Saturday, September 29, 2018

TIDAKKAH KITA MERASAI IA SEBENARNYA BERAT?

(Gambar hiasan)

قال البخاري: حَدَّثَنَا عَبْدُ اللَّهِ بْنُ يُوسُفَ قَالَ أَخْبَرَنَا مَالِكٌ عَنْ هِشَامِ بْنِ عُرْوَةَ عَنْ أَبِيهِ عَنْ عَائِشَةَ أُمِّ الْمُؤْمِنِينَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهَا
أَنَّ الْحَارِثَ بْنَ هِشَامٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ سَأَلَ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقَالَ يَا رَسُولَ اللَّهِ كَيْفَ يَأْتِيكَ الْوَحْيُ فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَحْيَانًا يَأْتِينِي مِثْلَ صَلْصَلَةِ الْجَرَسِ وَهُوَ أَشَدُّهُ عَلَيَّ فَيُفْصَمُ عَنِّي وَقَدْ وَعَيْتُ عَنْهُ مَا قَالَ وَأَحْيَانًا يَتَمَثَّلُ لِي الْمَلَكُ رَجُلًا فَيُكَلِّمُنِي فَأَعِي مَا يَقُولُ قَالَتْ عَائِشَةُ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهَا وَلَقَدْ رَأَيْتُهُ يَنْزِلُ عَلَيْهِ الْوَحْيُ فِي الْيَوْمِ الشَّدِيدِ الْبَرْدِ فَيَفْصِمُ عَنْهُ وَإِنَّ جَبِينَهُ لَيَتَفَصَّدُ عَرَقًا

Terjemahan: Imam al-Bukhari berkata: 'Abdullah bin Yusuf telah meriwayatkan kepada kami, katanya; Malik telah mengkhabarkan kepada kami, katanya; daripada Hisham bin 'Urwah; daripada bapanya; daripada 'Aishah - Bonda sekelian orang yang beriman - RA; bahawa al-Harith bin Hisham RA telah bertanya kepada Rasulullah SAW, kata beliau: "Wahai Rasulullah, bagaimanakah wahyu dibawakan kepada kamu?" Rasulullah SAW lalu menjawab: "Kadang-kadang ia dibawakan (dalam bentuk) seperti nyaringan loceng dan ia adalah yang paling berat bagiku, kemudian ia terhenti sejenak daripadaku dan aku dapat memahami apa yang dikatakan. Kadang-kadang malaikat datang kepadaku dengan menyerupai seseorang lelaki lalu berbicara denganku, justeru aku memahami apa yang dikatakannya." 'Aishah RA berkata: "Sungguh aku pernah melihat Baginda ketika wahyu sedang diturunkan kepadanya iaitu pada suatu hari yang sangat sejuk kemudian ia terhenti, dan sesungguhnya mengalir keringat (peluh) di dahi Baginda."

Wahyu Bukanlah Suatu Rahsia

Teks hadith di atas adalah merupakan hadith yang kedua dalam kitab Sahih al-Bukhari iaitu dibawah "Bab Bagaimanakah Bermulanya Wahyu (Diturunkan) Kepada Rasulullah SAW". Hadith ini turut dikemukakan oleh Imam al-Bukhari (m. 256 H) menerusi "Bab Penjelasan Tentang Malaikat" dalam "Kitab Permulaan Penciptaan Makhluk". Hadith ini turut diriwayatkan oleh Imam Malik (m. 179 H) dalam al-Muwatta', Imam Ahmad (m. 241 H) dalam Musnadnya, Imam al-Tirmidhi (m. 279 H) dalam al-Jami' al-Tirmidhi, dan Imam al-Nasa'i (m. 303 H) dalam Sunannya. Tulisan ini tidaklah berhasrat untuk mendetilkan takhrij hadith di atas. 'Azw sahaja telah memadai. 

Hadith ini telah menarik perhatian para ulama sepanjang zaman untuk memusatkan fikiran mereka dalam memahami konteksnya selain menggali sebanyak mungkin faedah dan pengajaran daripada hadith ini. Antara yang jelas dapat kita fahami menerusi hadith ini ialah wahyu yang diturunkan kepada Nabi Muhammad SAW bukanlah suatu dusta, malah ia diturunkan secara terang-terangan dan dapat disaksikan oleh para sahabat RA. Hadith ini menjadi hujah bahawa ajaran yang dibawa oleh Baginda SAW adalah berpunca daripada Allah SWT dan bukan daripada khayalan serta rekaan minda.

Sesungguhnya kebiasaan manusia itu tidak suka dia dilihat sedang menyediakan atau menyiapkan sesuatu. Terasa seperti aib serta kekurangan diri terdedah dan sekiranya hasil tersebut siap, ia telah kehilangan nilai kejutan. Justeru, tiada seniman yang suka dilihat sedang berkarya, tiada saintis yang suka dilihat sedang membuat eksperimen, tiada penulis yang gemar dilihat sedang memilih kata, tiada tukang masak yang suka dilihat sedang menyukat rasa, tiada penyanyi yang suka dilihat sedang mencari nada, tiada ahli silap mata yang suka dilihat sedang menyiapkan helah dan lain-lain lagi. 

Sekali pun kita melihat terdapat rancangan-rancangan masakan, lukisan, nyanyian dan sebagainya, hakikatnya ia termasuk dalam persembahan yang bertujuan lebih menonjolkan kemahiran dan profesionalisma pemainnya. Yang 'spoil' semuanya telah disunting. Inilah manusia. Perkara ini akan lebih jelas dapat dilihat khususnya dalam aspek yang melibatkan idea asal, corak tersendiri, hak cipta terpelihara dan sebagainya yang melibatkan identiti seseorang atau institusi. Menjadikan prosesnya sebagai rahsia akan menjadikan nilainya lebih tinggi berbanding yang lain.

Saya melihat fenomena ini berlaku dalam kalangan manusia kerana ia pada dasarnya melibatkan persaingan antara individu dengan individu yang lain. Manusia cenderung dilihat berbeza daripada orang yang sekelas dengannya untuk dilihat unggul dan mengatasi yang lain. Semuanya kerana ingin meraih kepentingan duniawi seperti kemasyhuran, kekayaan, kemuliaan dan sebagainya.

Fenomena yang dikatakan ini langsung tidak berlaku kepada Nabi SAW. Ia sebagai bukti ketulenan ajaran ini daripada langit. Tidak pernah kita mendengar Baginda SAW lari menyembunyikan diri tatkala datangnya wahyu kerana malu. Juga tidak pernah kita menemui riwayat yang mengatakan Rasulullah SAW memerlukan masa tertentu yang khas untuk menerima wahyu. Sebaliknya ia tidak mengira waktu atau keadaan Baginda SAW. Kadang-kadang di rumah, kadang-kadang di medan perang, kadang-kadang di depan khalayak dan banyak lagi. Hadith-hadith seperti ini hakikatnya adalah suatu mukjizat agung yang sekali gus mencabar kebenaran serta keabsahan ajaran-ajaran dan agama yang lain.

Inilah sifat wahyu, tidak tersembunyi dan terlindung. Malah ia bersifat terbuka dan secara terang-terangan. Kerana ia sempurna dari segenap segi dan terpelihara daripada kecacatan. Ia memang sarat dengan rahsia, tapi ia tidak rahsia. Sehubungan itu, siapa sahaja dalam kalangan umat Baginda SAW juga boleh berinteraksi dengan wahyu dan Allah akan singkapkan rahsia itu kepada orang yang dikehendakiNya.

(اللهم فقهنا في الدين وعلمنا التأويل)

Kemuliaan Sebagai Suatu Anugerah

Kehidupan di dunia sangat sukar. Selain memerlukan kesabaran yang tinggi, faktor bimbingan dan pedoman yang benar juga adalah suatu kewajiban. Hakikat kejadian manusia adalah sebagai pemimpin dan khalifah di muka bumi Allah SWT ini. Justeru, kemuliaan dan ketinggian adalah aset yang amat penting kepada setiap individu. Manusia sanggup melakukan apa sahaja demi mendapatkannya.

Tanpa bimbingan dan petunjuk ilahi, subjektif kemuliaan tidak dapat dirungkaikan dan kekal menjadi tanda tanya. Mulia bererti orang lain melihat kita tinggi. Sebahagian manusia melihat akan mendapat kemuliaan apabila hartanya melebihi harta orang lain. Ada pula segolongan yang lain melihat kemuliaan itu dapat diraih jika kuasa dan pengaruhnya lebih besar berbanding orang lain. Begitu juga ada golongan yang mendapati kemuliaan itu dengan sendirinya diperoleh apabila kebijaksanaannya mengatasi orang lain. Justeru itu, demi mengejar 'kemuliaan-kemuliaan' ini, kita dihidangkan dengan aktiviti-aktiviti rompakan, penindasan, dan membodohkan sesama manusia di seantero dunia sejak dahulu hinggalah kini. Lebih malang lagi, sebahagian umat Islam juga terjerumus dalam lumpur jerlus ini.

Langit telah tersingkap dan sinarnya yang gemerlap telah memenuhi bumi yang gelap. Manusia yang rakus mencakar dalam rabaan mencari kemuliaan mula tersentap. Kemuliaan yang dicari sebenarnya tiada di bumi, namun ia adalah sesuatu yang datang dari sisi ilahi. Justeru ia bukan dicapai dengan pilihan sendiri semata-mata, malah ia adalah suatu pemberian dan anugerah daripada Tuhan yang Maha Menciptakan manusia lagi Maha Pemberi.

Berbalik kepada peribadi Nabi SAW, kita mendapati bahawa Allah SWT telah mengangkat darjat dan kemuliaan Baginda SAW berbanding manusia yang lain dengan keimanan dan ketaqwaan yang tinggi kepadaNya. Segalanya terkandung dalam ajaran yang dibawa oleh Baginda SAW iaitu Islam. Lantaran itu, kemuliaan ini turut dikongsikan bersama dengan umatnya sepanjang zaman selagi mana mereka berusaha menjejaki dan menuruti ajaran langit ini.

Semoga kita semua beroleh taufiq dan hidayah daripada Allah SWT.

Amanah Agama Itu Berat

Mengamati realiti kehidupan kita di atas muka bumi ini, pada dasarnya tiada perkara yang ringan. Sekali pun banyak pihak cuba meringankan perkara-perkara yang dirasakannya berat, hakikatnya usaha untuk meringankan perkara tersebut juga adalah suatu yang berat. Contohnya seseorang berhasrat mengemukakan ideologi fahamannya ke tengah-tengah masyarakat supaya ia diterima dan dijadikan pegangan. Pertama, ideologinya itu sendiri adalah berat. Kedua, usaha mengetengahkannya dalam masyarakat juga berat. Ketiga, cabaran, rintangan dan tentangan daripada pihak yang tidak bersetuju tentunya tidak ringan. Keempat, memastikan masyarakat benar-benar mengikuti kehendak idoeloginya itu dengan memberikan teguran, panduan dan lain-lain juga adalah merupakan suatu yang lebih berat kerana sedikit kecuaian akan menjadikan ideologinya tidak lagi tulen.

Nah, itu hanya contoh bagi golongan yang ingin menegakkan ideologi duniawinya. Ia bukan semudah yang disangka. Justeru di sepanjang sejarah sosio-politik dunia, kita dapati telah sekian banyak ideologi dan pegangan manusia yang pupus ditelan zaman. Tidak kurang juga yang telah menyimpang jauh dari landasan asal yang digariskan oleh pengasasnya. Namun demikian, oleh kerana matlamatnya hanya kebahagiaan dunia, maka peratus rasa ralat dan kerugiannya tidaklah sebesar mana meski pun terkadang ribuan jiwa terkorban kerananya.

Berbeza dengan panduan dan bimbingan daripada Allah SWT, ia bukan sekadar ideologi, malah mencakupi segenap keperluan dalam kehidupan manusia. Ia termasuk perkara akidah, syariah, muamalah, akhlak, siasah dan banyak lagi. Tentulah nak mengetengah dan menegakkannya dalam masyarakat buakan suatu kerja yang ringan lebih-lebih lagi masyarakat yang jahil. Banyak perkara yang perlu diambil kira.

Sudah tentu, inilah yang telah dilalui oleh Nabi SAW dan para sahabat Baginda RA. Liku dan ranjau yang perlu disusuri merupakan suatu pengorbanan yang tinggi dalam menyampaikan risalah Islam ini. Sebarang kealpaan, kecuaian, dan kemalasan akan merosakkan umat ini hingga ke akhirnya. Tiada lagi rasul sesudah Rasulullah SAW, agama ini sepenuhnya diwariskan kepada umat untuk membela, menjaga, dan menyebarkannya ke segenap alam.

Usah berfikir yang jauh-jauh, hendak membimbing diri dan keluarga sendiri sahaja sudah cukup berat. Inilah tabiat wahyu, beratnya di dunia hanyalah sementara. Keringanan di akhirat itu yang didambakan daripadaNya.

Semoga Allah SWT meringankan segala urusan kita semua.

(Gambar hiasan)

No comments: