Saturday, June 14, 2008

Penurunan Kadar Tol Mampu Meringankan Beban Rakyat


Kenaikan isu minyak merupakan topik hangat yang sering dibincangkan di mana-mana pada ketika ini, hatta di warung-warung kopi, malah di jalanan secara tidak langsung. Sudah menjadi kelaziman rakyat Malaysia apabila ditimpa beban tekanan yang dirasai secara umum, mereka akan terus-terusan memperkatakan isu tersebut sehinggalah tekanan yang dirasakan makin reda berikutan inisiatif yang dilakukan oleh pihak-pihak tertentu, atau masalah tersebut sudah ‘basi’ digantikan masalah-masalah lain yang juga bersifat ‘menghimpit.’

Pada 21 Mei 2007 tahun lalu, Perdana Menteri Malaysia, Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi telah mengumumkan kadar kenaikan gaji kaki tangan kerajaan antara 7.5 hingga 35 peratus yang akan dinikmati oleh lebih kurang sejuta orang. Seterusnya berlakulah kenaikan harga barangan dan perkhimatan yang dilakukan secara bersiri oleh para peniaga daripada pelbagai sektor, termasuklah agensi-agensi dan pihak swasta. Ternyata, kenaikan gaji yang sepatutnya dinikmati oleh kaki tangan kerajaan tidak dapat meredakan perasaan mereka, bahkan golongan ini bertambah risau dan tertekan lantaran cubaan pihak-pihak tertentu yang mengambil kesempatan di atas kenaikan gaji mereka. Lebih merasai penderitaan ini ialah mereka yang terdiri daripada kalangan petani, nelayan dan mereka yang tidak memiliki pendapatan bulanan secara tetap.

Rentetan daripada itu, kadar kenaikan tol pula diumumkan pada 28 November 2007 bagi enam buah tol dengan kadar kenaikan antara 7 hingga 50 peratus daripada kadar sebelumnya. Keadaan ini ternyata amat sukar untuk dilalui, terutamanya apabila pelbagai kenaikan terus-terusan meningkat secara bersiri sehingga pertengahan tahun 2008 ini.

Justeru, dalam usaha menangani masalah-masalah berkaitan kenaikan tersebut, kami mencadangkan agar kerajaan dapat menurunkan kadar kenaikan tol bagi mengurangkan tekanan yang sedang dirasai oleh rakyat. Laporan media massa sebelum ini ada menyebutkan berkenaan perjanjian di antara kerajaan dengan syarikat konsesi lebuh raya yang membenarkan Projek Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) Berhad menaikkan kadar tol sebanyak 10 peratus setiap tiga tahun bagi 25 tahun akan datang sehingga tahun 2029.


Kami mengharapkan kerajaan dapat menilai semula perjanjian ini dengan memikirkan alternatif lain yang sesuai dan lebih baik supaya kerajaan tidak perlu membayar pampasan terlalu tinggi, malah syarikat konsesi juga tidak mengalami kerugian yang teruk. Dengan ini, rakyat juga tidak akan terbeban dengan pembayaran tol yang tinggi setiap kali melalui lebuh raya. Keadaan ini pasti akan menggembirakan hati rakyat dan melegakan perasaan mereka yang masih diamuk resah berikutan kenaikan-kenaikan yang berlaku.


Justeru, kerajaan haruslah melakukan pertimbangan wajar dengan mengambil kira pelbagai aspek sebelum menandatangani sebarang perjanjian, supaya kerugian ini tidak semata-mata ditanggung oleh kerajaan dan rakyat, sedangkan pihak lain mengaut keuntungan besar daripada perjanjian tersebut.

No comments: