Friday, April 18, 2008

Warkah Buat Mahasiswa UM: Kesatuan Teras Kebangkitan



Sejarah Malaysia ada tercatat berkenaan dengan kisah-kisah rakyat. Yang paling menarik kisah-kisahnya adalah perpaduan rakyat melalui penggabungan. Suatu masa dulu, kalau kita ingat Parti Perikatan telah dianggotai beberapa parti yang mewakili semua kaum induk di Tanah Melayu iaitu Melayu, Cina dan India. Pernah jua Malaysia memiliki sejarah kewujudan kerajaan campuran antara parti pemerintah dan parti pembangkang. Lahirnya kerajaan ini akibat terkesan peristiwa 13 Mei 1969 yang begitu memalitkan sejarah hitam Malaysia. Penggabungan ini atas matlamat agar peristiwa tersebut tidak lagi berulang.

Beberapa minggu yang lalu, landskap politik Malaysia kembali berubah. Parti-parti alternatif sebulat suara menubuhkan satu barisan yang menggabungkan tiga parti penting menjadi satu gerakan yang bernama ’Pakatan Rakyat’. Situasi ini mengembalikan nostalgia lama penyatuan parti-parti alternatif iaitu sewaktu Pilihan Raya Umum ke-10 lalu yang dikenali ’Barisan Alternatif’. Cuma yang bezanya, dahulu penggabungan itu atas dasar menentang kezaliman pasca pemecatan mantan Timbalan Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim. Namun kali ini, penyatuan itu dengan matlamat menggerakkan Malaysia ke arah lebih maju dan cemerlang hasil kemenangan dalam PRU-12 baru-baru ini.

Selepas daripada itu, Parti Islam Se-Malaysia (PAS) pula dikunjungi pimpinan dua gerakan Islam Malaysia yang paling berpengaruh iaitu Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) dan Jemaah Islam Malaysia (JIM). Melalui ketuanya, mereka sebulat suara mahu bersama-sama dengan PAS untuk berjuang mendaulatkan Islam dan bersatu mendirikan Malaysia yang lebih sejahtera. Penggabungan ini dilihat akan banyak memberi impak positif kepada umat Islam di Malaysia khususnya.

Sebenarnya, peristiwa-peristiwa ini sudah lama wujud sejak zaman pemerintahan Rasulullah s.a.w sendiri. Kerana Rasulullah s.a.w adalah satu-satunya simbol penyatuan umat. Yang paling masyhur kisahnya kita dengar adalah peristiwa perletakan Hajr Aswad. Kebijaksanaan baginda menyelamatkan pelbagai bangsa dan kaum daripada berperang dan berbunuhan.

Cuba lihat melalui Piagam Madinah sendiri. Saya akan sebutkan beberapa bentuk penyatuan yang berjaya ar-Rasul s.a.w create. Baginda tidak perlu akhbar, tak perlu blog-blog untuk menyebarkan fahaman. Cukup sekadar rembesan dakwah melalui akhlak baginda dan para sahabat. Dalam fasal 16 menyatakan : “Bahawa orang-orang Yahudi yang menyertai kita hendaklah mendapat pertolongan dan pimpinan dengan tidak dizalimi dan tidak ada pakatan tidak baik terhadap mereka”.

Justeru itu, melalui pengajaran sejarah-sejarah lampau yang terbukti, bilakah lagi kita iaitu mahasiswa-mahasiswa di Universiti Malaya ini mahu bersatu? Kita arif dan maklum, idealisme dan pandangan kita mungkin sekali berbeda. Namun, demi universiti yang kita sayangi ini, bilakah kita mahu bersama-sama bergandingan bahu dan berpimpin tangan untuk kecemerlangan varsiti ini? Alangkah baiknya andai sama-sama kita bantu menaikkan semula rangking universiti yang sekian lama tercorot. Menyelesaikan masalah-masalah kebajikan rakyat yang semakin senyap tidak kedengaran. Saya selaku YDP PMIUM senantiasa mendepakan tangan mengalu-alukan sebarang bentuk kerjasama mana-mana pihak yang menuju kearah kebaikan dan kesejahteraan untuk manfaat warga kampus seluruhnya.
"Sejahtera Bersama PMIUM"

No comments: