Bismillahirrahmanirrahim....
Bersyukur kita kehadrat Ilahi kerana dengan keizinanNYA jua dapat kita terus meneruskan lagi perjalanan hari-hari kita di atas muka bumi ini. Semester baru sudahpun bermula, seharusnya kita telahpun bersedia untuk pulang ke kampus serta meneruskan lagi sesi pembelajaran kita untuk sesi 2008/2009 ini. Tahniah diucapkan kepada mahasiswa mahasiswi yang mendapat keputusan yang cemerlang dalam peperiksaan yang lalu. Teruskan usaha untuk mencapai kejayaan yang lebih cemerlang di masa yang mendatang. Bagi yang mengalami sedikit penurunan dalam prestasi akademik pula, janganlah kecewa kerana masa masih ada untuk memperbaikinya. Jadikanlah kegagalan sebagai pencetus kepada kejayaan yang cemerlang.
Walau apapun prestasi akademik yang dicatatkan sebelum ini, apa yang penting adalah ilmu yang didapati serta pengaplikasiannya. Ilmu yang tidak diamalkan adalah seperti pohon yang tidak berbuah. Oleh itu, haruslah kita semua mengamalkan ilmu-ilmu yang dipelajari terutamanya yang berkaitan dengan kehidupan seharian. Semester baru kali ini bertepatan dengan permulaan tahun baru hijrah dan tahun baru Masihi. Oleh itu, sebagai mahasiswa terutamanya mahasiswa Islam perlulah menanamkan azam yang ingin dicapai pada tahun ini. Sememangnya bagi umat Islam perlulah hari esok lebih baik daripada hari ini.
Sahabat-sahabat sekalian,
Marilah kita menjadikan semester ini merupakan semester yang paling baik yang pernah kita lalui sepanjang bergelar mahasiswa. Tingkatkan pencapaian di samping meningkatkan jua tahap keimanan dalam diri kita. Jika sebelum ini, terdapat banyak perkara sia-sia yang dilakukan maka tinggalkanlah.Untuk mencapai pencapaian yang cemerlang seharusnya kita dapat mengurus diri dengan baik. Apabila pengurusan diri kita baik maka akan baik jugalah pengurusan akademik, organisasi dan sebagainya.
Antara prasyarat kejayaan yang dinyatakan oleh sebilangan pakar motivasi ialah mempunyai paradigma yang betul, mencapai tahap kematangan, efisyen dan efektif serta berterusan dalam meningkatkan sesuatu. Oleh yang demikian, menjadi kewajipan kita untuk sentiasa bermuhasabah dalam meningkatkan pencapaian kita. Di sini, suka untuk saya berkongsi formula untuk berjaya iaitu 3 S.
- Struggle-sentiasa berusaha dalam sesuatu perkara
- Stable- sentiasa berterusan
- Success- barulah kejayaan dapat di capai.
Rakan-rakan sekalian,
Pernahkah kita berjumpa dengan teori iceberg? Dalam teori ini Internal atau dalaman atau yang disebut rohani itulah yang memainkan peranan dalam menzahirkan External ataupun perbuatan seseorang. Dalam Al-Quran sendiri, kita akan menemukan banyak sekali ayat-ayat yang menyentuh aspek kerohanian begitu juga di dalam hadis. Terdapat hadis yang menyatakan di dalam diri manusia ada seketul daging jika baik daging itu maka baiklah keseluruhannya dan jika buruk daging itu maka buruklah keseluruhannya dan daging itu adalah hati.
Dalam kita meneruskan sesi pembelajaran pada sesi ini, mungkin ramai yang tertanya-tanya bilakah akan berlakunya pilihanraya kampus di Uni Perdana yang kita cintai ini. Pilihanraya ini mungkin akan berlaku dalam jangka masa yang terdekat ini. Oleh itu, marilah kita bersama-sama menanamkan kesedaran dalam diri kita untuk menunaikan tanggungjawab untuk memilih kepimpinan yang akan mencorakkan universiti pada masa akan datang. Kepimpinan yang boleh diharapkan serta mampu membawa gelombang perubahan serta yang boleh dipercayai.
Sebagai sebuah Universiti yang mengamalkan sistem demokrasi maka perlulah menyerahkan kepada tangan mahasiswa sendiri untuk menentukan kepimpinan yang akan membawa suara-suara mahasiswa kepada pihak pentadbiran Universiti. Semoga sesi kepimpinan akan datang akan membawa sinar harapan buat semua mahasiswa-mahasiswi di universiti yang kita cintai ini.
Akhirnya, saya berseru pada diri saya serta seluruh warga kampus untuk terus menjadikan tahun 1430 Hijrah serta tahun 2009 Masihi sebagai tahun untuk terus berusaha. Semoga kita semua mencapai kejayaan hidup di dunia dan juga di akhirat kelak.
Wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.
No comments:
Post a Comment