Tuesday, July 28, 2009

INI RAHSIA ALLAH SWT


Bismillahirrahmanirrahim…

Firman Allah SWT:

Alif Lam Mim. Kitab ini (al-Quran) tidak terdapat keraguan padanya dan (kitab ini merupakan) petunjuk kepada orang-orang yang bertaqwa”.

Surah al-Baqarah (2): 1-2

Pernah ada orang bertanya kepada saya.

“Kenapa Allah SWT tujukan al-Quran kepada manusia tapi ayat di dalamnya ada yang manusia tak dapat nak faham? Contohnya macam Alif Lam Mim”. Sukar juga untuk menjawab persoalan sebegini.

Surah al-Baqarah dimulakan oleh Allah SWT dengan tiga huruf iaitu huruf Alif, Lam, dan Mim. Ketiga-tiga huruf ini boleh dibaca secara satu persatu atau pun secara bersambung.

Sebagaimana yang kita maklum, tiada siapa yang dapat dan sanggup memberi makna Alif Lam Mim kerana huruf ini huruf muqatta’ah (huruf satu-satu). Sama juga dengan perkataan PM. PM bukan ada makna, ia hanyalah merupakan huruf ringkas dari perkataan Perdana Menteri. Begitu juga dengan Alif Lam Mim.

Apakah makna sebenar Alif Lam Mim? Para ulama mufassirun menuliskan dalam kitab-kitab mereka – termasuk juga Yasin, Alif Lam Ra, Kaf Ha Ya ‘Ain Shad, dan lain-lain – dengan menyatakan “Allahu a’lamu bi muradihi bi dzalik”. Mereka menulis dengan penuh merendah diri dengan menyatakan hanya Allah SWT yang Maha Mengetahui maksudnya. Ini merupakan salah satu rahsia Allah SWT kepada makhlukNya.

Kerahsiaan di antara Allah SWT dengan makhlukNya tidak hanya dengan huruf-huruf ringkas ini sahaja, bahkan boleh dikatakan semua makhluk Allah SWT ada rahsia-rahsia tertentu yang manusia tidak mampu menyingkap dan mengerti tujuan sebenarnya kecuali orang-orang yang diberikan taufik dan hidayah oleh Allah SWT. Manusia dikurniakan Allah SWT – sejak kecil hingga mati – dengan sifat dan naluri hubbu al-tatallu’ iaitu sifat suka mencari-cari sesuatu, maka manusia tidak boleh berdiam diri begitu sahaja. Begitu juga dengan para ulama terdahulu, mereka berfikir, apakah tujuan Allah SWT menggunakan perkataan Alif Lam Mim sedangkan tidak ada sesiapa yang tahu maknanya? Apa tujuan Ya Sin? Apa tujuan Ha Mim?

Para ulama menyebut, Allah SWT sengaja mengemukakan perkara ini sebagai mencabar orang-orang yang tidak mahu menerima kewibawaan dan keunggulan al-Quran ini.

“Hai manusia! Al-Quran ini daripadaKu dan Aku susunnya daripada huruf-huruf yang kamu gunakan sehari-hari. Kalaulah kamu menganggap remeh terhadap al-Quran, tengok dengan sebelah mata, maka silalah buat Quran yang sama”.

Allah SWT mencabar manusia membuat sebuah al-Quran yang lain dengan menggunakan Alif Ba Ta... yang sama. Kalau tidak boleh buat berseorangan, kerahlah sekalian ahli bahasa, para sasterawan, golongan seni untuk membuat al-Quran sebagaimana yang Allah SWT buat. Bukan sahaja dari segi bahasanya saja yang sangat indah, malahan juga dari segi kandungan al-Quran sendiri yang mengandungi nasihat, hukum, kisah, pandangan, teguran, cerita-cerita masa depan seperti alam kubur dan suasana Mahsyar.

“Cubalah kamu buat al-Quran yang lain sama sebagaimana al-Quran yang Aku buat! Kalau kamu tidak boleh buat juga, maka mengakulah bahawa al-Quran yang dibawa oleh Muhammad bin Abdullah bukan rekaan dan buatan dia sendiri tetapi ialah wahyu dari Aku”.

Bilamana kita menerima al-Quran ini sebagai wahyu, maka kita mahu atau tidak kita mesti mengaku bahawa orang yang menerima wahyu ini bukan sembarangan orang tetapi seorang Nabi yang manusia mesti patuh dan junjung tutur katanya serta meniru tindak-tanduknya. Oleh kerana itulah ayat-ayat yang datang selepas huruf-huruf muqatta’ah ini ialah ayat mengenai al-Quran. Contohnya dalam surah Ya Sin, surah Yunus, dan surah al-Baqarah.

Ini merupakan apa yang dapat dikaji oleh ulama. Banyak lagi rahsia-rahsia Allah SWT yang lain yang kita manusia tidak tahu. Betapa hebat dan agungnya Allah SWT. Cuma manusia sahaja yang tidak nampak kebesaranNya itu.

Bumi Tarbiyah: Secebis Kenangan Nilam Puri

Setiap kali ada kesempatan, saya akan buka balik folder album lama-lama. Saya suka melihat gambar-gambar dahulu. Terutamanya bila semangat juang menurun, rasa tertekan, dan macam-macam lagi lah. Antara gambar yang menarik minat saya ialah gambar di atas. Kenangannya terhadap bumi tarbiyah Nilam Puri.

Mengimbau kenangan lalu, kehidupan di Nilam Puri sangat indah. Saya berani menyatakan bahawa Biah Islamiyah di NP berjaya dihidupkan sehinggakan di sana, semua Muslimatnya bertudung labuh, berstoking, meskipun latar belakangnya belajar di sekolah biasa. Bila difikir kembali, ia sungguh pelik dan mengagumkan. Tanpa undang-undang yang ketat dari pentadbiran, budaya dan persekitaran di NP dapat terbentuk dengan baik (mungkin kerana berkat doa tokoh-tokoh agama yang pernah belajar di situ dahulu).

Semasa di NP dulu, saya sangat suka solat berjemaah di Masjid Kampung Laut (dikenali dengan MKL). Walaupun kelihatan lama dan usang, tapi solat di dalamnya terasa sungguh tenang. Pada masa itu MKL ialah satu-satunya masjid yang tempat kami (pelajar UMNP) solat 5 waktu secara berjamaah. MKL menjadi tempat bertemunya mahasiswa dari 3 kampus iaitu UM, KIAS, dan PBA. Perkongsian yang terjalin membentuk ukhuah yang sangat erat hingga kini. Kami bergilir-gilir memberi kuliah dan menghidupkan MKL dengan budaya usrah. Bayangkan, solat subuhnya sahaja melebihi 10 saf. Duduk di sana rasanya sudah hampir tiba kemenangan Islam.

Budaya kejut subuh antara yang paling unik. Bayangkan di kolej kediaman sebuah kampus ,kita bebas masuk ke tiap-tiap bilik untuk mengejut penghuninya bangun menunaikan solat subuh. Majoriti pelajar lelakinya istiqamah berkopiah ke kelas. Kalau kuliah malam, ada yang hadir ke kelas dengan berserban. Menarik.

Banyak lagi perkara-perkara menarik yang ada di NP yang sukar untuk diceritakan. Saja saya tulis di sini bagi melepasakan rasa rindu yang menggamit diri ketika ini...

Thursday, July 23, 2009

Juga Pada 1 OGOS ni!


Tak banyak yang saya ingin komen pada 1 Ogos ni, cuma bila media menyebut bahawa Pewaris akan buat demonstrasi balas (pro-ISA) pada masa dan tempat yang sama, saya sedikit berasa terima kasih kepada Pewaris kerana tolong berkempen kepada masyarakat untuk hadir ke demonstrasi kali ini. Menarik.

On the other side, Najib sangat suka bila rakyat bergaduh sesama sendiri. Dia selamat kerana media akan fokus kepada konflik semasa demonstrasi berlangsung. Tidak fokus kepada pemimpin-pemimpin kerajaan. Hm, kalau DSAI dan TGNA sanggup hadir untuk mansuh ISA, kenapa DR. M, Najib, dan pemimpin-pemimpin UMNO yang lain tidak boleh hadir ke demonstrasi anjuran Pewaris? Kalau hadir baru la gentlement.

Saya nak mencadangkan kepada Pewaris supaya anjurkan demonstrasi pro-rasuah. Ada berani?

Wednesday, July 22, 2009

Menemui ANDA 1 OGOS nanti!!!


Konsert ANTARA DUNIA...

Bila bincang tentang Islam, dimensi berfikir kita akan lebih luas dan lebar. Tidak hanya sekadar di dunia semata-mata seperti permasalahan ekonomi, sosial, politik, antarabangsa dan sebagainya. Tapi perbincangannya meliputi antara DUNIA. Dalam al-Quran, ulama telah menganalisis dunia yang telah dan akan dilalui manusia. Ia juga dipanggil alam kerana manusia telah dan akan mengalaminya. Dunia atau alam tersebut ialah:

1) Alam Roh.

Di alam ini semua manusia telah bersaksi bahawa Allah SWT itu sebagai Tuhan yang WAJIB disembah untuk mengabdikan diri. Semua roh manusia tanpa kecuali.

2) Alam Rahim.

Selepas dari bersaksi dalam alam roh, Allah campakkan manusia ke alam rahim sebagai transisi/peralihan kepada alam dunia. Maha Hebat kuasa Allah SWT bila mana kita ada di alam rahim ini walaupun tiada lubang udara, tapi kita boleh hidup. Bahkan sihat dan boleh menendang-nendang perut ibu. Subhanallah.

3) Alam Dunia.

Alam ini merupakan medan ujian kepada seluruh manusia. Allah ingin menguji hamba-hambaNya yang manakah yang istiqamah menuruti hidayahNya. Ujian yang diberikan kepada manusia dalam alam ini ialah nafsu sebagai faktor internal (diri sendiri, syahwat) dan syaitan sebagai faktor eksternal (bisikan, hasutan, ideologi pemikiran dll).

4) Alam Barzakh.

Alam ini merupakan transisi seseorang manusia sebelum menuju ke negeri yang kekal abadi. Dalam alam ini, manusia akan ditemani oleh amalannya semasa hidup di dunia. Tiada lagi pengampunan. Selainitu, alam ini juga merupakan pra-nikmat dan pra-azab bagi seseorang manusia sebelum berdepan dengan nikmat dan azb yang kekal di akhirat.

5) Alam Akhirat.

Di alam ini, Allah SWT akan menghisab dan menghitung seluruh amalan yang dibuat oleh seluruh manusia bermula sejak zaman Nabi Adam. Yang meyakini dan beriman kepadaNya sahaja akan diberikan nikmat oleh Allah, manakala sebaliknya akan di azab.

Berdasarkan alam-alam di atas, GAMIS terpanggil untuk memberikan kesedaran kepada masyarakat yang ada sekarang khususnya generasi muda dan remaja. Maka pendekatan yang diambil ialah dengan mengadakan konsert.

Jemput datang beramai-ramai menjayakannya!!!

Monday, July 20, 2009

PPSMI: Durian dalam Durian…


Isu berhubung PPSMI masih lagi belum reda meskipun Tan Sri Muhyiddin Yasin telah mengeluarkan statement bahawa kerajaan akan memansuhkan PPSMI menjelang 2012. Nampaknya masyarakat belum cukup yakin dan percaya di sebalik kenyataan tersebut. Seolah-olah ada sesuatu yang ingin disembunyikan oleh kerajaan BN.

Tidak dinafikan bahawa kerajaan kini tersepit antara kehendak rakyat ataupun kehendak mantan Perdana Menteri Malaysia, Dr M. Hendak di makan mati ibu, di luah mati bapa. Dalam masa yang sama rakyat biasa dan juga tokoh-tokoh saterawan negara telah bangkit membantahnya. Dah lama.

Isu lemah penguasaan Bahasa Inggeris dengan penguasaan ilmu Matematik dan Sains jauh jurangnya. Mustahil dapat dihubungkan dengan hanya satu JAMBATAN (merujuk kepada PPSMI). Kerajaan BN sekarang hanya melihat strategi berdasarkan JAMBATAN sahaja walhal taktik tersebut telah terbukti tidak berjaya (di Manik Urai). Sama juga macam DURIAN DALAM DURIAN, susah payah kita buka kulit luarnya rupa-rupanya dalam ada duri lagi. Hmm, tengok je la. Boleh ambil gambar je. Saya mencadangkan kerajaan kembali kepada al-Quran, baru bercambah minda. Al-Quran itu ibu segala ilmu dan kebijaksanaan.

Pada pandangan saya, isu PPSMI ini membuktikan bahawa kerajaan BN gagal dalam membaca permasalahan dan kehendak rakyat. Tulah, duit banyak-banyak buat rasuah. Kalau bagi tender pada consultant untuk buat survey lagi berbaloi. Sudahlah begitu, respon dan tindakan yang diambil kerajaan sangat lambat. Rakyat dah buat banyak kali demonstrasi, Dewan Bahasa dan Pustaka pun join, kerajaan tak buat apa lagi. Tindakan dan jalan penyelesaian yang dibuat pula kelihatan tidak serius dan seolah-olah menunggu sesuatu lagi. Memang kalau begini keadaannya, kerajaan memang suka melihat rakyat dalam keadaan bodoh. Tapi ingat, kalau kerajaan tak nak didik rakyat, banyak lagi sumber yang boleh mendidik mereka.

Malam ini (Selasa 21 Julai 2009) YDP MPMUM akan bersiaran langsung dalam “Suara Siswa” di UPSI, siarannya ‘live’ di TV 1 jam 9.00 malam. Harapnya ada sesuatu yang mampu untuk membuka mata dan minda masyarakat khususnya mahasiswa yang masih tidur dan leka dengan dunia sendiri.

Buat akhirnya, saya memetik peribahasa Melayu jika diInggeriskan:

1) Frog under coconut shell.
2) Monkey in the jungle in will milk, child at home died of starvation.
3) Let the child die, please do not custom perish.
4) Throw stone hide hand.
5) Already fell in befall ladder.
6) Harpoon two eyes.
7) Wife will love live will stay, child will honey will hand hand.
8) Banana fruit twice.
9) Sparrow equivalent hornbill which flaying with.
10) Dog barked hill.

Thursday, July 16, 2009

Dulu Altantuya, Kini Teo Beng Hock, Akan Datang?


Menggemparkan. Kematian pembantu Exco Selangor, Teo Beng Hock berhampiran bangunan SPRM mengejutkan banyak pihak. Ada pihak yang menyebutkan dia terjun, tapi mustahil kerana telah dinafikan oleh YB Ean sendiri. Katanya Teo akan mendaftar perkahwinannya esok. Sesuatu pasti telah berlaku.

Dalam masa yang sama Nazri Aziz sibuk menyuruh rakyat bertenang dan tunggu sehingga keputusan hasil siasatan dikeluarkan. Ini semua propaganda untuk menyelamatkan diri sendiri. Polis siasat SPRM? Kelakar betul. Bunyinya macam Najib siasat Rosmah je.

Pada saat kritikal ini, apa pula yang dikatakan oleh Najib? Kalau pemimpin negaranya pernah ada rekod membunuh orang (Altantuya), masihkah kita mempercayai bahawa ini di luar perancangan dan kuasanya? Juga persoalan yang bermain di fikiran kita ialah, siapakah mangsa seterusnya? Apakah pembelaan yang seharusnya kita berikan kepada ahli keluarga mendiang Teo?

Rakyat seharusnya celik mata dalam isu ini. Kita tidak boleh berdiam diri begitu sahaja. Siapa sangka mangsa yang akan datang ialah kita sendiri? Sebelum segalanya menjadi parah, kita perlu berbuat sesuatu.

Wednesday, July 15, 2009

UMNO SEMAKIN KECIL JIWANYA...


Anak emas? Awal-awal lagi Umno membayangkan persepsi tidak jujur dalam perjuangannya menambat hati rakyat menjelang pilihan raya kecil (PRK) Dun Manek Urai.

Jika Manek Urai dianak emaskan, bagaimana nasib Dun-Dun lain khususnya enam Dun BN di Kelantan. Tidakkah itu cermin adanya sikap diskriminasi Umno jika berjaya menawan Manek Urai.

Kenapa itu harus berlaku dalam sebuah parti elit di bawah kerajaan Najib? Barangkali itulah janji orang tersepit sanggup menggadaikan apa sahaja asalkan jalan keluar dari sesuatu belenggu ditemui.

Teringat cerita seorang pakcik di warung kopi simpang tiga Kota Bharu, Kuala Krai dan Gua Musang, pada suatu petang.

"Aku hidup di sini sudah lebih tujuh puluh tahun. Banyak manis aku telan. Tidak kurang juga pahit aku rasa. Pendek kata serba-serbi aku lalui bersama Manek Urai. Dan inilah kali pertama dalam kempen sejarah pilihan raya aku dengar dijanjikan dengan anak emas.

"Siapapun boleh berjanji, lidah tidak bertulang. Tapi natijahnya seringkali janji tinggal janji. Masa nak pilihan raya berduyung-duyung mari. Selepas itu hilang entah ke mana, kalau panjang umur lima tahun pula bertemu,"katanya membuatkan warung tersebut riuh rendah dengan babak PRK Manek Urai.

Mengambil kira cakap pakcik itu kadang-kadang terfikir, rakyat Manek Urai tidak asing dengan anjakan paradigma. Kematangannya tidak mampu diperlekehkan oleh retorik Umno. Rakyat Manek Urai melihat percaturan parti politik dari sudut integrasi.

Maka kehadiran Ketua Penerangan Umno, Ahmad Maslan, bermalam di rumah orang kampung, mencanang pelbagai program komuniti hatta menoreh getah ketika pusara arwah Paksu Wel masih lagi basah adalah gambaran solidariti Umno menghambat 99 peratus pengundi Melayu.

Dan panorama meniti denai dan lurah, gotong royong membersih kubur,memotong rumput, ziarah orang tua, orang sakit, orang mati dan sebagainya ditonton seluruh rakyat Manek Urai.

Realiti projek mee segera tidak perlu dipertikaikan lagi. Itulah budaya Umno warisan zaman berzaman.

Bukan menafi satu kemuliaan. Tetapi sekadar menyatakan aksi dipertontonkan Umno itu bukan perkara baru, sebaliknya kenikmatan itu sudah dirasai rakyat di bawah pimpinan kerajaan Pas sejak hampir 20 tahun.

Umno dianggap malang apabila cuba menciplak kejujuran amalan kerajaan Pas untuk menambat hati pengundi Manek Urai menjelang pilihan raya kecil (PRK). Segalanya sudah terlambat.

Jadi memang patut kalau di luar sana ramai yang bertanya mimpi apa Umno sampai begitu sekali kehadirannya di Manek Urai kali ini? Ada yang cuba beri jawapan, Umno ingin menebus dosa silamnya yang sudah terlalu banyak disajikan kepada rakyat.

Bagaimanapun ia disangkal oleh banyak pihak. Umno bukan ingin menebus dosa, tetapi dalam konteks pilihan raya Umno kembali membawa dosa silam buat ke sekian kalinya untuk mengaburi mata rakyat Manek Urai.

Masakan pada saat begini baru kalut hendak meniti denai dan lurah? Kenapa tidak dulu-dulu lagi projek mee segera disalurkan kalau benar simpati Manek Urai sebagai sebuah daerah yang mundur dan wajar dibangunkan?

Realiti udang di sebalik mee tidak pernah terlindung. Umno punya motif tersendiri di Manek Urai. Sekurang-kurangnya tragedi pahit pasca pilihan raya umum yang lalu dan kekalahan 5-1 pada PRK dapat ditebus.

Tambahan Tok Pa dan Awang Adek baru sahaja diberi mandate oleh Najib menerajui Umno Kelantan pasti kredibiliti serta reputasi awalnya wajar dipamerkan dengan bijaksana.

Namun mampukah sandiwara Umno selama hampir dua bulan itu berjaya diterjemahkan kepada rakyat? Hanya 12,653 pengundi Dun Manek Urai berhak menentukannya pada 14 Julai ini.

Dan di situ juga anak emas akan muncul bersama satu pahala atau dosa?

(Dipetik dari Harakahdaily, Oleh Zuharman MN)