Tuesday, December 1, 2009

It's about Zulhijjah

Bulan Zulhijjah

Bulan Zulhijjah ialah bulan ke-12, iaitu bulan terakhir dalam kalendar Qamariah atau Hijriah. Ia salah satu daripada empat Bulan Haram, iaitu Zulkaedah, Zulhijjah, Muharram, dan Rejab. Bulan Zulhijjah dinamakan dengan nama ini kerana kemuncak amalan haji dilakukan pada bulan ini, iaitu wuquf di 'Arafah, bermalam di Mina, melontar Jamrah dan sebagainya. Walaupun begitu, niat ihram haji boleh dilakukan seawal bulan Syawal lagi. Bulan ini mempunyai banyak kelebihan terutama 10 hari pertamanya.

Ibadah Haji

Masa untuk mengerjakan haji ialah bulan Syawal, Zulkaedah dan sepuluh malam pertama bulan Zulhijjah. Menurut sebahagian ulama pula, masanya ialah dari awal Syawal hingga akhir Zulhijjah. Dalilnya ialah ayat 198, Surah al-Baqarah:

"(Masa untuk mengerjakan ibadah) haji ialah beberapa malam yang termaklum. Oleh itu, sesiapa yang telah mewajibkan haji ke atas dirinya (dengan niat ihram haji), maka dia tidak boleh menjimak isterinya, tidak boleh membuat maksiat, dan tidak boleh bertengkar, dalam masa mengerjakan ibadah haji..."

Di sepanjang kehidupan Nabi Muhammad s.a.w, Baginda melakukan ibadah haji hanya sekali sahaja. Ini berdasarkan hadith yang diriwayatkan oleh Qatadah r.a, beliau berkata:

"Saya pernah bertanya kepada Anas bin Malik r.a, "Berapa kalikah Nabi s.a.w mengerjakan haji?" Beliau menjawab, "Sekali sahaja. Tetapi Baginda mengerjakan empat kali umrah, iaitu umrah pada bulan Zulkaedah, umrah al-Hudaibiyah, umrah bersama haji Baginda, dan umrah al-Ji'ranah, ketika Baginda membahagikan ghanimah perang Hunain."

[Diriwayatkan oleh al-Tirmizi (744). Beliau berkata hadith ini hasan sahih]

Haji yang Baginda s.a.w kerjakan dinamakan sebagai Haji Wada', iaitu pada tahun ke-10 Hijrah. Ia bermaksud Haji Perpisahan. Ia dinamakan demikian kerana semasa mengerjakan haji tersebut, baginda telah menyampaikan ucapan yang menunjukkan Baginda mengucapkan selamat tinggal kepada umat Baginda.

Dalam ucapan itu juga, Baginda s.a.w mengajar banyak perkara berkaitan agama kepada mereka. Baginda juga menyuruh mereka menyampaikan pesanan tersebut kepada orang yang tidak hadir ketika itu. Pada 25 Zulkaedah tahun 10 Hijrah, Nabi s.a.w bersama lebih kurang 90 000 orang sahabat mula bertolah dari Madinah ke Mekah untuk mengerjakan haji ini. Baginda sampai ke Mekah pada 4 Zulhijjah.

Hukum Melakukan Haji

Wajib. Dalil firman Allah dalam Surah al-Baqarah, ayat 97.

"Di Baitullah itu ada tanda-tanda yang nyata (yang menunjukkan kemuliaannya. Antaranya adalah) Makam Ibrahim (iaitu batu yang menjadi tempat Nabi Ibrahim berdiri semasa membina Baitullah, sehingga terdapat kesan dua tapak kakinya hingga hari ini). Sesiapa yang masuk ke dalamnya (Baitullah dan Tanah Haram), nescaya dia selamat (tidak boleh dibunuh, dizalimi, atau sebagainya). Haji ke Baitullah kerana Allah adalah diwajibkan ke atas manusia, iaitu ke atas sesiapa yang mampu dan mempunyai cara untuk sampai ke sana (dengan mempunyai bekalan, kenderaan, dan sebagainya). Sesiapa yang kufur (kepada Allah atau menolak kewajipan ibadah haji itu), maka sesungguhnya Allah Maha Kaya daripada sekalian makhluk (tidak berhajat langsung kepada mereka. Perbuatan mereka itu tidak akan menjejaskanNya).

Puasa Hari 'Arafah (9 Zulhijjah)

9 Zulhijjah dinamakan Hari Wuquf, kerana rukun terpenting haji, iaitu wuquf di Arafah, dilakukan pada hari tersebut. Pada hari tersebut, disunatkan berpuasa berdasarkan hadith Nabi s.a.w.

Diriwayatkan daripada Abu Qatadah al-Ansari r.a bahawa sesungguhnya Rasulullah s.a.w telah ditanya tentang puasa Baginda, Perawi berkata, "Lalu Rasulullah s.a.w murka... Baginda juga ditanya tentang puasa Hari Arafah (9 Zulhijjah). Baginda bersabda, "Ia menghapuskan (dosa-dosa yang dilakukan pada) tahun lalu dan tahun akan datang..."

[Diriwayatkan oleh Muslim (1977)]

Hari Tarwiyah

Diriwayatkan daripada Abu Said r.a bahawa beliau berkata, "Kami telah keluar bersama Rasulullah s.a.w sambil berteriak (meninggikan suara semasa bertalbiah) haji. Setelah kami sampai di Mekah, Baginda memerintahkan kami supaya menukar ihram haji itu kepada umrah, melainkan sesiapa yang ada membawa haiwan ternakan yang hendak disembelih di Mekah. Setelah masuk Hari Tarwiyah (iaitu hari ke-8 Zulhijjah) dan kami mahu pergi ke Mina, kami pun meninggikan suara semasa bertalbiah (bagi memulakan ihram) haji."

[Diriwayatkan oleh Muslim (2190)]

Masa Dan Haiwan Korban

Masa untuk mengerjakan ibadat korban ialah 4 hari, bermula dari Hari Raya Adha pada 10 Zulhijjah sehingga terbenam matahari pada Hari Tasyriq ke-3 pada 13 Zulhijjah. Hari 10 Zulhijjah dinamakan Hari Eidul Adha yang bererti Hari Raya Korban. Ia juga dinamakan Hari Nahar yang bermaksud Hari Penyembelihan.

Haiwan yang boleh dikorbankan pula ialah unta, lembu, kerbau, kambing dan biri-biri sahaja. Seekor kambing atau biri-biri hanya sah dikorbankan untuk seorang sahaja. Seekor unta, lembu, atau kerbau pula sah dijadikan korban untuk 7 orang, sama ada kesemua mereka ingin berkorban, atau sebahagian mereka ingin melakukan aqiqah, atau melakukan sembelihan biasa sahaja. Setiap amalan itu dikira dengan niat. Setiap orang pula mendapat apa yang dia niatkan sahaja...

Wallahu a'lam.

2 comments:

Razali Zaidin said...

nie maklumat yang nak buat buku ke? bila nak siap buku 2?

Muhammad Haafizuddin Bin Abirerah said...

Tak ada kaitan dengan buku sebab tajuk yang kena tulis ialah bulan Jamadil awal. Siap tak siap buku tu kena tanya pada syarikat Edusystem...