Monday, January 26, 2009

Mahasiswa Islam Dalam Menghadapi Krisis Kemalapan Gerakan Mahasiswa



Mahasiswa sering dikaitkan dengan kepimpinan dekad yang mendatang. Sememangnya tidak dinafikan peranan golongan mahasiswa yang disifatkan sebagai galang ganti kepada tampuk kepimpinan yang sedang menerajui negara ketika ini. Justeru mahasiswa kini perlu diterapkan dalam diri mereka kesanggupan untuk mendepani cabaran terutamanya dalam meneruskan perjuangan menegakkan Islam.

Sejarah membuktikan mahasiswa telah memainkan peranan mereka sejak sekian lama dalam membela nasib golongan yang tertindas dan lemah, termasuk juga dalam menangani isu nasional setempat dan antarabangsa. Sekiranya kita telusuri aliran sejarah gerakan mahasiswa dengan lebih mendalam, kita akan menemui beberapa kenyataan dan fakta yang menunjukkan bahawa mahasiswa mempunyai idealisme mereka yang tersendiri. Mereka bukanlah golongan yang mudah untuk diperkotak-katikkan dan bukanlah golongan ‘yes man’ yang hanya menjelirkan lidah untuk meminta belas kasihan daripada pihak-pihak atasan. Sebaliknya mereka berjuang bermatlamatkan untuk menjadi penyelamat masyarakat dan membela umat dari segala bencana yang dicipta oleh tangan-tangan manusia.

Pergerakan mahasiswa yang sebenarnya bukan tertumpu dalam tempurung masyarakat kampus yang kecil serta memencilkan diri daripada isu serta penindasan yang berlaku di sekitar masyarakat, akan tetapi mereka berjuang menjadi perantara dan suara kepada masyarakat. Jelas kita perhatikan, beberapa dekad yang lampau golongan mahasiswa turun bersama-sama masyarakat dalam memperjuangkan hak asasi manusia, menyelamatkan masyarakat dari belenggu kemiskinan serta membela masyarakat dari segenap sudut.

Dalam menghadapi era globalisasi kini sememangnya persediaan yang lebih mantap perlu diperkukuhkan. Bukan kita terlalu mengagungkan status perkampungan dunia (global village) yang berada pada zaman kita kini, tetapi mahasiswa perlu sedar bahawa anjakan perlu dilakukan dalam gerakan mereka agar gerakan ini mampu mencapai matlamat dan objektif gerakan mahasiswa terutamanya yang didokongi oleh mahasiswa Islam.

Gerakan mahasiswa Islam sememangnya semakin nyata dalam politik kampus akhir-akhir ini. Suara Islam semakin disenangi dan mula diberikan perhatian oleh pelbagai pihak walaupun masih ada musuh-musuh yang sentiasa mengintai-intai peluang bagi menjatuhkan gerakan yang digeruni ini. Namun ada sesetengah pihak yang mendakwa gerakan mahasiswa Islam tidak menyengat sebagaimana era 70-an di mana mahasiswa berpaksikan idealisma sosialis.

Fenomena ini mungkin disebabkan beberapa faktor yang bukan sahaja menjadikan gerakan mahasiswa Islam tidak lagi berbisa bahkan ia juga melibatkan gerakan mahasiswa keseluruhannya. Sememangnya tidak dinafikan terdapat gerakan-gerakan dan tindakan yang hebat akhir-akhir ini, tetapi secara umumnya sebahagian besar mahasiswa kini bukan sahaja tidak berminat untuk menyertai gerakan politik kampus, bahkan ada yang menentangnya. Sekiranya kita soroti pandangn pengkaji politik kampus, antara penyebab utama kelemahan gerakan mahasiswa pada masa ini berbanding era 60-an dan 70-an bila mana AUKU digubal.

Alasan ini selalu dicanang walaupun pada hakikatnya terdapat banyak lagi saluran yang yang boleh dilakukan oleh golongan mahasiswa. AUKU mungkin pada pandangan sesetengah pihak menyekat tetapi sebaliknya jika AUKU dijadikan cabaran bukan sebagai masalah kepada gerakan mahasiswa, sudah pasti ianya bukan sebgai penghalang gerakan bahkan sebagai pencetus corak baru gerakan mahasiswa Islam.

Mahasiswa Islam perlu menjauhkan diri daripada sikap ‘escapism’ atau suka mencari-cari alsan. Sikap ini bukan sekadar melemahkan gerakan, bahkan ianya akan menjadi penyakit yang membarah dan bakal melumpuhkan gerakan. Sememangnya banyak masalah dan cabaran baru yang perlu dihadapi dan setiap cabaran itu pasti ada penyelesaiannya.

Begitu juga kebanyakan mahasiswa kini sering menyalahkan sistem pengajian yang ada. Ramai yang menyalahkan sistem tiga tahun yang dilaksanakan kini secara tidak langsung manjadikan jadual mereka padat dan tidak berkesempatan untuk bersama-sama berjuang serta terlibat dengan aktif dalam gerakan mahasiswa Islam yang mula menjauhkan diri daripada gerakan mahasiswa serta tidak berkeinginan untuk bersama-sama berusaha menegakkan ketuanan Islam di kampus.

Perlu kita sedar bahawa sistem semester yang dijalankan bukan penghalang untuk mencapai kecemerlangan. Kecemerlangan pasti berada dalam genggaman selama mana mahasiswa mampu membahagi-bahagikan masa serta sentiasa mengambil berat tenatang pengurusan masa dan pengurusan diri. Keterlibatan mahasiswa dalam gerakan sebenarnya menjadikan seseorang itu mampu menguruskan diri dengan lebih baik. Sikap ingin lari daripada perjuangan Islam dan cuba melepaskan tanggungjawab menjadikan terlerainya ikatan yang sepatutnya perlu diikat dengan sebaik mungkin.

Gerakan mahasiswa di masa yang lampau menampakkan kekuatan yang mampu menggugat bukan sahaja diperingkat pentadbiran kampus bahkan melibatkan pentadbiran negara. Zahir kekuatan ini bukan sekadar kerana lemahnya pentadbiran negara di bawah pimpinan Tunku pada ketika itu, tetapi kesatuan mahasiswa yang begitu utuh hingga mampu menggugat.

Penglibatan mahasiswa yang membawa ideologi sosialis pada akhir 60-an dan awal 70-an mempunyai satu ikatan yang utuh antara satu sama lain hinggakan mereka mampu melibatkan diri dalam pilihanraya 1969 dan 1974. Suara mahasiswa ketika itu cukup lantang serta kesatuan mereka dalam gerakan sememangnya diakui oleh semua pihak. Namun kini keadaan itu semakin jauh daripada kenyataan mahasiswa. Kesatuan mahsiswa kini semakin dibatasi oleh sikap dan sifat mahasiswa sendiri yang lebih mementingkan diri sendiri dan lebih cenderung menjadi ulat buku.

Penubuhan lebih banyak persatuan-persatuan mahasiswa, anak negeri dan agama universiti sendiri sebenarnya banyak membawa kepada perpecahan sama ada dari segi kenegerian, kolej-kolej dan lain-lain walaupun kebanyakan persatuan ini membawa idealisme Islam dalam gerakan mereka. Keadaan pecah dan perintah inilah menjadikan suara mahasiswa Islam semakin lemah dan tidak bermaya.

Masalah kesatuan ini perlulah dibereskan agar semua mahasiswa Islam bukan sekadar bergerak dalam kelompok-kelompok kecil, tetapi menjana suatu kekuatan yang digeruni musuh. Sejarah telah membuktikan kesatuanlah yang membawa keutuhan umat Islam, dengan kesatuan aqidah yang benar inilah Islam mencapai zaman kegemilangannya di awal kebangkitan Islam. Jejak sirah inilah yang ingin kita susuri kembali agar mahasiswa Islam mempunyai kekuatan bukan sekadar teori bahkan dirasai kehadiran mereka dalam bentuk arus kebangkitan baru yang membina kesejagatan Islam di arena kampus khususnya.

Tidak dapat dinafikan penglibatan mahasiswa yang membawa idealisme Islam dalam arena politik kampus 1983 amat memberikan kesan kepada gerakan mahasiswa nasionalis terutamanya. Setelah idealisme sosialis tidak diterima dalam masyarakat kampus, pertentangan antara golongan mahasiswa Islam dengan nasionalis amat ketara. Kepimpinan yang unggul di kalangan mahasiswa Islam bukanlah kerana kehebatan dan wujudnya individu-individu tertentu, tetapi ia disebabkan oleh asas Islam yang sememangnya menjadi dasar kemajuan untuk hidup. Maka tidak hairanlah hampir setiap masa pendukung idealisme Islam tidak akan ketandusan barisan kepimpinan yang berwibawa. Kewibawaan dan kecemerlangan ini adalah hasil daripada penghayatan Islam yang menjadi asas dan dasar perjuangan. Ikhlas, mengejar kecemerlangan da sentiasa rindukan keredhaan Allah menjadi prinsip utama yang menjadi asas kepada perjuangan mahasiswa Islam.

Kematangan gerakan dalam perjuangan mahasiswa di arena politik kampus sememangnya telah matang kini. Walaupun ada sesetengah pihak yang menafikan kemajuan gerakan mahasiswa Islam namun kebenaran tidak boleh dihapuskan dengan pendustaan. Terdengar suara-suara yang sentiasa menyatakan bahawa mahasiswa kini tidak menggugat, tidak menyengat dan tidak mampu menjadi juru bicara masyarakat.

Sememangnya diakui kebebasan mahasiswa kini tidak lagi seperti era mahasiswa zaman akhir 60-an atau awal 70-an. Tetapi terikatnya mahasiswa dengan undang-undang tertentu tidak bermakna tidak wujud gerakan mahasiswa yang matang dan menyengat. Mahasiswa seharusnya pandai mengambil peluang dan cuba mengelak dengan sedaya upaya kemudaratan yang menimpa mereka. Konsep inilah yang perlu oleh semua pihak yang sering mendakwa kelesuan mahasiswa Islam.

Kita tidak menafikan terdapat mahasiswa yang menjadi pak turut dan bacul, tidak berani mencabar kezaliman, tetapi itu bukan sikap gerakan mahasiswa Islam. Kita sendiri dapat melihat kebangkitan mahasiswa dari segi gerakan menghapuskan segala jenis kemungkaran di kampus-kampus yang dikuasai oleh mahasiswa yang mendukung idealisme Islam. Islam mula dimartabatkan dan umat Islam yang berada di kampus tidak lagi mengikuti jejak langkah dan cara kehidupan yang bertentangan dengan ajaran Islam kini hasil daripada program tarbiyah dan gerakan islah yang dijalankan secra berterusan.

Begitu juga mahasiswa Islam kini banyak menangani persoalan nasional dan internasional. Bangkitnya mahasiswa menentang kedatangan Michael Jackson, tunjuk perasaan di Kedutaan Amerika atas kezaliman terhadap negara-negara Islam, isu Israeldan sebagainya membuktikan mahasiswa Islam kini semakin peka bahkan lebih matang dari dahulu.

Isu-isu yang diperjuangkan bukan sekadar di peringkat kampus atau nasional, bahkan kini mula menarik pelbagai pihak menjejaki isu antarabangsa yang jarang disentuh oleh pihak lain.

Sekiranya kita menjejaki lebih jauh lagi, mahasiswa kini tidak akan mengambil sikap yang keterlaluan kecuali terpaksa. Sememangnya dalam usia gerakan yang semakin matang ini menyaksikan cabran yang datang dari pelbagai sudut. Era globalisasi juga menuntut mahasiswa membentuk suatu gerakan yang bersifat sejagat dan tidak terikat dengan keterbatasan Akta dan karenah birokrasi serta sekatan-sekatan yang mengancam keberkesanan gerakan mahasiswa.

Tidak keterlaluan dikatakan bahawa mahasiswa yang berada pada zaman sebelum AUKU pindaan 1975 lebih bebas dan mempunyai kesempatan yang lebih luas berbanding dengan mahasiswa yang diternak dalam kepompong AUKU. Akta ini sememangnya memberi implikasi yang begitu mendalam dalam gerakan dan perjuangan mahasiswa pada awalnya. Ramai yang menyatakan kelesuan sudah pasti akan terjadi dan inilah perkara yang telah terjadi pada suatu ketika dahulu. Permasalahan AUKU diperbincangkan bukan sekadar pada awal dilaksanakan bahkan sehingga kini menjadi bualan yang tidak berkesudahan.

Akta tersebut sudah begitu lama dilaksanakan dan pihak yang menyatakan gerakan mahasiswa tersekat disebabkan akta itu adalah golongan yang ketinggalan.Akta tersebut yang menjadi masalah pada suatu ketika dahulu bukan lagi menjadi sekatan kini, Cuma ia sebagai cabaran yang bukan menjadi penghalang, sebaliknya menjadikan pergerakan mahasiswa lebih matang dan bergerak dengan lebih hebat.

Golongan mahasiswa yang ditakutkan oleh akta itu sebenarnya golongan mahasiswa yang masih di tapak pemikiran 70-an. Kini mahasiswa perlu lebih maju dari segi pemikiran dan jangan dijadikan segala akta sebgai pagar penghalang, sebaliknya perlu dihadapi segala permasalahan tersebut sebagai cabaran yang menuntut gerakan yang lebih kemas.
Inilah yang dibuktikan oleh mahasiswa Islam kini. Mahasiswa yang mempunyai idealisme tidak akan terhalang oleh pagar-pagar walau setinggi dan sehebat mana sekali pun. Mahasiswa sebagai golongan elit perlu mencari jalan keluar untuk teguh mendokong idealisme yang diperjuangkan. Perjuangan yang benar tidak akan mati hanya dengan onak yang bertaburan di jalanan kerana sunnah perjuangan menuntut kepada kekuatan dan kesabaran yang jitu.

Begitu juga permasalahan sistem semester dan pemampatan pengajian daripada empat tahun kepada tiga tahun. Ada yang menjadikan perkara tersebut sebagai alasan yang menghalang mereka tidak meneruskan agenda perjuangan mahasiswa, seolah-olah mengaku kalah sebelum berjuang. Perjuangan yang mempunyai idealisme yang jitu dan dasar yang mampan tidak akan tenggelam oleh air bah, tidak akan hanyut dilanda arus deras akan tetapi akan tetap teguh mendokong aspirasi mahasiswa untuk menegakkan ketuanan Islam.
Sikap inilah yang perlu ada pada setiap mahasiswa Islam untuk terus mengungguli gerakan yang kian pudar kini. Mahasiswa yang disifatkan sebagai aset berharga tidak perlu mengeluh hanya kerana dicubit oleh sedikit permasalahan. Agenda perjuangan mahasiswa perlu diteruskan, serta kekuatan dari segenap sudut perlu dipermantapkan.
Kita menantikan kedatangan generasi mahasiswa yang sentiasa berkesanggupan untuk bersama-sama mengharungi arus sekatan dan arus pembentukan mahasiswa robot. Ketulusan gerakan ini perlu diteruskan untuk membentuk gerakan mahasiswa Islam yang menjunjung idealisme dan perjuangan Islam di kampus.

No comments: