Wednesday, October 19, 2011

Rumah Paling Rapuh

Firman Allah SWT:

Maksudnya: “Perumpamaan orang-orang yang mengambil pelindung-pelindung selain Allah adalah seperti labah-labah yang membuat rumah. Dan sesungguhnya rumah yang paling lemah adalah rumah labah-labah kalau mereka mengetahui.” –Surah al-Ankabut: Ayat 41-


Antara haiwan yang disebut di dalam al-Quran ialah labah-labah. Labah-labah adalah salah satu dari jenis serangga yang terdapat dalam dunia ini. Terdapat pelbagai jenis labah-labah, ada yang kecil, ada yang besar, ada yang berbahaya, dan ada yang tidak berbahaya. Namun begitu, kesemuanya mempunyai suatu persamaan iaitu mereka membina sarang atau ‘rumah’ mereka dengan cecair yang keluar dari badannya. Sarang labah-labah mempunyai bentuk yang sangat unik berbanding haiwan lain. Ia kelihatan seperti jaring yang kecil. Antara fungsi sarang labah-labah ialah untuk memerangkap serangga-serangga kecil. Serangga-serangga kecil yang terperangkap tersebut akan menjadi makanan kepada labah-labah.


Dalam al-Quran, Allah SWT menceritakan bahawa sarang labah-labah adalah rumah yang paling lemah. Jika kita bandingkan sarang labah-labah dengan sarang serangga yang lain seperti semut, lebah, anai-anai dan lain-lain, maka kita akan melihat bahawa sarang labah-labah adalah yang paling mudah untuk musnah. Kadang-kadang sarang labah-labah boleh musnah hanya kerana ditiup angin.


Sebenarnya, Allah SWT menyebut tentang sarang labah-labah adalah sebagai suatu perumpamaan terhadap orang-orang yang minta perlindungan mereka kepada selain Allah. Mereka meminta perlindungan dari berhala, patung, tumbuhan, matahari atau bulan dan sebagainya. Ada juga manusia yang meminta perlindungan dari makhluk-makhluk halus seperti jin dan syaitan. Dan termasuk juga mereka yang hanya meminta pertolongan dari sesama manusia tanpa pergantungan kepada Allah.

No comments: