Suatu hari Syeikh Fath al-Mowsily ternampak seorang budak berjalan seorang diri di dalam belukar sambil mulutnya terkumat-kamit. Tingkah laku budak itu menarik perhatian Syeikh Fath al-Mowsily, lantas beliau mengekorinya dan apabila sampai, dia memberikan salam.
“Ke mana engkau hendak pergi?” Tanya Syeikh Fath al-Mowsily.
“Ke rumah Allah… Mekah,” jawab budak lelaki itu.
Syeikh Fath al-Mowsily bertanyakan pula tentang apa yang dikumat-kamitkannya dan budak tersebut memberitahu, “Ayat-ayat al-Quran.” Syeikh Fath al-Mowsily makin tertarik dengannya, lalu dia berkata, “Engkau masih budak, itu belum menjadi tanggungjawab engkau lagi.”
Budak lelaki itu mengiyakannya? Tidak. Dia menjawab, “Aku pernah melihat budak yang lebih muda daripada aku meninggal dunia, jadi aku perlu bersiap sedia sebelum kematian datang mengetuk pintu nyawaku.”
Kagum Syeikh Fath al-Mowsily mendengar jawapan budak tersebut. Lantas dia memberitahu, “Langkah kakimu kecil sedangkan perjalananmu itu sangat jauh.”
Budak itu mengiyakan? Juga tidak. Sebaliknya budak itu tersenyum dan berkata, “ Tugasku adalah melangkah dan menjadi tanggungjawab Allah untuk membawaku ke destinasi.”
Syeikh Fath al-Mowsily bertanyakan pula tentang kenderaan, budak tersebut memberitahu, kenderaannya ialah kaki dan iman. Apabila disoal tentang makanan, iaitu roti dan air, budak tersebut bertanya balik, adakah seorang tetamu perlu membawa makanan sendiri apabila pergi bertandang ke rumah orang yang menjemputnya? Pantas Syeikh Fath al-Mowsily menjawab, “Tidak!”
Budak lelaki itu memandang Syeikh Fath al-Mowsily. “Tuhan telah menjemput seorang hamba datang ke rumahNya, hanya iman yang lemah saja menyebabkan kita membawa bekalan makanan. Di sebalik semua ini, adakah tuan fikir, Allah akan membiarkan aku mati kehausan?” dia pula mengambil giliran bertanya.
“Tidak. Takkan sekali-kali,” jawab Syeikh Fath al-Mowsily.
Budak tersebut terus meninggagalkan Syeikh Fath al-Mowsily selepas mendengar jawapan tersebut. Tidak lama kemudian Syeikh Fath al-Mowsily tersua dengan budak itu di Mekah!
No comments:
Post a Comment