti kehidupan para sahabat r.a, mereka memanfaatkan masa muda dan kesihatan ketika mana sebelum datangnya waktu tua semaksimum mungkin. Khalid al-Walid menjadi tentera yang berjuang di jalan Allah semenjak usianya belasan tahun lagi. Begitu juga beberapa orang sahabat yang lain, menjadikan usia muda sebagai modal untuk mendapatkan kebahagiaan akhirat demi mengejar syahid. Tidak ketinggalan yang tua, umpamanya Abu Thalhah, yang menghabiskan usia tuanya di jalan jihad sehingga dikebumikan di negeri orang semata-mata usahanya mengatur langkah demi menegakkan kalimah Allah SWT. Inilah jejak langkah yang perlu kita teliti dan perlu kita lalui supaya tidak menjadi orang yang rugi di akhirat; hanya mendapat laba dunia tetapi ketika dibangkitkan kali kedua terpaksa merana.

Penghayatan masa perlu kita perbaiki terutama dalam usaha untuk menegakkan ketuanan Islam. Kita bukan sekadar perlu memenuhi tuntutan masa untuk dimanfaatkan sepenuhnya, bahka perlu menghormati masa untuk dihormati. Gerakan Islam tidak perlu lagi melewat-lewatkan mesyuarat atau aktiviti hanya semata-mata menunggu pihak-pihak lain, akan tetapi ketetapan masa perlu kita kuasai dengan sebaik mungkin. Tidak kira dalam apa-apa aspek sekalipun, kita perlu mendahului masa atau paling kurang menepatinya. Manfaatkanlah hidup kita sebaik mungkin kerana sedetik yang berlalu tidak akan berulang. Ingatlah, setiap saat di dunia ini akan dipersoalkan oleh Allah SWT di akhirat kelak.

KONFLIK

Kosong adalah kosong

bukan satu, dua, tiga

kosong tetap kosong

bukan empat, lima, enam


-Apa yang kosong?


Jiwamu!


Hatimu!


Terhijab dek nifak!


Nampakkah jalan?


-Tidak!


Kau akan terjatuh


ke dalam lubuk kealpaan


-Indah! Mengasyikkan!


Ya! Tapi sementara


Untungmu tidak ke mana


-Aku ingin bertaubat!


Masih ada masa...


-Tapi aku malu!


Kau malu dengan siapa?


-Tuhan!


Tapi, kau sewajarnya


lebih rasa malu di hari pembalasan


-Aku parah, kawan...


Jangan kau fikir


di saat ini kau keseorangan


Apalah gunanya aku di sisi


andainya tak mampu


menyuluh yang hakiki.

Friday, February 13, 2009

PERAK: KONFLIK YANG BERTERUSAN


Latar Belakang Isu

Hari ini genap seminggu kerajaan Barisan Nasional memerintah Perak. Bermula dari isu lompat parti dari BN ke PKR oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bota, Datuk Nasaruddin Hashim dan kemudiannya melompat balik ke BN. Ia disusuli pula dengan dua dari PKR dan seorang dari DAP yang mengisytiharkan diri sebagai bebas dan pro kepada BN sekaligus menjadikan kerusi DUN di Perak sebelumnya iaitu Pakatan Rakyat (PR) sebanyak 32 kerusi dan BN sebanyak 27 kerusi menjadi 28:31 kerusi dengan majoriti pada BN.

Isu lompat dari ADUN PKR ke BN ini juga bertambah rumit bila mana mereka telah menandatangani surat perjanjian agar meletakkan jawatan sebagai ADUN bilamana telah melompak parti. Namun surat yang tidak bertarikh itu dipertikaikan dan mereka mengaku tidak berniat seperti itu semasa menandatanganinya.

Sehubungan dengan itu, MB Dato Ir Nizar dan PR membawa isu ini untuk dipertimbangkan dan diambil tindakan oleh sultan supaya diadakan pilihanraya semula. SPR juga menunggu keputusan dari sultan. Malangnya sultan mengisytiharkan tidak akan dilakukan pilihanraya semula bagi DUN-DUN tersebut dan membubarkan kabinet kerajaan negeri yang sedia ada. Sultan juga mengumumkan tarikh angkat sumpah MB baru daripada BN pada jumaat lalu bertempat di Istana, Kuala Kangsar.

Sikap dan Pendirian Mahasiswa

Berikut adalah beberapa sikap dan pendirian mahasiswa berhubung isu-isu yang berlaku di negeri Perak baru-baru ini:

Mahasiswa menolak politik rasuah atau politik wang yang diamalkan oleh sesetengah parti politik dan menggesa badan-badan pencegahan rasuah tidak berdiam diri begitu sahaja dalam hal ini. Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sebagai badan khusus perlu bersifat proaktif dalam isu-isu seperti ini dan bertindak secara ‘non-partisan’ atau ‘bias’. Ini bagi memastikan gejala rasuah dapat dibasmi dari akar umbi.

Cara perjalanan politik sebegini juga memberikan suatu sudut pandang negatif mahasiswa terhadap perjalanan sistem demokrasi di Malaysia. Ia membantut dan merencatkan generasi muda masa kini dalam memahami situasi dan suasana politik negara. Seharusnya kepimpinan negara yang ada pada hari ini tidak memandang ringan terhadap isu ini.

Jika dengan keadaan politik yang berlaku sekarang, tidak mustahil pada suatu masa akan datang parti politik tidak perlu bertanding dalam pilihanraya. Cukup sekadar mengumpulkan wang dan ‘membeli’ wakil-wakil rakyat yang menang dan menubuhkan kabinet mereka sama ada di peringkat DUN atau Parlimen.

Selain itu, tindakan melompat parti juga dilihat sebagai menafikan undi dan mandat yang diberikan rakyat pada Pilihanraya Umum ke-12 (PRU12) awal tahun lalu. Maka di sini mahasiswa menyeru seluruh rakyat Malaysia jangan berdiam diri dan melihat sahaja isu ini tanpa membuat sebarang tindakan. Rakyat Malaysia perlu bangkit memperbetulkan keadaan. Kita tolak parti-parti politik yang mengamalkan budaya ‘lompat’ ini. Mereka tidak konsisten dalam perjuangan dan lebih mengutamakan kepentingan peribadi semata-mata. Rakyat perlu sedar bahawa hak-hak mereka telah dicabuli dan dipermain-mainkan oleh pihak-pihak tertentu.

Mahasiswa juga mengecam seluruh tindakan-tindakan yang di ambil oleh mana-mana pihak yang memperlihatkan ketidak’demokrasi’an dalam perjalanan sistem politik negara.

Dalam isu ini juga, mahasiswa sekali-kali tidak akan mengambil sikap anti-sultan dalam isu ini. Namun begitu mahasiswa mengharapkan supaya seluruh institusi sultan dan raja-raja Melayu di negara ini tidak ‘bias’ dan rasional dalam membuat sebarang keputusan. Instisusi ini perlulah bebas, berkecuali, dan bersikap ‘neutral’ dalam membuat sebarang tindakan. Kepentingan dan keperluan rakyat yang dipimpin hendaklah diutamakan.

Kesimpulan

Secara keseluruhannya, mahasiswa benar-benar kecewa terhadap perkembangan politik Malaysia yang berlaku sekarang. Peristiwa-peristiwa seperti ini menjadi cerminan bentuk-bentuk pemerintahan dan pentadbiran kerajaan yang ada sekarang. Kalaulah pemimpin itu telah pun menunjukkan mereka lebih mengutamakan kepentingan diri dan mengenepikan aspek perjuangan dan rakyat dalam mendapatkan jawatan, kita cukup yakin bahawa mereka suatu hari nanti akan bersikap lebih buruk daripada ini dalam melaksanakan urusan pentadbiran negeri atau negara.

Selain itu, mahasiswa juga menuntut supaya perjalanan pilihanraya kecil (PRK) Parlimen Bukit Gantang dan DUN Selambau ini benar-benar berjalan di atas paksi demokrasi yang tulen. Kalau sekiranya SPR tidak mampu, mahasiswa akan turun sendiri memastikan ia berjalan dengan adil dan telus.

Wednesday, February 11, 2009

Model Kepimpinan Yang Merobah



Almarhum Bapak Mohammad Natsir (mantan Perdana Menteri Indonesia) pernah mengatakan, "Tidak ada percetakan yang bisa mencetak pemimpin". Menurut Natsir lagi, pemimpin tidak lahir di bilik kuliah tetapi tumbuh sendiri dalam hempas pulas di kancah gelandangan ummah, muncul di tengah-tengah pergumulan masalah, menonjol dari kalangan rakan-rakan seangkatannya, lalu diterima dan didukung oleh umat.
"

Justeru itu, kita melihat bagaimana kepimpinan mahasiswa di kampus harus diperkasakan dalam melahirkan golonan intelektual yang akan menjadi harapan ummah pada masa akan datang. Ini kerana, kebanyakan mahasiswa tidak mampu mendepani ledakan arus globalisasi yang kian menghimpit struktur masyarakat kini. Harus diingat, gerakan mahasiswa merupakan suatu kuasa yang perlu diambil perhatian kerana ia mempunyai sejarah yang tersendiri. Maka tidak hairanlah pemimpin dari peringkat negara sehinggalah ke peringkat masyarakat lahir daripada mantan pimpinan kampus di era 70-an dahulu.

Di sini mari kita melihat sejarah seorang khalifah yang mampu memberi kesan kepada orang di sekelilingnya. Menurut sejarah, Khalifah Umar Bin Abdul Aziz bukanlah seorang lelaki yang mahu menjadi khalifah. Saat Khalifah Sulaiman sedang sakit, Umar Abd Aziz menemui Wazir Raja' bin Haiwah supaya tidak menyebut namanya di hadapan Khalifah Sulaiman apabila mereka membincangkan calon khalifah seterusnya. Sepanjang pemerintahan baginda, rakyat dapat hidup dalam keamanan dan kemakmuran. Keadilan Sang Khalifah, ialah rahmat untuk sekalian alam.

