Monday, June 24, 2013

Israiliyyat dan Pendirian Ulama Islam


Alhamdulillah. Sangat lama rasanya tidak menjegah ke alam blog. Tak sangka blog ini masih wujud dan berfungsi dengan baik. Insya Allah, saya memohon kekuatan daripada Allah SWT untuk terus berpencak di blog ini sebagai suatu medan perkongsian ilmu, pemikiran, idea dan sebagainya dengan komuniti maya.

Baru-baru ini saya telah ditanya berhubung dengan Israiliyat kerana katanya ada golongan yang berpendapat Israiliyat ini perlu diyakini kerana ia adalah kisah-kisah dari Bani Israil. Saya bukanlah pakar dalam bidang ini, namun apa yang saya tahu berkaitan dengannya akan saya kongsikan secara ringkas di sini. Untuk makluman lanjut, JAKIM telah menerbitkan buku ISRAILIYYAT DAN HADITH PALSU DALAM KITAB TAFSIR sebagai terjemahan karya DR. MUHAMMAD BIN MUHAMMAD ABU SYAHBAH. Terima kasih kepada Ustaz Hasnan bin Kasan atas usaha beliau menterjemahkannya.

Secara asasnya, Israiliyat adalah kisah-kisah atau riwayat yang bersumberkan daripada Yahudi dan Nasrani. Ia tidak datang daripada Nabi s.a.w, sebab kalau datang dari Nabi s.a.w berkenaan kisah-kisah umat dahulu, maka ia menjadi hadith. Riwayat-riwayat Israiliyat ini sukar nak ditentukan kesabitan/keabsahannya sebab metodologi kritikan sanad dan penilai ke atas perawi tidak di buat oleh tokoh-tokoh ilmuan sebelum kedatangan Islam sebagai suatu metode pemeliharaan keabsahan riwayat (atau lebih tepat lagi sebelum kemunculan ilmu hadith).

Cumanya ia berlegar dalam lapangan ilmu Islam kerana ilmuan Islam menyenaraikannya sebagai bahan tambahan atau kupasan lanjutan terhadap sesuatu kisah umat-umat terdahulu. Mungkin kerana kekurangan teknologi pengkajian sejarah secara saintifik, keterbatasan sumber sebagai medium komunikasi dengan masa silam atau lain-lain, maka riwayat-riwayat ini dijadikan sebagai sumber yang khusus kebanyakannya terdapat dalam penafsiran al-Quran.

Oleh kerana al-Quran adalah merupakan sumber utama dalam pensyariatan agama Islam, maka penafsiran-penafsirannya juga dianggap penting dalam memahami maksud dan kehendak syariat. Sehubungan dengan itu, tanpa kaedah dan metodologi yang betul dalam menafsirkan al-Quran, maka umat Islam cenderung menganggap bahawa Israiliyat juga adalah sebahagian daripada hadith-hadith dan menganggap ia sebagai sebahagian dari urusan agama. Ini lebih buruk lagi apabila kebanyakan masyakat awam Islam buta dalam menilai status-status riwayat hadith seperti sahih, hasan, dan daif.

Menyedari hal-hal yang demikian, ulama hadith telah meletakkan beberapa kaedah dalam menerima dan menolak riwayat-riwayat Israiliyat ini. Antaranya ialah:

1) Menerima riwayat-riwayat Israiliyat yang tidak bertentangan dengan nas-nas lain khususnya ayat-ayat al-Quran dan hadith-hadith Rasulullah s.a.w yang sahih.

2) Menolak riwayat-riwayat yang bertentangan dengan nas-nas agama (lawan pada yang no. 1 di atas), bertentangan dengan logik akal manusia, bertentangan dengan fitrah atau sains, mengandungi unsur-unsur melampau, terdapat unsur-unsur yang terlalu longgar dan lain-lain.

3) Menangguhkan penolakan dan penerimaan  (k.i.v) riwayat-riwayat Israiliyat yang tiada kaitan dengan yang di atas. Seperti nama anak-anak Nabi Adam a.s iaitu Qabil dan Habil, nama individu-individu yang terlibat dengan peristiwa Ashab al-Kahf, nama isteri raja yang menggoda Nabi Yusuf a.s sebagai Zulaykha dan lain-lain. Riwayat-riwayat ini hanya dicatatkan dalam karya-karya mereka sebagai rekod khazalah silam sahaja dan bukannya sebagai sumber ilmu dalam Islam.

Wallahu a'alam.


No comments: