Assalamualaikum w.r.t
Selamat Tahun Baru saya ucapkan kepada seluruh umat Islam khususnya di Malaysia. Semoga tahun baru 1431 H ini akan menjadikan kita hamba yang paling hamper dengan Allah SWT.
Bulan Muharram
Bulan Muharram ialah bulan pertama dalam calendar Qamariyah atau Hijriyah. Ia salah satu daripada empat Bulan Haram iaitu Zulkaedah, Zulhijjah, Muharram, dan Rejab. Empat bulan ini dinamakan Bulan Haram kerana orang-orang Jahiliyah telah mengharamkan peperangan dalam masa empat bulan ini.
Menurut Tafsir al-Qurtubi, sebahagian ulama berpendapat bahawa hukum ini masih kekal sehingga sekarang. Namun yang sahih ialah hukum ini telah pun dibatalkan. Dalilnya ialah tindakan Nabi s.a.w memerangi kabilah Hawazin di Hunain dan kabilah Tsaqif di Thaif serta mengepung mereka pada bulan Syawal dan sebahagian bulan Zulkaedah.
Selain itu, dengan sebab kehormatan empat bulan tersebut, segala dosa dan amalan soleh yang dikerjakan padanya adalah lebih besar daripada yang dikerjakan pada bulan-bulan lain.
Puasa Bulan Muharram
عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ قَالَ :قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: أَفْضَلُ الصِّيَامِ بَعْدَ رَمَضَانَ شَهْرُ اللَّهِ الْمُحَرَّمُ وَأَفْضَلُ الصَّلَاةِ بَعْدَ الْفَرِيضَةِ صَلَاةُ اللَّيْل
Daripada Abu Huarairah r.a, beliau berkata: “Rasulullah s.a.w bersabda: Puasa yang terbaik selepas (puasa bulan) Ramadhan ialah (puasa pada) bulan Allah, Muharram. Solat yang terbaik selepas solat fardhu ialah solat malam (seperti solat Tarawih, Tahajud, dll).”
[Diriwayatkan oleh Muslim (1982)]
Peristiwa dan Kisah disebalik Bulan Muharram
Berikut ialah paparan menarik mengenai peristiwa dan kisah-kisah yang berlaku pada bulan Muharram.
Pemulauan Orang Islam Di Mekah
Pada malam 1 Muharram tahun ke-7 selepas kerasulan Nabi s.a.w, golongan musyrikin Mekah memulakan pakatan untuk memulau Nabi s.a.w, Bani Hasyim, dan Bani al-Muttalib, sama ada yang beriman ataupun kafir. Ini kerana Nabi s.a.w tetap mendapat perlindungan kabilah Baginda walaupun mereka masih kafir.
Pada zaman itu, semangat puak masih kuat menebal. Lantaran itu, kaum musyrikin bermesyuarat di Khaif Bani Kinanah di Wadi al-Muhasshob. Mereka bersetuju dan membuat perjanjian untuk memulau Nabi s.a.w, para pengikutnya, dan kabilah Baginda tersebut.
Dengan itu, semua pihak dilarang berkahwin, berjual beli, duduk bersama, bergaul, bercakap, dan sebagainya dengan golongan yang dipulau itu, sehingga Nabi s.a.w diserahkan untuk dibunuh. Perjanjian ini telah ditulis dan digantung di dalam Ka’bah. Pemulauan kejam ini berterusan selama tiga tahun.
Perlantikan Khalifah Uthman bin Affan r.a
Setelah khalifah kedua, iaitu Saidina Umar bin al-Khatab r.a wafat, para sahabat dan tabi’in telah melantik Saidina Uthman bin Affan sebagai khalifah ketiga.
Sebelum Umar wafat, beliau telah mewasiatkan supaya khalifah seterusnya dipilih dari enam orang iaitu, Uthman bin Affan, Ali bin Abi Thalib, Thalhah bin Ubaidillah, Zubair bin al-Awwam, Saad bin Abi Waqqas, dan Abdul Rahman bin Auf. Kesemua mereka merupakan orang-orang yang telah mendapat berita gembira bahawa mereka akan memasuki syurga.
Setelah bermesyuarat, Uthman telah dipilih dan dilantik sebagai khalifah ketiga. Peristiwa ini berlaku selepas tiga hari dari pengebumian Umar r.a dimana beliau dikebumikan bersebelahan makam Nabi dan Abu Bakar pada hari Ahad bersamaan 1 Muharram tahun 24 Hijrah.
Sebab Puasa ‘Asyura’
Daripada Ibn Abbas r.a. beliau berkata, “Nabi s.a.w tiba di Madinah. Kemudian Baginda melihat golongan Yahudi (di Madinah) berpuasa pada hari ‘Asyura’ (10 Muharram). Lalu Baginda bertanya: “Hari apakah ini (sehingga kamu berpuasa padanya)?” Mereka pun menjawab: “Ini suatu hari yang baik dan mulia. Ini adalah hari Allah menyelamatkan Bani Israil daripada (kekejaman dan cengkaman) musuh mereka (iaitu Firaun. Dia dan kaumnya dibinasakan pada hari 10 Muharram). Lantaran itu, Musa a.s berpuasa padanya.” Nabi s.a.w pun membalas: “Oleh itu, aku lebih berhak (untuk meneruskan amalan) Musa ini berbanding kamu semua.” Lalu Baginda berpuasa pada hari ‘Asyura’ dan menyuruh (para sahabat) berpuasa padanya.”
[Diriwayatkan Bukhari (1865)]
Perang Khaibar
Pada bulan Muharram tahun 7 Hijrah, telah berlaku satu peperangan antara Nabi s.a.w dengan Yahudi yang tinggal di Khaibar. Kedudukannya terletak lebih kurang 100 batu dari Madinah. Perang ini berlaku selepas perang Ahzab atau Khandaq.
Perang ini dilancarkan bagi menghukum Yahudi Khaibar yang menjadi punca kepada pakatan antara Yahudi dan pelbagai kabilah untuk memerangi Nabi dan para sahabat di Madinah.
Perang ini berakhir dengan kemenangan besar umat Islam. Dalam perang ini seramai 15 orang Islam mati syahid dan 93 orang Yahudi terbunuh.
Dalam perang ini juga, seorang wanita Yahudi menghadiahkan betis kambing beracun kepada Nabi s.a.w. Baginda makan satu suap daripadanya, lalu meludahnya setelah diberitahu ia beracun.
Setelah selesai perang ini, Nabi s.a.w berkahwin dengan Safiyah r.a, anak perempuan kepada Ketua Yahudi Khaibar iaitu Huyay bin Akhtab. Baginda memerdekakan Safiyah sebagai mas kahwin beliau.
No comments:
Post a Comment