Monday, February 2, 2009

Belajar Menangis, Menangisi, dan Tangisan.


Hm, hari ni tergerak hati nak tulis bab menangis. Ramai orang hari ni menangis. Macam-macam sebab, ada kerana putus cinta, ada kerana rindu, ada sebab gembira, ada kerana tak dapat jadi artis, ada kerana tak tahan kena gosip, dan macam-macam lagilah. Jarang orang menangis kerana bertaubat, kalau taubat pun bukan taubat yang menghala ke arah redha Allah SWT tapi ke arah jalanmaksiat yang lain. Sebenarnya menangis pun ada konsep dan falsafah, kena ada ilmu bukan pakai nangis ja.

Menangis yang dibenar oleh syariat kata ahli hikmah : “Dunia ini dimulai dengan tangis, dicelahi oleh tangis dan diakhiri dengan tangis”. Menangis adakalanya dituntut oleh syariat. Seorang abid yang menyintai Allah SWT akan selalu menangis mengenangkan dosanya. Mereka berusaha memaksa diri menangis apabila mengenang nasib diri pada hari akhirat dan membayangkan huru-hara apabila menjelang kiamat.

Dalam hal ini, menangis adalah dituntut. Setitis airmata yang jatuh kerana takutkan Allah SWT akan dapat memadamkan api neraka di hari akhirat kelak. Dalam sebuah hadis Rasulullah s.a.w yang bermaksud: “Bahawa air mata dari tangisan pembuat dosa yang bertaubat adalah lebih disukai Allah dari tasbih para wali”.

Rasulullah s.a.w juga ada bersabda yang bermaksud : “Kejahatan yang dibuat lalu menimbulkan rasa sedih adalah lebih baik dari kebaikan yang menimbulkan rasa takbur”.

Anas r.a berkata: Pada suatu hari Rasulullah s.a.w berkhutbah, lalu Baginda bersabda dalam khutbahnya itu: "Andaikan kamu mengetahui sebagaimana yang aku ketahui, nescaya kamu akan sedikit ketawa dan banyak menangis". Anas berkata: Seketika itu para sahabat menutup muka masing-masing sambil menangis teresak-esak.

Hari ini manusia terus menangis dan menangis, tetapi tangisan mereka amat jauh bezanya dengan tangisan para Rasul, Nabi dan Sahabat. Jika orang soleh zaman dahulu menangis kerana mengenang nasibnya di akhirat tetapi orang hari ini menangis kerana takut kehilangan dunia. Tangisan ini datangnya dari sifat tamak dan tidak redha. Kalau orang soleh takut berpisah dengan iman dan kecintaannya pada Allah, orang hari ini takut berpisah dengan dosa dan maksiat. Betul tak?

Jika para Nabi dan Rasul serta para sahabat takut menghadapi akhirat, orang hari ini seolah-olah berani dan tidak takut menghadapinya. Tetapi bila orang soleh berani menghadapi gelombang hidup duniawi, orang hari ini takut dan lemah hati dalam menghadapi kegagalan dan kekecewaan dalam hidup. Bahkan kadang-kadang ramai orang sekarang tengok saudara-saudara kita di Gaza kena bom, kena zalim, tengok mereka menangis, tapi tak terasa pun dalam hati. Sekadar sedekah RM1, RM2, masih belum cukup. Kesan utama yang kita nak ialah iktibar dan pengajaran isu ini pada kita. Sejauh mana Islam ini telah diperkecilkan, dihina. Kita sendiri pula tak mengamalkan Islam dalam kehidupan harian. Mampukah kita nak pikul dan bela maruah Islam di tempat kita sekarang?

Menangis dan teruslah menangis, tapi biarlah kena pada tempatnya yang dibolehkan oleh agama. Semuanya balik pada akhirat. Tentang syurga, pasal neraka. Apa akan jadi jika kita gagal di akhirat? Inilah sebenarnya kegagalan yang mutlak, jadi kalau perkara ini yang kita tangiskan, memang kenalah pada tempatnya.


Abu Hummah (Shadujja) Bin Adilan Al-Bahily r.a berkata: Bersabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud : “Tiada suatu yang lebih disukai oleh Allah dari dua titis dan dua bekas. Titisan airmata kerana takut kepada Allah dan titisan darah dalam mempertahankan agama Allah. Adapun dua bekas adalah bekas dalam perjuangan fisabilillah dan bekas perjuangan kewajiban kepada Allah”. (Riwayat Tirmizi).

No comments: