Tuesday, July 28, 2009

INI RAHSIA ALLAH SWT


Bismillahirrahmanirrahim…

Firman Allah SWT:

Alif Lam Mim. Kitab ini (al-Quran) tidak terdapat keraguan padanya dan (kitab ini merupakan) petunjuk kepada orang-orang yang bertaqwa”.

Surah al-Baqarah (2): 1-2

Pernah ada orang bertanya kepada saya.

“Kenapa Allah SWT tujukan al-Quran kepada manusia tapi ayat di dalamnya ada yang manusia tak dapat nak faham? Contohnya macam Alif Lam Mim”. Sukar juga untuk menjawab persoalan sebegini.

Surah al-Baqarah dimulakan oleh Allah SWT dengan tiga huruf iaitu huruf Alif, Lam, dan Mim. Ketiga-tiga huruf ini boleh dibaca secara satu persatu atau pun secara bersambung.

Sebagaimana yang kita maklum, tiada siapa yang dapat dan sanggup memberi makna Alif Lam Mim kerana huruf ini huruf muqatta’ah (huruf satu-satu). Sama juga dengan perkataan PM. PM bukan ada makna, ia hanyalah merupakan huruf ringkas dari perkataan Perdana Menteri. Begitu juga dengan Alif Lam Mim.

Apakah makna sebenar Alif Lam Mim? Para ulama mufassirun menuliskan dalam kitab-kitab mereka – termasuk juga Yasin, Alif Lam Ra, Kaf Ha Ya ‘Ain Shad, dan lain-lain – dengan menyatakan “Allahu a’lamu bi muradihi bi dzalik”. Mereka menulis dengan penuh merendah diri dengan menyatakan hanya Allah SWT yang Maha Mengetahui maksudnya. Ini merupakan salah satu rahsia Allah SWT kepada makhlukNya.

Kerahsiaan di antara Allah SWT dengan makhlukNya tidak hanya dengan huruf-huruf ringkas ini sahaja, bahkan boleh dikatakan semua makhluk Allah SWT ada rahsia-rahsia tertentu yang manusia tidak mampu menyingkap dan mengerti tujuan sebenarnya kecuali orang-orang yang diberikan taufik dan hidayah oleh Allah SWT. Manusia dikurniakan Allah SWT – sejak kecil hingga mati – dengan sifat dan naluri hubbu al-tatallu’ iaitu sifat suka mencari-cari sesuatu, maka manusia tidak boleh berdiam diri begitu sahaja. Begitu juga dengan para ulama terdahulu, mereka berfikir, apakah tujuan Allah SWT menggunakan perkataan Alif Lam Mim sedangkan tidak ada sesiapa yang tahu maknanya? Apa tujuan Ya Sin? Apa tujuan Ha Mim?

Para ulama menyebut, Allah SWT sengaja mengemukakan perkara ini sebagai mencabar orang-orang yang tidak mahu menerima kewibawaan dan keunggulan al-Quran ini.

“Hai manusia! Al-Quran ini daripadaKu dan Aku susunnya daripada huruf-huruf yang kamu gunakan sehari-hari. Kalaulah kamu menganggap remeh terhadap al-Quran, tengok dengan sebelah mata, maka silalah buat Quran yang sama”.

Allah SWT mencabar manusia membuat sebuah al-Quran yang lain dengan menggunakan Alif Ba Ta... yang sama. Kalau tidak boleh buat berseorangan, kerahlah sekalian ahli bahasa, para sasterawan, golongan seni untuk membuat al-Quran sebagaimana yang Allah SWT buat. Bukan sahaja dari segi bahasanya saja yang sangat indah, malahan juga dari segi kandungan al-Quran sendiri yang mengandungi nasihat, hukum, kisah, pandangan, teguran, cerita-cerita masa depan seperti alam kubur dan suasana Mahsyar.

“Cubalah kamu buat al-Quran yang lain sama sebagaimana al-Quran yang Aku buat! Kalau kamu tidak boleh buat juga, maka mengakulah bahawa al-Quran yang dibawa oleh Muhammad bin Abdullah bukan rekaan dan buatan dia sendiri tetapi ialah wahyu dari Aku”.

Bilamana kita menerima al-Quran ini sebagai wahyu, maka kita mahu atau tidak kita mesti mengaku bahawa orang yang menerima wahyu ini bukan sembarangan orang tetapi seorang Nabi yang manusia mesti patuh dan junjung tutur katanya serta meniru tindak-tanduknya. Oleh kerana itulah ayat-ayat yang datang selepas huruf-huruf muqatta’ah ini ialah ayat mengenai al-Quran. Contohnya dalam surah Ya Sin, surah Yunus, dan surah al-Baqarah.

Ini merupakan apa yang dapat dikaji oleh ulama. Banyak lagi rahsia-rahsia Allah SWT yang lain yang kita manusia tidak tahu. Betapa hebat dan agungnya Allah SWT. Cuma manusia sahaja yang tidak nampak kebesaranNya itu.

No comments: