Sunday, December 25, 2011

BERHIASLAH DENGAN AKHLAK YANG MULIA


“BERHIASLAH DENGAN AKHLAK YANG MULIA”
Oleh:
Muhammad Haafizuddin bin Abirerah
Institut al-Qayyim, Bukit Mertajam, Pulau Pinang
Disember 2011

Pendahuluan

Akhlak memainkan peranan yang sangat penting dalam kehidupan manusia. Berbeza dengan haiwan, manusia tidak dilihat pada fizikal tubuh untuk dinilai sebagai baik atau tidak, namun manusia dinilai melalui perilaku dan perangainya. Jika wajahnya cantik atau kacak sekali pun namun akhlaknya tiada, maka dia tidak akan diangap baik dan akan dijauhi oleh masyarakat sekeliling.

Melihat perilaku masyarakat dunia hari ini, kita melihat gejala keruntuhan akhlak semakin berleluasa di sana sini. Mungkin kerana ia tidak dianggap sebagai suatu jenayah, maka akhirnya masyarakat sekeliling hanya memandangnya dengan sebelah mata. Jika kita mengamatinya dengan teliti, kita akan mendapati bahawa peningkatan keruntuhan akhlak dan moral manusia hari ini adalah merupakan penyumbang utama melonjaknya statistik jenayah dalam sesebuah negara. Negara yang paling teruk akhlak rakyatnya, negara tersebutlah yang paling tinggi kadar jenayahnya.

Tamadun manusia hari ini hakikatnya bukanlah dibangunkan dengan kemajuan dan kecanggihan sains dan teknologi. Namun sebenarnya negara yang benar-benar bertamadun ialah negara yang berjaya membentuk akhlak warganegaranya ke arah kebaikan. Banyak yang kita lihat hari ini ialah penyalahgunaan kemajuan sains dan teknologi ke arah yang buruk dan negatif. Ini semua kerana tiada akhlak dalam kehidupan seharian.

Sehubungan dengan itu, langkah pertama mestilah diambil untuk mengajak dan mendidik generasi hari ini supaya kembali kepada akhlak yang mulia. Akhlak yang memanusiakan manusia. Persoalannya di sini ialah, apakah yang dimaksudkan dengan akhlak yang mulia? Apakah gambaran akhlak yang mulia itu? Manakah sumber-sumber akhlak ini? Piawaian apakah yang digunakan sebagai tolok ukur peribadi seseorang itu sama ada mulia atau tidak? Apakah ia bersifat universal atau hanya terpakai di tempat-tempat atau masa tertentu? Dan yang paling penting sekali ialah bagaimana akhlak yang mulia ini mampu memberikan kegemilangan kepada ketamadunan manusia. Insya’ Allah kertas ini akan cuba merungkainya satu persatu. Namun segala kesempurnaan itu hanyalah milik Allah SWT. Penulis hanya menyusunnya dan pastilah banyak terdapat kelompangan di sana sini.

Apakah Itu Akhlak?

Dari aspek etimologi, perkataan (أخلاق) adalah kata Jamak yang berasal dari kata (خلق) yang bermaksud cipta atau reka. (الخلْق) bermaksud mereka cipta sesuatu yang tiada ada contoh sebelumnya. Sehubungan dengan itu, (الخالق) ialah salah satu dari nama-nama Allah SWT yang bermaksud Maha Pencipta dan perkataan (مخلوق) adalah merujuk kepada perkara yang dicipta iaitu selain dari Allah SWT.[1]

Dari aspek terminologi pula, perkataan (خلق) membawa banyak maksud. Antaranya ialah (دين) iaitu agama. Ini berdasarkan firman Allah SWT (فلَيُغَيِّرُنَّ خَلْقَ الله). Menurut Mujahid, ia bermaksud (حكم). Menurut Abu Bakr al-AnbÉrÊ, ia bermaksud (التقدير). Ia berdasarkan firman Allah SWT (فتبارك الله أَحسنُ الخالقين).[2]

AÍmad bin YaÍya pernah ditanya tentang firman Allah SWT (مخلقة وغير مخلقة). Beliau menjawab: “Manusia itu dicipta dua jenis: ada diantaranya ciptaan yang sempurna dan ada diantaranya yang dicipta terdapat kekurangan.” Manusia yang sempurna ialah manusia yang baik akhlaknya, dan manusia yang cacat ialah manusia yang buruk akhlaknya.

Sementara itu, (الخليقة) bermaksud tabiat yang diciptakan untuk insan. (الخِلقة) pula bermaksud fitrah iaitu tabiat, akhlak, dan perilaku yang mulia.

Dapat dibuat kesimpulan di sini ialah akhlak merupakan perangai dan perilaku yang ada pada diri manusia. Akhlak ialah sesuatu yang dicipta oleh Allah SWT untuk manusia iaitu agama. Keseluruhan agama Islam itu ialah akhlak yang mulia.

Apa Objektif Perutusan MuÍammad s.a.w?

Setelah Allah SWT mencipta manusia, Allah SWT tidak membiarkan kita hidup di atas muka buminya tanpa sebarang peraturan dan berada dalam keadaan terbiar. Maka Allah SWT telah melantik dan mengutus dalam kalangan manusia itu sebagai pesuruh-Nya. Tugas para rasul ini ialah untuk menyampaikan ajaran Islam kepada manusia. Bahkan manusia yang pertama adalah Rasulullah iaitu Adam a.s diikuti selepasnya para nabi dan rasul hinggalah yang terakhir iaitu Nabi Muhammad s.a.w.

Dari Abu Hurayrah r.a, Nabi s.a.w bersabda:[3]

إِنَّمَا بُعِثْتُ لِأُتَمِّمَ صَالِحَ الْأَخْلَاقِ
Terjemahan:
Sesungguhnya aku telah diutuskan untuk menyempurnakan akhlak yang soleh.”

Sehubungan dengan itu, akhlak Rasulullah s.a.w adalah akhlak yang paling mulia dan terpuji sebagai model kepada seluruh manusia. Ini adalah berdasarkan firman dan perakuan daripada Allah SWT:[4]

Terjemahan:
Dan Sesungguhnya kamu benar-benar berbudi pekerti yang agung.”

Lantaran itu, asas kepada akhlak yang mulia ialah apa yang telah diajar, ditunjuk, dan dilakukan oleh Baginda s.a.w. Ini ialah hasil dari wahyu yang diturunkan Allah kepada Baginda s.a.w.

Perihal Akhlak Nabi s.a.w

Nabi s.a.w merupakan manusia yang sangat tinggi akhlaknya.  Sebagai umat Nabi s.a.w sekaligus Ahl al-Sunnah Wa al-Jama’ah, maka kita mestilah menuruti dan meneladani sepenuhnya akhlak Nabi s.a.w. Mengambilnya sebahagian dan meninggalkannya sebahgian bukanlah sesuatu yang dituntut oleh agama. Firman Allah SWT:[5]

Terjemahan:
Sesungguhnya telah ada pada (diri) Rasulullah itu suri teladan yang baik bagi kamu (iaitu) bagi orang yang mengharap (rahmat) Allah dan (kedatangan) hari kiamat dan  banyak mengingati Allah.”

Sa’ad bin Hisham pernah bertanya kepada ‘Aishah r.a berkenaan akhlak Baginda s.a.w. ‘Aishah r.a menjawab:[6]

كَانَ خُلُقُهُ الْقُرْآنَ
Terjemahan:
Akhlaknya adalah al-Quran.”

Setelah mengetahui dan menyedari akan perihal akhlak Baginda s.a.w, maka apakah harus kita mencari yang lain untuk dicontohi?

Akhlak Para Sahabat Terhadap Nabi s.a.w.

Apabila berbicara tentang al-Sunnah, maka kita tidak dapat lari dari menyebut tentang perihal para sahabat r.a. Ini kerana, para sahabat adalah merupakan pendamping kepada Rasulullah s.a.w. Bahkan boleh dikatakan tidak akan lengkap sunnah Rasulullah s.a.w tanpa sahabat. Ini berdasarkan sabda Rasulullah s.a.w:[7]

فَعَلَيْكُمْ بِسُنَّتِى وَسُنَّةِ الْخُلَفَاءِ الرَّاشِدِينَ الْمَهْدِيِّينَ عَضُّوا عَلَيْهَا بِالنَّوَاجِذِ
Terjemahan:
Maka hendaklah kamu menuruti sunnahku dan sunnah al-KhulafÉ’ al-RÉshidÊn al-MahdiyyÊn. Gigitlah ia dengan geraham-geraham.”

Ketika bersama-sama dengan Rasulullah s.a.w, para sahabat tidak pernah sekali-kali meninggikan suara mereka. Allah SWT telah berfirman berhubung akhlak para sahabat terhadap Nabi s.a.w:[8]

Terjemahan:
Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu meninggikan suaramu melebihi suara Nabi, dan janganlah kamu berkata kepadanya dengan suara yang keras, sebagaimana kerasnya suara sebahagian kamu terhadap sebahagian yang lain, supaya tidak hapus (pahala) amalanmu,[9] sedangkan kamu tidak menyadari.”

Begitulah para sahabat terhadap Baginda s.a.w, mereka adalah sebaik-baik ummah sebagaimana yang Ibn ‘Abbas r.a pernah nyatakan:[10]

ما رأيت قوما خيرا من أصحاب رسول الله )ص(  ما سألوه إلا عن ثلاث عشرة مسألة حتى قبض )ص( كلهن في القرآن يسألونك عن المحيض يسألونك عن الشهر الحرام يسألونك عن اليتامى ما كانوا يسألونه إلا عما ينفعهم

Terjemahan:
Aku tidak pernah melihat suatu kaum yang lebih baik dari para sahabat Rasulullah s.a.w, mereka tidak bertanya kepadanya kecuali tiga rangkai permasalahan sehingga diselesaikan Rasulullah s.a.w, kesemuanya itu terdapat dalam al-Quran (iaitu) mereka menyoal berkaitan wanita yang haid, bulan-bulan haram, dan anak-anak yatim. Mereka tidak akan bertanya kepada Nabi kecuali perkara tersebut memberi manfaat kepada mereka.”

Beberapa Contoh Gesaan Dalam Berakhlak

Hakikatnya, topik akhlak ini terlalu luas skopnya mencakupi segenap amalan harian manusia sama ada aspek perlakuan individu, hubungan kemasyarakatan, pengurusan ekonomi, perlaksanaan undang-undang, disiplin peperangan sehinggalah ke pentadbiran kenegaraan dan politik. Kesemuanya tidak terlepas dari akhlak dan adab yang telah ditunjuk ajar oleh Nabi Muhammad s.a.w. Sehubungan dengan itu, menerusi kertas ini, penulis hanya membawakan beberapa contoh dan gesaan berakhlak yang dipilih dari ribuan hadith-hadith Rasulullah s.a.w sebagai bahan perbincangan.

i. Akhlak individu.

Perkaitan antara akhlak dan aqidah Islam adalah sangat erat sehingga mustahil seseorang itu akan dapat berakhlak dengan akhlak yang sempurna tanpa ada asas aqidah Islam yang kukuh. Lantaran itu, Rasulullah s.a.w telah memperkenalkan konsep Ihsan ketika ditanya oleh Jibril seperti hadith yang diriwayatkan oleh Abu Hurayrah r.a:[11]

أَنْ تَعْبُدَ اللَّهَ كَأَنَّكَ تَرَاهُ فَإِنْ لَمْ تَكُنْ تَرَاهُ فَإِنَّهُ يَرَاكَ
Terjemahan:
Kamu beribadah kepada Allah seolah-olah kamu melihat-Nya. Jika kamu tidak melihat-Nya, sesungguhnya Dia melihat kamu.”

Maka dengan itu, setiap individu Muslim akan berakhlak dengan akhlak Islam dalam setiap detik kehidupannya sama ada ketika berada dihadapan khalayak atau berseorangan. Islam mengajar umatnya dengan ditil termasuklah sekecil-kecil perkara seperti memakai kasut dengan mendahulukan kaki kanan dan menaggalkan kasut dengan mendahulukan kaki kiri, memulakan setiap sesuatu dengan Basmalah, dan lain-lain.

ii. Akhlak bermasyarakat.

Dalam bermasyarakat, Nabi s.a.w telah menggesa umatnya memilih sahabat-sahabat yang baik sebagai pendamping. Sabda Rasulullah s.a.w menerusi hadith Anas r.a:[12]

مَثَلُ الْجَلِيسِ الصَّالِحِ وَالسَّوْءِ كَحَامِلِ الْمِسْكِ وَنَافِخِ الْكِيرِ فَحَامِلُ الْمِسْكِ إِمَّا أَنْ يُحْذِيَكَ وَإِمَّا أَنْ تَبْتَاعَ مِنْهُ وَإِمَّا أَنْ تَجِدَ مِنْهُ رِيحًا طَيِّبَةً وَنَافِخُ الْكِيرِ إِمَّا أَنْ يُحْرِقَ ثِيَابَكَ وَإِمَّا أَنْ تَجِدَ رِيحًا خَبِيثَةً
Terjemahan:
Perumpamaan orang yang duduk bersama orang yang soleh dan orang yang jahat adalah seperti pembawa minyak kasturi dan tukang besi. Pembawa kasturi sama dia memberinya kepadamu atau menjualnya padamu, kamu akan dapat darinya bauan yag wangi dan tukang besi pula sama ada ia akan membakar bajumu atau kamu akan dapat bau yang busuk.”

Dalam masyarakat Muslim, Allah SWT mengarahkan supaya mereka saling memberikan nasihat dan teguran. Firman Allah SWT:[13]

Terjemahan:
Saling menasihati dengan kebenaran dan  saling menasihati dengan kesabaran.”

Begitu juga dengan hubungan kekeluargaan, Allah SWT menggesa kita umat Islam supaya berbuat baik terhadap ibu bapa terutamanya apabila mereka telah lanjut usia dan keupayaan mereka semakin merosot. Firman Allah SWT:

Terjemahan:
Dan Tuhanmu telah memerintahkan supaya kamu jangan menyembah selain Dia dan hendaklah kamu berbuat baik pada ibu bapamu dengan sebaik-baiknya. Jika salah seorang di antara keduanya atau kedua-duanya sampai berumur lanjut dalam pemeliharaanmu, maka sekali-kali janganlah kamu mengatakan kepada keduanya perkataan ‘ah’[14] dan janganlah kamu membentak mereka dan ucapkanlah kepada mereka perkataan yang mulia.”

Dalam pergaulan seharian pula, Allah SWT telah menetapkan asasnya iaitu firman Allah SWT:[15]

Terjemahan:
Dan janganlah kamu mendekati zina, sesungguhnya zina itu adalah suatu perbuatan yang keji dan jalan yang buruk.”

Dan dalam masa yang sama Islam menggalakkan umatnya supaya bernikah dan memperbanyak zuriat. Rasulullah s.a.w bersabda seperti yang diriwayatkan oleh ‘Aishah r.a:[16]

النِّكَاحُ مِنْ سُنَّتِي فَمَنْ لَمْ يَعْمَلْ بِسُنَّتِي فَلَيْسَ مِنِّي وَتَزَوَّجُوا فَإِنِّي مُكَاثِرٌ بِكُمْ الْأُمَمَ وَمَنْ كَانَ ذَا طَوْلٍ فَلْيَنْكِحْ وَمَنْ لَمْ يَجِدْ فَعَلَيْهِ بِالصِّيَامِ فَإِنَّ الصَّوْمَ لَهُ وِجَاءٌ
Terjemahan:
Pernikahan itu adalah dari sunnahku, sesiapa yang tidak beramal dengan sunnahku maka dia bukan daripada kalanganku. Hendaklah kamu saling berkahwin, sesungguhnya aku berbangga dengan ramainya kamu berbanding umat-umat terdahulu. Sesiapa yang telah mempunyai kemampuan, maka bernikahlah. Dan sesiapa yang belum mendapatinya, maka hendaklah dia berpuasa kerana sesungguhnya pada puasa itu terdapat benteng pelindung.”

Begitu juga Allah SWT menggesa supaya setiap umat Islam tidak merendah-rendahkan orang lain dan memanggil mereka dengan nama-nama yang buruk. Firman Allah SWT:[17]

Terjemahan:
Wahai orang-orang yang beriman, janganlah sekumpulan orang (lelaki) merendahkan kumpulan yang lain, boleh jadi yang ditertawakan itu lebih baik dari mereka. Dan jangan pula sekumpulan perempuan merendahkan kumpulan lainnya, boleh jadi yang direndahkan itu lebih baik. Dan janganlah suka mencela dirimu sendiri[18] dan jangan memanggil dengan gelaran yang mengandung ejekan. seburuk-buruk panggilan adalah (panggilan) yang buruk sesudah iman[19] dan barangsiapa yang tidak bertaubat, maka mereka itulah orang-orang yang zalim.”

iii. Akhlak berekonomi.

Dalam urusan ekonomi, Islam telah menetapkan etika-etika khusus supaya tidak berlakunya penindasan dan kezaliman. Antaranya ialah, Allah SWT telah mengharamkan riba dan judi. Dalam masa yang sama, Islam mewajibkan zakat sebagai pengimbang kepada struktur ekonomi komuniti Muslim. Lebih jauh dari itu, keseluruhan proses peningkatan ekonomi ini juga sebenarnya berkait rapat dengan kesejahteraan dan kelestarian umat Islam di akhirat kelak. Firman Allah SWT:[20]

Terjemahan:
Dan sesuatu riba (tambahan) yang kamu berikan agar dia bertambah pada harta manusia, maka riba itu tidak menambah apa-apa di sisi Allah. Dan apa yang kamu berikan berupa zakat yang kamu maksudkan untuk mencapai keredhaan Allah, maka (yang berbuat demikian) itulah orang-orang yang melipat gandakan (pahalanya).”

Di sisi yang lain, Islam juga menyuruh umatnya supaya berlaku adil dalam urusan perniagaan. Firman Allah SWT:[21]

Terjemahan:
Dan janganlah kamu dekati harta anak yatim, kecuali dengan cara yang lebih bermanfaat, hingga sampai dia dewasa. Dan sempurnakanlah takaran dan timbangan dengan adil. Kami tidak membebani seseorang melainkan sekadar kesanggupannya. Dan apabila kamu berkata, maka hendaklah kamu berlaku adil, meski pun ia adalah kerabat(mu),[22] dan penuhilah janji Allah.[23] Yang demikian itu diperintahkan Allah kepadamu agar kamu ingat.”

Jika dalam urusan timbangan juga telah digesa supaya kita menelitinya dan berlaku adil, apatah lagi dalam urusan yang lebih besar dalam ekonomi seperti yang melibatkan kontrak-kontrak, jual beli saham, insuran, dan sebagainya.
iv. Akhlak dalam perundangan.

Dalam perundangan Islam, terdapat akhlak-akhlak yang luhur. Umpamanya ialah Islam melarang masyarakatnya menuduh dengan semberono tanpa ada sebarang saksi atau bukti yang kukuh. Lebih-lebih lagi ia melibatkan soal maruah individu yang dituduh. Firman Allah SWT:[24]

Terjemahan:
Dan orang-orang yang menuduh wanita-wanita yang baik-baik[25] (berbuat zina) dan mereka tidak mendatangkan empat orang saksi, maka sebatlah mereka (yang menuduh itu) sebanyak lapan puluh kali sebatan, dan janganlah kamu terima kesaksian mereka buat selama-lamanya. Dan mereka itulah orang-orang yang fasik.”

v. Akhlak ketika peperangan.

Lazimnya ketika berlakunya peperangan, kebanyakan pasukan tentera gagal mengawal emosi dan tindakan mereka apatah lagi apabila kemenangan menyebelahi mereka. Mereka dengan sewenang-wenangnya merosakkan harta benda, membunuh wanita, kanak-kanak, dan orang tua yang lemah. Merogol, merompak, memusnahkan tanam-tanaman dan sebagainya. Realiti ini sangat kontradik dalam Islam, bahkan dalam sejarah Islam, negara-negara yang ditawan merasa lebih aman dan sejahtera berbanding sebelum ditawan. Sesetengah negara, rakyatnya sangat mengalu-alukan kedatangan tentera Islam agar mereka dapat bebas dari cengkaman raja-raja yang zalim dan kuffar.

Firman Allah SWT:[26]

Terjemahan:
Dan perangilah di jalan Allah orang-orang yang memerangi kamu, (tetapi) janganlah kamu melampaui batas, kerana sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang melampaui batas.”

vi. Akhlak bernegara.

Dalam bernegara, Islam juga tidak terkecuali dalam meletakkan asas-asas akhlaknya kepada setiap pemimpin dan rakyat. Bahkan banyak inzar dan ancaman yang diberikan kepada para pemimpin dan hakim yang berlaku zalim terhadap orang dibawahnya. Namun begitu, hubungan antara pemimpin dan rakyat hendaklah harmoni dan berlaku saling ingat memperingati antara satu sama lain. Pemimpin yang baik ialah pemimpin yang sentiasa berlapang dada dan sedia berubah apabila ditegur.

Nu’man bin Bashir r.a meriwayatkan, Rasulullah s.a.w bersabda:[27]

مَثَلُ الْقَائِمِ عَلَى حُدُودِ اللَّهِ وَالْوَاقِعِ فِيهَا كَمَثَلِ قَوْمٍ اسْتَهَمُوا عَلَى سَفِينَةٍ فَأَصَابَ بَعْضُهُمْ أَعْلَاهَا وَبَعْضُهُمْ أَسْفَلَهَا فَكَانَ الَّذِينَ فِي أَسْفَلِهَا إِذَا اسْتَقَوْا مِنْ الْمَاءِ مَرُّوا عَلَى مَنْ فَوْقَهُمْ فَقَالُوا لَوْ أَنَّا خَرَقْنَا فِي نَصِيبِنَا خَرْقًا وَلَمْ نُؤْذِ مَنْ فَوْقَنَا فَإِنْ يَتْرُكُوهُمْ وَمَا أَرَادُوا هَلَكُوا جَمِيعًا وَإِنْ أَخَذُوا عَلَى أَيْدِيهِمْ نَجَوْا وَنَجَوْا جَمِيعًا
Terjemahannya:
Perumpamaan orang yang berdiri tegak (tetap) atas batas-batas yang ditetapkan Allah dan orang-orang yang melampauinya, seperti suatu golongan yang memperoleh ruangan atas bahtera. Sebahagian mereka berada di atas dan sebahagian yang lain berada di bawah. Orang yang berada di bawah apabila mahu menggunakan air, mereka (perlu) melalui orang yang berada atas mereka. Maka (orang-orang yang berada di bawah) berkata: Apa kata kita menebuk kapal pada bahagian kita dan kita tidak mengganggu orang di atas kita. Sekiranya (orang yang berada di atas) membiarkan apa yang mereka kehendaki, binasalah mereka kesemuanya. Sekiranya diambil (tindakan) dengan tangan-tangan mereka, (nescaya) mereka berjaya dan keseluruhan mereka juga berjaya (selamat).

Dapat difahami dari hadith di atas bahawa keruntuhan sesebuah negara boleh berlaku sama ada berpunca dari rakyat di bawah atau pemimpin di atas. Atau boleh jadi dari kedua-duanya serentak. Hadith tersebut juga menerangkan tanggungjawab amar ma’ruf dan nahi munkar yang telah dipertanggungjawabkan kepada setiap individu.

Penutup dan Kesimpulan

Demikianlah sedikit gambaran umum yang ingin dikongsi penulis berkaitan dengan akhlak Islamiah. Akhlak Islam adalah sebagai aset penting kepada dunia dan masyarakat manusia. Objektif Islam diturunkan sebagai rahmatan li al-alamin sebenarnya tidak akan tercapai jika akhlak Islam tidak dipraktikkan. Gambaran keindahan Islam itu mustahil akan menyinari alam jika tidak dicerminkan oleh para penganutnya. Sehubungan dengan itu, penulis mengharapkan topik ini tidak hanya terhenti di atas lembaran-lembaran kertas, namun ia terus dipanjangkan dan dapat dihayati dalam kehidupan seharian.

Perbahasan dan perbincangan mengenai akhlak sangatlah luas dalam dunia keilmuan Islam. Masa yang singkat ini pastinya membataskan perbincangan tersebut. Namun, usaha dan semangat yang berterusan yang lahir dari kecintaan terhadap Allah SWT dan Rasulullah s.a.w pastinya akan menuntut kita untuk mengkaji, mendalami, seterusnya menghayati Islam dalam kehidupan seharian.

Di sinilah kita memasak cita, menyemat azam, dan membidik sasar. Nun di sana, kita mengharapkan lahirnya generasi Islam yang unggul sehingga dunia menyaksikan inilah dia tamsilan generasi salaf al-soleh. Generasi yang ditunggu-tunggu untuk memakmurkan kembali dunia dengan Islam. Membersihkan dunia dari kekotoran-kekotoran dan anasir jahiliah yang memundurkan tamadun umat sekali gus memimpin masyarakat dunia ke arah kesejahteraan dunia dan akhirat.

Wallahu A’lam.


[1] MuÍammad bin Mukarram al-AfrÊqÊ al-MiÎrÊ (t.t), LisÉn al-‘Arab, ed. ‘Abd Allah ‘AlÊ al-KabÊr. DÉr al-Ma’Érif, jld. 2, hlm. 1243 – 1244.
[2] Ibid.
[3] ×adÊth ini ÎaÍÊÍ menurut al-AlbÉnÊ. Lihat: AÍmad bin ×anbal (1999),  Musnad al-ImÉm AÍmad bin ×anbal, ed. Shu’ayb al-ArnauÏ. Muassasah al-RisÉlah, jld. 14, hlm. 512.
[4] SËrah al-Qalam, ayat 4.
[5] Surah al-Ahzab, ayat 21.
[6] Ahmad bin Hanbal, Musnad Ahmad, jld. 42, hlm. 183.
[7] AbË Bakr AÍmad bin al-×usayn al-BayÍÉqÊ (1923), al-Sunan al-KubrÉ Wa FÊ Dhaylihi al-Jawhar al-NaqÊ. Jld. 10, hlm. 114.
[8] SËrah al-×ujurÉt, ayat 2.
[9] Meninggikan suara lebih dari suara Nabi atau berbicara keras terhadap Nabi adalah suatu perbuatan yang menyakiti Nabi. Kerana itu para sahabat dilarang melakukannya dan menyebabkan hapusnya amal perbuatan.
[10] Kenyataan Ibn ‘Abbas r.a ini bukanlah bermaksud para sahabat hanya bertanya tentang tiga soalan ini sahaja, namun ia lebih kepada soalan-soalan mereka yang dijawab dan dinyatakan oleh al-Quran. Manakala dalam perkara kehidupan seharian, mereka sentiasa bertanya kepada Nabi s.a.w. Lihat: MuÍammad bin AbÊ Bakr AyËb al-Zur’Ê (1973), I’lÉm al-Muwaqqi’Ên ‘An Rabb al-‘ÓlamÊn, ed. Ùaha ‘Abd al-RaËf Sa’d. Beirut: Dar al-JÊl, jld. 1, hlm. 71.
[11] Muhammad bin Ismail, Sahih al-Bukhari, jld. 1, hlm. 87.
[12] Ibid., jld. 17, hlm. 214.
[13] Surah al-‘Asr, ayat 3.
[14] Mengucapkan kata ‘ah’ kepada orang tua tidak dibolehkan oleh agama apalagi mengucapkan kata-kata atau memperlakukan mereka dengan lebih kasar daripada itu.
[15] Surah al-Isra’, ayat 32.
[16] Muhammad bin Yazid, Sunan Ibn Majah, jld. 5, hlm. 439. Hadith ini dinilai sahih oleh al-Albani. Lihat: Nasir al-Din al-Albani, Silsilah al-Ahadith al-Sahihah, jld. 5, hlm. 382.
[17] Surah al-Hujurat, ayat 11.
[18] Jangan mencela dirimu sendiri maksudnya ialah mencela antara sesama mukmin kerana orang-orang mukmin seperti satu tubuh.
[19] Panggilan yang buruk ialah gelaran yang tidak disukai oleh orang yang digelar, seperti panggilan kepada orang yang sudah beriman, dengan panggilan seperti: Wahai fasik, wahai kafir dan sebagainya.
[20] Surah al-Rum, ayat 39.
[21] Surah al-An’am, ayat 152.
[22] Maksudnya mengatakan yang sebenarnya meskipun merugikan kerabat sendiri.
[23] Maksudnya penuhilah segala perintah-perintah-Nya.
[24] Surah al-Nur, ayat 4.
[25] Yang dimaksudkan wanita-wanita yang baik disini adalah wanita-wanita yang suci, akil baligh dan muslimah.
[26] Surah al-Baqarah, ayat 190.
[27] Muhammad bin Ismail, Op. Cit., jld. 8, hlm. 399.



No comments: