Thursday, January 5, 2012

Ibu Bapakah Kita?



Khutbah Jumaat
Masjid Jamek al-Najah
Padang Serai
6 Januari 2012

السلام عليكم ورحمة الله تعالى وبركاته

الحمدُ للهِ الَّذي أكملَ لنا الدِّين، وأتمَّ علينا النِّعمةَ، وجعل أُمَّتنا -ولله الحمد- خيرَ أمَّة، وبعث فينا رسولاً منَّا يتلو علينا آياتِه، ويزكِّينا ويعلِّمنا الكتابَ والحكمة.
أحمَدُه على نِعَمِهِ الجمَّة، وأشهدُ أنْ لا إله إلاَّ الله وحدَه لا شريكَ له، شهادةً تكونُ لمنِ اعتصمَ بها خيرَ عِصْمَة، وأشهدُ أنَّ محمَّداً عبدُه ورسولُهُ، أرسله للعالمين رحمة، وفوّض إليه بيانَ ما أُنزِلَ إلينا، فأوضحَ لنا كلَّ الأمورِ المهمَّة، صلَّى الله عليه وسلم وعلى آله وأصحابه صلاةً تكونُ لنا نوراً مِنْ كلِّ ظُلْمةٍ، وسلَّم تَسليماً كثيراً.
أمَّا بعدُ:
فيا أيها المسلمون، أوصيكم وإيّاي بتقوى الله. وقد قال الله تعالى في القرآن العظيم بعد أعوذ بالله من الشيطان الرجيم، باسم الله الرحمن الرحيم:
Maksudnya:
Wahai orang-orang yang beriman, bertaqwalah kamu sekalian kepada Allah dan hendaklah setiap individu memperhatikan apa yang telah diperbuatnya untuk hari esok (akhirat); dan bertakwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan.”
- Surah al-Hashr, ayat 18 -

Hadirin muslimin sekalian,

Mimbar hari ini buat sekian kalinya menyeru kepada seluruh umat Islam yang hadir pada hari ini supaya kita memperbaharui ketaqwaan kita kepada Allah SWT sekali gus meningkatkan keimanan kita kepada-Nya. Tiada jalan lain untuk mencapai keduanya melainkan dengan cara kita melaksanakan segala perintah Allah SWT dan dalam masa yang sama meninggalkan segala larangan-Nya. Mengajak manusia di sekeliling kita supaya melakukan perkara makruf serta mencegah mereka dari melakukan perkara mungkar. Tidak rugi menjadi orang yang bertaqwa. Ini kerana Allah SWT telah menjanjikan kepada orang yang bertaqwa itu dengan nikmat keampunan dari dosa-dosa silam yang telah dilakukannya. Lebih dari itu Allah SWT akan menggandakan lagi ganjaran-Nya kepada golongan muttaqin ini. Firman Allah SWT:

Maksudnya:
Dan barangsiapa yang bertaqwa kepada Allah, nescaya Dia akan menghapuskan kesalahan-kesalahannya dan akan melipat gandakan pahala baginya.”
- Surah al-Talaq, ayat 5 -

Jika kita bertaqwa kepada Allah SWT, kita akan hampir kepada Allah dan dikasihi olehnya. Allah SWT tidak akan membiarkan kekasihnya hidup di atas muka bumi ini dengan penuh kesulitan dan kepayahan. Orang-orang yang bertaqwa akan dipermudahkan urusan mereka di atas muka bumi ini. Ini sebagaimana yang Allah SWT telah nyatakan menerusi firman-Nya:

Maksudnya:
Dan sesiapa yang bertaqwa kepada Allah, nescaya Allah menjadikan baginya kemudahan dalam urusannya.”
- Surah al-Talaq, ayat 4 -

Natijah keberuntungan menjadi orang-orang yang bertaqwa kepada Allah SWT tidak hanya terhenti di dunia semata-mata, bahkan Allah SWT telah menjanjikan ganjaran yang tiada tolok bandingnya kepada mereka di akhirat kelak. Firman Allah SWT:

Maksudnya:
Sesungguhnya orang-orang yang bertaqwa itu berada dalam taman-taman (syurga) dan (berhampiran) mata air-mata air (yang mengalir).”
- Surah al-Hijr, ayat 45 -

Firman Allah SWT lagi:

Maksudnya:
Sesungguhnya orang-orang yang bertaqwa itu berada dalam naungan (yang teduh) dan (di sekitar) mata-mata air.”
- Surah al-Mursalat, ayat 41 -

Jika kita masih tidak mampu membayangkannya, dengarkanlah firman Allah SWT yang berikut:

Maksudnya:
Perumpamaan jannah yang dijanjikan kepada orang-orang yang bertaqwa ialah  di dalamnya terdapat sungai-sungai dari air yang tiada berubah rasa dan baunya, sungai-sungai dari air susu yang tidak berubah rasanya, sungai-sungai dari khamar yang lazat rasanya bagi para peminumnya dan sungai-sungai dari madu yang disaring; dan mereka memperoleh di dalamnya segala macam buah-buahan dan keampunan dari Rabb mereka, sepertimana dengan orang yang kekal dalam Jahannam dan diberi minuman dengan air yang mendidih sehingga menyincang (hancur) ususnya?
- Surah Muhammad, ayat 15 -

Apakah setelah mendengar ayat-ayat Allah SWT kita masih lagi teragak-agak untuk bertaqwa kepada-Nya? Ingatlah bahawa orang-orang yang tidak ragu terhadap al-Quran, maka mereka itulah orang yang bertaqwa. Firman Allah SWT:

Maksudnya:
Dan sesungguhnya al-Quran itu benar-benar menjadi suatu pelajaran bagi orang-orang yang bertaqwa.”
- Surah al-Haaqqah, ayat 48 -

Hadirin Jumaat yang dikasihi,

Hari ini ialah Jumaat yang pertama bagi tahun ini, tahun 2012. Sehingga hari ini, suasana masyarakat dunia masih lagi dalam mod kegembiraan menyambut tahun baru. Walaupun kita umat Islam mempunyai kiraan tahun Hijrah dan tersendiri, namun realiti yang kita lihat baru-baru ini ialah sebahagian besar yang menyambut tahun baru Masihi ini ialah orang-orang Islam. Ketika mereka menyambut 1 Januari 2012, majoriti mereka tidak tahu pun apakah tarikh Hijri pada hari tersebut.

Ya, memang benar menyambut tahun Masihi tidak salah dan harus di sisi syarak. Namun apa yang ingin mimbar fokuskan di sini ialah nilai yang ada dalam diri individu muslim tersebut. Mereka menyambutnya bukan kerana sejarah, tidak juga kerana tamadun atau nilai sosial masyarakat, bahkan kebanyakannya menyambut semata-mata kerana hiburan dan ingin memenuhi kehendak nafsu semata-mata. Umat Islam kebanyakannya terpengaruh dengan budaya-budaya negatif dari barat. Lantaran itu, pembaziran yang melampau dapat dilihat melalui konsert-konsert dan pameran bunga api. Pada malam yang sama juga runtuhlah tembok akhlak muda mudi, pergaulan berlaku dengan sangat bebas. Botol-botol arak bertaburan di merata-rata, pasangan kekasih bergelimpangan dan berlakunya perzinaan. Tidak sedikit pasangan kekasih muda-mudi ini yang menyambut tahun baru dengan ciuman dan saling berpelukan.

Muslimin yang dikasihi sekalian,

Persoalan yang ingin di timbulkan di sini ialah, mengapakah berleluasanya perlakuan sedemikian? Di manakah nilai Islam dan iman itu dalam diri umat Islam masa kini? Di manakah silapnya? Apabila kita telusuri semula dan mengamatinya dengan pancaindera kita, kita akan mendapati puncanya ialah kelemahan dalam tarbiyah dan pendidikan Islam dalam diri mereka sejak dari kecil. Kita lihat bagaimana sekarang ini di media-media hangat dengan isu ibu bapa berlaku zalim terhadap anak-anak mereka. Anak-anak dikenakan hukuman yang sangat berat hasil daripada kesilapan mereka yang terlalu kecil. Mereka dimaki hamun, dipukul, dan dikurung. Apakah ini didikan yang sebenar untuk mendisiplinkan anak? Nyata di sini bahawa kebanyakan masyarakat kita masih lagi belum bersedia dari aspek ilmu dan psikologi keibubapaan. Tua dari aspek fizikal untuk bernikah kahwin, tetapi tidak matang dalam ilmu dan iman. Hasilnya anak tersebut bukan mendapat didikan, namun sebaliknya menjadi ternakan ibu bapanya semata-mata.

Minggu ini juga adalah minggu awal persekolahan baik sekolah menengah mahu pun sekolah rendah. Ramai ibu bapa menyerahkan sepenuhnya tugas mendidik anak-anak mereka di tangan guru-guru di sekolah. Andai kata anak mereka tidak menjadi, terlibat dengan gejala negatif, maka guru-guru akan dipersalahkan lebih-lebih lagi guru agama. Ada yang mengatakan guru ini tidak pandai mengajar, tidak peduli pada anak murid, sambil lewa, dan sebagainya. Itulah realitinya. Namun pernahkah mereka terfikir situasi dan keadaan yang dialami oleh guru-guru tersebut. Seorang guru, ustaz, atau ustazah di sekolah berhadapan dengan berpuluh-puluh lagi murid yang lain yang juga menuntut perhatian terhadap mereka di samping bebanan tugas sedia ada. Dengan kudrat yang terhad, apakah mereka boleh diharapkan sebagai pemain utama dalam mendidik anak-anak kita? Bahkan kita di rumah tidak membantu langsung kepada pembinaan ilmu dan akhlak anak-anak. Tidak kurang juga ada yang memperkecil dan memperlekehkan ilmu-ilmu yang disampaikan oleh guru kepada anaknya.

Muslimin yang dirahmati Allah,

Anak adalah merupakan anugerah yang tidak ternilai yang dikurniakan Allah SWT kepada kita. Cuba bayangkan, ada dalam kalangan kita yang telah lama berkahwin, namun belum dikurniakan zuriat oleh Allah SWT. Mereka bukan tidak mahu anak, tetapi perancangan Allah SWT mengatasi segala-galanya. Allah SWT mengurniakan zuriat kepada kita adalah berdasarkan kemampuan seseorang. Ada yang layak untuknya mempunyai anak yang sedikit dan ada pula yang dikehendaki oleh Allah SWT anaknya ramai. Ini bukanlah soal kemampuan dari sudut harta iaitu orang kaya maka anaknya ramai dan sebaliknya orang miskin maka anaknya sedikit. Namun ia adalah soal kemampuan seseorang untuk menghadapinya iaitu anak tersebut sebagai rezeki dan dalam masa yang sama sebagai ujian dari Allah SWT.

Bukanlah soal anak itu menjadi atau tidak apabila dewasa, tetapi persoalan utamanya ialah adakah ibu bapanya sedaya upaya mendidik anak-anaknya sebagaimana yang dikehendaki Islam. Anak Nabi Nuh a.s sendiri telah kufur dan derhaka kepada Allah SWT dan bapanya, namun Allah SWT tidak menyalahkan Nabi Nuh a.s. Ini kerana, Baginda telah melaksanakan segala yang diperintahkan Allah kepadanya dengan sepenuh hati termasuklah mendidik anaknya. Firman Allah SWT:

Maksudnya:
Allah berfirman: Wahai Nuh, sesungguhnya dia bukanlah termasuk keluargamu (yang dijanjikan akan diselamatkan), sesungguhnya (perbuatan)nya adalah perbuatan yang tidak baik. Maka janganlah kamu memohon kepada-Ku sesuatu yang kamu tidak mengetahui (hakikat)nya. Sesungguhnya Aku memperingatkanmu supaya kamu tidak termasuk orang-orang yang jahil.”
- Surah Hud, ayat 46 -

Hadirin Jumaat yang dirahmati Allah,

Dalam mendidik anak-anak, kita tidak ada contoh yang lain untuk diikuti melainkan kita meneladani apa yang telah dilakukan dan diperintahkan oleh Rasulullah s.a.w. Dalam hayatnya, Baginda adalah seorang yang sangat menyantuni kanak-kanak. Ini sebagaimana yang telah dinyatakan oleh al-Imam al-Bukhari r.h menerusi Sahihnya:

عَنْ أَنَسِ بْنِ مَالِكٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ أَنَّهُ مَرَّ عَلَى صِبْيَانٍ فَسَلَّمَ عَلَيْهِمْ وَقَالَ كَانَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَفْعَلُهُ
Maksudnya:
Dari Anas bin Malik r.a bahawa ketika beliau berjalan melalui sekumpulan kanak-kanak, maka beliau akan mengucap salam kepada mereka dan berkata: Dahulu, Nabi s.a.w telah berbuat sedemikian.”

Hadirin Jumaat yang dikasihi,

Jika rasul boleh memberi salam kepada anak-anak, mengapa kita umatnya tidak berbuat demikian? Adakah lantaran ego dan sombong pada status yang ada pada diri? Adakah dengan kesombongan tersebut maka kanak-kanak akan menghormati kita? Percayalah, anak-anak tidak akan memandang mulia sedikit pun kepada ayahnya yang berjawatan tinggi tetapi tidak mengasihi mereka. Dan dalam masa yang sama juga anak-anak ini tidak akan memandang hina kepada ayahnya yang hanya menjadi kuli, orang suruhan, atau pengemis namun dalam jiwanya sarat dengan kasih sayang. Tiada gunanya kita mulia dan dihormati orang ramai tetapi tidak daripada anak sendiri.

Asas didikan itu bermula dengan perasaan kasih dan sayang. Apabila wujud kasih dan sayang, ia akan membuahkan usaha dan kesungguhan yang luar biasa dari kita sebagai ibu bapa dan pendidik. Ia bukan lagi soal budi dibalas atau tidak apabila tua kelak, jasa dikenang atau dilupakan apabila sakit kemudian hari, namun kebahagian melihat berkembangnya generasi Islam baru yang tulen. Mereka ini akan berpotensi besar mengembalikan semula kegemilangan Islam yang telah lama terkubur. Mendaulatkan kembali kalimah Allah SWT dan meletakkannya setinggi mungkin di mata masyarakat dunia. Kita akan pasti bahagia lantaran tangan-tangan kita, keringat kita, masa dan wang ringgit kita pernah dihabis dan dilaburkan ke arah terbentuknya generasi tersebut.

Dalam mendidik anak-anak, di samping kasih sayang dan manja yang diberikan. Perlu juga ada ketegasan. Namun ia bukanlah secara membabi buta sehingga berubah menjadi penderaan dan kezaliman. Al-Imam Abu Dawud r.h telah meriwayatkan:

عَنْ عَمْرِو بْنِ شُعَيْبٍ عَنْ أَبِيهِ عَنْ جَدِّهِ قَالَ :قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مُرُوا أَوْلَادَكُمْ بِالصَّلَاةِ وَهُمْ أَبْنَاءُ سَبْعِ سِنِينَ وَاضْرِبُوهُمْ عَلَيْهَا وَهُمْ أَبْنَاءُ عَشْرٍ وَفَرِّقُوا بَيْنَهُمْ فِي الْمَضَاجِعِ
Maksudnya:
Dari ‘Amr bin Shu’ayb, dari bapanya, dari datuknya, katanya, Rasulullah s.a.w bersabda: Perintahkanlah anak-anak kamu dengan solat ketika mereka berusia tujuh tahun. Dan pukullah mereka atas perintah tersebut ketika mereka berusia sepuluh tahun. Pisahkanlah tempat tidur antara mereka (iaitu lelaki dan perempuan).”
(Hadis ini dinilai Hasan Sahih oleh al-Albani)

Nabi s.a.w telah mengajar kita bahawa dalam mendidik anak-anak, terdapat peringkat-peringkat yang perlu dilalui. Merempuhnya secara membabi buta akan menyebabkan berlakunya kerosakan dan kecacatan dalam mendidik anak-anak. Menyuruh anak bersolat dalam hadis tersebut adalah perintah dari Rasulullah kepada seluruh ibu bapa Muslim. Ia bukannya sekali dua, namun sentiasa berterusan semenjak anak itu berusia tujuh tahun atau dalam konteks pendidikan negara kita sekarang ialah darjah satu. Dalam hal ini, ibu bapa perlu mempunyai minda kreatif dalam menyuruh dan menggalakkan anak supaya solat. Sekadar menyuruh semata-mata ketika masuk waktu solat bukanlah sebagaimana yang dikendaki oleh hadis. Usaha yang giat ini dilaksanakan selama tiga tahun tanpa sebarang hukuman berat yang dikenakan kepada anak tersebut hinggalah dia berusia sepuluh tahun. Ini kerana pada usia ini anak-anak tersebut sudah baligh atau hampir baligh. Maka kesan dosa meninggalkan solat adalah besar dan ditanggung oleh diri anak itu sendiri.

Secara logiknya, adakah setelah mendapat didikan seperti itu anak-anak tersebut akan meninggalkan solat? Ya, mungkin sekali atau dua kali. Namun mereka meninggalkannya bukan kerana kehendak atau keinginan diri melainkan hanya kerana masalah dalam menguruskan disiplin harian diri. Pun begitu, sebatan yang diberikan bukanlah tujuan mendera dan berlaku zalim. Ia dilakukan bertujuan memberikan sedikit peringatan supaya perkara yang sama tidak berulang.

Pada usia yang sama juga iaitu sepuluh tahun, Nabi s.a.w memerintahkan anak-anak ini tadi diasingkan tempat tidur mereka antara lelaki dan perempuan. Ini bagi menutup ruang-ruang yang memungkinkan berlakunya sumbang mahram dalam rumah tangga.

Jelas di sini, Rasulullah s.a.w menekankan dua aspek yang sangat penting ini kepada setiap anak-anak muslim. Pertamanya ialah solat iaitu hubungan antara manusia dengan Allah SWT. Al-Imam al-Nasa’i meriwayatkan:

عَنْ جَابِرٍ قَالَ :قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ لَيْسَ بَيْنَ الْعَبْدِ وَبَيْنَ الْكُفْرِ إِلَّا تَرْكُ الصَّلَاةِ
Maksudnya:
Dari Jabir katanya, Rasulullah s.a.w bersabda: Tiadalah (perbezaan) antara orang yang abid dengan orang yang kufur melainkan meninggalkan solat.”
(Hadis ini dinilai sahih oleh al-Albani)

Perkara yang keduanya ialah membataskan pergaulan iaitu antara manusia dengan manusia. Jika sesama adik-beradik pun Islam telah perintahkan untuk tidur berasingan semenjak kecil, maka apakah wajar Muslim yang telah dewasa yang tidak ada apa-apa pertalian tidur sebilik atau sekatil tanpa ada sebarang ikatan yang sah di sisi syarak? Marilah sama-sama kita ambil iktibar darinya. Dua asas ini adalah kunci kepada pembinaan akhlak seseorang Muslim. Jika kita mengabaikan salah satu darinya semenjak anak-anak kita di usia rebung, maka sediakanlah sebanyak mungkin tisu dan minyak untuk mengesat air mata dan mengurut dada ketika usia tua kelak.

بارك الله لي ولكم بالقرآن العزيز، ونفعني وإيّاكم بما فيه من الآيات و الذكر الحكيم، و تقبّل منّي ومنكم تلاوته إنه هو السميع العليم. أقول قول هذا وأستغفر الله العظيم لي ولكم ولسائر المسلمين والمسلمات والمؤمنين والمؤمنات برحمتك يا أرحم الراحمين. فاستغفروه فيا فوز المستغفرين ويا نجاة التائبين.


2 comments:

Anonymous said...

Ibu bapa digalakkan menjaga pakaian anak-anak sejak kecil. Baju muslimah contohnya, sekarang sangat cantik. Boleh memantapkan iman anak-anak kita. Sejak kecil lagi dah mantap, apatah lagi bila besar nanti. Ustaz, saya memang sedih tengok setiap ulang tahun masihi, remaja kita macam tak ingat dunia. Pakaian sangat menjolok iman. Buta sungguh mereka dengan pengetahuan agama. Fahamkah bapa-bapa kita ketika mendengar khutbah Jumaat atau sibuk melayan lena? Tak cukup dengan itu, kita fotokopi salinan nasihat dan edarkan di surau-surau dan masjid-masjid. Ini dapat beri pengetahuan agama yang jelas dan dapat disimpan di dalam kocek lalu di bawa ke rumah.

Anonymous said...

Ini contoh kedai baju muslimah jika ibu bapa susah nak cari baju yang sesuai untuk anak-anak. Cuba kita yang mulakannya. Maaf ustaz saya promote sikit. Insya Allah.

customadeshop.com