Semalam seluruh rakyat Malaysia telah menyaksikan pertembungan dua gergasi antara Barisan Nasional dan Pakatan Rakyat dalam tiga pilihanraya kecil di Batang Air (Sarawak), Bukit Selambau (Kedah), dan Bukit Gantang (Perak).
Bagi PR, Dato’ Seri Anwar Ibrahim serta pimpinan PKR, PAS, DAP yang lain awal-awal dulu telah menyatakan bahawa keputusan bagi ketiga-tiga pilihanraya tersebut merupakan suatu petanda aras sokongan rakyat sekaligus referendum rakyat terhadap isu rampasan kuasa politik di Perak. Namun begitu, kenyataan ini dinafikan oleh Tan Sri Muhyidin Yasin dalam kenyataannya selepas menang sebagai Timbalan Persiden UMNO dengan mengatakan keputusan 3 PRK ini bukanlah satu referendum rakyat.
Apa pun kenyataan-kenyataan yang dibuat oleh kedua-dua belah pihak tersebut sebenarnya boleh dinilai oleh masyarakat sendiri dan semalam (7 April 2009) telah menjadi saksi terhadap keputusan tersebut. Selepas daripada peralihan kepimpinan dalam UMNO dan negara baru-baru ini. Ramai orang telah meletakkan harapan yang tinggi terhadap kemenangan BN dalam 3 PRK ini.
Selain telah menjawat jawatan Perdana Menteri yang baru, Dato’ Seri Najib Tun Razak juga telah mengumumkan tentang pembebasan 13 tahanan ISA dan menarik balik sekatan yang dikenakan terhadap Harakah dan Suara Keadilan. Secara zahirnya mungkin rakyat melihat ini sebagai suatu pembaharuan dan ahli-ahli UMNO merasakan bahawa ia pasti akan merubah angka pengundian kelak. Namun hakikat yang berlaku adalah sebaliknya. Ramai juga yang menyatakan bahawa ia merupakan suatu tamparan hebat kepada UMNO dan tekanan hebat buat Dato’ Seri Najib. Sebenarnya, Dato’ Seri Najib tak perlu resah, dan di sini ada beberapa perkara yang dapat dikemukakan mengenainya.
Pertamanya ialah, kekalahan BN di Bukit Gantang dan Bukit Selambau adalah kesan dan akibat dari pemerintahan Pak Lah (sekarang Tun) sebelum ini. Sisa-sisa tersebut terpaksa Dato Najib telan secara pahit dan ini adalah normal dalam politik. Dato Najib masih lagi baru dalam memegang tampuk sebagai PM dan sebagai Presiden UMNO yang baru beliau seharusnya berusaha mengembleng tenaga dan fikiran untuk membawa kemajuan kepada parti itu pada masa depan.
Keduanya, sebagai Perdana Menteri Malaysia, Dato’ Najib tidak perlu risau dan resah terhadap keputusan 3 PRK itu. Beliau perlu membawa pendekatan anti-konfrontasi dengan Pakatan Rakyat. Dato’ Najib perlu bertindak profesional sebagai PM dan hendaklah melihat perubahan-perubahan yang berlaku dalam negara terutamanya melibatkan kebaikan rakyat sebagai positif. Dato’ Najib juga perlu melihat YB Ir Nizar dan YB PKR di Bukit Selambau sebagai rakyat beliau juga. Jangan dimusuhi. Begitu juga dengan pimpinan-pimpinan PR yang lain. Bahkan cadangan Presiden PAS berkaitan kerajaan tanpa pembangkang mungkin boleh dipertimbangkan oleh beliau. (Saya tidak menyatakan kerajaan campuran, tetapi kerajaan tanpa pembangkang).
Ketiganya ialah, walaupun banyak pihak menyatakan keputusan 3 PRK tersebut adalah referandum rakyat menolak kerajaan BN di Perak, hakikatnya Sultan atau Raja Perak masih lagi bersama-sama dengan Dato’ Najib. Kita boleh membuat kesimpulan sebegini selagi Raja Perak belum mengisytiharkan pembubaran Dun dan pilihanraya semula bagi seluruh negeri Perak.
Ketiganya ialah, keputusan 3 PRK ini masih belum menjejaskan kerajaan UMNO (BN) di peringkat pusat. Bahkan kerusi BN semakin bertambah setelah peristiwa 3 ADUN lompat parti di Perak baru-baru ini. mungkin kemenangan BN bukan melalui pilihan raya, tapi melalui lompat parti. Ini boleh diusahakan luar daripada pilihanraya.
Seterusnya ialah, media massa masih lai memihak kepada Dato’ Seri Najib dan BN walau apa pun keputusan undi pilihanraya baru-baru ini. Umpamanya kemenagan BN di Batang Ai, Sarawak sangat mendapat perhatian media. Bahkan jauh dari itu, media prima telah mengwar-warkan bahawa kemenangan BN di situ menunjukkan bahawa rakyat masih menyokong kepimpinan Dato’ Najib.
Yang kelima ialah, Dato Najib juga kena melihat bahawa keputusan 3 PRK tersebut bukan referandum kepada rakyat berdasarkan apa yang dinyatakan oleh Timbalan Presiden UMNO. Kalaupun benar ia referandum, kerajaan BN dan UMNO sebelum ini pun bukan pernah ikut referandum dan memorandum rakyat. Maka, abaikan sahaja.
1 comment:
salam..ana setuju dgn sebab yg seterusnya tu..media massa..hm..antara faktor mereka kuat,adlh media massa yg memainkan peranan hebat yg boleh mempengaruhi rakyat..terutama yg tdk tahu asal usul cerita sebenar..begitulah yg terjadi dgn kaum kerabat ana..media massa benar2 berpengaruh kuat utk merosakkan fikiran rakyat..
Post a Comment