Monday, October 18, 2010

HADITH HASAN: SUATU SOROTAN PERBAHASAN DIKALANGAN MUHADDITHIN


Pendahuluan
Al-Hadith merupakan sumber utama pensyariatan hukum di dalam Islam selepas al-Quran. Melaluinya, umat Islam mampu untuk memahami dan mengeluarkan hukum-hukum yang termaktub di dalam al-Quran sama ada dari sudut aqidah, ibadah, muamalah, akhlak, adab, dan lain-lain lagi. Sehubungan dengan itu, hadith yang digunakan hendaklah dipastikan kesabitannya supaya intipati yang diambil darinya tidak menyimpang dan tersasar jauh dari perkara sebenar yang diajarkan oleh Baginda Rasulullah s.a.w.
Oleh kerana jarak masa yang terlalu jauh dengan zaman Baginda Rasulullah s.a.w., maka para ulama Islam terutamanya mereka yang mengkhususkan diri dalam bidang hadith telah meletakkan garis panduan berbentuk disiplin-displin yang tertentu bertujuan memastikan keaslian sumber hadith tersebut dan ia benar-benar datangnya dari Rasulullah s.a.w. Dalam perkara ini mereka sangat teliti dan berhati-hati bagi mengelakkan daripada berlakunya percampuran antara hadith yang sahih dengan yang tidak sahih.
Dalam meletakkan martabat atau kedudukan sesebuah hadith, pada peringkat awal, para Muhaddithin terdahulu telah meletakkan dua kategori iaitu al-Hadith al-Sahih dan al-Hadith al-Daif sahaja. Namun, ilmu ini hidup dan semakin berkembang sehingga para Muhaddithin yang datang kemudiannya telah mengklasifikasikannya kepada tiga bahagian yang besar iaitu, al-Hadith al-Sahih, al-Hadith al-Hasan, dan al-Hadith al-Daif.[1]
Justeru itu, kertas ini ditulis bertujuan untuk mengupas perbahasan-perbahasan Ahl al-Hadith berkaitan dengan al-Hadith al-Hasan secara ringkas. Ia merangkumi persoalan-persoalan berkaitan perintis kepada istilah ini serta ulama yang menggunakannya, takrifan-takrifan, syarat-syarat, pembahagian, hukum-hukum, dan bentuk penggunaannya di dalam kitab-kitab hadith.
Takrifan Dan Pembahagian Ahl al-Hadith Berkaitan al-Hadith al-Hasan
Ahl al-Hadith mempunyai pelbagai pandangan terhadap takrifan al-Hadith al-Hasan. Perkara ini berlaku disebabkan tiada penetapan makna yang tertentu khususnya pada peringkat awal istilah ini diperkenalkan. Ini kerana sebahagian Muhaddithin hanya mentakrifkan salah satu dari dua bahagiannya.[2]
Secara umumnya, ulama-ulama Hadith membahagikan al-Hadith al-Hasan kepada dua iaitu:
i) Al-Hasan Lizatih
ii) Al-Hasan Lighayrih
Al-Imam al-Tirmizi (m. 279 H) adalah tokoh yang pertama memperkenalkan istilah Hasan. Ini bermakna ulama-ulama sebelum kedatangan beliau tidak mengetahui dan meletakkan takrifan berkenaan Hadith Hasan. Beliau mentakrifkan al-Hadith al-Hasan sebagai: “Setiap hadith yang diriwayatkan, tidak terdapat pada sanadnya perawi yang dituduh berdusta, tiada syaz, dan diriwayatkan dari jalan (sanad) lain seperti (bentuk)nya”. Takrifan al-Tirmizi (m. 279 H) ini dikritik kerana selain merangkumi hadith sahih, ia sebenarnya adalah takrif bagi al-Hasan Lighayrih.[3]
Al-Imam al-Khattabi (m. 388 H) mentakrifkan sebagai: “Hadith al-Hasan adalah diketahui sumbernya, rijalnya masyhur, ia berkisar dengan kebanyakan hadith, diterima sebahagian besar ulama’ al-Hadith, dan umum fuqaha’ beramal dengannya”. Takrif ini juga tidak bertepatan lantaran mencakupi hadith sahih. Selain dari takrifan-takrifan yang dinyatakan tersebut adalah tidak berbentuk detil.[4]
Dari sudut yang lain, kebanyakan kitab-kitab ulum al-Hadith tidak meletakkan takrif al-Hasan, namun hanya membezakan antara al-Sahih dan al-Hasan dengan perawi al-Hasan kurang dabit daripada perawi al-Sahih. Antaranya ialah sebagaimana yang dilakukan oleh Ibn al-Salah (m. 643 H).[5]
Sarjana-sarjana hadith yang terkemudian mentakrifkannya sebagai: “Hadith yang bersambung sanadnya, dipindahkan oleh perawi yang adil namun kurang dabit (diambil) daripada perawi yang sepertinya sehingga ke akhir sanad, serta tidak mengandungi syaz dan illah”.[6] Terdapat kemusykilan pada takrifan ini iaitu ia tidak meletakkan syarat setiap perawi al-Hadith al-Hasan kurang dabitnya. Kemungkinan berlaku perawi yang kurang dabit tersebut bilangannya hanya seorang atau lebih.[7]
al-Hasan Lizatih
Selepas meneliti takrifan-takrifan tersebut, sarjana-sarjana hadith telah membuat kesimpulan dan mentakrifkan al-Hadith al-Hasan sebagai mana berikut.
i. Takrif al-Hasan Lizatih
Dari segi bahasa Arab, al-Hasan adalah sifat musyabbahat dari perkataan al-Husn (sesuatu yang elok). Antonimnya ialah perkataan al-Qubh (sesuatu yang buruk). Al-Hasan juga membawa maksud al-Jamil (sesuatu yang cantik).[8]
Manakala dari segi istilah dalam ilm al-Hadith pula, al-Hasan Lizatih adalah suatu hadith yang bersambung sanadnya daripada awal sehingga akhir, dipindahkan oleh perawi yang adil, dabit namun kurang sedikit dabitnya berbanding perawi hadith sahih, tidak terdapat syaz, dan tiada illat.[9]
Hadith ini dinamakan sedemikian lantaran kebaikannya datang daripada sanad dan matannya sendiri, bukan dari yang lain. Beza antaranya dengan al-Sahih Lizatih adalah kurangnya dabit sebahagian atau keseluruhan perawinya. Manakala keseluruhan perawi hadith al-Sahih Lizatih, dabitnya adalah sempurna.[10]
ii. Syarat-Syarat al-Hasan Lizatih
Sebagaimana yang telah dikemukakan melalui takrif al-Hasan Lizatih, syaratnya juga terbahagi kepada lima iaitu:[11]
i) Bersambung sanadnya dari awal sehingga akhir.
ii) Perawinya seorang yang adil.
iii) Bentuk dabit perawinya kurang sedikit berbanding perawi al-Sahih Lizatih.
iv) Selamat daripada syaz.
v) Selamat daripada illat.
iii. Hukum al-Hasan Lizatih
Dari sudut hukum, hadith-hadith yang martabatnya al-Hasan Lizatih adalah sama seperti hadith sahih dalam berhujah dari sudut aqidah, ibadah, muamalah, akhlak, adab, dan lainnya.[12]
iv. Martabat al-Hasan Lizatih
Kedudukan atau martabat al-Hasan Lizatih adalah terletak antara al-Sahih Lighayrih dan al-Hasan Lighayrih. Hadith yang martabatnya al-Sahih Lizatih dan al-Sahih Lighayrih adalah lebih diutamakan apabila berlaku pertentangan dengan al-Hasan Lizatih. Namun begitu, sekiranya berlaku pertentangan pula antara al-Hasan Lizatih dan al-Hasan Lighayrih, maka al-Hasan Lizatih akan diutamakan.[13]
v. Contoh al-Hasan Lizatih
Antara contoh-contoh hadith al-Hasan Lizatih ialah hadith yang diriwayatkan oleh al-Tirmizi (m. 279 H) dalam kitab Jami’nya. Kata beliau: “Diriwayatkan daripada Qutaybah bin Sa’id, daripada Ja’far bin Sulayman al-Quba’iy, daripada Abi ‘Imran al-Juni, daripada Abi Bakr bin Abi Musa, katanya: Aku mendengar al-‘Aduwwi berkata: Rasulullah s.a.w bersabda:[14]
إِنَّ أَبْوَابَ الْجَنَّةِ تَحْتَ ظِلاَلِ السُّيُوفِ
Terjemahan:
“Sesungguhnya pintu-pintu syurga (terletak) dibawah bayangan pedang”.
Al-Tirmizi (m. 279 H) menyatakan: “Hadith ini adalah Hasan Gharib”.[15] Apa yang dimaksudkan oleh beliau ialah empat daripada perawi hadith ini adalah thiqah kecuali Ja’far bin Sulayman al-Quba’iy. Ini kerana beliau kurang sedikit keadilannya. Oleh kerana itu, kedudukan hadith ini turun dari al-Sahih Lizatih kepada al-Hasan Lizatih. Hadith ini juga tidak boleh diangkat martabatnya kepada kedudukan al-Sahih Lighayrih lantaran tidak terdapat jalur sanad lain atau syahid merujuk kepada istilah Gharib yang digunakan oleh al-Tirmizi (m. 279 H).[16]
al-Hasan Lighayrih
i. Takrif al-Hasan Lighayrih
Al-Hasan Lighayrih menurut istilah ilmu hadith ialah hadith daif yang keadaan daifnya sedikit. Ia diangkat martabatnya disebabkan bilangan jalur sanadnya yang banyak.[17]
Dari takrif tersebut, al-Hasan Lighayrih pada asalnya adalah hadith Ìaif. Ia diangkat martabatnya lantaran dua syarat berikut:[18]
  1. Keadaan      daifnya adalah rendah. Daifnya hadith ini adalah disebabkan buruknya hafalan salah seorang perawinya, atau terputus (jalur) sanad, atau disebabkan perawinya tidak dikenali. Justeru itu, hadith-hadith yang boleh dinaikkan martabatnya kepada al-Hasan Lighayrih ialah: al-Mu’allaq, al-Mursal, al-Mu’addal, al-Munqati’, al-Mudallas, al-Mursal al-Khafiy, hadith al-Mukhtalif, al-Mutalaqqin, al-Majhul, dan al-Mubham.
Sekiranya ia terlalu daif iaitu disebabkan pendustaan, perawinya dituduh berdusta, perawinya ahli bid’ah, fasiq, atau terlalu banyak melakukan kesalahan dalam meriwayatkan hadith, maka hadith tersebut tidak boleh dinaikkan tarafnya kepada al-Hasan Lighayrih.
Begitu juga hadith-hadith yang berikut iaitu: al-Hadith al-Syaz,[19] al-Munkar, dan al-Ma’lul. Ini kerana hadith-hadith ini tiada faedahnya dinaikkan tarafnya kerana sesuatu amalan itu diambil dan diterima daripada yang berlawanan dengannya.
  1. Hadith tersebut hendaklah telah diriwayatkan oleh jalan sanad yang lain sama ada setaraf atau lebih kuat daripadanya.
ii. Martabat al-Hasan Lighayrih
Al-Hasan Lighayrih berada pada tahap terakhir atau paling rendah dari segi penerimaan sesebuah hadith. Oleh kerana itu, martabat-martabat yang sebelumnya adalah lebih didahulukan untuk diterima sekiranya berlaku sebarang pertembungan hadith.
iii. Hukum al-Hasan Lighayrih
Dari segi hujah, kita dibolehkan untuk mengambilnya sebagai dalil dari aspek aqidah, hukum hakam, ibadat, muamalat, akhlaq, adab, dan lainnya.
iv. Contoh Penaiktarafan Hadith Daif Dengan Hadith Daif
Hadith yang diriwayatkan oleh al-Tirmizi (m. 279 H) dari jalur Hajjaj, daripada ‘AÏiyyah, daripada Ibn ‘Umar, beliau berkata:[20]
صَلَّيْتُ مَعَ النَّبِىِّ -صلى الله عليه وسلم- الظُّهْرَ فِى السَّفَرِ رَكْعَتَيْنِ وَبَعْدَهَا رَكْعَتَيْنِ
Terjemahan:
Aku bersolat bersama Nabi s.a.w pada waktu Zohor ketika musafir dua rakaat dan diikuti selepasnya dua rakaat.”
Al-Tirmizi (m. 279 H) mengatakan bahawa hadith ini adalah Hasan. Ini kerana ia telah diriwayatkan oleh Ibn Abu Layla daripada ‘Aaiyyah dan Nafi’ daripada Ibn ‘Umar. Beliau kemudian turut menyatakan hadith dengan sanad tersebut dan menyatakan bahawa hadith ini adalah Hasan.[21] Ini kerana al-Hajjaj pada sanad awal iaitu Ibn Artah, dan Ibn Abu Layla pada sanad kedua adalah saduq. Para muhaddith mempertikaikan keduanya dari segi kekuatan hafalan.[22] Manakala al-Tirmizi (m. 279 H) menghasankan kedua-dua hadith ini kerana keduanya saling mengukuhkan antara satu sama lain.
v. Contoh Penaiktarafan Hadith Daif Dengan Hadith Yang Lebih Kuat Darinya
Hadith yang diriwayatkan oleh Abu Dawud (m. 275 H) dari jalan Khusaif, daripada ‘Ikrimah, Mujahid, dan ‘Ata’, daripada Ibn ‘Abbas, Nabi s.a.w bersabda:[23]
الْحَائِضُ وَالنُّفَسَاءُ إِذَا أَتَتَا عَلَى الْوَقْتِ تَغْتَسِلاَنِ وَتُحْرِمَانِ وَتَقْضِيَانِ الْمَنَاسِكَ كُلَّهَا غَيْرَ الطَّوَافِ بِالْبَيْتِ
Terjemahan:
Wanita yang didatangi haid dan nifas pada waktu (mengerjakan haji), hendaklah keduanya membersihkan diri, berihram, dan menunaikan keseluruhan ibadat (haji) selain tawaf di Baitullah.”
Hadith ini daif kerana Khusaif bin ‘Abd al-Rahman al-Haraniy adalah saduq iaitu buruk hafalan dan keliru pada akhir usianya. Terdapat dua syahid bagi hadith ini iaitu pertamanya hadith daripada Aisyah r.a yang dikeluarkan oleh al-Imam al-Bukhari, Muslim, dan lainnya.[24] Syahid yang kedua adalah hadith riwayat Jabir r.a yang diriwayatkan oleh al-Bukhari dan Muslim.[25] Oleh kerana itu, hadith Ibn ‘Abbas yang mengandungi sedikit kedaifan ini dinaiktarafkan kepada al-Hasan Lighayrih.
Penggunaan Ayat-Ayat Atau Istilah Tertentu Berkaitan al-Hadith al-Hasan
Di dalam kitab-kitab hadith banyak terdapat ayat-ayat atau istilah tertentu berkaitan dengan al-Hadith al-Hasan terutamanya sebelum istilah al-Hasan Lizatih dan al-Hasan Lighayrih diperkenalkan dan diterima pakai sebagai disiplin ilmu hadith oleh jumhur muhaddithin. Bagi mereka yang masih baru dalam bidang ini akan mudah terkeliru dengan ayat-ayat atau istilah tersebut.
i. Penggunaan ayat (أصح أو أحسن الحديث في الباب)
Ramai di kalangan muhaddith yang menggunakan ayat tersebut di dalam karya-karya mereka. Bagi sesetengah pembaca, mereka akan terkeliru dengan menganggap ia sebagai hukuman terhadap sesuatu hadith itu sama ada sahih atau hasan. Namun sebenarnya ia merujuk kepada sesebuah hadith itu adalah yang paling kuat di dalam sesuatu bab (topik). Perkara ini adalah bersifat nisbi. Kemungkinan berlaku hadith tersebut benar-benar sahih atau hasan dan kemungkinan juga hadith tersebut daif. Jika dikaji dan didapati ia daif, ini bermaksud hadith-hadith yang lain adalah lebih daif daripadanya dalam bab (topik) tersebut.
Contohnya adalah seperti hadith berikut:[26]
حَدَّثَنَا مُحَمَّدُ بْنُ حَسَّانَ السَّمْتِىُّ حَدَّثَنَا خَلَفُ بْنُ خَلِيفَةَ عَنْ أَبِى هَاشِمٍ عَنِ ابْنِ بُرَيْدَةَ عَنْ أَبِيهِ عَنِ النَّبِىِّ -صلى الله عليه وسلم- قَالَ الْقُضَاةُ ثَلاَثَةٌ وَاحِدٌ فِى الْجَنَّةِ وَاثْنَانِ فِى النَّارِ فَأَمَّا الَّذِى فِى الْجَنَّةِ فَرَجُلٌ عَرَفَ الْحَقَّ فَقَضَى بِهِ وَرَجُلٌ عَرَفَ الْحَقَّ فَجَارَ فِى الْحُكْمِ فَهُوَ فِى النَّارِ وَرَجُلٌ قَضَى لِلنَّاسِ عَلَى جَهْلٍ فَهُوَ فِى النَّارِ.
قَالَ أَبُو دَاوُدَ وَهَذَا أَصَحُّ شَىْءٍ فِيهِ يَعْنِى حَدِيثَ ابْنِ بُرَيْدَةَ الْقُضَاةُ ثَلاَثَةٌ
Terjemahan:
Diriwayatkan daripada Muhammad bin Hassan al-Samtiy, daripada Khalaf bin Khalifah, daripada Abi Hasyim, daripada Ibn Buraidah, daripada bapanya, daripada Nabi s.a.w sabdanya: “Qadi itu tiga (golongan), satunya memasuki syurga dan dua memasuki neraka. (Qadi) yang memasuki syurga tersebut ialah seseorang yang mengetahui kebenaran dan berhukum dengannya. Seseorang yang mengetahui kebenaran tetapi tidak berhukum dengannya maka dia akan memasuki neraka. Seseorang yang menghukum manusia sedangkan dia jahil maka dia akan memasuki neraka.”
Abu Dawud mengatakan hadith ini lebih sahih berbanding (hadith) yang lain dalam (bab) ini iaitu hadith Ibn Buraidah “Qadi itu tiga (golongan).”
Dalam sanad hadith ini terdapat Muhammad bin Hassan, beliau saduq layn al-hadith. Satu pandangan lagi mengatakan saduq ikhtalat. Sehubungan dengan itu, sanad hadith ini menjadi daif, namun disebabkan himpunan jalur-jalur (sanad) yang lain ia menjadi Hasan Lighayrih.[27]
ii. Penggunaan istilah (حسن صحيح)
Istilah ini menggabungkan dua perkataan yang setiap satunya mempunyai takrifan tersendiri iaitu Hasan dan Sahih. Istilah ini sering digunakan oleh al-Imam al-Tirmizi (m. 279 H) menerusi kitab Sunannya. Berikut adalah rasional mengapa al-Imam al-Tirmizi (m. 279 H) menggunakan istilah ini:[28]
  1. Hadith tersebut Hasan Lizatih dan Sahih Lighayrih. Ini bermakna hadith ini mempunyai dua sanad yang hasan yang menjadikannya Sahih Lighayrih. Ia sebenarnya adalah Hasan dan Sahih, namun huruf ‘atafnya disembunyikan.
  2. Hadith tersebut Hasan bagi sesetengah muhaddithin dan Sahih pada pandangan muhaddithin yang lain.
  3. Terdapat keraguan dan tiada kata putus terhadap hadith tersebut sama ada Hasan atau Sahih. Ia sebenarnya Hasan atau Sahih, namun disembunyikan huruf taraddudnya.
  4. Istilah ini menunjukkan kedudukannya berada di tahap teratas hadith Hasan namun masih belum mencapai darjat Sahih. Ia seolah-olah mengisi ruang antara Sahih dan Hasan. Pendapat ini adalah rajih.
Namun begitu terdapat juga pandangan yang lain iaitu:[29]
  1. Hadith yang mempunyai satu sanad Hasan dan Sahih pada sanad yang lain. Hadith ini mempunyai kedudukan yang lebih tinggi berbanding hadith yang dinyatakan al-Tirmizi (m. 279 H) sebagai Sahih. Ini kerana hadith yang mempunyai dua sanad lebih kuat berbanding hanya mempunyai satu sanad.
  2. Hasan yang dimaksudkan oleh al-Tirmizi (m. 279 H) adalah bermakna maqbul atau diterima. Ia merangkumi al-Hasan dan al-Sahih.
  3. Bagi sesuatu hadith yang dikatakan ia Sahih, ia bermakna Hasan. Panadangan ini berdasarkan riwayat-riwayat al-Tirmizi (m. 279 H) berkaitan hadith sifat (neraka) Jahannam, hadith Hudud dan hadith QiÎas.
iii. Istilah (حسن غريب)
Istilah ini menurut al-Tirmizi (m. 279 H) mempunyai makna salah satu dari perkara yang berikut:[30]
  1. Ia Hasan Lizatih. Ini adalah sekiranya gharabah atau keganjilan hadith tersebut berbentuk mutlaq.
  2. Ia Hasan Lighayrih. Ini adalah sekiranya gharabah atau keganjilan hadith tersebut berbentuk nisbi.
iv. Istilah (حسن صحيح غريب)
Al-Tirmizi (m. 279 H) menggunakan istilah ini iaitu hasil gabungan antara istilah Hasan Sahih dan Gharib. Bagaimana boleh terjadi hadith ini mempunyai lebih dari satu sanad sedangkan ia adalah Gharib? Jawabnya adalah hadith-hadith Gharib terbahagi kepada dua iaitu:[31]
  1. Gharib MuÏlaq. Sekiranya ia gharib mutlaq, ini bermaksud terdapat keraguan diantara sahih atau hasan. Para muhaddithin berbeza pandangan pada hadith tersebut antara mentashihkannya atau mentahsinkannya. Ia juga boleh jadi terletak di tengah-tengah antara keduanya. Kesemua perkara tersebut adalah disebabkan ia adalah gharib.
  2. Gharib Nisbi. Sekiranya ia adalah gharib nisbi, istilah ini mencakupi apa yang telah dinyatakan sebelum ini berkaitan makna Hasan Sahih dengan disandarkan kepada nisbahnya yang bersendirian dalam riwayat.
Terdapat juga makna yang khusus kepada istilah Hadith Hasan iaitu yang digunakan oleh al-Baghawi (m. 516 H) di dalam karyanya MaÎabih al-Sunnah. Menurut al-Baghawi (m. 516 H), hadith-hadith yang dikeluarkan oleh AÎhab al-Sunan adalah Hadith Hasan. Pandangan ini dikritik hebat, ini kerana pada kitab-kitab sunan kemungkinan sesebuah hadith itu Sahih, Hasan, atau daif. Perkara ini memerlukan kepada penelitian yang lebih terperinci.[32]
v. Istilah (حديث جيّد)
Istilah ini sebenarnya merujuk kepada sesebuah hadith itu adalah sahih. Muhaddith tersebut tidak menggunakan istilah Hadis Sahih pada sesebuah hadith kerana mempunyai sebab yang tertentu iaitu hadith tersebut Sahih melalui jalan sanad yang lain atau tidak dapat dipastikan ia sampai ke martabat sahih.[33]
vi. Istilah (حديث قويّ) atau (حديث ثابت)
Kedua-dua istilah ini sering digunakan oleh muhaddith bagi membayangkan maksud sesebuah hadith itu adalah sahih atau hasan. Ia kebiasaannya menunjukkan bahawa sesebuah hadith itu sahih.[34]
vii. Istilah (حديث صالح)
Penggunaan kalimah ini menunjukkan sesebuah hadith itu boleh dijadikan hujah. Kebiasaannya ia merujuk kepada sesebuah hadith yang bertaraf hasan. Namun, kemungkinan hadith tersebut sahih juga tidak dinafikan.[35]
Sumber-Sumber Perolehan Hadith-Hadith Hasan
Tidak sebagaimana hadith-hadith yang sahih, para ulama dalam bidang hadith tidak mengasingkan hadith-hadith hasan dan menghimpunkannya di dalam satu-satu penulisan yang khusus. Apa yang dimaksudkan di sini ialah sumber-sumber perolehan hadith-hadith hasan adalah menerusi penulisan-penulisan yang banyak mengandungi hadith-hadith hasan yang bercampur dengan hadith-hadith sahih dan daif. Antara sumber-sumber yang penting adalah seperti berikut. [36]
i. Al-Jami’ al-Tirmizi.
Ia juga dinamakan dengan Sunan al-Tirmizi, namun lebih utama dinamakan dengan al-Jami’. Ini kerana penulisnya menghimpunkan setiap bab-bab hadith dan dari satu aspek ia sama seperti Sahihayn.
Al-Tirmizi (m. 279 H) dalam penulisannya menekankan fiqh al-Hadith (kefahaman hadith), ‘ilal al-Hadith (kecacatan hadith), al-Jarh wa al-Ta’dil, perawi yang meriwayatkan hadith dari kalangan sahabat, dan menerangkan darjat hadith. Menerusi kitab ini, banyak manfaat dalam bidang hadith dapat diperolehi yang tidak terdapat pada kitab-kitab yang lain.
Namun, perlu diberi perhatian di sini bahawa kitab al-Jami’ ini terdapat banyak naskhah. Sehubungan dengan itu, perbezaan dan perselisihan yang terdapat di dalamnya tidak sedikit. Ini termasuklah perbezaan hukum-hukum hadith yang terdapat di dalamnya. Dalam ha ini, kita perlu berpegang dengan naskhah yang telah ditahqiq dan telah dibincangkan berkaitan usul-usul yang muktamad.
Nama sebenar al-Tirmizi ialah Abu ‘Isa Muhammad bin ‘Isa al-Tirmizi. Beliau dilahirkan pada tahun 209 H dan meninggal pada tahun 279 H. Beliau banyak menghasilkan karya dan merupakan antara murid al-Imam al-Bukhari yang paling masyhur.
ii. Al-Sunan oleh Abi Dawud.
Kitab al-Sunan membawa maksud kitab-kitab hadith khusus yang disusun berdasarkan bab-bab fiqh. Kitab al-Sunan kebiasaannya mengandungi hadith-hadith yang marfu’, mauquf, dan maqtu’.
Abu Dawud (m. 273 H) telah menerangkan manhajnya dalam al-Sunan. Antara yang dinyatakan oleh beliau ialah beliau akan meletakkan dalam kitabnya hadith-hadith yang sahih dan yang hampir dengannya iaitu hadith hasan. Bagi hadith yang sangat daif, beliau akan sertakan dengan penerangan. Manakala bagi hadith-hadith yang tidak diberikan sebarang ulasan oleh beliau pula ialah hadith yang boleh dibuat hujah iaitu hadithnya sahih atau hasan.
Nama asal beliau ialah Abu Dawud Sulayman bin al-Asy’ath al-Sijistani. Beliau dilahirkan pada tahun 202 H dan meninggal dunia pada 273 H. Beliau juga merupakan antara murid al-Imam al-Bukhari yang paling masyhur.
iii. Al-Mujtaba oleh al-Nasa’i.
Kitab ini adalah ringkasan kitab al-Sunan al-Kubra oleh al-Nasa’i. Kitab al-Mujtaba disusun mengikut bab-bab fiqh dan menghimpunkan riwayat-riwayat hadith pada satu tempat.
Nama beliau ialah Abu ‘Abd al-Rahman Ahmad bin Syu’aib al-Nasa’i. Beliau dilahirkan pada tahun 215 H dan meninggal dunia pada tahun 303 H.
iv. Sunan al-MuÎÏafÉ oleh Ibn Majah.
Kitab ini adalah keenam dari kedudukan Kutub al-Sittah. Namun begitu, sebahagian ulama hadith berpendapat yang keenam adalah al-MuwaÏÏÉ’. Kitab ini juga disusun mengikut bab-bab fiqh.
Nama beliau adalah Muhammad bin Yazid al-Qazwini. Beliau dilahirkan pada tahun 209 H dan meninggal dunia pada tahun 273 H.
v. Al-Musnad oleh Ahmad bin Hanbal.
Kitab hadith ini disusun mengikut berdasarkan nama-nama keseluruhan sahabat r.a. Pengarang kitab ini telah menghimpunkan sekitar 27 000 hadith. Ia mengandungi kebanyakannya hadith-hadith yang sahih dan hasan. Terdapat juga hadith-hadith daif di dalamnya. Ahl al-Hadith berbeza pendapat tentang wujudnya hadith-hadith maudu’ di dalamnya. Ibn Hajar (m. 852 H) menjelaskan menerusi kitabnya al-Qaul al-Musaddad Fi al-Zabbi ‘An Musnad al-Imam Ahmad bahawa tidak wujud hadith-hadith palsu di dalamnya.
Al-Syeikh Ahmad Syakir selepas mengkaji 6 511 hadith-hadith yang terdapat di dalamnya mendapati nisbah hadith daif hanya kurang dari 12% sahaja.
Namun begitu, kedudukan Musnad Ahmad masih lagi di bawah Kutub al-Sittah. Berkaitan pengarangnya, beliau ialah al-Imam Ahmad bin Muhammad Bin Hanbal al-Syaibani. Beliau dilahirkan pada tahun 164 H di Baghdad. Semasa hayatnya beliau mempunyai pendirian yang tegas dalam menentang pandangan golongan mu’tazilah iaitu dalam permasalahan menyatakan bahawa al-Quran itu makhluk. Akibat dari itu, beliau ditangkap dan dipenjarakan selama dua tahun empat bulan. Beliau akhirnya meninggal dunia akibat seksaan yang dikenakan kepada beliau pada tahun 241 H.
Hukum Golongan Muta’akhkhirin Terhadap al-Hadith
Ibn Salah (m. 643 H) berpandangan bahawa golongan Muta’akhkhirin tidak boleh meletakkan hukum terhadap sesuatu hadith. Beliau seolah-olah telah mengambil pendirian mengunci pintu-pintu ijtihad dan berpada dengan hukum hadith yang sedia ada. Ini kerana beliau bimbang hadith-hadith Nabi s.a.w mendapat campur tangan orang yang bukan ahli dalam bidang hadith. Namun begitu, para muhaddithin selepas beliau tidak bersetuju dengan pandangan tersebut. Antaranya ialah al-Nawawi (m. 676 H), Ibn Kathir (m. 774 H), al-‘Iraqi (m. 806 H), dan Ibn Hajar (m. 852 H). Ketidaksetujuan ini adalah berpaksikan kepada perkara-perkara berikut:
  1. Kayu ukur atau piawaian kepada seseoarang yang ingin menghukum sesebuah hadith adalah berdasarkan ilmu dan keahliannya dalam bidang tersebut. Tidak semestinya hukuman golongan Mutaqaddimin itu muktamad dan tidak semestinya golongan Muta’akhkhirin itu mengkritik hukuman mereka.
  2. Persoalan berkaitan dengan menutup pintu ijtihad tidak terdapat dalil. Sesiapa sahaja layak membuat ijtihad sekiranya telah menepati syarat-syaratnya.
Di sini bolehlah dikatakan bahawa kita perlu merujuk kembali kepada pandangan yang disepakati oleh ulama terdahulu. Kita bersetuju dengan persepakatan mereka terhadap sesebuah hadith sahih dan begitu juga terhadap hadith yang disepakati daif. Manakala sekiranya terdapat perbezaan pendapat pada sesebuah hadith tersebut, ulama terkemudian hendaklah memberikan pandangan dan tarjih. Mereka perlu memberikan hukum kepada hadith-hadith yang belum lagi diletakkan hukum.
Sebahagian mereka berpendapat golongan Muta’akhkhirin hendaklah berhati-hati dan menggunakan lafaz: Sahih al-Isnad atau Sahih Insya Allah.
Kesimpulan Dan Penutup
Menerusi apa yang dinyatakan sebelum ini, dapatlah diketahui bahawa al-Hadith al-Hasan merupakan suatu istilah yang muncul terkemudian bagi menyelesaikan permasalahan hadith-hadith yang daifnya sedikit dan hadith-hadith yang tidak ditolak namun tidak mencapai darjat sahih. Istilah ini berkembang dari semasa ke semasa dan mendapat perhatian yang besar dari kalangan Muhaddithin sehinggalah ia mampu berdiri sendiri sebagai satu istilah ilmiah yang diterima pakai dalam pengajian hadith kontemporari.
Sebagai penuntut dalam bidang ilmu hadith, sewajarnya kita menyoroti perbahasan-perbahasan ahl al-Hadith berkaitan dengan al-Hadith al-Hasan supaya kita tidak terkeliru dan kabur ketika meneliti dan menelaah karya-karya terdahulu.
Bibliografi
Syaraf Mahmud al-Qudah (2003), al-Minhaj al-Hadith Fi ‘Ulum al-Hadith, Gombak: Dar al-Tajdid, cet. 1.
Muhammad Abu al-Layth al-Khayr Abadi (2009), Mu’jam Mustalahat al-Hadith Wa ‘Ulumuh Wa Asyhara al-Musannifin Fih, Jordan: Dar al-Nafais, cet. 1.
________________ (2005), ‘Ulum al-Hadith: Asiluha Wa Ma’asiruha, Bangi: Dar al-Syakir, cet. 4.
Muhammad Ajjaj al-Khatib (2003), Usul al-Hadith: Ulumuh Wa Mustalahuh, Beirut: Dar al-Fikr.
Jalal al-Din Abu al-Fadhil ‘Abd al-Rahman al-Suyuti (2009), Tadrib al-Rawi Fi Syarh Taqrib al-Nawawi, ed. ‘Irfan al-‘Asysya Hassunah, Beirut: Dar al-Fikr.
Manna’ al-Qattan (2007), Mabahith Fi ‘Ulum al-Hadith, Kaherah: Maktabah Wahbah, cet. 5.
Nasir al-Din al-Albani (2003), ‘Ulum al-Hadith, ed. ‘Isam Musa Hadi, Beirut: Dar Ibn Hazm, cet. 1.


[1] Dr. Syaraf Mahmud al-Qudah, al-Manhaj al-Hadith Fi Ulum al-Hadith, hlm 162.
[2] Ibid.
[3] Ibid.
[4] Ibid.
[5] Taqiy al-Din ‘Uthman bin ‘Abd al-Rahman al-Syahruzuri, Ulum al-Hadith, hlm. 19-20.
[6] Ibid.
[7] Dr. Syaraf Mahmud al-Qudah, op.cit., hlm 163.
[8] Dr. Muhammad Abu al-Layth al-Khayr Abadi, Ulum al-Hadith Asiluha Wa Ma'ayiruha, hlm. 155.
[9] Ibid, hlm. 156.
[10] Ibid.
[11] Ibid.
[12] Ibid.
[13] Ibid.
[14] Muhammad bin ‘Isa al-Tirmizi, Sunan al-Tirmizi, jld. 6, hlm. 417, no. 1760.
[15] Ibid.
[16] Dr. Muhammad Abu al-Layth al-Khayr ÓbÉdÊ, op.cit, hlm. 157.
[17] Ibid.
[18] Ibid.
[19] Al-Hadith al-Syaz terbahagi kepada enam iaitu: al-Mudraj, al-Maqlub, al-Mazid pada bersambungnya sanad dengan syarat-syaratnya, al-MuÌÏarib, al-MuÎaÍÍaf, dan al-MuÍarraf.
[20] Muhammad bin ‘Isa al-Tirmizi, Sunan al-Tirmizi, jld. 2, hlm. 449, no. 554.
[21] Ibid, hlm. 450, no. 555.
[22] Dr. Muhammad Abu al-Layth al-Khayr ÓbÉdÊ, op.cit, hlm. 159.
[23] Sulaiman bin al-Asy’ath al-Sijistani, Sunan Abi Dawud, jld. 5, hlm. 328, no. 1746.
[24] Lihat: Muhammad bin Ismail, Sahih al-Bukhari, Kitab al-Haid, jld. 2, hlm. 5, no. 294. Muslim bin Hajjaj, Sahih Muslim, Kitab al-Hajj, jld. 6, hlm. 211, no. 2106.
[25] Lihat: Muslim bin Hajjaj, Sahih Muslim, Kitab al-Hajj, jld. 6, hlm. 212, no. 2107. Muhammad bin Ismail, Sahih al-Bukhari, jld. 2, hlm. 31.
[26] Sulaiman bin al-Asy’ath, Sunan AbÊ Dawud, Bab Fi al-QaÌi YukhÏi’, jld. 10, hlm. 435, no. 3575.
[27] Dr. Syaraf MahmËd al-QudÉh, op.cit., hlm 165.
[28] Dr. Syaraf MahmËd al-QudÉh, op.cit., hlm 166.
[29] Ibid, hlm. 167.
[30] Ibid.
[31] Ibid.
[32] Ibid, hlm 168.
[33] Ibid.
[34] Ibid.
[35] Ibid.
[36] Lihat: Manna’ al-Qattan, Mabahith Fi ‘Ulum al-Hadith, hlm. 105. Jalal al-Din al-Suyuti, Tadrib al-Rawi, hlm. 103. ‘Ajjaj al-Khatib, Usul al-Hadith Ulumuh Wa Mustalatuh, hlm. 220. Muhammad Abu al-Laiyth al-Khayr Abadi, Ulum al-Hadith Asiluha Wa Ma’ayiruha, hlm. 156.

2 comments:

adzim said...

salam.
hadith yang tidak dihukumkan oleh Abu Daud dalam sunannya adalah soleh. Ia tidak semestinya sahih atau hasan. Soleh lil-i'tibar, bukan saleh lil-ihtijaj. hadith soleh akan terbahagi lagi kepada beberapa darjat:
1-sahih mengikut syarat Bukhari Muslim
2-Hasan lizatihi
3-Hasan lighairi
4-Daif.

kbd1997 said...

Salam. saya minta kebenaran untuk kongsi maklumat daripada artikel ini. Jazakallah.