Saturday, April 4, 2009

Mengapa Mahasiswa Turut Sama Membantah PPSMI?

Pendahuluan

Pelaksanaan pembelajaran dan pengajaran subjek Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris dalam sistem pendidikan negara kita memberikan impak yang besar terhadap masyarakat. Hasrat awalnya adalah bertujuan untuk memperkasakan penguasaan bahasa Inggeris di kalangan pelajar-pelajar khususnya dari kalangan kaum Melayu. Selain itu ia juga bertujuan untuk pelajar-pelajar membiasakan diri dengan istilah-istilah Sains dan Matematik yang kononnya ilmu ini berasal dari barat.

Namun, timbul persoalan di sini adakah ini satu-satunya jalan untuk memperkasakan penguasaan bahasa Inggeris anak bangsa? Benarkah ilmu Sains dan Matematik itu hanya dapat dikuasai dengan bahasa Inggeris semata-mata?

Hal ini menjadikan kami sebagai mahasiswa melihat secara kritis terhadap isu ini iaitu berlakunya kepincangan antara hasrat dan pelaksanaannya. Pepatah klasik Melayu menyatakan, “Kerana nyamuk seekor, habis kelambu dibakar”. Kalau hanya ini dilihat sebagai satu-satunya jalan penyelesaian, mahasiswa menganggap bahawa kepimpinan negara menghadapi masalah ketandusan idea dan kehilangan identiti.

Hasrat menjadikan Bahasa Melayu sebagai bahasa akademik

Tidak dinafikan dari suatu sudut, penguasaan bahasa Inggeris di kalangan anak-anak Melayu agak lemah berbanding kaum-kaum yang lain. Tetapi ini tidak membawa maksud mereka tidak akan mampu menguasai ilmu-ilmu lain dengan bahasa ibunda mereka. Bahkan banyak negara-negara lain seperti Korea, Jepun, dan Indonesia sendiri yang mencapai tahap ilmu serta kemajuan yang membanggakan walaupun sebilangan besar rakyatnya tidak fasih berbahasa Inggeris. Ironinya, mereka lebih berbangga begitu.

Usaha-usaha untuk membantu memperkasakan Bahasa Melayu sebagai bahasa yang setaraf dengan negara-negara maju yang lain hendaklah diberikan perhatian yang lebih oleh pihak berwajib. Banyak sahaja badan-badan dan jawatankuasa yang berkaitan umpamanya Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) yang perlu diperkasakan untuk meningkatkan mutu bahasa Melayu.

Mahasiswa masih lagi tertanya-tanya, kemanakah perginya ‘dasar pandang ke timur’ yang selalu dikumandangkan oleh kepimpinan negara suatu masa dahulu? Adakah ia hanya sekadar slogan retorik semata-mata tanpa ada sebarang idea ke arah mencapainya? Keadaan yang ada sekarang pada hakikatnya tidak membantu langsung ke arah menjadikan Bahasa Melayu sebagai bahasa akademik. Ia bahkan menjatuhkan martabat bahasa tersebut dengan kita sendiri yang tidak mengiktirafnya. Maka di sini mahasiswa selaku golongan yang terlibat dalam sistem pendidikan tidak boleh berdiam diri begitu sahaja.

Bahasa tanda budaya

Punca pelaksanaan PPSMI ini juga merupakan manifestasi dari keghairahan melampau untuk mengejar kemajuan Sains dan Teknologi dalam mencapai status Malaysia sebagai negara maju bukan lagi sebagai negara membangun. Keghairahan ini telah menutut sudut pandang pembangunan kerohanian dan pemerkasaan adat budaya sebagai elemen kemajuan tersebut.

Dr. Hassan Ahmad ada menyebutkan bahawa bahasa berkuasa sebagai alat pembentukan tamadun bangsa yang sangat integratif kerana melalui bahasa sesuatu bangsa itu dapat dikenali dengan cara bagaimana mereka menanggapi alamnya (world view) baik alam sosial mahupun alam kosmos. Hasilnya perkara ini menatijahkan tindakan-tindakan yang berasaskan nilai budaya yang ada pada masyarakat negara kita.

Dalam maksud yang lain, keparahan meruncing gejala sosial yang berlaku di kalangan masyarakat muda negara kita sekarang antara lain adalah hasil daripada terhakisnya nilai-nilai adab dan spiritual dek kerana terlalu menjadikan barat sebagai kiblat kemajuan serta ketamadunan.

Jika ditelusuri kembali sejarah silam, Bahasa Melayu telah digunakan sebagai ‘lingua franca’ atau bahasa perantaraan utama dalam perdagangan. Ini menunjukkan bahawa potensi dan kemampuan yang ada pada Bahasa Melayu itu sendiri untuk lebih maju ke hadapan. Justeru, pelaksanaan PPSMI dilihat membantutkan perkembangan bahasa sekaligus budaya di negara kita.

Dua disiplin ilmu yang berbeza

Dari sudut ilmiah pula, pengajian bahasa adalah merupakan satu bidang yang jauh berbeza dengan pengajian sains dan matematik. Pengajian bahasa secara umumnya adalah berkaitan dengan penggunaan gaya, uslub, nahu, dan sebagainya. Manakala pengajian dengan sains dan matematik pula banyak melibatkan aspek logik, formula, analisis, pegiraan, dan sebagainya.

Melihat dari keadaan itu, aspek pengukuhan bahasa adalah tidak bersesuaian dengan menggunakan bahasa Inggeris dalam pembelajaran dan pengajaran subjek sains dan matematik. Selain itu, ia juga membawa makna tidak semestinya pelajar yang hebat dalam bahasa Inggeris mahir dalam ilmu sains dan matematik, begitu juga sebaliknya. Kebimbangannya ialah terjadinya seperti kata pepatah, “Yang dikejar tak dapat, Yang dikendong berciciran”.

Lebih jauh dari itu, pelaksanaan PPSMI dilihat terlalu tergesa-gesa tanpa dibuat kajian dengan lebih terperinci dan mendalam terhadap situasi masyarakat yang ada di negara kita. Perancangan yang tidak teliti serta kabur pelaksanaannya akan menyebabkan pembaziran dan kerugian sumber negara baik kewangan mahupun sumber manusia. Seharusnya perubahan besar yang ingin dilakukan terutamanya berkaitan dengan pendidikan hendaklah dibuat dengan perancangan yang sangat rapi dan teliti.

7 Mac 09 dan Mahasiswa

Negara Malaysia sekali lagi mencatat sejarah bilamana rakyat Malaysia berhimpun hampir mencecah 10 000 orang pada 7 Mac 2009 yang lalu. Perhimpuan di Masjid Negara tersebut adalah bertujuan menghantar memorandum bantahan pelaksanaan PPSMI kepada Yang Di-Pertuan Agong di Istana Negara. Perhimpunan ini dianggotai oleh NGO’s, pertubuhan-pertubuhan mahasiswa, saterawan-sasterawan negara, parti politik, dan rakyat awam yang tidak bersetuju dengan PPSMI.

Penyertaan dan penglibatan mahasiswa secara intensif dalam isu ini dilihat penting memandangkan mereka merupakan golongan yang terlibat secara langsung dalam arena pendidikan. Mereka juga baru sahaja melalui sistem tersebut dan melihat beberapa kepincangan yang berlaku dan perlu diperbaiki. Sehubungan dengan itu, AUKU dilihat bukan sebagai penghalang utama dalam memastikan perjuangan mengembalikan martabat bahasa ini. Mahasiswa telah keluar beramai-ramai bagi menyatakan hasrat tersebut bersama-sama dengan rakyat.

Himpunan 7 Mac ini merupakan kemuncak rentetan daripada hasrat rakyat untuk melihat kembali bahasa Melayu didaulatkan sebagai bahasa rasmi terutamanya dalam PPSMI.

Harapan dan kesimpulan

Kemahuan dan kehendak rakyat untuk berubah ini seharusnya di ambil tindakan segera oleh pihak kerajaan dengan cara yang terbuka, profesional dan menyelesaikan masalah. Tokoh-tokoh ilmuan dan sasterawan negara seharusnya dipanggil untuk duduk bersama berbincang bagaimana mencari jalan penyelesaian. Bukan dengan cara menyekat rakyat dan melemparkan gas pemedih mata kepada mereka.

Isu bahasa merupakan isu bersama dan bersifat nasional. Jauh sekali bersifat politik sesuatu pihak. Ia seharusnya diselesaikan dengan segera demi kepnetingan pendidikan generasi muda yang bakal melapisi kepimpinan negara pada masa akan datang.

No comments: