Saturday, January 17, 2009

PMIUM kesal tempat ibadah dihina




Kejadian pada waktu sebelum subuh 16 januari 2009 merupakan kejadian yang sangat besar impaknya terutama pada umat Islam keseluruhannya. Penemuan kepala khinzir di dalam surau di Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya adalah penghinaan yang paling besar kepada seluruh umat Islam. Kami di pihak mahasiswa Islam mengecam perbuatan yang sangat zalim, biadap serta perbuatan mencela seperti ini.

Ini menunjukkan terdapat sesetengah pihak yang berani secara terang-terangan menghina tempat ibadah yang menjadi lambang kesucian agama Islam itu sendiri. Surau dan Islam sinonim. Surau adalah tempat ibadat orang Islam, surau menjadi tempat yang suci dan murni. Tempat di mana ibadah khusus dilakukan sepanjang hari di sini. Tambahan pula di sinilah tempatnya para ilmuan menunaikan kewajipan sehari-harian.


Sekarang ini, kita hanya menunggu laporan kajian dari pakar forensik berhubung kejadian ini serta siasatan lanjut polis mengenai kes ini. Namun, kami di pihak PMIUM sendiri tidak mahu kejadian yang seumpama ini berlaku buat kedua kalinya. Siasatan lanjut perlu diteruskan untuk mencari siapakah dalang yang bertanggunjÙ„awab menghina rumah Allah ini. Seterusnya kita berdoa dan memohon petunjuk dari Allah agar dapat memberi pengajaran serta balasan setimpal bagi sesiapa yang melakukannya.


Di pihak kami, tindakan seperti ini adalah tidak wajar sama sekali. Di dalam undang-undang sekalipun, penghinaan kepada sesuatu agama itu adalah di larang sama sekali. Inilah tindakan biadap yang berlaku di akhir zaman yang penuh fitnah serta dugaan ini. Kepada seluruh umat Islam marilah kita sama-sama memanjatkan doa agar Allah memberikan pengajaran setimpal bagi sesiapa yang telah menghina rumahNYA serta menghina tempat ibadah bagi seluruh umat Islam.


Friday, January 9, 2009

Kami BERSAMAMU Palestin


Hari ini masih lagi berterusan serangan Israel ke semenanjung Gaza khususnya dan amnya ke atas negara Palestin. Darah yang berlumuran terpercik dari tubuh-tubuh yang tidak berdosa. Inilah bukti kezaliman yang nyata, hingga sanggup mengorbankan ratusan nyawa serta menyebabkan ribuan mengalami kecederaan. Sungguh memilukan apabila mendapat perkhabaran adanya kanak-kanak yang menjadi mangsa peperangan ini.

“Lima anak perempuan bersaudara sedang tertidur lelap ketika sebuah serangan udara Israel menghentam sebuah masjid di sebelah rumah mereka di Gaza. Salah satu reruntuhan dinding masjid jatuh ke atas atap rumah kecil mereka, dan mereka semua terbunuh semasa mereka tidur. Yang tertua, Tahrir, berusia 17 tahun, dan yang termuda, Jawahir, masih berusia empat tahun”

Begitulah antara berita yang sungguh menyayat hati. Namun yang belum diketahui perkhabarannya tentu lebih dahsyat daripada ini. Sehingga hari ini telah dilakukan siri-siri demonstrasi untuk menuntut keadilan dan keamanan di bumi Palestin. Yang terbaru adalah di hadapan kedutaan Mesir yang dihadiri oleh mahasiswa di seluruh pelosok negara. Demonstrasi ini adalah untuk mendesak kerajaan Mesir dibawah pimpinan Hosni Mubarak. Penutupan pintu sempadan Refah telah menyebabkan bantuan makanan dan kemanusiaan tidak dapat masuk ke Gaza. Inilah yang memilukan hati umat Islam bila mana sebuah kerajaan Islam dilihat bersekongkol dalam keganasan ini secara tidak lansung. Bayangkanlah keadaan saudara kita di Palestin, yang perlukan bantuan, yang perlukan makanan dan perlukan tempat perlindungan.

Jumaat, 9 Januari juga menjadi tarikh apabila dianggarkan 5000 umat Islam berkumpul di kedutaan Amerika Syarikat untuk menunjukkan tanda protes. Berikut merupakan petikan akhbar menunjukkan situasi yang berlaku pada petang jumaat yang mulia ini.

(Pelbagai slogan dan sepanduk dinaikkan antaranya "Boikot Produk Amerika" "Stop Holocaust in Palestine" dan "Support Palestin" di samping laungan kemarahan orang ramai seperti "Jahanam Israel!" "Hancur Yahudi!" berkumandang di pekarangan kedutaan tersebut yang turut menarik perhatian dan menjadikan Jalan Tun Razak Kuala Lumpur sesak oleh kenderaan-kenderaan yang terpaksa berhenti memberi laluan kepada perhimpunan tersebut.)
Sumber:harakahdaily.net

Kehadiran orang ramai ini menunjukkan kebersamaan umat Islam terutamanya untuk rakyat Palestin yang hingga hari ini tidak aman serta dizalimi oleh zionis laknatullah. Untuk akhirnya, marilah sama-sama kita membaca doa Qunut Nazilah di setiap kelapangan waktu demi kesejahteraan seluruh umat Islam tidak kira walau dimana mereka berada.

"Ya ALlah, kami letakkan kamu di batas leher musuh kami, dan kami berlindung
denga-Mu dari kejahatan mereka, ya Allah! leburkan kumpulan mereka, cerai
beraikanlah pakatan mereka, goncanglah pendirian mereka, hantarkan
anjing-anjing kamu ke atas mereka, wahai Tuhan yang penuh raksaksa, wahai Tuhan
yang gagah perkasa, wahai Tuhan yang bersifat murka, ya ALlah, ya ALlah, ya
ALlah, wahai Tuhan yang menurunkan kitab, wahai Tuhan yang mengerakkan awan,
wahai Tuhan yang menewaskan bala tentera al-Ahzab, kalahkan mereka,
menangkanlah kami keatas mereka"


~Sejahtera bersama PMIUM~

Thursday, January 1, 2009

PERUTUSAN SEMPENA SEMESTER BARU; AZAM BARU DI TAHUN BARU

Bismillahirrahmanirrahim....

Bersyukur kita kehadrat Ilahi kerana dengan keizinanNYA jua dapat kita terus meneruskan lagi perjalanan hari-hari kita di atas muka bumi ini. Semester baru sudahpun bermula, seharusnya kita telahpun bersedia untuk pulang ke kampus serta meneruskan lagi sesi pembelajaran kita untuk sesi 2008/2009 ini. Tahniah diucapkan kepada mahasiswa mahasiswi yang mendapat keputusan yang cemerlang dalam peperiksaan yang lalu. Teruskan usaha untuk mencapai kejayaan yang lebih cemerlang di masa yang mendatang. Bagi yang mengalami sedikit penurunan dalam prestasi akademik pula, janganlah kecewa kerana masa masih ada untuk memperbaikinya. Jadikanlah kegagalan sebagai pencetus kepada kejayaan yang cemerlang.

Walau apapun prestasi akademik yang dicatatkan sebelum ini, apa yang penting adalah ilmu yang didapati serta pengaplikasiannya. Ilmu yang tidak diamalkan adalah seperti pohon yang tidak berbuah. Oleh itu, haruslah kita semua mengamalkan ilmu-ilmu yang dipelajari terutamanya yang berkaitan dengan kehidupan seharian. Semester baru kali ini bertepatan dengan permulaan tahun baru hijrah dan tahun baru Masihi. Oleh itu, sebagai mahasiswa terutamanya mahasiswa Islam perlulah menanamkan azam yang ingin dicapai pada tahun ini. Sememangnya bagi umat Islam perlulah hari esok lebih baik daripada hari ini.

Sahabat-sahabat sekalian,

Marilah kita menjadikan semester ini merupakan semester yang paling baik yang pernah kita lalui sepanjang bergelar mahasiswa. Tingkatkan pencapaian di samping meningkatkan jua tahap keimanan dalam diri kita. Jika sebelum ini, terdapat banyak perkara sia-sia yang dilakukan maka tinggalkanlah.Untuk mencapai pencapaian yang cemerlang seharusnya kita dapat mengurus diri dengan baik. Apabila pengurusan diri kita baik maka akan baik jugalah pengurusan akademik, organisasi dan sebagainya.

Antara prasyarat kejayaan yang dinyatakan oleh sebilangan pakar motivasi ialah mempunyai paradigma yang betul, mencapai tahap kematangan, efisyen dan efektif serta berterusan dalam meningkatkan sesuatu. Oleh yang demikian, menjadi kewajipan kita untuk sentiasa bermuhasabah dalam meningkatkan pencapaian kita. Di sini, suka untuk saya berkongsi formula untuk berjaya iaitu 3 S.

  1. Struggle-sentiasa berusaha dalam sesuatu perkara
  2. Stable- sentiasa berterusan
  3. Success- barulah kejayaan dapat di capai.

Rakan-rakan sekalian,

Pernahkah kita berjumpa dengan teori iceberg? Dalam teori ini Internal atau dalaman atau yang disebut rohani itulah yang memainkan peranan dalam menzahirkan External ataupun perbuatan seseorang. Dalam Al-Quran sendiri, kita akan menemukan banyak sekali ayat-ayat yang menyentuh aspek kerohanian begitu juga di dalam hadis. Terdapat hadis yang menyatakan di dalam diri manusia ada seketul daging jika baik daging itu maka baiklah keseluruhannya dan jika buruk daging itu maka buruklah keseluruhannya dan daging itu adalah hati.

Dalam kita meneruskan sesi pembelajaran pada sesi ini, mungkin ramai yang tertanya-tanya bilakah akan berlakunya pilihanraya kampus di Uni Perdana yang kita cintai ini. Pilihanraya ini mungkin akan berlaku dalam jangka masa yang terdekat ini. Oleh itu, marilah kita bersama-sama menanamkan kesedaran dalam diri kita untuk menunaikan tanggungjawab untuk memilih kepimpinan yang akan mencorakkan universiti pada masa akan datang. Kepimpinan yang boleh diharapkan serta mampu membawa gelombang perubahan serta yang boleh dipercayai.

Sebagai sebuah Universiti yang mengamalkan sistem demokrasi maka perlulah menyerahkan kepada tangan mahasiswa sendiri untuk menentukan kepimpinan yang akan membawa suara-suara mahasiswa kepada pihak pentadbiran Universiti. Semoga sesi kepimpinan akan datang akan membawa sinar harapan buat semua mahasiswa-mahasiswi di universiti yang kita cintai ini.

Akhirnya, saya berseru pada diri saya serta seluruh warga kampus untuk terus menjadikan tahun 1430 Hijrah serta tahun 2009 Masihi sebagai tahun untuk terus berusaha. Semoga kita semua mencapai kejayaan hidup di dunia dan juga di akhirat kelak.

Wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Saturday, November 8, 2008

PMIUM mengalukan kedatangan Naib Cancelor baru

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh,

PMIUM selaku persatuan di Universiti Malaya ingin mengalu-alukan kedatangan Naib Canselor baru bagi Universiti Malaya, Prof Datuk Gauth Jasmon. Semoga kedatangan beliau akan menaikkan lagi taraf Universiti Perdana yang kita semua cintai ini. Bonda Rafiah Salim sebelum ini melafazkan rasa terkilannya kerana kontraknya tidak disambung. Namun, beliau pasrah serta mengharapkan agar penggantinya akan berusaha lebih keras demi memastikan UM terus unggul.

"Bagaimanapun, saya akur dengan keputusan ini dan berharap supaya pengganti saya berusaha keras bagi memastikan kedudukan UM terus pada tahap tertinggi serta disanjung ramai," katanya ketika ditemui Berita Harian pada majlis perpisahannya pada 7 November yang lalu. Berikut merupakan amanat berharga daripada bekas Naib Canselor yang ke-9 ini.

Air mata perpisahan dari bonda sebelum melepaskan jawatannya

Ayahanda Naib Canselor

Semoga kedatangan Prof Datuk Gauth akan memberi erti yang besar dalam membawa perubahan serta memantapkan lagi pentadbiran di Universiti Malaya. Salam perjuangan daripada Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Malaya.

~Sejahtera Bersama PMIUM~

Friday, October 24, 2008

PERUTUSAN YANG DIPERTUA PERSATUAN MAHASISWA ISLAM UNIVERSITI MALAYA SEMPENA PEPERIKSAAN AKHIR SEMESTER

Bismillahirrahmanirrahim.....

Pertama dan selamanya marilah kita bersyukur kehadrat Ilahi kerana dengan keizinanNYA jualah dapat kita meneruskan hari-hari kita sampai ke saat ini. Alhamdulillah wabihi nasta’in wa ‘alaihi tawakkalna wahua Rabbul ‘arsyil ‘azim. Dengan Izin Allah juga, dapat lagi kita menempuhi satu lagi cabaran yang kecil dalam kehidupan kita ini. Cabaran dan ujian ini yang menguji sejauh manakah kita telah berusaha seterusnya bertawakal dalam mencari ilmu pengetahuan untuk kegunaan kita di dunia mahupun di akhirat kelak.

Di sini, inginlah kiranya untuk saya menyeru diri saya serta sahabat-sahabat semua untuk menggunakan peluang yang ada untuk terus utuh bergantung pada Allah. Percaya dan yakinlah bahawa setiap yang dikurniakan kepada kita merupakan nikmat atau ujian adalah untuk menentukan siapakah antara kita yang paling bertakwa di sisi Allah. Seperti yang kita sedia maklum tinggal beberapa minggu sahaja lagi kita akan menempuh peperiksaan akhir semester. Di harapkan agar kita bersedia serta sentiasa meletakkan pergantungan kita hanya kepada Allah semata-mata.

Seterusnya, marilah kita memperbanyakkan solat. Antara solat yang seharusnya kita lakukan ialah solat tahajud, solat hajat, solat istikharah dan pelbagai lagi solat sunat. Sememangnya solat ini mempunyai pelbagai hikmahnya dan akan menenangkan hati sesiapa yang mengerjakannya. Semoga dengan amal ibadah yang kita lakukan ini membolehkan ilmu yang kita dapati akan mudah untuk meresap ke dalam jiwa kita seterusnya akan membuatkan kita ingat sampai bila-bila. Solat juga akan memberi ketenangan kepada hati dan memudahkan kita menerima ilmu selain mempertajamkan akal. Inilah antara usaha yang dapat kita lakukan selain daripada mengulangkaji pelajaran, membuat soalan-soalan yang lepas serta melakukan rujukan.

Sahabat-sahabat sekalian,

Selain daripada solat, antara amalan yang harus kita amalkan ialah doa. Doa merupakan senjata orang mukmin. Melalui doa seseorang boleh meminta apa yang dihajati kepada Pencipta secara lansung. Seperti yang termaktub dalam ayat al-Quran yang bermaksud “Berdoalah kepadaKU, nescaya akan Aku perkenankan”. Lihatlah betapa besarnya kesan doa dalam kehidupan kita sebagai orang Islam. Sebagai seorang yang beriman maka sewajarnyalah untuk kita menggunakan wasilah yang telah dibentang di hadapan kita sebagai satu cara untuk kita lebih mendekatkan diri kepada Allah s.w.t.

Untuk akhirnya, ingin saya kongsikan di sini bahawa “ Success is a journey not a destiny”. Marilah kita sama-sama mencapai kecemerlangan di dunia dan di akhirat. Selamat menempuh peperiksaan akhir semester.Lakukan yang terbaik demi agama, bangsa dan negara. Wabillahi taufik wal hidayah wassalamua`alaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Sekian, moga kejayaan mejadi milik kita.

Thursday, October 23, 2008

Aplikasi Sirah Nabi Muhammad S.A.W. dalam Usrah dan Tamrin




Seiring dengan pembangunan yang sedang berlaku dewasa ini, kita sangat menyedari betapa Islam itu sedang dihunjam dan diserang dari pelbagai penjuru, sama ada dengan peluru yang mensasarkan kepada anggota fizikal, mental, kebudayaan mahupun terhadap sensitiviti umat Islam itu sendiri. Kita juga sedang menyaksikan berlakunya pertarungan di antara iman dan kufur, Islam dan jahiliyah yang terus-menerus berlangsung mengikut metod pada zaman masing-masing. Hal yang demikianlah merupakan antara sebab mengapa kita perlu berdepan dengan cara, taktik dan strategi yang sentiasa diubah oleh musuh Islam.

Antara senjata utama umat Islam dalam persediaan awal menghadapi serangan-serangan ini adalah melalui usrah dan tamrin. Apa itu usrah dan tamrin? Secara ringkasnya, usrah ialah kelompok manusia yang beriman dengan Islam dan berusaha tolong-menolong sesama sendiri untuk memahami dan menghayati Islam, sementara tamrin ialah kursus atau program yang dibuat bertujuan untuk melengkapkan kefahaman tentang tajuk-tajuk tertentu atau kemahiran-kemahiran tertentu seperti pengurusan organisasi, pengurusan dakwah, tarbiah dan sebagainya.

Sorotan terhadap sirah Rasulullah S.A.W. secara jelas telah membuktikan keberjayaan atau kecemerlangan umat Islam pada masa itu adalah melalui usrah dan tamrin. Kepentingan usrah ini tidak dinafikan lagi kerana pada awal perjuangan Rasulullah S.A.W., baginda sangat mengambil berat tentang usrah di samping baginda bergerak dalam keadaan sirriah (sembunyi). Peranan Rasulullah sebagai murabbi (pendidik) dapat dilihat apabila Rasulullah memilih rumah Arqam bin Abi Al-Arqam sebagai tempat untuk menjalankan usrah. Di sinilah proses pentarbiahan berlangsung. Arqam merupakan seorang budak kecil yang memang tidak dijangka oleh orang kafir bahawa Rasulullah melaksanakan usrah di rumahnya. Ini merupakan taktik Rasulullah S.A.W.

Proses tarbiah Islamiah adalah satu proses pendidikan dan pembentukan yang bukan semata-mata satu proses pembelajaran ilmu, tetapi merupakan satu medan untuk ahlinya bersama-sama menjalani satu proses pembentukan yang dibina di atas semangat al-ukhuwwah al-Islamiyah. Rasulullah S.A.W. sebagai murabbi telah bertindak mentarbiah ahli keluarga dan para sahabatnya selaku mutarabbi (orang yang dididik) menggunakan manhaj atau garis panduan berasaskan al-Quran. Pentarbiahan baginda pada peringkat awal dilakukan secara sirriah memandangkan biah (suasana) masyarakat Quraisy ketika itu yang menyembah berhala dan hidup dalam keadaan serba kegelapan. Justeru, keadaan sebegini tentulah tidak memungkinkan mereka untuk menerima suatu ajaran baru yang dianggap bertentangan dengan kepercayaan mereka selama ini. Maka, Rasulullah terpaksa menggunakan pendekatan dakwah secara rahsia selama tiga tahun kepada ahli keluarga dan kaum kerabat baginda terlebih dahulu dalam tempoh ini.

Jelas di sini bahawa usrah dan tamrin merupakan dua bentuk latihan tarbiah yang terpenting buat umat Islam, di samping majlis-majlis ilmu dan siri ceramah yang diadakan. Di dalam unit usrahlah ahli dididik, permasalahan dirungkai dan terbinalah ukhuwah yang terikat kuat. Ahli usrah yang telah ditarbiah oleh para naqib akan bersedia menghadapi perjuangan membina benteng pertahanan Islam laksana bunyanun marsus, iaitu sebuah bangunan yang tersusun kukuh seperti yang disebut di dalam al-Quran. “Sesungguhnya Allah SWT amat mengasihi orang-orang yang berperang pada jalan-Nya dalam barisan yang teratur rapi, seolah-olah mereka seperti sebuah bangunan yang tersusun kukuh.” (As-Saff: Ayat 4) Juga, melalui tamrinlah, latihan dan persediaan digarap sebelum terjun ke tengah gelanggang masyarakat bagi memimpin mereka menghadapi pelbagai serangan Barat dan umat Islam sendiri, khasnya golongan sekular.

Usrah sebagai unit tarbiah terpenting berperanan mendidik ahli dan menyediakan barisan kepimpinan akan datang. Melaluinya, ahli akan ditarbiah supaya memiliki rasa tanggungjawab di hadapan Allah SWT, mentarbiah ahli supaya sentiasa bermuraqabah (menghampirkan diri) kepada Allah SWT, dan mewujudkan hubungan langsung ahli kepada al-Quran dan sunnah Nabi S.A.W. Kesemuanya ini akan membentuk perwatakan ahli ke arah beriltizam dengan akhlak al-Quran dan menjauhi maksiat. Demikianlah, unit-unit usrah tadi akan berhimpun pula dalam program tamrin yang diadakan dari semasa ke semasa untuk membentuk dan menyelaraskan fikrah ahli ke arah menuju matlamat menegakkan Islam.

Hal ini adalah selaras dengan misi tarbiah PMIUM (Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Malaya) yang mahu memperkasakan kelangsungan tarbiah dengan lebih dinamik, iaitu menjadikan tarbiah sebagai tunjang kepada gerakan persatuan, di samping mampu membuat penyesuaian serta melakukan pembaharuan dan kemajuan di dalam dan di luar kampus. Selain itu, ia adalah selari dengan objektif tarbiah PMIUM, iaitu memasyarakatkan tarbiah PMIUM kepada warga kampus dan menerapkan pendidikan tarbiah, siasah,dan dakwah secara bersepadu.

Justeru, usrah dan tamrin ternyata merupakan mekanisme berkesan dalam mendidik masyarakat kampus untuk mengenali dan memahami Islam dengan cara terbaik. Ini adalah kerana menjadi tanggungjawab setiap individu Muslim untuk bersama-sama berusaha mempertingkatkan ilmu, kefahaman, amalan dan penghayatan Islam terhadap saudara seagamanya. Dengan demikian, Islam akan mampu tertegak dan dipertahankan di muka bumi ini kerana panglima-panglimanya yang sentiasa bersiaga dan bersedia menghadapi apa jua tentangan!

Monday, October 13, 2008

Perkara HALAL dan HARAM mempengaruhi DOA

Manusia merupakan makhluk ciptaan Allah. Maka, hubungan manusia dan Allah adalah saling berkait rapat. Manusia sangat memerlukan kepada bantuan dan petunjuk dari Allah swt Dalam menjalani kehidupan seharian. Tanpa petunjuk dan bantuan tersebut, manusia tidak akan menemui jalan kebenaran selama-lamanya.

Allah swt telah menetapkan perkara-perkara yang halal dan haram bagi manusia. Perkara yang haram sekiranya dilakukan oleh manusia, maka ia telah melangar perintah Allah. Hubungannya dengan Allah jua akan menjadi renggang dan semakin jauh.

Matan Hadith

Satu hadith Nabi saw daripada Abu Hurairah ra yang bermaksud;

Dari Abu Kuraib Muhammad bin al-’Ala’; dari Abu Usamah; dari Fudhail bin Marzuq; dari ’Adiy bin Tsabit; dari Hazim; dari Abu Hurairah katanya:

Rasulullah SAW bersabda: Sesungguhnya Allah itu baik, ia tidak terima melainkan yang baik. Dan sesungguhnya Allah memerintahkan orang mukmin dengan apa yang ia perintahkan kepada sekalian rasul. Maka Allah berfirman: (( Wahai sekalian rasul! Makanlah dari yang baik-baik dan beramallah perkara yang baik. )) Dan Ia berfirman: (( Wahai sekalian orang beriman! Makanlah dari segala yang baik yang telah direzekikan kepadamu. )) Kemudian ia menyebutkan seorang lelaki yang jauh perjalanan, rambutnya kusut, mukanya berdebu menghulurkan dua tangannya ke langit: ”Wahai Tuhanku! Wahai Tuhanku! Padahal makanannya HARAM, dan mulutnya disuapkan dengan yang HARAM. Maka bagaimanakah akan diperkenankan (doanya) itu?

Sumber Hadith

Kitab Sahih Muslim, Bab Diterima Sedekah Dari Hasil Yang Baik, Juzuk ke-5, No. Hadith: 1686. Hlm, 192.

Pengajaran Hadith

Berdasarkan hadith diatas, kita boleh mengambil beberapa pengajaran. Antaranya ialah:

• Allah itu baik iaitu sempurna kejadianNya dan jauh dari sebarang keburukan serta kelemahan. Maka Dia tidak akan menerima dan menunaikan sesuatu permintaan hambaNya melainkan dari sesuatu yang baik dan menepati kehendakNya.

• Makanan dan minuman seseorang adalah sangat berhubungkait dengan ibadat dan doa. Ini kerana makanan yang baik akan mempengaruhi pertumbuhan jasmani yang baik. Begitu juga sebaliknya. Dalam maksud yang lain, makanan yang diambil adalah perkara yang berkaitan dengan ibadah dan tidak boleh dipisahkan.

• Segala makanan dan minuman yang haram akan menghasilkan pertumbuhan jasmani yang buruk dan negatif. Ia sekaligus menghijab dan menghalangi doa seseorang hamba kepada Tuhannya.

• Doa orang yang menjaga makanan, minuman, dan perbuatannya dari perkara yang HARAM akan diperkenankan oleh Allah.

• Allah memerintahkan orang-orang mukmin sama seperti apa yang diperintahkanNya kepada para rasul a.s. yang terdahulu. Ini menunjukkan Allah tidak membebani manusia dan memilih dalam perkara berkaitan dengan ketaatan kepadaNya.