Ketika zaman bagindalah, cercaan yang dibuat terhadap Saidina Ali R.A di atas mimbar dihentikan. Orang Nasrani dan Islam dikenakan cukai lebih rendah, dan sampai pada suatu tahap khalifah menghantar surat kepada pemimpin pemberontak Khawarij agar datang ke istananya untuk berbincang.

Sebelum menjadi khalifah, Umar Abd Aziz suka akan pakaian yang mahal dan wangian. Namun perkara sebaliknya berlaku setelah menjawat jawatan khalifah. Baginda memakai pakaian yang kasar buatannya. Kuda-kuda khalifah sebelumnya dijual dan hasil jualan dimasukkan ke dalam 'baitul mal'. Begitu juga dengan barang kemas isteri baginda, Fatimah. Dikatakan setelah kematian Umar Abd Aziz, Khalifah seterusnya mahu mengembalikan emas Fatimah yang telah dijual. Namun, Fatimah menolaknya. Suatu hari, anak Umar Abd Aziz datang menemuinya atas suatu urusan keluarga. Melihat anaknya masuk ke dalam bilik, Umar Abd Aziz dengan segera memadamkan lampu lalu becakap dengan anaknya dalam gelap. Perbuatannya itu menimbulkan pertanyaan si anak. Lalu apakah jawapan Khalifah?

Jawapannya mudah. Lampu dipadamkan kerana anaknya itu datang atas urusan keluarga. Sedangkan minyak yang dipakai untuk menyalakan lampu itu dibeli dengan wang negara. Hingga hari ini kita masih mengingati Khalifah Umar Bin Abd Aziz. Bukan kerana kekayaan, tetapi kerana kekuasaan yag menjadi amanah itu, dilaksanakan seadil-adilnya.

Peter F. Drucker mengatakan, "...the leader sees leadership as responsibility rather than as rank and privilege". Beliau membezakan antara leader (pemimpin) dengan misleader (penyesat). Menurut drucker lagi, pemimpin mempunyai matlamat perjuangan yang unggul, tahu erti dan fungsi kepimpinan. Tidak takut dan cemburu dengan gugatan, sebaliknya dianggap sebagai kejayaannya juga. Misleader atau penyesat pula sebaliknya. Mereka rasa tergugat dengan kecemerlangan rakan-rakan dan para bawahannya, lalu berusaha untuk menyingkirkan mereka.

Antara model 'kepimpinan yang merobah' ialah:

1. Berjiwa Besar.

Pemimpin mahasiswa harus turun ke lapangan umat, mendepani isu masyarakat dan menjadi juru bicara mereka. Justeru itu, mahasiswa seperti ini adalah daripada mahasiswa yang mempunyai arus pemikiran yang bebas dari penjajahan pemikiran seperti yang telah dibahaskan oleh sarjana Islam termasuklah Malik Benabi dan Iqbal. Maka dengan itu, untuk menjana mahasiswa yang mempunyai jiwa yang besar sememangnya kita memerlukan mahasiswa yang serius dalam memikirkan persoalan semasa yang menyentuh mengenai isu masyarakat semasa.

Malah seorang sarjana barat, Sir Walter Moberly (England) dalam bukunya "The Crisis in the University" mengatakan:

"Penyakit kita ialah; Kebanyakan pelajar-pelajar yang tamat dari universiti tidak dilatih berfikir tentang persoalan yang penting. Di bawah pengecualian ilmiah, mereka bulat-bulat menerima status quo dalam masyarakat, politik dan sekularisme tanpa berfikir secara serius disebabkan hari ini adanya pemecahan dan penyempitan ilmu.

Jika kita memilih atau melihat suatu sifat istimewa atau sesuai dimana dipanggil era baru, sifat itu akan berubah. Hanya mereka (pemimpin) yang belajar untuk menerima malahan membina dan mencipta suatu masa depan yang baru akan menjadi manfaat serta faedah darinya. Bukannya terkejut atau melatah dengan perubahan mendadak.

2. Bersifat terbuka.

Tidak memandang dari suatu sudut sahaja malah memikirkannya dari pelbagai aspek dan harus mempunyai pemikiran kritis.

3. Menongkah arus.

Tidak hanya mengikuti arus dan membiarkan diri tersepit dalam suasana dan keadaan.

4. Matang.

Tidak mudah melatah, dapat berdepan dengan semua keadaan sama ada dalam keadaan susah ataupun senang.

5. Mendepani massa.

6. Proaktif.

7. Berkarismatik.

8. Mengutamaka ilmu.

Jika ciri-ciri di atas dipenuhi, maka tidak hairanlah sekiranya Malaysia pada masa akan datang munculnya ramai Umar Abd Aziz, Sultan Muhammad Al-Fateh, dan lain-lain lagi tokoh kepimpinan Islam.

Ayuh, tolak politik tidak demokrasi!!