Sunday, November 1, 2009

Ayahanda Sidi Ahmad dalam kenangan

Dua hari lalu iaitu pada 31 Oktober 2009, saya menerima sms yang dihantar oleh Akhi Danial, Akhi Ridzuan (MPMUM), dan dari adik Syahid. Sms tersebut berbunyi begini: "Salam, AL-FATIHAH kpd ust sidi ahmad mantan timb pngrh nilam puri.yg bru mnggal dunia jam 12.52 td..". Sejurus membaca sms tersebut, saya termenung beberapa ketika, mengucap panjang. Tiba-tiba sahaja imbauan saya kembali ke zaman sewaktu sedang menuntut di APIUM Nilam Puri suatu ketika dahulu.

Semasa saya sebagai Presiden MPP Nilam Puri, Ust Sidi masih memegang jawatan sebagai Timb. Pengarah APIUM (masa itu digunakan istilah Pengelola) dan Pengetua Kolej Kediaman Nilam Puri. Beliau merupakan seorang yang sangat peramah dan sentiasa terbuka untuk bertemu dengan pelajar-pelajar. Saya cukup yakin, kawan-kawan yang pernah belajar di NP pasti ada pengalaman sendiri bersama dengan USt Sidi. Beliau merupakan orang yang berusaha untuk memastikan pelajar-peljar di NP menguasai dan membudayakan bahasa Arab. Kempen beliau bermula dari MHS(Minggu Haluan Siswa) lagi sehingga kepada program-program seperti Mukhayyam Lughawiy bagi setiap majmuah, bulan bahasa, dan macam-macam lagi.

Bagi saya dan kawan-kawan dalam MPP dan JTK, kami juga mempunyai pengalaman tersebdiri bersama beliau. Ketika di NP dahulu, sebarang Kertas Kerja Program/Aktiviti MPP dan JTK atau majmuah hendaklah mendapat tanda tangan (kelulusan) beliau terlebih dahulu. Boleh dikatakan setiap minggu pasti ada sahaja aktiviti yang dianjurkan. Bermakna saya dan Ridzuan (dahulu Pengerusi JTK) bertemu dengan beliau sekurang-kurangnya seminggu sekali. Tanda tangan beliau cukup 'mahal'. Kadang-kadang berjumpa dengan beliau hampir sejam setengah, belum tentu lagi dapat. Seksa betul. Beliau suka berhujah dengan kami. Sekiranya hujah kami tidak dapat mematahkan hujah beliau atau sekurang-kurangnya beliau bersetuju, jawapannya kali itu kami pulang dengan hampa... Tetapi pengalaman begini sangat bermakna buat kami sehingga hari ini.

Masa di NP dulu, ada beberapa pensyarah yang sering menjadi rujukan kami. Umpamanya Ust Shukri dalam bidang siasah, Ust Syed dalam bidang ilmu-ilmu dakwah, Ust Wan Ibrahim dalam bidang kerohanian, dan lain-lain lagi. Termasuk juga Ust Sidi, beliau sangat pakar dalam berhujah dan putar belit hujah kami. Walaupun ramai yang tidak suka dengan sikapnya yang begitu, namun rata-rata pelajar NP masih hormat padanya. Sesiapa yang mendengar ucapan beliau pasti tak kering gusi.

Suatu ketika, saya pulang ke rumah bertanyakan kepada ibu (memandangkan beliau generasi pertama Asasi Pengajian Islam) adakah beliau sempat dengan Ust Sidi. Ibu saya menyatakan ya, tapi dulu tubuh Ust Sidi agak berisi. Sekarang dah kurus, tapi muka masih tidak berubah. Ini bermaksud, Ust Sidi sudah sangat lama berkhidmat di UM sehingga saya generasi kedua dalam keluarga selepas ibu dan ayah masih lagi sempat menuntut dengan beliau.

Teringat juga saya ketika MPP dan JTK mengadakan rehlah di pantai Melawi, Bachok. Program tersebut adalah rasmi dan mendapat kebenaran dari beliau. Meskipun pada mulanya beliau menyatakan tidak dapat hadir kerana mempunyai jadual yang padat, namun akhirnya beliau sanggup meluangkan masa bersama kami. Seronok sungguh waktu itu.

Walaupun beliau banyak tidak sependapat dengan kami MPP dan JTK, namun beliau tidak menjadikan itu sebagai titik perbalahan dengan kami. Saya kira, antara pelajar-pelajar NP, beliau banyak menghabiskan masa bersama MPP dan JTK. Itulah yang menjadikan hubungan kami rapat.

Kalau nak diikutkan, banyak lagi kenangan-kenangan bersama beliau tika di NP dahulu. Kata-kata hikmat beliau juga sangat banyak. Namun semua itu telah berlalu, meskipun saya bercita-cita ingin mengunjung NP dan Kelantan pada masa akan datang. Kenangan tersebut tidak lagi dapat dikongsikan bersama beliau..

Terakhir, inilah lagu yang sentiasa didendangkan oleh beliau ketika kami di NP dahulu.

"Sir ilal amam, sir ilal amam,
bi nasyatin wa dawam,
nahnu thullabul ma'aliy,
nahnu thullabul muram,
bi himmatin tudzaldzilul jibal,
bi himmatin tudzaldzilul jibal".

Al-Fatihah buatmu Ayahanda Sidi...

No comments: