Sunday, June 1, 2008

Malaysia Merdeka Pada Mahasiswa Yang Merdeka

“Di atas robohan Kota Melaka

Kita dirikan jiwa merdeka

Bersatu padulah segenap baka

Membela hak keadilan pusaka.”


Bait-bait pantun yang dinukilkan oleh Dr. Burhanuddin Al-Helmy tersebut membawa maksud tersirat yang amat mendalam sekiranya dihayati. Beliau menyeru anak muda, khususnya golongan mahasiswa supaya bersatu padu merungkai belenggu-belenggu anasir yang mencemar budaya dan jati diri anak bangsa. Sejarah telah merakamkan peranan penting golongan muda dalam mencetuskan revolusi dan reformasi, seperti pembukaan Konstantinopel oleh Muhammad Al-Fatih, tragedi berdarah Tianenmen Square, kisah Revolusi Iran mahupun peristiwa reformasi di negara kita sekitar tahun 1998 hingga 1999.


Teladan sejarah inilah yang ingin diambil oleh mahasiswa dalam mencorak sejarah baru dalam dunia kemahasiswaan, lantaran menyedari peranan besar mahasiswa setelah ‘terjun’ ke dunia yang lebih luas dan komplikated, iaitu dunia kemasyarakatan yang berkait rapat dengan pembangunan sesebuah negara. Kita seringkali mendengar ungkapan-ungkapan yang diucapkan oleh tokoh-tokoh berkenaan jatuh bangun sesebuah negara adalah disebabkan oleh para pemudanya, dan dalam konteks ini saya mengkhususkan kepada mahasiswa selaku golongan yang terlibat secara langsung dalam proses keintelektualan.


Seperti yang diketahui umum, peranan utama mahasiswa adalah menuntut dan mempelajari ilmu, seterusnya mengembangkan ilmu tersebut seluas mungkin. Namun demikian, sebagai golongan berintelek tinggi dan memiliki idealisme yang sentiasa berkembang, apakah peranan mahasiswa sekadar bernoktah di sini? Adakah ‘dunia mahasiswa’ hanya setakat berlegar di kolej kediaman, kuliah dan kantin? Ternyata keadaan ini seolah suatu ‘pembaziran’ sumber manusia daripada aspek intelektualisme, idealisme dan aktivisme yang sepatutnya boleh disumbangkan dalam meningkatkan taraf universiti, masyarakat mahupun negara.


Justeru, saya terpanggil untuk menyuarakan sokongan peribadi terhadap harapan pertubuhan-pertubuhan perwakilan pelajar universiti berkaitan pindaan Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 (AUKU) agar tidak disertai peraturan baru yang mengongkong, khususnya membabitkan hak pelajar berpolitik. Hal ini adalah kerana peranan yang dimainkan oleh mahasiswa itu sendiri sama ada dalam sesebuah masyarakat atau negara merupakan hal yang sangat signifikan. Perlu ditegaskan bahawa mahasiswa berupaya memberikan implikasi-implikasi besar melalui daya intelek mereka dengan mencetus idea-idea yang boleh dipertimbangkan, serta melalui aktivisme yang mereka lakukan di dalam kampus atau di luar ‘kepompong’ kampus.


Secara tidak langung, keadaan ini hakikatnya telah mewujudkan sosialisasi politik dalam kalangan mahasiswa itu sendiri, seterusnya memberi peluang kepada mahasiswa untuk mengenali selok-belok politik yang mungkin diceburi pada masa hadapan. Bukan semestinya menyertai pertubuhan-pertubuhan politik itu dinamakan terlibat dalam politik, tetapi memadai dengan mengambil tahu perkembangan politik tanah air dan negara luar serta bebas menyertai aktiviti-aktiviti sosial dan kemasyarakatan secara umum.


Juga, perlu diingatkan bahawa majoriti golongan yang sebenarnya mempunyai kesedaran dan semangat patriotisme tinggi terhadap negara adalah mahasiswa yang bergiat aktif dalam sosialisasi politik. Hal ini sangat jelas terbukti apabila baru-baru ini kita digemparkan dengan kisah seorang mahasiswa berusia 19 tahun dipilih menjadi Datuk Bandar Muskogee yang mempunyai penduduk seramai 38,000 orang. John Tayler Hammons yang masih mengikuti pengajian tahun pertamanya di universiti di Norman menerima 57 peratus undi menewaskan bekas Datuk Bandar, Hershel Ray McBride. Apa yang dapat dilihat di sini ialah golongan mahasiswa sangat berpotensi dalam ‘merangkul’ kepercayaan daripada rakyat melalui peranannya yang sangat signifikan dalam sosialisasi politik.


Justeru, keterlibatan mahasiswa dalam politik perlu diberi takrifan yang positif, serta dipandang dari sudut positif juga. Kebebasan mahasiswa dalam sosialisasi politik tidak perlu disekat sekiranya kita ingin mewujudkan sebuah Malaysia yang merdeka jati dirinya.

No comments: