(Permulaan Wahyu)
بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيمِ
(Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang)
بَاب بَدْءُ الْوَحْيِ قَالَ الشَّيْخُ الْإِمَامُ الْحَافِظُ أَبُو عَبْدِ اللَّهِ مُحَمَّدُ بْنُ إِسْمَاعِيلَ بْنِ إِبْرَاهِيمَ بْنِ الْمُغِيرَةِ الْبُخَارِيُّ رَحِمَهُ اللَّهُ تَعَالَى آمِينَ
(Bab Permulaan Wahyu. Kata al-Shaykh al-Imam al-Hafiz Abu 'Abdillah Muhammad bin Isma'il bin Ibrahim bin al-Mughirah al-Bukhari r.h. Amin)
كَيْفَ كَانَ بَدْءُ الْوَحْيِ إِلَى رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَقَوْلُ اللَّهِ جَلَّ ذِكْرُهُ
(Bagaimana keadaan permulaan wahyu kepada Rasulullah s.a.w dan firman Allah SWT yang menyebut berkaitannya:)
{ إِنَّا أَوْحَيْنَا إِلَيْكَ كَمَا أَوْحَيْنَا إِلَى نُوحٍ وَالنَّبِيِّينَ مِنْ بَعْدِهِ }
(Sesungguhnya Kami telah wahyukan kepadamu (Muhammad) sebagaimana Kami telah wahyukan kepada Nuh dan para Nabi selepasnya... Surah al-Nisa: ayat 163)
Kalimah-kalimah di atas adalah teks dan terjemahan kepada pendahuluan kitab Sahih al-Bukhari. Saya tidak bercadang untuk mengulas lanjut berikutan syarah berkaitan dengannya telah dikemukakan oleh para ulama silam semisal Ibn Rajab al-Hanbali dengan karyanya Fath al-Bari, diikuti Ibn Hajar al-'Asqalani menerusi karyanya yang juga dinamakan Fath al-Bari, juga biras beliau Badr al-Din al-'Aini menerusi 'Umdah al-Qari, dan lain-lain tokoh. Karya-karya syarah Sahih al-Bukhari tidak kurang 100 lebih telah dihasilkan oleh para ilmuan hadith sepanjang zaman. Justeru, saya hanya ingin mengambil peluang untuk menyentuhnya dari aspek-aspek tertentu sahaja, lebih kepada mengambil ibrah dan pedoman.
Medium Komunikasi Ilahi
Allah SWT menjadikan setiap makhluknya saling memerlukan antara satu dengan yang lain. Setiapnya saling melengkapi dan memerlukan pertolongan daripada yang lain. Ia tidak terbatas kepada makhluk hidup seperti manusia, haiwan dan tumbuhan sahaja, malah melibatkan seluruh makhluk yang lain termasuk batu, tanah, udara, langit, cahaya, dan lain-lain. Justeru, secara sunnatullah wujudlah dalam diri, jasad, dan roh, setiap makhluk ini asas keupayaan berkomunikasi. Capaian dan cakupan komunikasi ini adalah bergantung kepada keperluan dan kepentingan makhluk itu sendiri. Masing-masing dengan bahasa dan isyarat yang tersendiri, batu dan tanah dengan caranya, haiwan dengan caranya, tumbuhan dengan caranya dan begitulah seterusnya. Anehnya, meski pun dengan cara yang berbeza, seolah-olah wujud kefahaman antara satu sama lain seterusnya menjadikan alam ini bergerak dan bertindak secara harmoni, teratur dan tersusun.
Lebih daripada itu, seluruh makhluk ini pada hakikatnya bergantung dan memerlukan kepada pertolongan Allah SWT khususnya manusia. Manusia adalah makhluk yang dijadikan dengan begitu kompleks sekali. Mereka terbahagi kepada berbagai-bagai bangsa, berbagai bahasa, berbagai budaya, dan lain-lain meski pun fizikal mereka zahirnya kelihatan sama. Ia sememangnya demikian berikutan Allah SWT telah memilih manusia sebagai khalifah-Nya di muka bumi ini.
Oleh kerana keperluan dan kepentingan manusia lebih banyak dan lebih besar daripada makhluk-makhluk lain, justeru mereka memerlukan komunikasi yang khusus serta berterusan daripada Khaliq mereka, supaya matlamat menjadi khalifah tersebut tercapai dengan jayanya. Lantaran itu, sejak daripada penciptaan manusia yang pertama lagi kita telah diperlihatkan tentang komunikasi yang wujud antara Allah SWT dengan Nabi Adam a.s. Komunikasi tersebut berterusan dari generasi ke generasi berikutnya dengan Allah SWT telah memilih insan-insan tertentu sebagai wadah komunikasiNya dengan para hambaNya. Insan-insan ini sinonim dengan gelaran Rasul. Dari seorang rasul kepada rasul yang seterusnya, wujud perkembangan dan peningkatan dari aspek kandungan komunikasi tersebut. Tidak dinafikan ajaran tauhid dan pengabdian kepada Allah SWT adalah teras kepada komunikasi ini, namun ia tetap melihat kepada kondisi masyarakat manusia yang menerimanya. Ia mengambil kira faktor tahap pemikiran, saiz sosiomasyarakat, budaya, pencapaian tamadun dan lain-lain. Dengan sebab itu, para ulama menyatakan wahyu-wahyu yang diturunkan kepada para rasul sebelum Nabi Nuh a.s adalah lebih kepada cara bagaimana manusia meneruskan kelangsungan hidup di atas muka bumi ini seperti mendapatkan makanan, menggunakan api, membuat pakaian, pertanian, penternakan dan lain-lain. Ini berikutan masyarakat pada peringkat ini masih belum terdedah dengan penyelewengan tauhid yang ketara.
Penetapan Hala Tuju Umat
Selepas beberapa tempoh berlalu, saiz masyarakat manusia telah berkembang pesat dan mencapai banyak kemajuan dalam pelbagai bidang. Bahkan telah membentuk tamadun-tamadun tersendiri mengikut pecahan bangsa dan geografi. Jumlah dan saiz masyarakat yang besar ini bolehlah dikatakan sebagai umat. Ketika ini, manusia tiada lagi masalah untuk memikirkan kelangsungan asas untuk hidup. Perkara tersebut mampu berkembang tanpa bimbingan wahyu secara intensif lagi iaitu umpama anak kecil yang telah pandai berjalan, dia tidak lagi perlu dipimpin oleh ibu bapanya. Namun, manusia telah memasuki fasa yang baru iaitu mereka memerlukan arah yang jelas dan panduan-panduan utama yang perlu diikuti.
Pada masa ini, peranan pemikiran telah berkembang. Ia telah dibantu dengan himpunan pengalaman-pengalaman generasi terdahulu yang tempohnya sesuai untuk dibuat perbandingan antara satu individu dengan individu yang lain. Malah lebih pesat daripada itu, perbandingan dan pertembungan ini turut melibatkan pengalaman antara satu tamadun dengan tamadun yang lain. Natijahnya, banyak idea-idea baru, sistem kemasyarakatan, kepercayaan, undang-undang, dan lain-lain yang muncul. Kesemuanya bercampur-baur antara yang hak dan yang batil. Justeru, bimbingan wahyu adalah sangat mustahak penumpuannya pada perkara tersebut. Ini berikutan tiada siapa pun dalam kalangan manusia yang berhak menentukan mana satukah perkara yang hak dan yang mana pula yang batil. Sekali pun wujud fitrah dalam diri untuk mengesan hak, tapi ia masih belum mampu untuk menyaring segala gunungan campuran perkara tersebut.
Di sinilah bermulanya ajaran risalah. Di sinilah kepentingannya. Ia menjadi piawaian utama dalam menentukan perkara-perkara yang hak dan yang batil. Tidak lain dan tidak bukan ia adalah bimbingan daripada Allah SWT sendiri. Justeru, umat manusia mula terdedah dengan bimbingan ini. Berlaku pertembungan yang maha dahsyat dek kerana keegoan, keangkuhan dan kesombongan manusia. Saya boleh katakan ia seperti anak-anak yang menepis kedua tangan ibu bapanya ketika ingin dipimpin melintas jalan. Mereka merasakan mereka telah mampu berjalan sendiri, malah pimpinan tersebut dianggap merendahkan kemampuannya berjalan sendiri dan menggugat maruahnya. Sedangkan di sisi yang lain, ibu bapanya tidak pun memikirkan yang demikian sebaliknya melihat kepada yang lebih besar iaitu kemaslahatan nyawa anak itu sendiri. Ini titik persilangan mengapa manusia bermati-matian ingkar kepada risalah Rasul-Rasul. Mereka terlalu yakin dengan pengetahuan sendiri yang dirasakan telah sangat sarat tanpa perlu bimbingan Ilahi lagi.
Perumpamaan tersebut saya gunakan sebagai anak kecil dalam kes melintas jalan. Ia sudah cukup berbahaya. Cuba kita bayangkan jika ia melibatkan perkara yang lebih besar seperti remaja yang merempit, bergadai nyawa, malah membahayakan nyawa orang lain demi tujuan yang murah. Marah apabila ditegah. Anak-anak gadis yang merasa sudah cukup kuat untuk menjaga maruahnya secara sendirian. Juga marah apabila ditegah. Sedangkan kerosakannya lebih besar apabila melibatkan nasab dan keturunan. Semua keegoan, keangkuhan, dan kesombongan ini menuntut kepada korban. Ia bergantung kepada saiz kesombongan tersebut. Dengan sebab itu, di sepanjang sejarah, kita akan melihat umat-umat yang dibinasakan oleh Allah SWT hasil daripada sikap dan keingkaran mereka kepada risalah yang dibawa oleh para rasul yang diutuskan kepada mereka. Ada yang binasanya masih mninggalkan baki dan ada yang binasanya tidak berbaki lagi.
Perkembangan masyarakat dan tamadun manusia ada batasnya, pengalaman-pengalaman berinteraksi dengan wahyu di sepanjang siri perutusan rasul dan bimbingan risalah menjadikan umat manusia menjadi semakin matang. Pengalaman seperti melihat mukjizat, dikenakan azab, diberikan nikmat dan sebagainya menjadikan mereka sampai kepada tahap yang berikutnya. Umpama anak kecil yang sudah mula baligh atau matang. Dia bersedia untuk menerima dengan penuh kesedaran dan keinsafan.
Suatu sunnatullah akal yang Allah SWT kurniakan kepada manusia ialah kita mampu belajar daripada pengalaman. Istilah seperti serik, letih, jemu, dan seumpamanya menjadikan manusia matang. Bukan lagi fasa mencuba-cuba, sebaliknya yakin dengan pengetahuan tanpa perlu mecubanya. Contohnya: Seseorang yakin api akan membakar tangannya tanpa perlu menghulurkan tangan tersebut ke dalam api. Keyakinannya itu adalah kerana terdapat bukti fizikal daripada orang lain sebelumnya. Ia tidak memerlukan sampel yang banyak. Cukup satu atau dua sahaja, tapi ia mampu memberi keyakinan kepada suatu masyarakat. Demikianlah watak dan sifat umat akhir zaman dan perutusan Rasulullah s.a.w. Keadaan ini tidak lagi memerlukan perutusan Rasul lagi. Risalah yang dibawa oleh Baginda s.a.w adalah risalah yang lengkap penerimanya adalah umat yang matang. Justeru, ajaran ini bakal terpelihara walau tanpa ada rasul. Berbeza dengan umat-umat sebelumnya seperti Yahudi dan Nasrani.
Hidup Di Bawah Lembayung Wahyu
Ketika kita kecil, kita sering susah hati apabila tidak mendapat bimbingan dan pimpinan daripada ibu bapa. Bentuk kasih sayang yang kita inginkan adalah bersifat 'outside in'. Kita hanya ingin diberikan perhatian dan ditumpahkan kasih sayang. Dengan sebab itu, kita mudah merajuk, membuat protes, melarikan diri daripada rumah dan sebagainya akibat tidak mendapat perhatian yang diinginkan. Inilah yang berlaku pada umat-umat terdahulu, mereka cenderung berpaling daripada ajaran risalah apabila kepentingan dan keinginan mereka tidak ditunaikan oleh Rasul-Rasul mereka. Bahkan ke peringkat membunuh rasul-rasul tersebut. Ajaran risalah seolah-olah tiada nilai bagi mereka sehingga apabila ketiadaan Rasul-Rasul tersebut, mereka dengan senang hatinya meminda dan mencarik ketulenannya supaya sesuai dengan nafsu dan keinginan mereka.
Namun apabila kita kian dewasa, kita berubah kepada menghargai kasih sayang yang telah diberikan kepada kita. Kita berusaha memberikan khidmat bakti kepada ibu bapa walaupun terpaksa berkorban harta, masa, keinginan dan sebagainya. Kita tidak lagi tunggu tangan digamit untuk dipimpin, sebaliknya kita proaktif untuk merangkul ibu bapa untuk memberikan kasih sayang kita kepada mereka. Harta-harta dan peninggalan mereka kita usahakan supaya kekal terpelihara sebagai kenangan kepada kita dan tatapan generasi kemudian. Supaya generasi kemudian dapat melihat peninggalan, sumbangan dan jasa ibu bapa kita dalam bentuknya yang sebenar dan kasih sayang itu dapat diteruskan walau tanpa kewujudan mereka lagi.
Peranan yang demikianlah yang telah dimainkan oleh para sahabat r.a suatu masa dahulu, sehinggakan kasih sayang kita pada hari ini kepada Baginda s.a.w adalah kasih yang sejati dan tulen. Ajaran risalah yang dibawa oleh Baginda s.a.w masih segar terpelihara walau pun Baginda s.a.w telah lama tiada. Bahkan, ajaran Baginda terakam kisah-kisah para Rasul sebelumnya yang walaupun ketika mereka hidup dahulu tidak dipandang dan dihargai ajarannya oleh umatnya, namun hikmah Allah SWT menjadikan umat akhir zaman sebagai pengikut dan pembela mereka.
Ya Allah, naungilah kami di bawah lembayung wahyuMu.
No comments:
Post a Comment