Saturday, May 31, 2008

Sorotan SEJARAH

Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Malaya atau akronimnya PMIUM telah ditubuhkan pada pertengahan tahun 1950-an (1956). Penubuhan PMIUM adalah hasil inisiatif Syed Muhammad Nuqaib al-Attas, seorang mahasiswa Islam di Universiti Malaya, Singapura (kini dikenali sebagai National University of Singapore). Pada tahun 1059/1960, Universiti Malaya berpindah lokasi ke Kuala Lumpur. Maka, PMIUM juga turut memindahkan operasi persatuan dan gerakan dakwahnya ke kampus baru tersebut.


Kondisi uni perdana pada ketika itu sangat liberal dan jauh daripada suluhan agama dan dogma budaya ketimuran. Paradigma rata-rata mahasiswa Islam khususnya mahasiswa Melayu sendiri lebih dipengaruhi oleh ideologi sosialisme dan nasionalisme ekstreme. Bertitiok tolak pada hakikat ini, Syed Muhammad Nuqaib al-Attas telah melakukan suatu ijtihad dengan menubuhkan PMIUM demi menggerakkan idea ‘faham Islam’ dalam lapangan umat kampus dan nasional.

Biarpun PMIUM pada peringkat awal kurang didekati oleh mahasiswa Melayu, namun sedekad usia penubuhannya mula memperlihatkan suatu pola gerakan dinamik dan menjadi sebuah badan dakwah yang sangat aktif dalam mendepani arus massa. Usrah [kini dikenali sebagai Islamic Interactive Groups - iGG) dan ceramah agama rancak diadakan di Surau-Surau Kolej Kediaman UM dan menjadi medium utama dalam membangunkan gerakan dakwah di kampus. Qiammullail, Kuliah Umum, Tamrin (workshop), rehlah (berkelah) dan muqaiyam (khemah ibadat) menjadi sebahagian program tradisi ‘tarbiyah’ PMIUM.

Gerakan dakwah PMIUM tidak statik malah terus mara meniti arus massa kampus. Fenomena maksiat dan lucah dalam Minggu Orientasi telah mendorong PMIUM melakukan demontrasi aman pada tahun 1971. Natijahnya, PMIUM diberi ruang menyertai Jawatankuasa Orientasi (JKO) demi menerapkan ‘faham Islam’ kepada para mahasiswa baru (freshies).

Pada tahun 1986, PMIUM turut membantah majlis ball night, Malam Kebudayaan dan Malam Bakat Kampus anjuran HEP. Program-program ini bukan sahaja mempunyai unsur maksiat dan perjudian, malah tidak menepati objektif asal Haluan Siswa. Natijahnya, PMIUM dinafikan hak untuk menyertai JKO sesi selepasnya.

Pelbagai tribulasi yang menimpa PMIUM sedikit pun tidak melumpuhkan semangat PMIUM dalam meniti liku dakwah dan perjuangan di kampus. Malah, PMIUM tampil dengan wajah dinamik melalui Majlis Taaruf (kali pertama 1979/80), Minggu Muhibbah, Minggu Suai Mesra, Minggu Silaturrahim, Minggu Taaruf, dan sebagainya demi memastikan agenda dakwah sampai kepada setiap mahasiswa Islam khususnya mahasiswa baru.

Demi memastikan agenda Islah (perubahan) dapat direalisasikan, PMIUM turut menganjurkan demontrasi aman membantah ‘Konvensyen Ball’ (1974), Konsert Anita Serawak (1982), Konsert Sudirman (1985), Konsert Headwind (1987), Konsert Ramli Sarip (1988), Konsert Sheila Majid (1989), Konsert Sheila Majid & H. Amin (2002) dan sebagainya.

Program Pesta Kolej di Kolej Kediaman UM dan Pestaria Kebajikan (kini dikenali FESKUM) yang diwarnai unsur maksiat dan perjudian turut mendapat perhatian PMIUM. Atas kesedaran Islam, PMIUM telah menghantar memorandum bantahan kepada konsortium pengetua Kolej Kediaman UM dan HEP sendiri, namun dipandang enteng oleh HEP. Malah PMIUM sendiri buat julung kalinya menganjurkan Konsert Kemanusiaan dan Konsert Campusiana adalah antara modal konsert yang bercorak islamik.

Beberapa siri demontrasi anjuran PMIUM memperlihatkan berlaku pertembungan arus kepemimpinan PMIUM dengan PMUM. Fenomena ini memaksa PMIUM terjun secara langsung dalam politik kampus melalui penyertaan dalam pilihanraya kampus akhir 1970-an. PMIUM (Islamic Groups) berjaya mendominasi (2/3) PMUM pada tahun 1981. Sejak itu, PMIUM mengalami pelbagai pengalaman politik kampus. PMIUM juga pernah boikot PRK pada tahun 1983 dan 2004. Tahun 2005 menyaksikan dummy system PRK oleh PMIUM melalui tajaan calon kerusi umum lebih 30 orang mahasiswa.

PMIUM juga pernah memimpin suatu pakatan politik (tahalluf siyasi) sehingga tertutuhnya Majlis Tertinggi Nasional (MTN) hasil gabungan PMIUM. PKPIM, PAKUM (kini PEMADAH), PERMATA, PMKUM dan sebagainya demi menangani Majlis Tindakan Sementara (MTS) yang telah berjaya merampas kuasa pentadbiran UM. PMIUM juga pernah menyertai BMB, malah pernah menubuhkan NADI (1990) dan GMUM (1999).

Pembinaan gererasi yang Islamik dan karismatik sangat penting bagi PMIUM. Sebagai contoh, inisiatif PMIUM menganjurkan Latihan Kepimpinan Islam Universiti Malaya (LAKIUM), Kursus Amal Islami (KAMI), Ijtima’ Mahasiswa Islam UM, Kuliah Tasqif , Baktisiswa (Minggu Kebajikan PMIUM ’86), Minggu Kebajikan PMIUM, Seminar Kekeluarga Islam, Malam Tokoh, Kursus Usahawan, Latihan dan Kepimpinan UM (LAKUM) (melalui proksi MPMUM 2002), Riadah Mingguan PMIUM dan sebagainya merupakan antara program tradisi PMIUM. Aktiviti-aktiviti ini bertujuan menjana kapasiti intelektual dan karismatik kepemimpinan mahasiswa dalam lapangan nasional hatta global.

Tidak hairanlah sekiranya kepemimpinan lepasan PMIUM boleh dilihat dalam pelbagai lapisan sosial dari tangga kepemimpinan negara sehinggalah lapangan rakyat. Sebagai contoh, Senator Dr Fuad Zarkasi (UMNO-Johor); Ahmad Shabery Chik (Menteri Penerangan), Che Johan Che Pa (UMNO-Kelantan), Muhammad Hussein (PAS-Kelantan), Roslan Kassim (UMNO-Jempol), Mohd Nazri Din (PAS-Perak), YAB Dato’ Seri Dr. Mohd Khir Toyo (Bekas MB Selangor), Dato’ Dr. Siddiq Fadhil (Presiden, Kolej dar al-Hikmah), YB Dato’ Husam Musa (PAS-Kelantan), Anual bakri Haron (Setiausaha Akhbar MB Kelantan), YB Takiyuddin Ahmad (PAS-Kelantan), Ishak Ismail (Ahli Akademik UPSI), Yazid Othman (Persatuan Wartawan KL), Jamaluddin Ramli (Ahli Akademik UTM), Rosley Ahmad (Advisor RHB Securities dan RHB Equities), Dr. Zulkifli Yusof (ahli akademik UM), Zaharuddin Ab. Rahman (Panel Syariah, RHB Islamic Banking), Mohd Nazri Chik (Panel Syariah BiMB), Zaidi Zain (UMNO-Serdang) dan sebagainya adalah antara tokoh kepemimpinan nasional yang lahir daripada rahim aktivisme PMIUM.

PMIUM bukan sahaja mendominasi pola gerakan dakwah di kampus semata-mata, malah sangat peka dengan isu-isu nasional dan global. PMIUM bersama-sama PKPIM, PBMUM, PMUK dan GPMS pernah menganjurkan demontrasi membantah lawatan Thanom Kittkachorn (PM Thai) ke Kuala Lumpur berikutan rekod penindasan beliau ke atas rakyat Islam Pattani. PMIUM bersama PKPIM juga telah menganjurkan demontrasi di depan kedutaan AS berikutan campurtangan AS dalam Perang Arab-Israel.

PMIUM juga melalui GAMIS telah menganjurkan demontrasi aman membantah pencerobohan AS ke atas Libya (1986), demontrasi mempertahankan Masjid ar-Rahman dan bantah pembinaan Kerinchi Ling (1999), bantah pembinaan restoran McDonald’s di dalam UM (1999) kedatangan pasukan Kriket Israil ke Malaysia (2000).

Sesi 1968/1969 adalah penggal penting penubuhan Lajnah Hal Ehwal Wanita Islam (HEWI) dan penubuhan ini telah memberi ‘kekuatan’ baru kepada PMIUM. Antara inisiatif HEWI yang harus dipuji adalah kecaman perlantikan Benazir Bhutto sebagai PM Pakistan. HEWI juga ke hadapan mendesak Kementerian Kesihatan Malaysia agar jururawat Islam dibenarkan memakai busana muslim.HEWI juga telah membuat kenyataan akhbar menyokong Hajjah Rahimah Rahim untuk tidak bergiat dalam dunia hiburan ala ‘glamour’ dan maksiat (1990).

HEWI juga telah mengeluarkan kenyataan akhbar mengkritik Dr. Hamid Othman (Menteri JPM) yang mengeluarkan kenyataan yang bertentangan dengan kehemdak Islam dalam isu peraturan pakaian wanita Islam yang dilaksanakan oleh Kerajaan Kelantan (1990).

Lebih daripada itu, PMIUM turut menerbitkan beberapa majalah yang sarat dengan unsur agama dan isu semasa. Majalah SEJAHTERA merupakan keluaran sulung PMIUM pada tahun 1961. Selain daripada majalah SEJAHTERA, warkah PMIUM, Suara PMIUM, Renungan Hari Jumaat,`Why Islam Series’, ‘Islam Series’, ‘The Dawn’, ‘Study in Islam Series’, Suara Siswi, al-Muslimah, al-Multazim, al-Jamaah, Teman, ar-Rusydan (terbitan terkini) dan Jurnal Intelek merupakan antara koleksi klasik terbitan PMIUM.

Antara sumbangan besar PMIUM demi mengetengahkan agenda dakwah adalah mendesak pihak kerajaan membina masjid berhampiran Universiti Malaya. Desakan ini disambut baik oleh pihak kerajaan. PMIUM sendiri berusaha mendapatkan sebidang tanah untuk dibina Masjid ar-Rahman pada tahun 1960. PMIUM juga turut melancarkan kutipan dana sehingga masjid ini berjaya dibina pada tahun 1963.

Persediaan prasarana fizikal Universiti Malaya, Kuala Lumpur hanya menumpu pada kemudahan pembelajaran dan intelektual semata-mata, tanpa menitikberatkan soal spiritual. Mahasiswa Melayu-Islam yang kebetulan semakin bertambah bilangan mereka. Realiti ini mendorong PMIUM mendesak pihak pentadbiran UM menyediakan surau-surau di kolej kediaman Universiti Malaya dan desakan ini disambut baik oleh pentadbiran UM.

Selain itu, PMIUM juga telah menubuhkan Badan ar-Rahmaniah atau Badan Dakwah dan Kebajikan Islam SeMalaysia pada tahun 1962 yang berpusat di Masjid ar-Rahman, Universiti Malaya, Kuala Lumpur. Badan ini ditubuhkan hasil kerjasama PMIUM dengan Pertubuhan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM). PMIUM juga pernah menganggotai jawatankuasa kecil perhubungan dengan Masjid Negara Malaysia.

PMIUM juga telah menggerakkan suatu gerakan intelektual pada 1967 yang dikenali sebagai ‘Projek Penyelidikan Kepercayaan Agama Islam Dalam Masyarakat Melayu’ sehingga berjaya membongkar permasalahan masyarakat luar bandar dalam soal kependidikan dan sosio-ekonomi/politik.

Isu kebajikan dan keselamatan juga turut menjadi fokus utama aktivisme PMIUM. Budaya maksiat acap kali dilakukan oleh segelintir mahasiswa UM khususnya di sudut-sudut gelap seperti di bukit Bukit ‘A.i’. Senarion ini bukan sahaja tidak selari dengan tuntutan agama, malah mengancam keselamatan diri dan maruah seluruh mahasiswa UM khususnya komuniti mahasiswi. Justeru, PMIUM mengambil inisiatif mendesak pentadbiran UM agar memasang lampu di sekitar tempat gelap.

Kini, lampu bukan sahaja dipasang sepanjang jalan di dalam UM, malah di semua fakulti dan akademi turut dipasang lampu demi mengawal sosial masyarakat kampus. Era 1990-an, PMIUM mara selangkah lagi melalui penubuhan sebuah badan pencegah maksiat yang dikenali sebagai BADAR. Modal dan modus operandi badan ini kini diimport oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).

Kod Etika Pemakaian dan Moral yang diperkenalkan oleh HEPA kini adalah hasil desakan PMIUM mengadakan demontrasi pada 1974 di depan kediaman Pengetua Kolej Kediamana Ke-5 UM (KK5 UM) bertujuan menyokong tindakan Pengetua tersebut yang menguatkuasakan dasar dan peraturan universiti berhubung moral mahasiswa dan sanggup menyingkirkan 3 mahasiswa disebabkan masalah moral.

Sebenarnya masih banyak lagi episod unik PMIUM yang berusia 50 tahun masih belum diteroka dan dibongkarkan sejarah silamnya. Agak sukar kini kita temukan kajian ilmiah dan penulisan tentang PMIUM khususnya pasca periodisasi pertengahan 1990-an sehingga zaman milenium.

No comments: