Friday, March 6, 2009

PERAK: Rakyat dah berubah, Raja bila lagi?


Menurut Prof. Aziz Bari dalam ulasannya mengenai krisis ‘kudeta’ di Perak, Malaysia kini sedang mengalami pergolakan politik yang paling teruk dalam sejarahnya. Apa yang berlaku sekarang mencabar ‘Federal Constitution’ atau Perlembagaan Persekutuan negara kita. Selaku rakyat dan juga mahasiswa, kita tidak terlepas dari mengikuti perkembangan semasa yang sangat genting ini.

Isu Perak ini dilihat cuba untuk melaga-lagakan antara rakyat dan institusi Raja atau Sultan itu sendiri. Namun, dalang sebenar cuba untuk menyembunyikan diri dan berlagak sebagai ‘hero’ untuk membela Raja. Kononnya rakyat kini sudah berani menderhaka kepada raja. Merekalah yang paling taat. Semua sandiwara ini hakikatnya tidak mampu untuk memperdaya masyarakat yang saya anggap mereka ini semakin cerdik dan bijak dalam menilai sesuatu perkara yang berlaku.

Dari sudut yang lain, ia merupakan suatu universiti politik kepada rakyat terutamanya generasi muda masa kini dalam memahami senario masyarakat dan perjalanan negara. Kalau dulu, orang mudah terpengaruh dengan sentimen yan dimainkan oleh media prima, tapi sekarang tidak lagi. Mereka lebih kritis dalam menilai sebelum membuat sebarang keputusan. Bahkan kadang-kadang media dilihat jelas dipergunakan oleh pihak-pihak tertentu demi kepentingan mereka. Perkara sebegini semakin menghakis nilai-nilai kebolehpercayaan yang ada dalam maklumat yang disampaikan.

Dalam universiti politik ini, saya suka untuk membahagikannya kepada beberapa fasa atau kategori. Mungkin juga boleh dikatakan sebagai subjek dalam satu-satu semester.

Pertamanya ialah fasa atau subjek kesedaran untuk tidak mudah terpengaruh dengan hanya mendengar dan mendapat maklumat dari media-media prima kerajaan. Indikator yang dapat kita ambil ialah dengan berkembang biaknya media-media alternatif seperti laman-laman web, blog, yahoogroup, facebook, dan sebagainya. Ini merupakan respon akibat ketidakbenaran penyampaian maklumat dari media kerajaan. Dalam bahasa yang lain, semakin tidak benar penyampaian maklumat dari media utama, semakin banyak media-media alternatif akan muncul.

Rentetan dari itu, ia banyak mengubah persepsi masyarakat terutamanya dalam memahami landskap politik negara menjadikan orientasi kognitif setiap rakyat semakin tinggi. Rakyat semakin matang, mereka memahami negara bukan melalui kerangka atau kepompong yang dibina oleh parti-parti tertentu sahaja.

Keduanya ialah fasa menyedari tanggungjawab, peranan, dan hak-hak yang ada pada setiap rakyat. Walaupun cuma individu, tapi undi mereka berkuasa untuk mengubah sesebuah kerajaan. Ini dibuktikan secara praktikal bilamana rakyat terutamanya pengundi muda di saluran 3 dan 4 telah memberikan undi yang luar biasa kepada Pakatan Rakyat. Bagi saya melalui universiti politik ini, rakyat telah melepasi tahap ini dengan keputusan yang membanggakan.

Seterusnya ialah fasa yang ketiga, iaitu fasa memahami bagaimana Malaysia ini ditadbir. Pada asasnya, politik Malaysia sangat ‘complicated’ untuk difahami kerana ia terbahagi kepada beberapa institusi iaitu kehakiman, eksekutif, dan legistatif. Selain itu, ia juga mencakupi sistem Raja Berperlembagaan dan konsep Demokrasi Berparlimen. Menyentuh juga berkaitan dengan Perlembagaan Persekutuan. Hubungkaitnya dengan ekonomi dan sosial. Itu belum lagi berkaitan dengan sejarah Malaysia yang juga pening untuk difahami dalam tempoh yang singkat. Namun apa yang ajaib ialah, isu-isu yang berlaku terutamanya di Perak ia sangat mudah difahami dan secara santai telah menerang dan menghubungkaitkan seluruh aspek-aspek yang berat tadi. Sangat simple. Dan hanya orang yang bodoh atau tidak mengikuti arus universiti politik ini sahaja yang tidak akan memahaminya dan ketinggalan.

Jauh dari itu, ia juga mengajari kita tentang tindakan-tindakan dan aksi di luar dari undang-undang khususnya Perlembagaan Persekutuan. Juga sebagai perkara yang simple dan mudah.

Apa yang lebih menarik mengenai universiti politik ini ialah ia sentiasa diselang-selikan dengan pilihanraya kecil. Bermula dari Permatang Pauh, Kuala Terengganu, sehinggalah 3 pilihanraya yang diadakan serentak 7 April ini. Saya menyifatkan ia sebagai kayu ukur terhadap pencapaian rakyat dan generasi muda dalam universiti politik ini. Selain itu, ia bertindak sebagai ‘referandum’ rakyat atau kajian lapangan mudah untuk membaca realiti kesedaran masyarakat Malaysia dalam setiap isu yang berlaku. Kajian ini ‘solid’ kerana mencakupi semenanjung dan juga kepulauan Borneo.

Fasa-fasa seterusnya pasti akan menjelang dan saya meyakini bahawa universiti politik ini akan menghasilkan kepimpinan-kepimpinan muda yang bakal melapisi kepimpinan yang ada sekarang. Saya juga yakin rakyat seluruhnya akan mendapat nilai graduan dengan berjaya membina kerajaan baru yang lebih dinamik dan membela kebajikan mereka.

Namun begitu, ada beberapa perkara yang agak mengecewakan saya dalam universiti politik ini. Walaupun ia ditawarkan secara percuma dan terbuka, kita masih melihat hanya rakyat sahaja yang banyak memberi partisipasi dan komitmen yang penuh. Institusi raja dan sultan masih belum dilihat dapat mengambil pengajaran dan iktibar dari apa yang berlaku. Bahkan kata Prof. Aziz Bari, institusi Raja seolah-olah menawarkan diri untuk menjadi mangsa dan dipergunakan oleh pihak-pihak tertentu.

Suatu kebimbangan saya ialah, rakyat telah bertungkus lumus memahami senario yang ada tetapi bila ingin berpadu dengan institusi raja, mereka menjadi hampa. Satu saja ungkapan saya, “Rakyat semakin cerdik dan bijak. Jangan sampai rakyat lebih pandai dari Raja.” Saya melihat kesepaduan antara Raja dan Rakyat akan memelihara dua kedaulatan; iaitu kedaulatan Raja dan kedaulatan Rakyat.


3 comments:

Fakhrul Ezam said...

salam akhie. ana bersetuju dgn pandangan akhie dlm isu ini. kini kita sudah berada pd tahap anak2 generasi yg pandai dan bijaksana.

ketaatan itu ada had nya. agama itulah panduan kita.

raja adil raja disembah, raja zalim raja disanggah.

dalam isu di perak, ana berdoa agar keadilan akan terpancar. Moga DUN Perak dibubarkan segera

Muttaqin_165 said...

salam, kau cakap biar hati2, x psl2 kena tahan?reject u, ingat, prjuangan msh pjg, jgn drosakkan dgn tindakn x prlu. wassalam

lailafillah said...

ana sokong 100%