Saturday, December 10, 2011

Khutbah Gerhana Bulan



Khutbah Gerhana Bulan
Di IQ, Mengkuang, BM
9.30 Malam
10 Disember 2011

الحمد لله الذي خلق السماوات والأرض وجعل الظلمات والنور ثم الذين كفروا بربهم يعدلون. اللهم صل وسلم على عبدك ورسولك محمد وعلى آله وصحبه أجمعين,
أما بعد,
فيا أيها المؤمنون اتقوا الله, أوصيكم وإياي بتقوى الله وطاعته فقد فاز المتقون.

Sidang hadirin yang dirahmati Allah SWT sekalian,

Marilah kita sama-sama memperbaharui dan mempertingkatkan keimanan dan ketaqwaan kita kepada Allah SWT, dengan cara beristiqamah, iltizam melaksanakan arahan dan perintah Allah SWT sekaligus meninggalkan apa-apa yang telah ditegah dan dilarang oleh Allah SWT. Bersama-sama juga kita mengajak diri dan masyarakat kepada perkara makruf dan mencegah dari melakukan kemungkaran serta maksiat kepada Allah SWT.

Muslimin dan muslimat yang dirahmati Allah,

Matahari dan bulan adalah merupakan tanda kekuasaan Allah SWT. Ia merupakan peringatan kepada hamba-Nya mengenai hari kiamat. Firman Allah SWT:

فإذا برق البصر. وخسف القمر. وجمع الشمس والقمر.

Maksudnya:
Maka apabila mata terbelalak (ketakutan). Dan apabila bulan telah hilang cahayanya. Dan matahari serta bulan dikumpulkan (bersama).”
- Surah al-Qiyamah: Ayat 7 hingga 9 -

Beriman kepada hari kiamat serta kebangkitan di mahsyar adalah merupakan suatu perkara yang besar dalam diri umat Islam. Selain ia menentukan seseorang itu beriman atau kufur kerana mengingkarinya, ia juga sebagai suatu benteng kepada diri kita dari melakukan amalan sewenang-wenangnya lantaran hawa nafsu yang merasuk diri. Kita sentiasa beringat dan diberi peringatan bahawa hari kiamat adalah benar. Seluruh manusia akan dibangkitkan kembali dan amalan-amalan mereka akan dihitung satu persatu sebelum kita ditentukan sama ada akan masuk ke syurga Allah SWT atau diazab di neraka-Nya dengan azab yang maha dahsyat. Hari tersebut sebagaimana yang telah dinyatakan oleh Allah SWT:

يوم لا ينفع مال ولا بنون إلا من أتى الله بقلب سليم.

Maksudnya:
Hari yang tidak bermanfaat segala harta dan anak pinak melainkan orang yang datang kepada Allah dengan hati yang sejahtera.”

Lantaran keimanan kepada hari kiamatlah kita menyedari akan hakikat bahawa kita hanyalah sebagai musafir yang singgah sementara di dunia ini.

Muslimin dan muslimat yang dikasihi sekalian,

Fenomena gerhana bulan yang kita saksikan pada malam ini adalah merupakan salah satu dari kekuasaan Allah SWT. Fenomena ini bukan hanya berlaku akhir-akhir ini, namun ia telah disaksikan oleh nenek-nenek moyang kita dahulu. Sebelum kedatangan Islam, fenomena ini dianggap sebagai suatu petanda yang buruk dan disambut dengan penuh debaran serta ketakutan. Ia dianggap sebagai tanda kematian seseorang. Bahkan para sahabat r.a sendiri pada peringkat awal juga ketakutan untuk menghadapi gerhana sehingga Baginda s.a.w menyeru: “الصلاة الجامعة”.

Ya, pada zaman sains dan teknologi kini, sudah hampir tidak kedapatan lagi manusia yang takut untuk menghadapinya. Bahkan kanak-kanak berlari-lari dan berhimpun dengan girangnya untuk bersama-sama menyaksikan bagaimana gerhana itu berlaku. Mereka telah diasuh dan dididik bahawa ia berlaku hasil dari pergerakan planet-planet sehingga matahari, bumi, dan bulan berada dalam keadaan selari. Saya menyatakan di sini bukanlah bermaksud ia salah. Namun dalam masa yang sama, marilah kita terapkan dalam dada-dada generasi muda kini bahawa ia adalah suatu tanda dari kebesaran Allah SWT. Sabda Rasulullah s.a.w:

إن الشمس والقمر آيتان من آيات الله لا ينكسفان لموت أحد ولا لحياته, ولكن الله يرسلهما يخوّف بهما عباده, فإذا رأيتم ذلك فصلّوا وادعوا حتى ينكسف ما بكم

Maksudnya:
Sesungguhnya matahari dan bulan merupakan tanda kekuasaan Allah SWT. Kedua-duanya tidak akan gerhana disebabkan kematian seseorang atau kehidupannya. Tetapi Allah SWT menjadikan gerhana matahari dan bulan untuk tujuan memberikan peringatan kepada hamba-hamba-Nya. Jika kamu melihatnya, kerjakanlah solat dan berdoalah sehinggalah gerhana itu berakhir.”

Dalam riwayat yang lain, sabda Rasulullah s.a.w:

فإذا رأيتم منها شيئا فافزعوا إلى ذكره ودعائه واستعفاره

Maksudnya:
Apabila kamu melihat sesuatu segeralah mengingati Allah SWT, berdoa dan memohon ampun kepada-Nya.”
- Hadith Riwayat al-Bukhari dan Muslim –

Muslimin dan muslimat yang dihormati sekalian,

Allah SWT mengutuskan insan bernama Muhammad s.a.w untuk menyampaikan ajaran Islam kepada kita umatnya. Insan yang dipilih-Nya ini bukanlah calang-calang manusia, namun dia adalah manusia terbaik atas muka bumi ini dan dalam sejarah manusia. Insan ini telah menggunakan keseluruhan nikmat yang dikurniakan Allah SWT kepadanya demi melaksanakan amanah menyampaikan Islam kepada seluruh manusia. Baginda s.a.w dan para sahabatnya sedaya upaya memastikan ajaran ini sampai kepada manusia tanpa sebarang tokok tambah, tiada bid’ah dan khurafah, serta jauh sekali dari kehendak nafsu dan serakah sesetengah pihak. Firman Allah SWT:

وما آتاكم الرسول فخذوه وما نهاكم عنه فانتهوا

Maksudnya:
Dan apa jua perintah yang dibawa oleh Rasulullah s.a.w kepada kamu, maka terimalah serta amalkan. Dan apa jua yang dilarang kamu melakukannya, maka patuhilah larangannya.”
- Surah al-Hasyr: Ayat 7 –

Inilah tujuan Allah SWT mengutus nabi-Nya dalam kalangan manusia, bukan daripada kalangan jin dan para malaikat. Iaitu supaya manusia lainnya dapat melihat dengan mata kepala mereka sendiri apa yang telah dilakukan oleh Rasulullah s.a.w dan mampu untuk disampaikan dan difahami oleh orang lain. Tidak lain dan tidak bukan, tujuannya adalah supaya nabi ini dapat dicontohi dan diikuti jejak langkahnya. Firman Allah SWT:

لقد كان لكم فى رسول الله أسوة حسنة

Maksudnya:
Demi sesungguhnya, bagi kamu pada diri Rasulullah s.a.w itu contoh tauladan yang baik.”
- Surah al-Ahzab: Ayat 21 -

Muslimin dan muslimat yang dikasihi sekalian,

Besar kesannya jika manusia itu mengingkari perintah Rasulullah s.a.w. Hal ini telah pun dinyatakan oleh Allah SWT di dalam al-Quran:

فليحذر الذين يخالفون عن أمره أن تصيبهم فتنة أو يصسبهم عذاب أليم

Maksudnya:
Oleh itu, hendaklah mereka yang mengingkari perintahnya beringat serta berjaga-jaga agar mereka tidak ditimpa bala bencana atau azab seksa yang tidak terperi sakitnya.”
- Surah al-Nur: Ayat 63 -

Pada hari ini, mungkin kita merasa aman tinggal dalam negara ini. Hari ini juga kitamungkin selesa berbaring di atas tilam yang empuk di tanah air ini. Namun kita harus sentiasa berwaspada dan beringat, jika agama ini tidak lagi diamalkan, Allah dan Rasul tidak lagi menjadi sasaran kecintaan manusia, dan al-Quran tidak lagi diambil pengajarannya, maka kebinasaan dan kehancuranlah yang akan menanti kita pada masa hadapan. Oleh itu, kita yang hidup pada generasi ini hendaklah sedaya upaya berjuang dan berusaha supaa Islam akan sampai terus kepada generasi selepas ini. Segar dan suci sebagaimana ia disampaikan oleh Baginda s.a.w seolah-olah Baginda s.a.w baru sahaja menyampaikannya kepada kita.

Dalam jiwa kita terdapat cita-cita itu, dalam nadi kita berdenyutnya darah yang menanti masa ditumpahkan untuk agama ini. Disebalik kulit kita ini, terdapat titisan-titisan peluh dan keringat yang menanti untuk mengalir keluar demi agama ini.

Nun di sana, kita mengharapkan bumi ini subur dengan manusia-manusia yang tiada apa dihatinya melainkan kecintaan kepada Allah dan Rasul. Generasi-generasi muda yang seperti Ammar bin Yasir, Khalid bin al-Walid, Ali bin Abi Thalib, Abu Ubaidah, Aishah, Sumayyah dan lain-lain lagi.

Muslimin dan muslimat yang dicintai sekalian,

Gerhana akan tinggal sebagai suatu peristiwa dan dicatat dalam buku-buku serta majalah-majalah. Tiada makna disebaliknya jika kita sendiri tidak mengambil iktibar dari kekuasaan Allah SWT tersebut. Allah SWT yang mencipta matahari bersinar gemerlapan, Allah SWT jualah yang mampu memadamnya seketika. Tidak saintis, astronomis lagi tidak mampu. Allah SWT yang mencipta bulan yang berseri dengan cahayanya, Allah SWT jualah yang berkuasa memadamnya buat seketika. Tidak pakar bom atau nuklear, bahkan ahli-ahli astronomi hanya dapat meneropongnya dari muka bumi sahaja. Tidak lebih dari itu. Inilah kekuasaan Allah SWT. Inilah kehebatan Allah SWT. Jika Allah SWT sahaja yang mampu memadamnya buat seketika, maka siapakah lagi yang mampu memadamnya buat selama-lamanya? Tentulah Allah SWT. Ayuh muslimin dan muslimat sekalian, tiada tempat untuk manusia kembali lagi melainkan kepada Allah SWT. Firman Allah SWT:

الذين إذا أصابتكم مصيبة قالوا إن لله وإن إليه راجعون

Maksudnya:
Orang-orang yang apabila mereka ditimpa musibah, maka mereka berkata: Sesungguhnya kami adalah milik Allah, dan kepad-Nyalah kami kembali.”
- Surah al-Baqarah: Ayat 156 -

Muslimin dan muslimat sekalian,

Ingatlah, rahmat dan keampunan Allah SWT itu sangatlah luas jika ingin dibandingkan dengan dosa dan maksiat yang kita lakukan selama ini. Marilah kita perbanyakkan istighfar dan berdoa memohon keampunan dari-Nya.

إن الله غفور رحيم

Maksudnya:
Sesungguhnya Allah itu Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.”

بارك الله لى ولكم بالقرآن العظيم ونفعنى وإيّاكم بما فيه من الآيات و الذكر الحكيم وتقبّل منّي ومنكم تلاوته إنه هو السميع العليم.
اللهم اغفر للمسلمين والمسلمات والمؤمنين و المؤمنات الأحياء منهم والأموات. اللهم أعزّ الإسلام والمسلمين. اللهم انصر الإسلام والمسلمين والمجاهدين الذين يجاهدون في سبيلك يا الله في كل زمان ومكان.
ربنا لا تزغ قلوبنا بعد إذ هديتنا وهب لنا من لدنك رحمة إنك أنت الوهّاب.
ربنا هبلنا من أزواجنا وذرياتنا قرة أعين وجعلنا للمتقين إماما.
ربنا آتنا في الدنيا حسنة وفي الآخرة حسنة وقنا عذاب النار.
عباد الله, إن الله يأمركم بالعدل والإحسان وإيتائ ذى القربى وينهى عن الفحشاء والمنكر البغى يعظكم لعلكم تذكرون. فاذكروا الله العظيم يذكركم, واشكروا على نعمه يزدكم واسألوه من فضله يعطيكم ولذكر الله أكبر والله يعلم ما تصنعون.


1 comment:

Pinky said...

Yuk Gabung Bersama Kami Hanya di RoyalQQ

Minimal Deposit Hanya Rp 15.000

RoyalQQ juga membagikan Bonus TO 0.5% SETIAP HARI!

HADIA JACKPOT Menanti anda^^

Daftarkan segera hanya di RoyalQQ

LINK : https://goo.gl/dQPyud