"Setiap manusia berinteraksi dengan alam sekelilingnya. Dia mendengar, melihat, merasa, seterusnya membuat penafsiran dan penilaian bagi meletakkan di mana posisi dirinya berada... Penilaian yang tepat adalah hasil sandaran yang kuat. Dan tiada sandaran sekukuh Kalam-NYA."
Jabatan Al-Quran dan Al-Hadith,
Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya, Kuala Lumpur.
Pusat Pengajian Kemanusiaan,
Universiti Sains Malaysia,
Pulau Pinang.
Fakulti Ilmu Kemanusiaan,
Universiti Perguruan Sultan Idris,
Perak.
Email: cacingpintar@yahoo.com
"Abang, konsert GAMIS tu bila?", tanya seorang junior di Unisel. Wajahnya penuh kesungguhan. Fikir saya, ada peluang kali ini untuk kempen diorang datang konsert. Saya tersenyum.
"Konsert GAMIS tu pada 1 Ogos akan datang. Kamu nak pergi ke?", tanya saya spontan.
"Cadangnya macamtu la. Saya nak tengok sendiri pendekatan konsert yang dibuat oleh GAMIS. Harapnya ada sesuatu yang boleh saya ambil untuk diaplikasikan di Unisel", tambahnya.
"Insya Allah, abang rasa kamu bukan dapat sedikit, tapi banyak yang kamu boleh dapat. Bawa balik konsert tu pun tak apa. Kamu ajak juga kawan-kawan kamu yang lain untuk pergi", balas saya.
"Tapi jauh la bang, kami kat Bestari Jaya nak ke Shah Alam... GAMIS ada sediakan pengangkutan tak?", rungutnya.
Aik, ada alasan pulak. Pening juga nak jawab. Tak kan GAMIS nak sediakan pengangkutan untuk semua pengunjung? Salah jawab nanti, budak ni tak nak hadir pulak.
"Kamu ni, kawan-kawan kita dari Kelantan, Terengganu, Kedah boleh hadir, tak kan kamu yang dah di Selangor ni merungut tentang pengangkutan lagi".
"Macam ni", tambah saya.
"Kamu buat surat, minta pentadbiran sediakan bas ke sana. Boleh la kamu ajak ramai lagi untuk hadir ke sana", sambung saya.
"Ya, tak ya juga. Nanti kami usahakan".
Itu merupakan dialog yang berlaku antara saya dengan junior di sana. Mereka bersungguh-sungguh untuk datang ke konsert GAMIS. Bagaimana dengan sahabat-sahabat dan junior-junior di Lembah Klang?
Ketepikan soal konsert ini bukan program tarbiyah, bukan untuk orang yang dah faham Islam, tiket mahal. Semua itu hanyalah alasan semata-mata. Sebenarnya kerja kita ialah membantu mengajak seramai mungkin 'untapped market' untuk hadir melihat sendiri bahawa ISLAM sebenarnya tidak menghalang hiburan tetapi ia perlulah kepada salurannya yang betul.
Saya dalam kesempatan ini mengucapkan sekalung tahniah dan penghargaan kepada sahabat-sahabat yang terlibat secara langsung dalam konsert ini. Mereka sedaya upaya menampilkan metode dakwah kontemporari sebagai alternatif kepada gerakan Islam dewasa ini.
Buat akhirnya, marilah kita beramai-ramai ke konsert GAMIS. Ingat 1 Ogos, ingat GAMIS. Jumpa di sana!!!
Forum antara kaum:Dasar PPSMI dari segi Falsafah Pendidikan
Masa dan Tarikh:26hb Jun 2009,Jumaat,8.30pm
Tempat:Tingkat 2, Dewan Kuliah KLSCAH
Jemputan Penceramah:
Bekas Ketua Pengarah, DBP Dato’ Dr Hassan Ahmad
Wakil Tamil Foundation, Mr.Arumugam
Pensyarah Universiti Putra Malaysia, Dr. Chong Fah Hing
Pengerusi Forum:
Penceramah Semasa yang Berpengalaman, Encik Lee Ban Chen
Sejak kerajaan mengumumkan dasar PPSMI, dasar tersebut telah menjadi tumpuan dan isu hangat bagi semua pihak.
Apakah yang menjadi halangan dalam melaksanakan dasar pendidikan tersebut? Adakah dasar tersebut akan mempengaruhi pembelajaran para pelajar? Bagaimanakah dasar tersebut mempengaruhi negara, pelbagai aliran sekolah dan sistem pendidikan negara?
Forum antara kaum “Dasar PPSMI dari segi Falsafah Pendidikan” yang dianjurkan oleh Civil Society of LLG Cultural Development Centre Bhd, GMP, KLSCAH CRC dan Tamil Foundation sebagai penganjur bersama forum ini akan sama-sama menyelidiki dan membincangkan perkara tersebut. Forum ini akan dilangsungkan di tingkat 2, Dewan Kuliah KLSCAH pada 26 haribulan June 2009 (Hari Jumaat) pukul 8.30 malam.
UNESCO berpendapat bahawa penggunaan bahasa ibunda semasa pembelajaran kanak-kanak adalah cara yang paling berkesan. Mendapat perhatian daripada orang ramai dan menyedarkan semua pihak agar mengambil berat tentang masa depan anak-anak ialah tujuan utama forum ini. Selain itu, kita juga mengambil peluang ini untuk merapatkan perhubungan, kerjasama, dan perbincangan antara kaum.
Forum tersebut menampilkan penceramah semasa yang berpengalaman, Encik Lee Ban Chen sebagai Pengerusi Forum. Jemputan Penceramah forum tersebut ialah Bekas Ketua Pengarah, DBP Dato’ Dr Hassan Ahmad; Wakil Tamil Foundation, Mr.Arumugam; dan Pensyarah Universiti Putra Malaysia, Dr. Chong Fah Hing.
Pada forum tersebut, khidmat penterjemah akan diberikan untuk menterjemahkan bahasa kepada para hadirin yang tidak fasih dalam bahasa melayu atau bahasa Inggeris. Selain itu, setengah jam sebelum forum berlangsung, pelbagai persembahan antara kaum akan diadakan sebagai sekapur sirih bagi memeriahkan lagi program.
Diharapkan supaya seluruh warganegara akan datang beramai-ramai pada malam tersebut dan kemasukan ke forum tersebut adalah percuma.
Sejak Tuan Guru Presiden, Dato' Seri Abdul Hadi Awang memperkenalkan konsep kerajaan perpaduan, ia telah menimbulkan satu polemik seolah-olah terdapat perbezaan pemikiran yang serius antara Tuan Guru Presiden dan Tuan Guru Mursyidul Am, Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat. Walhal, secara realitinya perbezaan pemikiran dan sikap dua orang Tok Guru ini adalah mainan media milik Umno/BN.
Kedua-dua Tok Guru sedar akan sepak terajang politik bikinan Umno/BN kerana kedua-duanya pernah mentadbir negeri. Kedua-dua Tuan Guru sedar bagaimana Umno/BN telah menganaktirikan Kerajaan Kelantan dan Terengganu.
Tuan Guru Nik Abdul Aziz sedar (di awal pemerintahannya) betapa peritnya apabila Umno menghentikan bantuan subsidi input pertanian (baja) kepada para penanam padi yang menyebabkan Kerajaan Kelantan terpaksa mengeluarkan baja sendiri yang melibatkan kos jutaan ringgit.
Tuan Guru Abdul Hadi juga merasakan keperitan apabila wang royalti petroleum ditarik balik oleh Umno dan digantikan dengan wang ehsan.
Umno meyindir begitu hebat sekali seolah-olah kerajaan negeri Trengganu pimpinan Tuan Guru Abdul Hadi adalah begitu miskin sekali sampai peringkat meminta sedekah kepada Kerajaan Pusat.
Tidak mungkin kedua-dua Tok Guru lupa akan pengalaman-pengalaman pahit ini. Ini sekadar satu contoh. Banyak lagi diskriminasi yang terpaksa dilalui oleh kedua-dua Tok Guru semasa memegang jawatan Menteri Besar.
Kedua-dua Tok Guru yang warak dan begitu hampir dengan Allah senantiasa memanjangkan tangan persahabatan kepada Umno atas nama perpaduan ummah. Mereka berdua peka terhadap seruan Allah untuk ummat Islam senantiasa berpegang kepada tali Allah (iaitu Agama Islam) dan jangan berpecah-belah.
Tangan persahabatan dihulur dengan satu syarat yang amat penting iaitu perbincangan mengenai penyatuan ummah Melayu mesti menjadikan al-Quran dan As-Sunnah sebagai rujukan terpenting. Keenggangan Umno untuk menjadikan al-Quran dan As-Sunnah sebagai rujukan asas dalam perbincangan mengenai perpaduan ummah yang menyebabkan persoalan berkaitan dengan perpaduan ummah adalah persoalan yang tiada penghujungnya.
Apabila Tuan Guru Presiden melontarkan idea kerajaan perpaduan, ia menunjukkan betapa besarnya jiwa Tuan Guru Presiden yang seolah-olah bersedia untuk memaafkan Umno di atas segala kejahatan yang dilakukan ke atas beliau.
Lontaran idea ini bukan sahaja kepada Umno tetapi kepada seluruh rakyat Malaysia atas keyakinan beliau bahawa sudah tiba masanya untuk Islam (melalui PAS) memimpin perubahan dan salah satu perubahan yang dimaksudkan ialah kerajaan perpaduan. Hujah ini adalah selari dengan hujah Tuan Guru Mursyidul Am.
Tuan Guru Presiden adalah ikhlas dalam mengetengahkan idea kerajaan perpaduan. Sekiranya Umno ikhlas dalam hal ini, tindakan segera yang Umno perlu lakukan ialah jangan bertanding dalam pilihan raya kecil Manik Urai pada 14 Julai 2009 nanti.
Sekiranya Umno terus bertanding, maka Umno yang sebenarnya berpura-pura mengenai kerajaan perpaduan dan bukannya kedua-dua Tok Guru yang mereka ingin lagakan.
Takrifan dan latarbelakang sejarah
Kerajaan Perpaduan dapat didefinisikan sebagai "satu kerajaan campuran yang besar terdiri dari semua parti politik (atau semua parti politik yang penting) yang berada dalam satu Dewan Perundangan (legislature) dan biasanya dibentuk dalam masa perang atau lain-lain keadaan dharurat yang dihadapi oleh sesebuah negara."
Dari takrifan ini ia memperlihatkan bahawa kerajaan perpaduan bukanlah merupakan satu struktur politik yang kekal. Ia bersifat sementara, iaitu ia diwujudkan dalam keadaan-keadaan yang kritikal (seperti semasa perang dan krisis ekonomi yang meruncing) bagi menjamin kelangsungan negara itu sendiri.
Ini bermakna perbezaan pandangan antara parti yang memerintah dan pembangkang perlu dikesampingkan. Atas dasar inilah kerajaan perpaduan adalah sebuah kerajaan yang tidak mempunyai pembangkang.
Ia boleh menjadi satu struktur politik dan pentadbiran yang kekal sekiranya Islam dijadikan bahan rujukan dalam segala aspek pentadbiran negara, atas kesedaran bahawa Islam adalah satu sistem yang syumul dan paling sempurna yang diturunkan oleh Allah untuk manusia.
Dari segi sejarahnya, penubuhan kerajaan perpaduan bukanlah sesuatu yang baru. Ia pernah ditubuhkan di negara-negara seperti Kanada, Israel, Kenya, Lebanon, Luxembourg, United Kingdom dan Amerika Syarikat.
Sebagai contoh, di UK kerajaan perpaduan telah ditubuhkan semasa Perang Dunia Pertama dan Kedua. Semasa Perang Dunia Pertama, kerajaan perpaduan di bawah pimpinan David Lloyd George mampu bertahan sehingga 1922.
Begitu juga semasa Zaman Kemelesetan (Great Depression) ekonomi yang menimpa dunia, sebuah kerajaan perpaduan telah ditubuhkan di UK pada tahun 1931 antara Ramsay MacDonald, Perdana Menteri dari Parti Buruh dan Parti Konservatif dan Liberal. Kerajaan ini bertahan sehingga 1945.
Terdapat juga contoh-contoh terkini penubuhan kerajaan perpaduan. Sebagai contoh, Afrika Selatan. Antara 27 April 1994 dan 3 Febuari 1997, Kerajaan Afrika Selatan telah ditadbirkan oleh sebuah perlembagaan sementara.
Fasal 88 perlembagaan sementara ini mensyaratkan mana-mana parti politik yang mempunyai 20 atau lebih kerusi dalam Dewan Perhimpunan Nasional (National Assembly) boleh menuntut satu atau lebih portfolio kabinet dan boleh bergabung dalam kerajaan yang memerintah.
Kerajaan yang ditubuh ini dikenali sebagai Kerajaan Perpaduan Nasional atau Government of National Unity (GNU). Di bawah pimpinan Presiden Nelson Mandela, GNU berkembang dan berfungsi dengan baik.
Pada pilihan raya 27 April 1994, Parti Kongres Kebangsaan Afrika (African National Congress) pimpinan Mandela telah memenangi majoriti kerusi di Dewan Perhimpunan Nasional dan boleh menubuh kerajaan tanpa bantuan parti-parti lain.
Walau bagaimanapun, dua parti lain, Parti Nasional dan Parti Kebebasan Inkatha telah menerima pakai peruntukan GNU dan memperolehi beberapa portfolio kabinet.
Presiden Mandela turut mengundang parti-parti lain menyertai kabinet sungguhpun parti-parti ini tidak memperolehi 20 kerusi minima sebagaimana yang diperlukan untuk membolehkan mereka menyertai GNU. GNU bertahan sehingga 1999.
Contoh kedua ialah Israel. Israel merupakan negara moden yang paling banyak menggunakan pendekatan "kerajaan perpaduan" sebagai kaedah menyelesaikan masalah dalaman mereka.
Secara lebih spesifik, menyelesaikan pertembungan antara Parti Buruh dengan Parti Likud. Kerajaan perpaduan yang dibentuk ialah kerajaan campuran antara dua parti yang dominan ini. Terkini usaha-usaha sedang dijalankan bagi menyatukan Parti Likud dengan parti Kadima.
Berbeza dengan Afrika Selatan di bawah Mandela, kerajaan perpaduan Israel tidak menjemput parti-parti politik lain yang lebih kecil menyertai kerajaan yang dibentuk. Kerajaan perpaduan yang dibentuk di Israel mempunyai motif politik yang tersendiri iaitu hanya memikirkan survival bangsa Yahudi sahaja.
Halangan ke arah pencapaian
Bukanlah sesuatu yang senang untuk mewujudkan satu kerajaan perpaduan terutamanya dalam sebuah negara seperti Malaysia di mana nilai-nilai politiknya adalah sarat dengan nilai-nilai perkauman.
Memahami betapa terdapatnya halangan-halangan yang serius bagi penubuhan sebuah kerajaan perpaduan di Malaysia, maka Tuan Guru Presiden menegaskan bahawa idea kerajaan perpaduan hanya merupakan satu lontaran idea. Tidak lebih dari ini.
Sekiranya ada pihak-pihak yang berminat, maka penerokaan yang lebih mendalam terhadap idea ini bolehlah diteruskan. Antara perkara yang perlu dibincang ialah bagaimana untuk mengatasi halangan-halangan yang sedia ada bagi membolehkan idea kerajaan perpaduan dipraktikkan.
Di Malaysia, antara halangan yang wujud ialah pertama, peruntukan-peruntukan dalam Perlembagaan dan dasar-dasar kerajaan sedia ada yang dilihat oleh sesetengah pihak (termasuk parti politik) sebagai menghalang perpaduan. Peruntukan-peruntukan yang dimaksudkan ialah: Islam sebagai agama Persekutuan; hak istimewa orang Melayu; Perkhidmatan Awam (termasuk polis dan tentera); DEB, Dasar Kebudayaan Kebangsaan dan lain-lain. Apakah perkara-perkara ini perlu dipinda? Atau di mansuh?
Halangan kedua ialah sistem pilihan raya yang berteraskan first-past-the-post. Dapatlah dihujahkan di sini bahawa sistem pilihan raya yang berteraskan prinsip 'perwakilan berkadar' (proportional representation) adalah lebih selari dengan konsep kerajaan perpaduan.
Halangan ketiga ialah sistem Federalisme ikutan Malaysia di mana terlalu banyak kuasa tertumpu kepada Kerajaan Pusat. Apakah ini sesuai dengan perjalanan 'kerajaan perpaduan'?
Halangan ke empat ialah peranan Ketua Whip di Parlimen; ia perlu dipinda. Begitu juga dengan peranan BBC. Ini adalah kerana kewujudan institusi ini menyebabkan ahli-ahli parlimen terpaksa akur kepada keputusan partinya sungguhpun ada ahli-ahli parlimen dari parti ini tidak bersetuju dengan keputusan atau dasar yang dibuat oleh parti mereka sendiri.
Kerajaan Perpaduan: Peranan PAS
Atas sifat Islam amat mementingkan perpaduan, maka secara jangka panjangnya, PAS boleh mempelopori idea kerajaan perpaduan atas usaha dan gagasan berikut: Pertama, bergerak cergas bagi merealisasi prinsip loyal opposition.
Kedua, mengemukakan contoh-contoh dari sejarah Islam bagi membenarkan hujah bahawa merealisasi prinsip keadilan yang melangkaui pertimbangan perkauman adalah kaedah terbaik mewujudkan perpaduan nasional.
Ketiga, kerajaan perpaduan perlu berpegang kepada prinsip 'pengislahan sistem politik dan ekonomi secara progresif'.
Ke empat, pendekatan Fiqh Keutamaan (Qaradawy) sebagai rujukan asas.
Kesimpulan
Berdasarkan kepada pengalaman negara-negara yang pernah bereksperimen dengan 'kerajaan perpaduan' memperlihatkan kepada kita bahawa kerajaan ini bersifat jangka pendek dan hanya bertahan semasa negara sedang mengalami suasana yang mencabar. Selepas keadaan kembali normal, ia tidak lagi relevan.
Sekiranya PAS masih berminat dengan idea kerajaan perpaduan, maka GNU pimpinan Nelson Mandela adalah model terbaik yang boleh dijadikan sebagai model dan perlu dikaji secara mendalam kesesuaiannya dalam konteks Malaysia.
Model ini sudah semestinya diterapkan dengan nilai-nilai Islam. Jangan juga lupa bahawa Sahifah Madinah yang dihasilkan oleh Rasulullah (saw) sendiri merupakan model terbaik kerajaan perpaduan.
Jenazah Syeikh Dr Fathi Yakan pengasas Jamaah Islam (cawangan ikhwanul Muslimin) di lubnan telah selamat dikebumikan di bandar Tarablas selatan Lubnan selepas solat asar/Ahad. Jenazah beliau telah diiringi secara rasmi dan manusia dalam keadaan kesedihan memenuhi masjid Tinal (tempat jenazah disembahyangkan) .
Diantara yang yang mengiringi jenazah beliau adalah wakil Presiden syria, ketua dewan rakyat Nabih Barri, pimpinan HAMAS Sami Khatir yang mewakili ketua Biro Politik HAMAS Khalid Masy'al, pimpinan pergerakan Jihad Islami Abu Imad ar-Rifaie, timbalan setiausaha agung Jemaah Islam Ibrahim Misti dan wakil dari Hizbullah.
Syeikh Malik as-Syiar yang mengimamkan jenazah beliau telah berkata:
إن طرابلس مدينة العلم والعلماء، ومعها العالم الإسلامي بأسره تودع رجلاً من كبارها وعلمًا من أعلامها رائد الحركة الإسلامية ومؤسسها، من أفنى عمره وحياته في سبيل الدعوة إلى الله عز وجل
"Sesungguhnya Tarablas adalah bandar ilmu dan ulama. Seluruh dunia Islam telah mengucapkan selamat tinggal kepada seorang tokoh dan panji Umat Islam. Beliau juga adalah pelopor dan pengasas bagi Gerakan Islam yang telah menghabiskan kehidupannya untuk berdakwah kepada Allah."
Ulasan: Kehilangan ulama adalah satu musibah bagi Umat Islam dan tanda diangkatnya ilmu diakhir zaman. Hasan Basri berkata:
Keengganan Umno bertanding pada pilihan raya kecil Dun Penanti pada 31 Mei lalu memberi ruang cukup besar pelbagai pihak memperlekehkan kepimpinan Dato' Seri Najib Razak. Ternyata presiden baru Umno itu mahu menongkah arus. Beliau berusaha mencipta seberapa banyak kejutan.
Biar apa sekali pun alasan yang dipertahankan, ternyata keputusan Barisan Nasional (BN) tidak akan bertanding membuktikan kelemahan parti tersebut sebelum bertarung.
Walau apa jua alasan dan hujah yang diberikan, rakyat tetap melihat ia sebagai suatu simbol menyerah kalah sebelum masuk gelanggang. Bukankah pemimpin Umno dan BN sebelum sering menguar-uarkan tanpa mereka rakyat Malaysia tidak dapat hidup aman.
Namun berdasarkan kepada apa yang berlaku Isnin lalu ia menggambarkan Umno dan BN bukanlah sebuah parti yang kuat sebagaimana diagung-agungkan selama ini.
Hari ini ia kelihatan bukan lagi satu keputusan luar biasa. Kekhuatirannya menghadapi pilihan raya bermakna dalam diam BN menerima hakikat kelemahan partinya dalam mendapat sokongan rakyat.
Peluang makin cerah
Bagaimanapun bagi Pakatan Rakyat (PR), sama ada BN akan bertanding atau tidak, keyakinan rakyat terhadap Pakatan tidak mampu ditolak lagi. Dan sekarang peluang memenangi Pilihanraya Manik Urai akan datang tambah cerah.
Pilihan raya kecil Dun Penanti lalu diadakan berikutan Mohammad Fairus Khairuddin dari Parti KeADILan Rakyat meletakkan jawatan 16 April lalu.
Najib mengumumkan BN tidak akan bertanding di Penanti dengan alasan tidak mahu mengikut gelombang dicipta Pakatan Rakyat. Namun sebaliknya beliau mengumumkan BN akan bertanding pada pilihanraya Manik Urai. Alasannya ia menepati perlembagaan negara. Persoalannya apakah pilihanraya di Penanti tidak mengikut perlembagaan?
Waraskah dengan kenyataan semudah itu bagi seorang ketua negara. Alasan itu hanya menjadi bahan ketawa orang kampung. Bukankah lebih baik kalau tidak berselindung di balik bayang sendiri.
Sebenarnya momentum sokongan rakyat tidak lagi menyebelahi parti tersebut. Inilah alasan paling mujarab. Mungkin juga inilah satu cara Najib ingin menjaga imejnya daripada terus tercalar setelah beberapa episod duka menghantui personalitinya belum selesai.
Sebagaimana kata Pengarah Pilihan Raya KeADILan, Saifudin Nasution Ismail fenomena politik semasa merupakan faktor utama BN tidak bertanding di Penanti. Beliau menyebutkan bahawa krisis politik di Perak dengan perebutan jawatan Menteri Besar masih belum selesai. BN khuatir ia memberi kesan kepada mereka.
Dato’ Seri Najib juga pada asasnya belum yakin dengan kemampuan kepimpinannya untuk menarik kembali sokongan rakyat di samping tidak berani menempuh kubu kuat Pakatan di Penanti.
KeADILan telah lama mengumumkan Timbalan Pengerusi Perhubungan PKR Pulau Pinang, Dr Mansor Othman sebagai calon untuk mempertahankan Penanti.
Inilah julung kali sejarah politik tanah air tidak pernah berlaku tiba-tiba ditempa BN bagi pertontonkan kepada rakyat.
Kata orang tua, tewas di luar gelanggang sebelum bertarung adalah bukan dari kalangan orang yang memiliki semangat perwira. Dan orang-orang seperti ini sebenarnya tidak layak untuk menjadi pemimpin.
Dan hakikat itu amat sinonim dengan Umno BN (dibaca ‘be end’) sekarang, betapa rapuhnya mereka menjelang usia senja ini.
AUKU & Mahasiswa Politik
-
Debat: Saifuddin Abdullah & Ibrahim Abu Shah dalam Soal Jawab TV3 Secara
peribadi, saya menyambut baik hasrat Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) di
bawah Y...