Thursday, October 23, 2008

Aplikasi Sirah Nabi Muhammad S.A.W. dalam Usrah dan Tamrin




Seiring dengan pembangunan yang sedang berlaku dewasa ini, kita sangat menyedari betapa Islam itu sedang dihunjam dan diserang dari pelbagai penjuru, sama ada dengan peluru yang mensasarkan kepada anggota fizikal, mental, kebudayaan mahupun terhadap sensitiviti umat Islam itu sendiri. Kita juga sedang menyaksikan berlakunya pertarungan di antara iman dan kufur, Islam dan jahiliyah yang terus-menerus berlangsung mengikut metod pada zaman masing-masing. Hal yang demikianlah merupakan antara sebab mengapa kita perlu berdepan dengan cara, taktik dan strategi yang sentiasa diubah oleh musuh Islam.

Antara senjata utama umat Islam dalam persediaan awal menghadapi serangan-serangan ini adalah melalui usrah dan tamrin. Apa itu usrah dan tamrin? Secara ringkasnya, usrah ialah kelompok manusia yang beriman dengan Islam dan berusaha tolong-menolong sesama sendiri untuk memahami dan menghayati Islam, sementara tamrin ialah kursus atau program yang dibuat bertujuan untuk melengkapkan kefahaman tentang tajuk-tajuk tertentu atau kemahiran-kemahiran tertentu seperti pengurusan organisasi, pengurusan dakwah, tarbiah dan sebagainya.

Sorotan terhadap sirah Rasulullah S.A.W. secara jelas telah membuktikan keberjayaan atau kecemerlangan umat Islam pada masa itu adalah melalui usrah dan tamrin. Kepentingan usrah ini tidak dinafikan lagi kerana pada awal perjuangan Rasulullah S.A.W., baginda sangat mengambil berat tentang usrah di samping baginda bergerak dalam keadaan sirriah (sembunyi). Peranan Rasulullah sebagai murabbi (pendidik) dapat dilihat apabila Rasulullah memilih rumah Arqam bin Abi Al-Arqam sebagai tempat untuk menjalankan usrah. Di sinilah proses pentarbiahan berlangsung. Arqam merupakan seorang budak kecil yang memang tidak dijangka oleh orang kafir bahawa Rasulullah melaksanakan usrah di rumahnya. Ini merupakan taktik Rasulullah S.A.W.

Proses tarbiah Islamiah adalah satu proses pendidikan dan pembentukan yang bukan semata-mata satu proses pembelajaran ilmu, tetapi merupakan satu medan untuk ahlinya bersama-sama menjalani satu proses pembentukan yang dibina di atas semangat al-ukhuwwah al-Islamiyah. Rasulullah S.A.W. sebagai murabbi telah bertindak mentarbiah ahli keluarga dan para sahabatnya selaku mutarabbi (orang yang dididik) menggunakan manhaj atau garis panduan berasaskan al-Quran. Pentarbiahan baginda pada peringkat awal dilakukan secara sirriah memandangkan biah (suasana) masyarakat Quraisy ketika itu yang menyembah berhala dan hidup dalam keadaan serba kegelapan. Justeru, keadaan sebegini tentulah tidak memungkinkan mereka untuk menerima suatu ajaran baru yang dianggap bertentangan dengan kepercayaan mereka selama ini. Maka, Rasulullah terpaksa menggunakan pendekatan dakwah secara rahsia selama tiga tahun kepada ahli keluarga dan kaum kerabat baginda terlebih dahulu dalam tempoh ini.

Jelas di sini bahawa usrah dan tamrin merupakan dua bentuk latihan tarbiah yang terpenting buat umat Islam, di samping majlis-majlis ilmu dan siri ceramah yang diadakan. Di dalam unit usrahlah ahli dididik, permasalahan dirungkai dan terbinalah ukhuwah yang terikat kuat. Ahli usrah yang telah ditarbiah oleh para naqib akan bersedia menghadapi perjuangan membina benteng pertahanan Islam laksana bunyanun marsus, iaitu sebuah bangunan yang tersusun kukuh seperti yang disebut di dalam al-Quran. “Sesungguhnya Allah SWT amat mengasihi orang-orang yang berperang pada jalan-Nya dalam barisan yang teratur rapi, seolah-olah mereka seperti sebuah bangunan yang tersusun kukuh.” (As-Saff: Ayat 4) Juga, melalui tamrinlah, latihan dan persediaan digarap sebelum terjun ke tengah gelanggang masyarakat bagi memimpin mereka menghadapi pelbagai serangan Barat dan umat Islam sendiri, khasnya golongan sekular.

Usrah sebagai unit tarbiah terpenting berperanan mendidik ahli dan menyediakan barisan kepimpinan akan datang. Melaluinya, ahli akan ditarbiah supaya memiliki rasa tanggungjawab di hadapan Allah SWT, mentarbiah ahli supaya sentiasa bermuraqabah (menghampirkan diri) kepada Allah SWT, dan mewujudkan hubungan langsung ahli kepada al-Quran dan sunnah Nabi S.A.W. Kesemuanya ini akan membentuk perwatakan ahli ke arah beriltizam dengan akhlak al-Quran dan menjauhi maksiat. Demikianlah, unit-unit usrah tadi akan berhimpun pula dalam program tamrin yang diadakan dari semasa ke semasa untuk membentuk dan menyelaraskan fikrah ahli ke arah menuju matlamat menegakkan Islam.

Hal ini adalah selaras dengan misi tarbiah PMIUM (Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Malaya) yang mahu memperkasakan kelangsungan tarbiah dengan lebih dinamik, iaitu menjadikan tarbiah sebagai tunjang kepada gerakan persatuan, di samping mampu membuat penyesuaian serta melakukan pembaharuan dan kemajuan di dalam dan di luar kampus. Selain itu, ia adalah selari dengan objektif tarbiah PMIUM, iaitu memasyarakatkan tarbiah PMIUM kepada warga kampus dan menerapkan pendidikan tarbiah, siasah,dan dakwah secara bersepadu.

Justeru, usrah dan tamrin ternyata merupakan mekanisme berkesan dalam mendidik masyarakat kampus untuk mengenali dan memahami Islam dengan cara terbaik. Ini adalah kerana menjadi tanggungjawab setiap individu Muslim untuk bersama-sama berusaha mempertingkatkan ilmu, kefahaman, amalan dan penghayatan Islam terhadap saudara seagamanya. Dengan demikian, Islam akan mampu tertegak dan dipertahankan di muka bumi ini kerana panglima-panglimanya yang sentiasa bersiaga dan bersedia menghadapi apa jua tentangan!

1 comment:

Unknown said...

Asalamualaikum.
Penulisan yg sngat berinformasi. Mohon guna artiklel ini sbagai rujukan untuk pljar asrama sekolah. Terimakasih.