Monday, May 5, 2008

Selamat Bercuti buat warga UM tercinta….

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera buat semua….

Pertamanya, kesyukuran yang tidak terhingga dipanjatkan pada Allah kerana setelah sekian lama dapat juga kiranya untuk saya melakarkan sesuatu dalam blog ini. Setelah kita bertungkus lumus menghadapi peperiksaan maka tibalah masanya untuk kita menjalani cuti akhir semester bagi sesi 2007/2008. Buat semua warga UM tercinta diucapkan selamat bercuti dan semoga kita dapat memanfaatkan cuti kali ini dengan sebaiknya. Menjadi kelaziman bagi warga Um khususnya mahasiswa dan mahasiswi untuk pulang ke rumah masing-masing pada setiap kali cuti semester menjelma. Semoga dengan kepulangan saudara dan saudari akan mengubat rindu kedua ibu bapa dan sanak saudara yang telah sekian lama merindui kalian. Jadikanlah cuti ini sebagai peluang untuk berbakti kepada kedua ibu bapa setelah sekian lama tidak menjenguk mereka.

Saya juga ingin mengambil kesempatan di sini untuk mengucapkan Selamat meninggalkan alam kampus bagi pelajar tahun akhir dan yang telah menghabiskan pengajian mereka di Universiti yang kita cintai ini. Jadikanlah keberadaan kalian di kalangan masyarakat membawa manfaat kepada mereka seterusnya dapat berbakti pada agama, bangsa dan jua negara. Bagi mereka yang masih mempunyai baki pengajian di Universiti Malaya ini, saya ucapkan agar terus berusaha dan di doakan agar berjaya dalam bidang masing-masing. Semoga kita semua akan dapat mencapai kejayaan yang cemerlang dalam peperiksaan yang dihadapi baru-baru ini.

Bulan Mei sememangnya dipenuhi dengan perayaan. Bermula dengan Hari Pekerja pada 1 Mei yang lalu, diikuti pula dengan Hari Ibu dan HariGuru. Di sini, suka untuk saya ceritakan mengenai kisah seorang anak bersempena dengan Hari Ibu yang akan menjelang tidak lama lagi. Kisahnya mengenai seorang yang anak yang amat mengasihi ibunya. Kisah ini diceritakan dalam sebuah majalah iaitu mengenai Adolf Hitler yang amat menyayangi ibunya. Sungguh terharu apabila membaca kisahnya kerana dia meletakkan potret ibunya di dalam dompet setelah kematian ibunya tanda kasih sayang buat ibunya. Bagaimana pula dengan kita? Bagi yang masih mempunyai ibu dan bapa, gunakanlah peluang cuti ini untuk bersama dengan mereka. Janganlah kita melukai hati mereka kerana seperti yang kita ketahui keredhaan Allah terletak pada keredhaan kedua ibu bapa.

Sememangnya ayat suci al-quran sendiri ada menyatakan agar kita tidak menyakiti kedua ibu bapa kita seperti dalam surah Al-Isra’ ayat 23 maksudnya;

23. Dan Tuhanmu Telah memerintahkan supaya kamu jangan menyembah selain dia dan hendaklah kamu berbuat baik pada ibu bapakmu dengan sebaik-baiknya. jika salah seorang di antara keduanya atau kedua-duanya sampai berumur lanjut dalam pemeliharaanmu, Maka sekali-kali janganlah kamu mengatakan kepada keduanya perkataan "ah" dan janganlah kamu membentak mereka dan ucapkanlah kepada mereka perkataan yang mulia.

Lihatlah, gunakan perkataan “ah” sudah tidak boleh inikan pula bersikap kasar terhadap keduanya. Tentu azab yang pedih menanti mereka yang bertindak sedemikian. Ambillah pengajaran dari kisa alqomah yang tidak dapat mengucap syahadah di akhir ayatnya telah mengecilkan hati ibunya.

Usah kita sengaja membuatkan kedua orang tua kita marah dengan tindakan kita bahkan jadikanlah mereka gembira dan bahagia mempunyai anak seperti kita. Nasihat ini juga ditujukan buat diri saya sendiri agar tidak lupa akan tanggungjawab terhadap kedua ibu bapa. Bagi mereka yang mempunyai agenda lain seperti program motivasi, kursus, dan sebagainya, diharapkan agar program yang dijalankan akan berjalan dengan lancar. Jadikanlah program yang kita jalankan itu membawa manfaat kepada diri kita dan diri orang lain yang mengikuti program yang dijalankan.

Rasanya, sekian dulu coretan ringkas dari saya. Semoga kita semua akan mendapat keredhaanNYA serta diharapkan agar cuti ini memberi manfaat pada kita semua. SELAMAT BERCUTI dan JUMPA LAGI….Sekian….Wassalam.

~Sejahtera bersama PMIUM~

2 comments:

Shahir said...

Salam. Semoga dikuatkan lagi usaha oleh Allah untuk mempimpin PMIUM ke arah yang lebih gemilang, InsyaAllah...

Muhammad Haafizuddin Bin Abirerah said...

terima kasih saudara shahir. sama-sama kita pacu PMIUM ke arah era kegemilangan.