Sunday, November 8, 2009

Najib berbicara soal Pattani

Oleh: MOHD. SAIFUL MOHD. SAHAK


saiful.sahak@utusan.com.my


KUALA LUMPUR 30 Okt. – Penganalisis politik berpendapat Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan rakan sejawatannya dari Thailand, Abhisit Vejjajiva mengambil langkah yang tepat dan wajar dalam menyelesaikan konflik di selatan negara itu.

Menurut mereka, cadangan agar umat Islam di wilayah tersebut diberikan autonomi dalam perkara- perkara yang berkaitan boleh membantu ke arah usaha menghentikan konflik tersebut.

Profesor Sains Politik, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Dr. Ahmad Nizamuddin Sulaiman berkata, rundingan antara kerajaan Malaysia dan Thailand mengenai perkara itu menunjukkan kecenderungan dan harapan yang positif ke arah mengembalikan keamanan di wilayah tersebut.

“Konflik di selatan negara itu telah menjangkau empat tahun tanpa titik penyelesaian sehingga mengorbankan beribu nyawa di selatan Thailand.

“Kita menyokong usaha Malaysia mencadangkan kepada Thailand supaya menamatkan konflik di selatan negara itu bagi memastikan keamanan dan kesejahteraan umat Islam terbela dan mendapat keadilan,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia disini hari ini.

Menurutnya, Perdana Menteri Thailand sewajarnya menyambut baik idea Najib mengenai komitmen Malaysia terhadap keamanan di selatan negara itu.

“Secara peribadi, saya berpendapat sekiranya idea dan cadangan Najib itu direalisasikan oleh pemerintah negara Gajah Putih itu, ia membuktikan Thailand bersungguh-sungguh untuk menyelesaikan konflik yang masih berlanjutan itu,” katanya.

Perdana Menteri Thailand itu hari ini dilaporkan menyokong cadangan Najib supaya Bangkok memberi autonomi kepada wilayah selatannya.

Dalam satu wawancara akhbar yang disiarkan baru-baru ini, Najib berkata, Thailand hendaklah menawarkan autonomi ‘dalam bentuk tertentu’ kepada selatan Thai, di mana lebih 3,900 orang terbunuh sejak keganasan meletus pada Januari 2004.

Najib memberitahu akhbar berbahasa Inggeris di Thailand, The Nation bahawa ‘anda mungkin tidak mahu menyebutnya sebagai autonomi tetapi sekurang-kurangnya terdapat autonomi dalam bentuk tertentu’.

Menurut Ahmad Nizamudin, pembabitan Malaysia dalam menyelesaikan konflik di wilayah bergolak itu adalah rangsangan kepada kerajaan Thailand untuk membantu dan membangunkan ekonomi rakyat di selatan negara itu.

“Rakyat di sana berasakan mereka dipinggir oleh pemerintah, hasil idea dan sokongan Malaysia kita mengharapkan penduduk di situ berasakan mereka sebenarnya tidak dipinggirkan dan masih diberi perhatian oleh kerajaan Thailand,” katanya.

Sementara itu Profesor Politik dan Pentadbiran Awam Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Dr. Ahmad Atory Hussain berkata, idea Perdana Menteri berhubung penyelesaian konflik di wilayah itu tidak boleh dipandang ringan.

Katanya, pergolakan di selatan negara itu akan menjadi parah apabila ketegangan masih berlaku antara kerajaan Thailand dan pemimpin di wilayah yang bergolak tersebut.

“Pergolakan di selatan Thailand perlu dihentikan segera dan perkara itu perlu dibawa ke meja rundingan,” katanya.

[Komen Saya]

1. Utamakanlah rakyat sendiri dahulu. Umat Islam di Malaysia ni sendiri masih belum bebas melaksanakan syariat Allah.

2. Tulisan di atas menunjukkan bahawa DS Najib sendiri telah lama mengamalkan konsep mencengkam rakyat dengan memberikan 'gula-gula' politik kepada mereka. Hakikatnya, rakyat tetap tidak bebas. Kini fahaman itu turut diajar kepada negara jiran.

3. Tajuk yang sesuai untuk tulisan di atas ialah; "Teknik Moden Menjajah Umat Islam Masa Kini".

4. Dari sudut yang lain, macam la PM Thailand bodoh sangat sampai terpaksa ikut cakap DS Najib.

No comments: