Khutbah Gerhana
Bulan
Di IQ, Mengkuang, BM
9.30 Malam
10 Disember 2011
الحمد لله الذي خلق السماوات والأرض وجعل الظلمات والنور ثم الذين كفروا بربهم
يعدلون. اللهم صل وسلم على عبدك ورسولك محمد وعلى آله وصحبه أجمعين,
أما بعد,
فيا أيها المؤمنون اتقوا الله, أوصيكم وإياي بتقوى الله وطاعته فقد فاز
المتقون.
Sidang hadirin yang
dirahmati Allah SWT sekalian,
Marilah kita sama-sama
memperbaharui dan mempertingkatkan keimanan dan ketaqwaan kita kepada Allah
SWT, dengan cara beristiqamah, iltizam melaksanakan arahan dan perintah Allah
SWT sekaligus meninggalkan apa-apa yang telah ditegah dan dilarang oleh Allah
SWT. Bersama-sama juga kita mengajak diri dan masyarakat kepada perkara makruf
dan mencegah dari melakukan kemungkaran serta maksiat kepada Allah SWT.
Muslimin dan muslimat yang
dirahmati Allah,
Matahari dan bulan adalah
merupakan tanda kekuasaan Allah SWT. Ia merupakan peringatan kepada hamba-Nya
mengenai hari kiamat. Firman Allah SWT:
فإذا برق البصر. وخسف القمر. وجمع الشمس والقمر.
Maksudnya:
“Maka apabila mata
terbelalak (ketakutan). Dan apabila bulan telah hilang cahayanya. Dan matahari
serta bulan dikumpulkan (bersama).”
- Surah al-Qiyamah: Ayat 7 hingga 9 -
Beriman kepada hari kiamat
serta kebangkitan di mahsyar adalah merupakan suatu perkara yang besar dalam
diri umat Islam. Selain ia menentukan seseorang itu beriman atau kufur kerana
mengingkarinya, ia juga sebagai suatu benteng kepada diri kita dari melakukan
amalan sewenang-wenangnya lantaran hawa nafsu yang merasuk diri. Kita sentiasa
beringat dan diberi peringatan bahawa hari kiamat adalah benar. Seluruh manusia
akan dibangkitkan kembali dan amalan-amalan mereka akan dihitung satu persatu
sebelum kita ditentukan sama ada akan masuk ke syurga Allah SWT atau diazab di
neraka-Nya dengan azab yang maha dahsyat. Hari tersebut sebagaimana yang telah
dinyatakan oleh Allah SWT:
يوم لا ينفع مال ولا بنون إلا من أتى الله بقلب سليم.
Maksudnya:
“Hari yang tidak
bermanfaat segala harta dan anak pinak melainkan orang yang datang kepada Allah
dengan hati yang sejahtera.”
Lantaran keimanan kepada
hari kiamatlah kita menyedari akan hakikat bahawa kita hanyalah sebagai musafir
yang singgah sementara di dunia ini.
Muslimin dan muslimat yang
dikasihi sekalian,
Fenomena gerhana bulan yang
kita saksikan pada malam ini adalah merupakan salah satu dari kekuasaan Allah
SWT. Fenomena ini bukan hanya berlaku akhir-akhir ini, namun ia telah disaksikan
oleh nenek-nenek moyang kita dahulu. Sebelum kedatangan Islam, fenomena ini dianggap
sebagai suatu petanda yang buruk dan disambut dengan penuh debaran serta
ketakutan. Ia dianggap sebagai tanda kematian seseorang. Bahkan para sahabat
r.a sendiri pada peringkat awal juga ketakutan untuk menghadapi gerhana
sehingga Baginda s.a.w menyeru: “الصلاة الجامعة”.
Ya, pada zaman sains dan
teknologi kini, sudah hampir tidak kedapatan lagi manusia yang takut untuk
menghadapinya. Bahkan kanak-kanak berlari-lari dan berhimpun dengan girangnya
untuk bersama-sama menyaksikan bagaimana gerhana itu berlaku. Mereka telah
diasuh dan dididik bahawa ia berlaku hasil dari pergerakan planet-planet
sehingga matahari, bumi, dan bulan berada dalam keadaan selari. Saya menyatakan
di sini bukanlah bermaksud ia salah. Namun dalam masa yang sama, marilah kita
terapkan dalam dada-dada generasi muda kini bahawa ia adalah suatu tanda dari
kebesaran Allah SWT. Sabda Rasulullah s.a.w:
إن الشمس
والقمر آيتان من آيات الله لا ينكسفان لموت أحد ولا لحياته, ولكن الله يرسلهما
يخوّف بهما عباده, فإذا رأيتم ذلك فصلّوا وادعوا حتى ينكسف ما بكم
Maksudnya:
“Sesungguhnya matahari
dan bulan merupakan tanda kekuasaan Allah SWT. Kedua-duanya tidak akan gerhana
disebabkan kematian seseorang atau kehidupannya. Tetapi Allah SWT menjadikan
gerhana matahari dan bulan untuk tujuan memberikan peringatan kepada hamba-hamba-Nya.
Jika kamu melihatnya, kerjakanlah solat dan berdoalah sehinggalah gerhana itu
berakhir.”
Dalam riwayat yang lain,
sabda Rasulullah s.a.w:
فإذا رأيتم منها شيئا فافزعوا إلى ذكره ودعائه واستعفاره
Maksudnya:
“Apabila kamu melihat
sesuatu segeralah mengingati Allah SWT, berdoa dan memohon ampun kepada-Nya.”
- Hadith Riwayat al-Bukhari dan Muslim –
Muslimin dan muslimat yang
dihormati sekalian,
Allah SWT mengutuskan insan
bernama Muhammad s.a.w untuk menyampaikan ajaran Islam kepada kita umatnya.
Insan yang dipilih-Nya ini bukanlah calang-calang manusia, namun dia adalah
manusia terbaik atas muka bumi ini dan dalam sejarah manusia. Insan ini telah
menggunakan keseluruhan nikmat yang dikurniakan Allah SWT kepadanya demi
melaksanakan amanah menyampaikan Islam kepada seluruh manusia. Baginda s.a.w
dan para sahabatnya sedaya upaya memastikan ajaran ini sampai kepada manusia
tanpa sebarang tokok tambah, tiada bid’ah dan khurafah, serta
jauh sekali dari kehendak nafsu dan serakah sesetengah pihak. Firman Allah SWT:
وما آتاكم الرسول فخذوه وما نهاكم عنه فانتهوا
Maksudnya:
“Dan apa jua perintah
yang dibawa oleh Rasulullah s.a.w kepada kamu, maka terimalah serta amalkan. Dan
apa jua yang dilarang kamu melakukannya, maka patuhilah larangannya.”
- Surah al-Hasyr: Ayat 7 –
Inilah tujuan Allah SWT
mengutus nabi-Nya dalam kalangan manusia, bukan daripada kalangan jin dan para
malaikat. Iaitu supaya manusia lainnya dapat melihat dengan mata kepala mereka
sendiri apa yang telah dilakukan oleh Rasulullah s.a.w dan mampu untuk
disampaikan dan difahami oleh orang lain. Tidak lain dan tidak bukan, tujuannya
adalah supaya nabi ini dapat dicontohi dan diikuti jejak langkahnya. Firman
Allah SWT:
لقد كان لكم فى رسول الله أسوة حسنة
Maksudnya:
“Demi sesungguhnya, bagi
kamu pada diri Rasulullah s.a.w itu contoh tauladan yang baik.”
- Surah al-Ahzab: Ayat 21 -
Muslimin dan muslimat yang
dikasihi sekalian,
Besar kesannya jika manusia
itu mengingkari perintah Rasulullah s.a.w. Hal ini telah pun dinyatakan oleh
Allah SWT di dalam al-Quran:
فليحذر الذين يخالفون عن أمره أن تصيبهم فتنة أو يصسبهم عذاب أليم
Maksudnya:
“Oleh itu, hendaklah
mereka yang mengingkari perintahnya beringat serta berjaga-jaga agar mereka
tidak ditimpa bala bencana atau azab seksa yang tidak terperi sakitnya.”
- Surah al-Nur: Ayat 63 -
Pada hari ini, mungkin kita
merasa aman tinggal dalam negara ini. Hari ini juga kitamungkin selesa
berbaring di atas tilam yang empuk di tanah air ini. Namun kita harus sentiasa
berwaspada dan beringat, jika agama ini tidak lagi diamalkan, Allah dan Rasul
tidak lagi menjadi sasaran kecintaan manusia, dan al-Quran tidak lagi diambil
pengajarannya, maka kebinasaan dan kehancuranlah yang akan menanti kita pada
masa hadapan. Oleh itu, kita yang hidup pada generasi ini hendaklah sedaya
upaya berjuang dan berusaha supaa Islam akan sampai terus kepada generasi
selepas ini. Segar dan suci sebagaimana ia disampaikan oleh Baginda s.a.w
seolah-olah Baginda s.a.w baru sahaja menyampaikannya kepada kita.
Dalam jiwa kita terdapat
cita-cita itu, dalam nadi kita berdenyutnya darah yang menanti masa ditumpahkan
untuk agama ini. Disebalik kulit kita ini, terdapat titisan-titisan peluh dan
keringat yang menanti untuk mengalir keluar demi agama ini.
Nun di sana, kita
mengharapkan bumi ini subur dengan manusia-manusia yang tiada apa dihatinya
melainkan kecintaan kepada Allah dan Rasul. Generasi-generasi muda yang seperti
Ammar bin Yasir, Khalid bin al-Walid, Ali bin Abi Thalib, Abu Ubaidah, Aishah,
Sumayyah dan lain-lain lagi.
Muslimin dan muslimat yang
dicintai sekalian,
Gerhana akan tinggal
sebagai suatu peristiwa dan dicatat dalam buku-buku serta majalah-majalah.
Tiada makna disebaliknya jika kita sendiri tidak mengambil iktibar dari
kekuasaan Allah SWT tersebut. Allah SWT yang mencipta matahari bersinar
gemerlapan, Allah SWT jualah yang mampu memadamnya seketika. Tidak saintis,
astronomis lagi tidak mampu. Allah SWT yang mencipta bulan yang berseri dengan
cahayanya, Allah SWT jualah yang berkuasa memadamnya buat seketika. Tidak pakar
bom atau nuklear, bahkan ahli-ahli astronomi hanya dapat meneropongnya dari
muka bumi sahaja. Tidak lebih dari itu. Inilah kekuasaan Allah SWT. Inilah
kehebatan Allah SWT. Jika Allah SWT sahaja yang mampu memadamnya buat seketika,
maka siapakah lagi yang mampu memadamnya buat selama-lamanya? Tentulah Allah
SWT. Ayuh muslimin dan muslimat sekalian, tiada tempat untuk manusia kembali
lagi melainkan kepada Allah SWT. Firman Allah SWT:
الذين إذا أصابتكم مصيبة قالوا إن لله وإن إليه راجعون
Maksudnya:
“Orang-orang yang
apabila mereka ditimpa musibah, maka mereka berkata: Sesungguhnya kami adalah
milik Allah, dan kepad-Nyalah kami kembali.”
- Surah al-Baqarah: Ayat 156 -
Muslimin dan muslimat
sekalian,
Ingatlah, rahmat dan
keampunan Allah SWT itu sangatlah luas jika ingin dibandingkan dengan dosa dan
maksiat yang kita lakukan selama ini. Marilah kita perbanyakkan istighfar dan
berdoa memohon keampunan dari-Nya.
إن الله غفور رحيم
Maksudnya:
“Sesungguhnya Allah itu
Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.”
بارك الله لى ولكم بالقرآن العظيم ونفعنى وإيّاكم بما فيه من الآيات و الذكر
الحكيم وتقبّل منّي ومنكم تلاوته إنه هو السميع العليم.
اللهم اغفر للمسلمين والمسلمات والمؤمنين و المؤمنات الأحياء منهم والأموات.
اللهم أعزّ الإسلام والمسلمين. اللهم انصر الإسلام والمسلمين والمجاهدين الذين
يجاهدون في سبيلك يا الله في كل زمان ومكان.
ربنا لا تزغ قلوبنا بعد إذ هديتنا وهب لنا من لدنك رحمة إنك أنت الوهّاب.
ربنا هبلنا من أزواجنا وذرياتنا قرة أعين وجعلنا للمتقين إماما.
ربنا آتنا في الدنيا حسنة وفي الآخرة حسنة وقنا عذاب النار.
عباد الله, إن الله يأمركم بالعدل والإحسان وإيتائ ذى القربى وينهى عن الفحشاء
والمنكر البغى يعظكم لعلكم تذكرون. فاذكروا الله العظيم يذكركم, واشكروا على نعمه
يزدكم واسألوه من فضله يعطيكم ولذكر الله أكبر والله يعلم ما تصنعون.
1 comment:
Yuk Gabung Bersama Kami Hanya di RoyalQQ
Minimal Deposit Hanya Rp 15.000
RoyalQQ juga membagikan Bonus TO 0.5% SETIAP HARI!
HADIA JACKPOT Menanti anda^^
Daftarkan segera hanya di RoyalQQ
LINK : https://goo.gl/dQPyud
Post a Comment