Khutbah Jumaat
Masjid Jamek
al-Najah
Padang Serai
6 Januari 2012
السلام عليكم ورحمة الله تعالى وبركاته
الحمدُ للهِ الَّذي أكملَ لنا الدِّين، وأتمَّ علينا النِّعمةَ، وجعل
أُمَّتنا -ولله الحمد- خيرَ أمَّة، وبعث فينا رسولاً منَّا يتلو علينا آياتِه، ويزكِّينا
ويعلِّمنا الكتابَ والحكمة.
أحمَدُه على نِعَمِهِ الجمَّة، وأشهدُ أنْ لا إله إلاَّ الله وحدَه لا
شريكَ له، شهادةً تكونُ لمنِ اعتصمَ بها خيرَ عِصْمَة، وأشهدُ أنَّ محمَّداً عبدُه
ورسولُهُ، أرسله للعالمين رحمة، وفوّض إليه بيانَ ما أُنزِلَ إلينا، فأوضحَ لنا كلَّ
الأمورِ المهمَّة، صلَّى الله عليه وسلم وعلى آله وأصحابه صلاةً تكونُ لنا نوراً مِنْ
كلِّ ظُلْمةٍ، وسلَّم تَسليماً كثيراً.
أمَّا بعدُ:
فيا أيها المسلمون، أوصيكم وإيّاي بتقوى الله.
وقد قال الله تعالى في القرآن العظيم بعد أعوذ بالله من الشيطان الرجيم، باسم الله
الرحمن الرحيم:
Maksudnya:
“Wahai orang-orang yang
beriman, bertaqwalah kamu sekalian kepada Allah dan hendaklah setiap individu
memperhatikan apa yang telah diperbuatnya untuk hari esok (akhirat); dan
bertakwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yang kamu
kerjakan.”
- Surah al-Hashr, ayat 18 -
Hadirin muslimin sekalian,
Mimbar hari ini buat sekian
kalinya menyeru kepada seluruh umat Islam yang hadir pada hari ini supaya kita
memperbaharui ketaqwaan kita kepada Allah SWT sekali gus meningkatkan keimanan
kita kepada-Nya. Tiada jalan lain untuk mencapai keduanya melainkan dengan cara
kita melaksanakan segala perintah Allah SWT dan dalam masa yang sama
meninggalkan segala larangan-Nya. Mengajak manusia di sekeliling kita supaya
melakukan perkara makruf serta mencegah mereka dari melakukan perkara mungkar. Tidak
rugi menjadi orang yang bertaqwa. Ini kerana Allah SWT telah menjanjikan kepada
orang yang bertaqwa itu dengan nikmat keampunan dari dosa-dosa silam yang telah
dilakukannya. Lebih dari itu Allah SWT akan menggandakan lagi ganjaran-Nya
kepada golongan muttaqin ini. Firman Allah SWT:
Maksudnya:
“Dan barangsiapa yang
bertaqwa kepada Allah, nescaya Dia akan menghapuskan kesalahan-kesalahannya dan
akan melipat gandakan pahala baginya.”
- Surah al-Talaq, ayat 5 -
Jika kita bertaqwa kepada
Allah SWT, kita akan hampir kepada Allah dan dikasihi olehnya. Allah SWT tidak
akan membiarkan kekasihnya hidup di atas muka bumi ini dengan penuh kesulitan
dan kepayahan. Orang-orang yang bertaqwa akan dipermudahkan urusan mereka di
atas muka bumi ini. Ini sebagaimana yang Allah SWT telah nyatakan menerusi
firman-Nya:
Maksudnya:
“Dan sesiapa yang
bertaqwa kepada Allah, nescaya Allah menjadikan baginya kemudahan dalam
urusannya.”
- Surah al-Talaq, ayat 4 -
Natijah keberuntungan
menjadi orang-orang yang bertaqwa kepada Allah SWT tidak hanya terhenti di
dunia semata-mata, bahkan Allah SWT telah menjanjikan ganjaran yang tiada tolok
bandingnya kepada mereka di akhirat kelak. Firman Allah SWT:
Maksudnya:
“Sesungguhnya
orang-orang yang bertaqwa itu berada dalam taman-taman (syurga) dan
(berhampiran) mata air-mata air (yang mengalir).”
- Surah al-Hijr, ayat 45 -
Firman Allah SWT lagi:
Maksudnya:
“Sesungguhnya
orang-orang yang bertaqwa itu berada dalam naungan (yang teduh) dan (di
sekitar) mata-mata air.”
- Surah al-Mursalat, ayat 41 -
Jika kita masih tidak mampu
membayangkannya, dengarkanlah firman Allah SWT yang berikut:
Maksudnya:
“Perumpamaan jannah yang
dijanjikan kepada orang-orang yang bertaqwa ialah di dalamnya terdapat sungai-sungai dari air
yang tiada berubah rasa dan baunya, sungai-sungai dari air susu yang tidak
berubah rasanya, sungai-sungai dari khamar yang lazat rasanya bagi para
peminumnya dan sungai-sungai dari madu yang disaring; dan mereka memperoleh di
dalamnya segala macam buah-buahan dan keampunan dari Rabb mereka, sepertimana
dengan orang yang kekal dalam Jahannam dan diberi minuman dengan air yang
mendidih sehingga menyincang (hancur) ususnya?”
- Surah Muhammad, ayat 15 -
Apakah setelah mendengar
ayat-ayat Allah SWT kita masih lagi teragak-agak untuk bertaqwa kepada-Nya?
Ingatlah bahawa orang-orang yang tidak ragu terhadap al-Quran, maka mereka
itulah orang yang bertaqwa. Firman Allah SWT:
Maksudnya:
“Dan sesungguhnya
al-Quran itu benar-benar menjadi suatu pelajaran bagi orang-orang yang bertaqwa.”
- Surah al-Haaqqah, ayat 48 -
Hadirin Jumaat yang
dikasihi,
Hari ini ialah Jumaat yang
pertama bagi tahun ini, tahun 2012. Sehingga hari ini, suasana masyarakat dunia
masih lagi dalam mod kegembiraan menyambut tahun baru. Walaupun kita umat Islam
mempunyai kiraan tahun Hijrah dan tersendiri, namun realiti yang kita lihat
baru-baru ini ialah sebahagian besar yang menyambut tahun baru Masihi ini ialah
orang-orang Islam. Ketika mereka menyambut 1 Januari 2012, majoriti mereka
tidak tahu pun apakah tarikh Hijri pada hari tersebut.
Ya, memang benar menyambut
tahun Masihi tidak salah dan harus di sisi syarak. Namun apa yang ingin mimbar
fokuskan di sini ialah nilai yang ada dalam diri individu muslim tersebut.
Mereka menyambutnya bukan kerana sejarah, tidak juga kerana tamadun atau nilai
sosial masyarakat, bahkan kebanyakannya menyambut semata-mata kerana hiburan
dan ingin memenuhi kehendak nafsu semata-mata. Umat Islam kebanyakannya
terpengaruh dengan budaya-budaya negatif dari barat. Lantaran itu, pembaziran
yang melampau dapat dilihat melalui konsert-konsert dan pameran bunga api. Pada
malam yang sama juga runtuhlah tembok akhlak muda mudi, pergaulan berlaku
dengan sangat bebas. Botol-botol arak bertaburan di merata-rata, pasangan
kekasih bergelimpangan dan berlakunya perzinaan. Tidak sedikit pasangan kekasih
muda-mudi ini yang menyambut tahun baru dengan ciuman dan saling berpelukan.
Muslimin yang dikasihi
sekalian,
Persoalan yang ingin di
timbulkan di sini ialah, mengapakah berleluasanya perlakuan sedemikian? Di
manakah nilai Islam dan iman itu dalam diri umat Islam masa kini? Di manakah
silapnya? Apabila kita telusuri semula dan mengamatinya dengan pancaindera
kita, kita akan mendapati puncanya ialah kelemahan dalam tarbiyah dan
pendidikan Islam dalam diri mereka sejak dari kecil. Kita lihat bagaimana
sekarang ini di media-media hangat dengan isu ibu bapa berlaku zalim terhadap
anak-anak mereka. Anak-anak dikenakan hukuman yang sangat berat hasil daripada
kesilapan mereka yang terlalu kecil. Mereka dimaki hamun, dipukul, dan
dikurung. Apakah ini didikan yang sebenar untuk mendisiplinkan anak? Nyata di
sini bahawa kebanyakan masyarakat kita masih lagi belum bersedia dari aspek
ilmu dan psikologi keibubapaan. Tua dari aspek fizikal untuk bernikah kahwin,
tetapi tidak matang dalam ilmu dan iman. Hasilnya anak tersebut bukan mendapat
didikan, namun sebaliknya menjadi ternakan ibu bapanya semata-mata.
Minggu ini juga adalah
minggu awal persekolahan baik sekolah menengah mahu pun sekolah rendah. Ramai
ibu bapa menyerahkan sepenuhnya tugas mendidik anak-anak mereka di tangan
guru-guru di sekolah. Andai kata anak mereka tidak menjadi, terlibat dengan
gejala negatif, maka guru-guru akan dipersalahkan lebih-lebih lagi guru agama.
Ada yang mengatakan guru ini tidak pandai mengajar, tidak peduli pada anak
murid, sambil lewa, dan sebagainya. Itulah realitinya. Namun pernahkah mereka
terfikir situasi dan keadaan yang dialami oleh guru-guru tersebut. Seorang
guru, ustaz, atau ustazah di sekolah berhadapan dengan berpuluh-puluh lagi
murid yang lain yang juga menuntut perhatian terhadap mereka di samping bebanan
tugas sedia ada. Dengan kudrat yang terhad, apakah mereka boleh diharapkan
sebagai pemain utama dalam mendidik anak-anak kita? Bahkan kita di rumah tidak
membantu langsung kepada pembinaan ilmu dan akhlak anak-anak. Tidak kurang juga
ada yang memperkecil dan memperlekehkan ilmu-ilmu yang disampaikan oleh guru
kepada anaknya.
Muslimin yang dirahmati
Allah,
Anak adalah merupakan
anugerah yang tidak ternilai yang dikurniakan Allah SWT kepada kita. Cuba
bayangkan, ada dalam kalangan kita yang telah lama berkahwin, namun belum
dikurniakan zuriat oleh Allah SWT. Mereka bukan tidak mahu anak, tetapi
perancangan Allah SWT mengatasi segala-galanya. Allah SWT mengurniakan zuriat
kepada kita adalah berdasarkan kemampuan seseorang. Ada yang layak untuknya
mempunyai anak yang sedikit dan ada pula yang dikehendaki oleh Allah SWT
anaknya ramai. Ini bukanlah soal kemampuan dari sudut harta iaitu orang kaya
maka anaknya ramai dan sebaliknya orang miskin maka anaknya sedikit. Namun ia
adalah soal kemampuan seseorang untuk menghadapinya iaitu anak tersebut sebagai
rezeki dan dalam masa yang sama sebagai ujian dari Allah SWT.
Bukanlah soal anak itu
menjadi atau tidak apabila dewasa, tetapi persoalan utamanya ialah adakah ibu
bapanya sedaya upaya mendidik anak-anaknya sebagaimana yang dikehendaki Islam.
Anak Nabi Nuh a.s sendiri telah kufur dan derhaka kepada Allah SWT dan bapanya,
namun Allah SWT tidak menyalahkan Nabi Nuh a.s. Ini kerana, Baginda telah
melaksanakan segala yang diperintahkan Allah kepadanya dengan sepenuh hati
termasuklah mendidik anaknya. Firman Allah SWT:
Maksudnya:
“Allah berfirman: Wahai
Nuh, sesungguhnya dia bukanlah termasuk keluargamu (yang dijanjikan akan
diselamatkan), sesungguhnya (perbuatan)nya adalah perbuatan yang tidak baik.
Maka janganlah kamu memohon kepada-Ku sesuatu yang kamu tidak mengetahui
(hakikat)nya. Sesungguhnya Aku memperingatkanmu supaya kamu tidak termasuk orang-orang
yang jahil.”
- Surah Hud, ayat 46 -
Hadirin Jumaat yang
dirahmati Allah,
Dalam mendidik anak-anak,
kita tidak ada contoh yang lain untuk diikuti melainkan kita meneladani apa
yang telah dilakukan dan diperintahkan oleh Rasulullah s.a.w. Dalam hayatnya,
Baginda adalah seorang yang sangat menyantuni kanak-kanak. Ini sebagaimana yang
telah dinyatakan oleh al-Imam al-Bukhari r.h menerusi Sahihnya:
عَنْ أَنَسِ بْنِ مَالِكٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ أَنَّهُ مَرَّ عَلَى صِبْيَانٍ فَسَلَّمَ عَلَيْهِمْ
وَقَالَ كَانَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَفْعَلُهُ
Maksudnya:
“Dari Anas bin Malik r.a
bahawa ketika beliau berjalan melalui sekumpulan kanak-kanak, maka beliau akan
mengucap salam kepada mereka dan berkata: Dahulu, Nabi s.a.w telah berbuat
sedemikian.”
Hadirin Jumaat yang
dikasihi,
Jika rasul boleh memberi
salam kepada anak-anak, mengapa kita umatnya tidak berbuat demikian? Adakah
lantaran ego dan sombong pada status yang ada pada diri? Adakah dengan
kesombongan tersebut maka kanak-kanak akan menghormati kita? Percayalah,
anak-anak tidak akan memandang mulia sedikit pun kepada ayahnya yang berjawatan
tinggi tetapi tidak mengasihi mereka. Dan dalam masa yang sama juga anak-anak
ini tidak akan memandang hina kepada ayahnya yang hanya menjadi kuli, orang
suruhan, atau pengemis namun dalam jiwanya sarat dengan kasih sayang. Tiada
gunanya kita mulia dan dihormati orang ramai tetapi tidak daripada anak
sendiri.
Asas didikan itu bermula
dengan perasaan kasih dan sayang. Apabila wujud kasih dan sayang, ia akan
membuahkan usaha dan kesungguhan yang luar biasa dari kita sebagai ibu bapa dan
pendidik. Ia bukan lagi soal budi dibalas atau tidak apabila tua kelak, jasa
dikenang atau dilupakan apabila sakit kemudian hari, namun kebahagian melihat
berkembangnya generasi Islam baru yang tulen. Mereka ini akan berpotensi besar
mengembalikan semula kegemilangan Islam yang telah lama terkubur. Mendaulatkan
kembali kalimah Allah SWT dan meletakkannya setinggi mungkin di mata masyarakat
dunia. Kita akan pasti bahagia lantaran tangan-tangan kita, keringat kita, masa
dan wang ringgit kita pernah dihabis dan dilaburkan ke arah terbentuknya
generasi tersebut.
Dalam mendidik anak-anak,
di samping kasih sayang dan manja yang diberikan. Perlu juga ada ketegasan.
Namun ia bukanlah secara membabi buta sehingga berubah menjadi penderaan dan
kezaliman. Al-Imam Abu Dawud r.h telah meriwayatkan:
عَنْ عَمْرِو بْنِ شُعَيْبٍ عَنْ أَبِيهِ عَنْ جَدِّهِ قَالَ :قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ
وَسَلَّمَ مُرُوا أَوْلَادَكُمْ بِالصَّلَاةِ وَهُمْ أَبْنَاءُ سَبْعِ سِنِينَ وَاضْرِبُوهُمْ
عَلَيْهَا وَهُمْ أَبْنَاءُ عَشْرٍ وَفَرِّقُوا بَيْنَهُمْ فِي الْمَضَاجِعِ
Maksudnya:
“Dari ‘Amr bin Shu’ayb,
dari bapanya, dari datuknya, katanya, Rasulullah s.a.w bersabda: Perintahkanlah
anak-anak kamu dengan solat ketika mereka berusia tujuh tahun. Dan pukullah
mereka atas perintah tersebut ketika mereka berusia sepuluh tahun. Pisahkanlah
tempat tidur antara mereka (iaitu lelaki dan perempuan).”
(Hadis ini dinilai Hasan Sahih oleh al-Albani)
Nabi s.a.w telah mengajar
kita bahawa dalam mendidik anak-anak, terdapat peringkat-peringkat yang perlu
dilalui. Merempuhnya secara membabi buta akan menyebabkan berlakunya kerosakan
dan kecacatan dalam mendidik anak-anak. Menyuruh anak bersolat dalam hadis
tersebut adalah perintah dari Rasulullah kepada seluruh ibu bapa Muslim. Ia
bukannya sekali dua, namun sentiasa berterusan semenjak anak itu berusia tujuh
tahun atau dalam konteks pendidikan negara kita sekarang ialah darjah satu.
Dalam hal ini, ibu bapa perlu mempunyai minda kreatif dalam menyuruh dan
menggalakkan anak supaya solat. Sekadar menyuruh semata-mata ketika masuk waktu
solat bukanlah sebagaimana yang dikendaki oleh hadis. Usaha yang giat ini
dilaksanakan selama tiga tahun tanpa sebarang hukuman berat yang dikenakan
kepada anak tersebut hinggalah dia berusia sepuluh tahun. Ini kerana pada usia
ini anak-anak tersebut sudah baligh atau hampir baligh. Maka kesan dosa
meninggalkan solat adalah besar dan ditanggung oleh diri anak itu sendiri.
Secara logiknya, adakah
setelah mendapat didikan seperti itu anak-anak tersebut akan meninggalkan
solat? Ya, mungkin sekali atau dua kali. Namun mereka meninggalkannya bukan
kerana kehendak atau keinginan diri melainkan hanya kerana masalah dalam menguruskan
disiplin harian diri. Pun begitu, sebatan yang diberikan bukanlah tujuan
mendera dan berlaku zalim. Ia dilakukan bertujuan memberikan sedikit peringatan
supaya perkara yang sama tidak berulang.
Pada usia yang sama juga
iaitu sepuluh tahun, Nabi s.a.w memerintahkan anak-anak ini tadi diasingkan
tempat tidur mereka antara lelaki dan perempuan. Ini bagi menutup ruang-ruang
yang memungkinkan berlakunya sumbang mahram dalam rumah tangga.
Jelas di sini, Rasulullah
s.a.w menekankan dua aspek yang sangat penting ini kepada setiap anak-anak
muslim. Pertamanya ialah solat iaitu hubungan antara manusia dengan Allah SWT.
Al-Imam al-Nasa’i meriwayatkan:
عَنْ جَابِرٍ قَالَ :قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ لَيْسَ بَيْنَ
الْعَبْدِ وَبَيْنَ الْكُفْرِ إِلَّا تَرْكُ الصَّلَاةِ
Maksudnya:
“Dari Jabir katanya,
Rasulullah s.a.w bersabda: Tiadalah (perbezaan) antara orang yang abid dengan
orang yang kufur melainkan meninggalkan solat.”
(Hadis ini dinilai sahih oleh al-Albani)
Perkara yang keduanya ialah
membataskan pergaulan iaitu antara manusia dengan manusia. Jika sesama
adik-beradik pun Islam telah perintahkan untuk tidur berasingan semenjak kecil,
maka apakah wajar Muslim yang telah dewasa yang tidak ada apa-apa pertalian
tidur sebilik atau sekatil tanpa ada sebarang ikatan yang sah di sisi syarak?
Marilah sama-sama kita ambil iktibar darinya. Dua asas ini adalah kunci kepada
pembinaan akhlak seseorang Muslim. Jika kita mengabaikan salah satu darinya
semenjak anak-anak kita di usia rebung, maka sediakanlah sebanyak mungkin tisu
dan minyak untuk mengesat air mata dan mengurut dada ketika usia tua kelak.
بارك الله لي
ولكم بالقرآن العزيز، ونفعني وإيّاكم بما فيه من الآيات و الذكر الحكيم، و تقبّل
منّي ومنكم تلاوته إنه هو السميع العليم. أقول قول هذا وأستغفر الله العظيم لي
ولكم ولسائر المسلمين والمسلمات والمؤمنين والمؤمنات برحمتك يا أرحم الراحمين.
فاستغفروه فيا فوز المستغفرين ويا نجاة التائبين.
2 comments:
Ibu bapa digalakkan menjaga pakaian anak-anak sejak kecil. Baju muslimah contohnya, sekarang sangat cantik. Boleh memantapkan iman anak-anak kita. Sejak kecil lagi dah mantap, apatah lagi bila besar nanti. Ustaz, saya memang sedih tengok setiap ulang tahun masihi, remaja kita macam tak ingat dunia. Pakaian sangat menjolok iman. Buta sungguh mereka dengan pengetahuan agama. Fahamkah bapa-bapa kita ketika mendengar khutbah Jumaat atau sibuk melayan lena? Tak cukup dengan itu, kita fotokopi salinan nasihat dan edarkan di surau-surau dan masjid-masjid. Ini dapat beri pengetahuan agama yang jelas dan dapat disimpan di dalam kocek lalu di bawa ke rumah.
Ini contoh kedai baju muslimah jika ibu bapa susah nak cari baju yang sesuai untuk anak-anak. Cuba kita yang mulakannya. Maaf ustaz saya promote sikit. Insya Allah.
customadeshop.com
Post a Comment