Kehangatan bahang pilihanraya kampus baru sahaja berlalu. Semenjak Universti Malaya ditubuhkan melebihi setengah abad yang silam, percaturan politik mahasiswa sentiasa berputar di atas paksinya dan tekun menuruni arus, mencorak waktu, dan mewarnai perjuangan di kampus. Menjenguk sepintas sejarah silam, perjuangan era 60-an dan 70-an terpotret kehebatan mahasiswa dalam sejarah dan mungkin masih ternampak-nampak kehebatannya di halaman minda kita. "Mahasiswa ejen perubah masyarakat", "Mahasiswa jurubicara masyarakat" merupakan antara slogan dan laungan yang tidak pernah lekang dari ingatan umum.
Meneliti masyarakat kampus ketika itu yang hidup untuk masyarakat dan berjuang bermati-matian agar keadilan dan nasib rakyat terbela seolah-olah suatu agenda utama mahasiswa. Mahasiswa bukan sekadar menjadi ulat buku, yang bersarang di mata dan fikirannya pelbagai teori serta fakta yang disuapkan oleh pensyarah bahkan mereka menjadikan batang tubuh sendiri sebagai ilmu yang bergerak. Corak penghidupan mereka melambangkan mereka adalah seorang intelektual yang bukan sekadar menjadi 'tukun' penyimpan maklumat, bahkan penjana maklumat untuk dihadirkan sebagai ilmu di tengah-tengah kehidupan masyarakat.
Jika kita lihat, inilah tuntutan Islam kepada generasi muda Islam yang mewakafkan diri untuk agama. Generasi yang berusaha untuk menjadikan diri mereka sebagai al-Quran yang bergerak. Sekiranya sebelum ini sosialisme, nasionalisme menjadi pilihan mahasiswa untuk menjaga gerakan dan pemikiran, era ini telah pun kita warnai dengan corak Islam dan penghayatan iman. Sekiranya pada suatu ketika dahulu mahasiswa digeruni kerana suara mereka lantang membela masyarakat, era ini memerlukan kita corakkan mahasiswa agar kita digeruni kerana membela atas dasar tuntutan Islam, dengan pengamalan Islam.
Alhamdulillah, di beberapa buah kampus, kita telah berjaya menwan kembali kerusi MPM. Namun ia bukanlah 'indicator' kejayaan yang sangat membanggakan. Di sebaliknya kita perlu berusaha lagi dalam fasa mengisi kemenangan. Kabinet MPM yang bakal diwujudkan hendaklah berbeza dengan yang lalu. Menunjukkan bahawa kita benar-benar mengubah orientasi pentadbiran mahasiswa dari bersifat 'defensif', 'ekslusif', dan terlalu mengampu TNC HEP dan kerajaan kepada sifat yang 'independent', membela mahasiswa, dan mengembalikan hak-hak kita yang telah diragut suatu ketika dahulu. Hala tuju kita cukup jelas, jangan dikaburkan lagi.
Saya cukup yakin, calon-calon yang menang dalam pilihanraya baru-baru ini mampu untuk menggalas tanggungjawab tersebut. Bahkan mereka sememangnya perlu melaksanakannya sama ada di peringkat Pro-Mahasiswa mahupun Pro-Aspirasi (di UM dah diubah kepada Penggerak Mahasiswa). Kita ketepikan dahulu ideologi politik. Kerjasama yang jitu dan hubungan yang erat perlulah dijalinkan. Segalanya demi perjuangan.
Kita tidak mahu lagi masyarakat menagtakan kita kini tidak bermaya, bahkan mereka tidak sedikit pun menaruh harapan yang tinggi kepada mahasiswa untuk menjadi juru bicara mereka. Bukan kerana ilmuan tidak lagi dihargai oleh masyarakat, tetapi kerana mahasiswa tidak menghargai ilmu yang mereka miliki. Ayuh, mari kita sama-sama bangun memberikan dokongan dan sokongan. Kita bangkit membuktikan era ini adalah era kebangkitan mahasiswa berlandaskan Iman dan Islam. Kita buktikan sengatan mahasiswa Islam lebih digeruni ledakannya daripada ledakan nuklear yang menggegarkan Hiroshima, kita balas semula pukulan dan bedilan Zionis di bumi Gaza. InsyaAllah, kita optimis kemenangan Islam semakin hampir.
Untuk itu, marilah sama-sama kita ingati kata-kata puitis daripada Said Zahari dalam koleksi Puisi Dari Penjara:
Di mana-mana di bumi ini
Tulang patah air mata darah
Kerana di mana-mana di jagat ini
Ribuan penjara dan
Jutaan Si Berani.
No comments:
Post a Comment