Thursday, December 17, 2009

Selamat Tahun Baru 1431 H

Assalamualaikum w.r.t

Selamat Tahun Baru saya ucapkan kepada seluruh umat Islam khususnya di Malaysia. Semoga tahun baru 1431 H ini akan menjadikan kita hamba yang paling hamper dengan Allah SWT.

Bulan Muharram

Bulan Muharram ialah bulan pertama dalam calendar Qamariyah atau Hijriyah. Ia salah satu daripada empat Bulan Haram iaitu Zulkaedah, Zulhijjah, Muharram, dan Rejab. Empat bulan ini dinamakan Bulan Haram kerana orang-orang Jahiliyah telah mengharamkan peperangan dalam masa empat bulan ini.

Menurut Tafsir al-Qurtubi, sebahagian ulama berpendapat bahawa hukum ini masih kekal sehingga sekarang. Namun yang sahih ialah hukum ini telah pun dibatalkan. Dalilnya ialah tindakan Nabi s.a.w memerangi kabilah Hawazin di Hunain dan kabilah Tsaqif di Thaif serta mengepung mereka pada bulan Syawal dan sebahagian bulan Zulkaedah.

Selain itu, dengan sebab kehormatan empat bulan tersebut, segala dosa dan amalan soleh yang dikerjakan padanya adalah lebih besar daripada yang dikerjakan pada bulan-bulan lain.

Puasa Bulan Muharram

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ قَالَ :قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: أَفْضَلُ الصِّيَامِ بَعْدَ رَمَضَانَ شَهْرُ اللَّهِ الْمُحَرَّمُ وَأَفْضَلُ الصَّلَاةِ بَعْدَ الْفَرِيضَةِ صَلَاةُ اللَّيْل

Daripada Abu Huarairah r.a, beliau berkata: “Rasulullah s.a.w bersabda: Puasa yang terbaik selepas (puasa bulan) Ramadhan ialah (puasa pada) bulan Allah, Muharram. Solat yang terbaik selepas solat fardhu ialah solat malam (seperti solat Tarawih, Tahajud, dll).”

[Diriwayatkan oleh Muslim (1982)]

Peristiwa dan Kisah disebalik Bulan Muharram

Berikut ialah paparan menarik mengenai peristiwa dan kisah-kisah yang berlaku pada bulan Muharram.

Pemulauan Orang Islam Di Mekah

Pada malam 1 Muharram tahun ke-7 selepas kerasulan Nabi s.a.w, golongan musyrikin Mekah memulakan pakatan untuk memulau Nabi s.a.w, Bani Hasyim, dan Bani al-Muttalib, sama ada yang beriman ataupun kafir. Ini kerana Nabi s.a.w tetap mendapat perlindungan kabilah Baginda walaupun mereka masih kafir.

Pada zaman itu, semangat puak masih kuat menebal. Lantaran itu, kaum musyrikin bermesyuarat di Khaif Bani Kinanah di Wadi al-Muhasshob. Mereka bersetuju dan membuat perjanjian untuk memulau Nabi s.a.w, para pengikutnya, dan kabilah Baginda tersebut.

Dengan itu, semua pihak dilarang berkahwin, berjual beli, duduk bersama, bergaul, bercakap, dan sebagainya dengan golongan yang dipulau itu, sehingga Nabi s.a.w diserahkan untuk dibunuh. Perjanjian ini telah ditulis dan digantung di dalam Ka’bah. Pemulauan kejam ini berterusan selama tiga tahun.

Perlantikan Khalifah Uthman bin Affan r.a

Setelah khalifah kedua, iaitu Saidina Umar bin al-Khatab r.a wafat, para sahabat dan tabi’in telah melantik Saidina Uthman bin Affan sebagai khalifah ketiga.

Sebelum Umar wafat, beliau telah mewasiatkan supaya khalifah seterusnya dipilih dari enam orang iaitu, Uthman bin Affan, Ali bin Abi Thalib, Thalhah bin Ubaidillah, Zubair bin al-Awwam, Saad bin Abi Waqqas, dan Abdul Rahman bin Auf. Kesemua mereka merupakan orang-orang yang telah mendapat berita gembira bahawa mereka akan memasuki syurga.

Setelah bermesyuarat, Uthman telah dipilih dan dilantik sebagai khalifah ketiga. Peristiwa ini berlaku selepas tiga hari dari pengebumian Umar r.a dimana beliau dikebumikan bersebelahan makam Nabi dan Abu Bakar pada hari Ahad bersamaan 1 Muharram tahun 24 Hijrah.

Sebab Puasa ‘Asyura’

Daripada Ibn Abbas r.a. beliau berkata, “Nabi s.a.w tiba di Madinah. Kemudian Baginda melihat golongan Yahudi (di Madinah) berpuasa pada hari ‘Asyura’ (10 Muharram). Lalu Baginda bertanya: “Hari apakah ini (sehingga kamu berpuasa padanya)?” Mereka pun menjawab: “Ini suatu hari yang baik dan mulia. Ini adalah hari Allah menyelamatkan Bani Israil daripada (kekejaman dan cengkaman) musuh mereka (iaitu Firaun. Dia dan kaumnya dibinasakan pada hari 10 Muharram). Lantaran itu, Musa a.s berpuasa padanya.” Nabi s.a.w pun membalas: “Oleh itu, aku lebih berhak (untuk meneruskan amalan) Musa ini berbanding kamu semua.” Lalu Baginda berpuasa pada hari ‘Asyura’ dan menyuruh (para sahabat) berpuasa padanya.”

[Diriwayatkan Bukhari (1865)]

Perang Khaibar

Pada bulan Muharram tahun 7 Hijrah, telah berlaku satu peperangan antara Nabi s.a.w dengan Yahudi yang tinggal di Khaibar. Kedudukannya terletak lebih kurang 100 batu dari Madinah. Perang ini berlaku selepas perang Ahzab atau Khandaq.

Perang ini dilancarkan bagi menghukum Yahudi Khaibar yang menjadi punca kepada pakatan antara Yahudi dan pelbagai kabilah untuk memerangi Nabi dan para sahabat di Madinah.

Perang ini berakhir dengan kemenangan besar umat Islam. Dalam perang ini seramai 15 orang Islam mati syahid dan 93 orang Yahudi terbunuh.

Dalam perang ini juga, seorang wanita Yahudi menghadiahkan betis kambing beracun kepada Nabi s.a.w. Baginda makan satu suap daripadanya, lalu meludahnya setelah diberitahu ia beracun.

Setelah selesai perang ini, Nabi s.a.w berkahwin dengan Safiyah r.a, anak perempuan kepada Ketua Yahudi Khaibar iaitu Huyay bin Akhtab. Baginda memerdekakan Safiyah sebagai mas kahwin beliau.

Wednesday, December 16, 2009

Jalan-Jalan Di Karnival Islam


Masuk malam tadi sudah dua malam berturut-turut saya mengunjungi Karnival Islam An-Najah. Karnival ini bertempat di Masjid Jamek An-Najah, Padang Serai, Kulim.

Antara yang menarik dalam karnival ini ialah:

1. Pameran Tamadun Islam (IQRA') yang didatangkan khas dari USM. Antara yang dipamerkan ialah hasil-hasil seni dan peninggalan tamadun Islam seperti khat, kitab-kitab lama, alat-alat muzik, peralatan perang, kompas, dan sebagainya. Yang paling menarik sekali ialah pameran berkaitan cebisan serban Nabi dan Saidina Ali.

2. Jualan dan gerai-gerai yang sangat banyak dan pelbagai. Menarik sungguh. Tapi kalau nak jalan-jalan kenalah bawa duit sama.

3. Setiap malamnya pula diisi dengan pengisian-pengisian yang menarik. Umpamanya malam tadi, saya dan keluarga dapat mengambil mutiara-mutiara berharga dari Ustaz Abdullah Khairi. Malam sebelumnya pula kami telah mendengar dendangan lagu/nasyid dari Saudara Azhan Atan.

Untuk malam ini, teater 'Menunggu Kata Dari Tuhan' oleh Saudara Sabri Yunus. Malam esok pula ceramah dari Ustaz Muhd Radzi Abd. Hamid dan dendangan nasyid oleh Kumpulan Zahran.

Lusa yang paling best iaitu Forum Perdana Ehwal Islam. Panel-panel forum tersebut ialah; Dato' Abu Hassan Din, Ustaz Badrul Amin Baharom, dan Ustaz Muhd Isa Abdul Rahman dari Pejabat Mufti Kedah.

4. Terdapat juga sukaneka untuk kanak-kanak, cabutan bertuah bagi para pengunjung, peluang untuk menunggang kuda, dan banyak lagi yang menarik.

Rasanya cukup untuk dikongsikan. Bagi yang berhampiran, mari sama-sama kita rasai kemeriahannya.


Konsert Azhan Atan

Saturday, December 5, 2009

Doa TGNA Baiki Akidah Najib


1. Doa adalah merupakan senjata mukmin yang paling ampuh. Keampuhan doa bergantung pada tahap pergantungan hati kepada Allah. Lagi tinggi yakin pada Allah, lagi mustajab doa.

2. Seminggu dua ni kecoh tentang isu doa TGNA kepada pimpinan UMNO khususnya DSN dan TSMY. Bila macam tu, media pun syok la nak bantai TGNA pasal isu ni sangat 'hot'.

3. Media memang sengaja melarikan fokus isu daripada royalti minyak Kelantan kepada isu peribadi TGNA. Kononnya TGNA tak tunjuk elemen Islam sebenar dengan mendoakan keburukan, Nabi tak ajar la, dan macam-macam lagi.

4. DS Shahrizat pun ada berucap cerita tentang Nabi tak terima 'offer'dari malaikat untuk terbalikkan gunung kepada penduduk Thaif selepas dakwahnya ditolak dan Nabi dilempar dengan batu... TGNA pandai-pandai buat 'bid'ah' pula dengan tidak ikut sunnah Nabi.

5. Bagi sandaran yang dibuat oleh DS Shahrizat pada saya tak tepat. Beliau kena khatam dulu buku sirah Nabi baru layak cakap. Dalam peristiwa tersebut, ia melibatkan kepentingan Nabi sebab tu Nabi rela beralah. Tapi dalam konteks TGNA, ini kepentingan rakyat bukan kepentingan peribadi dia. Bahkan TGNA dah banyak korbankan kepentingan peribadi dia untuk rakyat dan masyarakat berbanding dengan para pemimpin UMNO.

6. Terbaru TGNA kata nak doa supaya golongan yang menzalimi tersebut supaya 'pecah perut'. Sini. Sampai TSMY dah tak tau nak cakap pe. Terkejut campur pening. Blur. Sini. Biasanya TPM akan bawa watak 'confront' dengan pembangkang. DSN masa jadi TPM pun macam tu juga dulu. Saya cabar TSMY, kumpulkan semua ahli UMNO beserta mufti-mufti dan ulama pro mereka buat solat hajat dan doa balas pada TGNA dan PR. Baru la buku bertemu ruas.

7. Dari sudut yang lain, saya melihat ini suatu perkembangan dakwah yang baik di Malaysia khususnya kepada UMNO. Para pemimpin UMNO akan berdepan dengan dilema sama ada nak bagi royalti atau 'pecah perut' dari Allah.

8. Macam kita berdepan dengan budak degil nak panjat pokok. Bila larang dia makin buat, bila kita suruh panjat tinggi lagi dia tak berani.

9. Bagi yang peka dan ada iman sikit-sikit, dia dah boleh nampak dan akan takut pada azab Allah. Tapi sebaliknya sangat dahsyat sekiranya ada pemimpin UMNO yang akan berkata, "Tak pa, kita tetap tidak akan bagi royalti. Tengok apa kesan doa Nik Aziz".

10. Dan, rakyat Malaysia keseluruhannya sedang melihat isu ini. Kiranya DSN dan pemimpin UMNO bertegas dengan kezalimannya, apa balasan yang mereka dapat. Suatu tayangan perdana, 'live'.

11. Hehe, mana lagi sayang. Perut ka duit?

Thursday, December 3, 2009

My Little Princess (^^)

Haha, comel tak gambar di atas? Ceria sungguh si Amirah ni. Tak sangka, pejam celik-pejam celik umurnya kini telah mencecah 58 hari. Dah nak masuk 2 bulan. Macam-macam cerita yang telah berlaku sepanjang tempoh tersebut. Ada yang manis, ada yang pahit, ada yang tak tau rasa apa :p

Mengimbau kenangan 57 hari yang lalu, pada 7 Oktober 2009, Amirah telah selamat dilahirkan pada jam 9.07 pagi. Bertepatan tarikh dan waktu itu juga, saya dan isteri telah bertambah status menjadi bapa dan ibu. Hehe. Teringat ketika melaungkan azan dan iqamah ke telinga Amirah dulu, dia asyik tengok je. Habis sahaja iqamah, Amirah terus tidur...

Dulu Amirah kecil sangat, masa lahir beratnya 2.3 kg. Tapi sekarang dah 3.2 kg, alhamdulillah. Dah masuk bulan ke-2 sekarang ni, Amirah dah pandai senyum dan boleh beri respon bila kita cakap dengan dia...

Bila orang ramai datang tengok Amirah, semua orang tanya dia ikut muka siapa. Entahlah, yang penting bukan muka. Kenapa orang tak tanya perangai dia ikut siapa. Harapnya Amirah ikut peribadi mulia dari keturunan sebelumnya.

Tuesday, December 1, 2009

It's about Zulhijjah

Bulan Zulhijjah

Bulan Zulhijjah ialah bulan ke-12, iaitu bulan terakhir dalam kalendar Qamariah atau Hijriah. Ia salah satu daripada empat Bulan Haram, iaitu Zulkaedah, Zulhijjah, Muharram, dan Rejab. Bulan Zulhijjah dinamakan dengan nama ini kerana kemuncak amalan haji dilakukan pada bulan ini, iaitu wuquf di 'Arafah, bermalam di Mina, melontar Jamrah dan sebagainya. Walaupun begitu, niat ihram haji boleh dilakukan seawal bulan Syawal lagi. Bulan ini mempunyai banyak kelebihan terutama 10 hari pertamanya.

Ibadah Haji

Masa untuk mengerjakan haji ialah bulan Syawal, Zulkaedah dan sepuluh malam pertama bulan Zulhijjah. Menurut sebahagian ulama pula, masanya ialah dari awal Syawal hingga akhir Zulhijjah. Dalilnya ialah ayat 198, Surah al-Baqarah:

"(Masa untuk mengerjakan ibadah) haji ialah beberapa malam yang termaklum. Oleh itu, sesiapa yang telah mewajibkan haji ke atas dirinya (dengan niat ihram haji), maka dia tidak boleh menjimak isterinya, tidak boleh membuat maksiat, dan tidak boleh bertengkar, dalam masa mengerjakan ibadah haji..."

Di sepanjang kehidupan Nabi Muhammad s.a.w, Baginda melakukan ibadah haji hanya sekali sahaja. Ini berdasarkan hadith yang diriwayatkan oleh Qatadah r.a, beliau berkata:

"Saya pernah bertanya kepada Anas bin Malik r.a, "Berapa kalikah Nabi s.a.w mengerjakan haji?" Beliau menjawab, "Sekali sahaja. Tetapi Baginda mengerjakan empat kali umrah, iaitu umrah pada bulan Zulkaedah, umrah al-Hudaibiyah, umrah bersama haji Baginda, dan umrah al-Ji'ranah, ketika Baginda membahagikan ghanimah perang Hunain."

[Diriwayatkan oleh al-Tirmizi (744). Beliau berkata hadith ini hasan sahih]

Haji yang Baginda s.a.w kerjakan dinamakan sebagai Haji Wada', iaitu pada tahun ke-10 Hijrah. Ia bermaksud Haji Perpisahan. Ia dinamakan demikian kerana semasa mengerjakan haji tersebut, baginda telah menyampaikan ucapan yang menunjukkan Baginda mengucapkan selamat tinggal kepada umat Baginda.

Dalam ucapan itu juga, Baginda s.a.w mengajar banyak perkara berkaitan agama kepada mereka. Baginda juga menyuruh mereka menyampaikan pesanan tersebut kepada orang yang tidak hadir ketika itu. Pada 25 Zulkaedah tahun 10 Hijrah, Nabi s.a.w bersama lebih kurang 90 000 orang sahabat mula bertolah dari Madinah ke Mekah untuk mengerjakan haji ini. Baginda sampai ke Mekah pada 4 Zulhijjah.

Hukum Melakukan Haji

Wajib. Dalil firman Allah dalam Surah al-Baqarah, ayat 97.

"Di Baitullah itu ada tanda-tanda yang nyata (yang menunjukkan kemuliaannya. Antaranya adalah) Makam Ibrahim (iaitu batu yang menjadi tempat Nabi Ibrahim berdiri semasa membina Baitullah, sehingga terdapat kesan dua tapak kakinya hingga hari ini). Sesiapa yang masuk ke dalamnya (Baitullah dan Tanah Haram), nescaya dia selamat (tidak boleh dibunuh, dizalimi, atau sebagainya). Haji ke Baitullah kerana Allah adalah diwajibkan ke atas manusia, iaitu ke atas sesiapa yang mampu dan mempunyai cara untuk sampai ke sana (dengan mempunyai bekalan, kenderaan, dan sebagainya). Sesiapa yang kufur (kepada Allah atau menolak kewajipan ibadah haji itu), maka sesungguhnya Allah Maha Kaya daripada sekalian makhluk (tidak berhajat langsung kepada mereka. Perbuatan mereka itu tidak akan menjejaskanNya).

Puasa Hari 'Arafah (9 Zulhijjah)

9 Zulhijjah dinamakan Hari Wuquf, kerana rukun terpenting haji, iaitu wuquf di Arafah, dilakukan pada hari tersebut. Pada hari tersebut, disunatkan berpuasa berdasarkan hadith Nabi s.a.w.

Diriwayatkan daripada Abu Qatadah al-Ansari r.a bahawa sesungguhnya Rasulullah s.a.w telah ditanya tentang puasa Baginda, Perawi berkata, "Lalu Rasulullah s.a.w murka... Baginda juga ditanya tentang puasa Hari Arafah (9 Zulhijjah). Baginda bersabda, "Ia menghapuskan (dosa-dosa yang dilakukan pada) tahun lalu dan tahun akan datang..."

[Diriwayatkan oleh Muslim (1977)]

Hari Tarwiyah

Diriwayatkan daripada Abu Said r.a bahawa beliau berkata, "Kami telah keluar bersama Rasulullah s.a.w sambil berteriak (meninggikan suara semasa bertalbiah) haji. Setelah kami sampai di Mekah, Baginda memerintahkan kami supaya menukar ihram haji itu kepada umrah, melainkan sesiapa yang ada membawa haiwan ternakan yang hendak disembelih di Mekah. Setelah masuk Hari Tarwiyah (iaitu hari ke-8 Zulhijjah) dan kami mahu pergi ke Mina, kami pun meninggikan suara semasa bertalbiah (bagi memulakan ihram) haji."

[Diriwayatkan oleh Muslim (2190)]

Masa Dan Haiwan Korban

Masa untuk mengerjakan ibadat korban ialah 4 hari, bermula dari Hari Raya Adha pada 10 Zulhijjah sehingga terbenam matahari pada Hari Tasyriq ke-3 pada 13 Zulhijjah. Hari 10 Zulhijjah dinamakan Hari Eidul Adha yang bererti Hari Raya Korban. Ia juga dinamakan Hari Nahar yang bermaksud Hari Penyembelihan.

Haiwan yang boleh dikorbankan pula ialah unta, lembu, kerbau, kambing dan biri-biri sahaja. Seekor kambing atau biri-biri hanya sah dikorbankan untuk seorang sahaja. Seekor unta, lembu, atau kerbau pula sah dijadikan korban untuk 7 orang, sama ada kesemua mereka ingin berkorban, atau sebahagian mereka ingin melakukan aqiqah, atau melakukan sembelihan biasa sahaja. Setiap amalan itu dikira dengan niat. Setiap orang pula mendapat apa yang dia niatkan sahaja...

Wallahu a'lam.